Manisan seperti kek dan pencuci mulut yang menggunakan coklat memang sedap. Jika berkunjung ke pasaraya atau kedai menjual barangan kek, anda boleh jumpa bermacam-macam jenis coklat masakan yang dijual.
Secara asasnya, coklat masakan dibahagikan kepada tiga jenis iaitu coklat gelap ( dark chocolate), coklat putih ( white chocolate) dan coklat susu ( milk chocolate). Setiap satu darinya mempunyai kelebihan, keenakan serta kegunaannya yang tersendiri.
JENIS-JENIS COKLAT
1. COKLAT GELAP ( DARK CHOCOLATE)
Ia mengandungi kandungan biji koko yang paling tinggi, paling rendah 70% kandungan koko, kurang gula dan lemak sayur. Teksturnya agak pekat dan perlu ditambah mentega koko ( cocoa butter) untuk mencairkannya. Sebaiknya, elakkan penggunaan marjerin, mentega dan minyak untuk mencairkan coklat kerana ia akan mempengaruhi rasa serta bau coklat. Malah ia juga boleh merosakkan coklat.
2. COKLAT PUTIH ( WHITE CHOCOLATE)
Walaupun disebut coklat putih, ia sebenarnya bukanlah coklat yang sebenar. Coklat ini dihasilkan dari sisa mentega koko yang ditambah dengan gula, susu dan vanilla atau perisa-perisa lain. Untuk mencairkannya, anda tidak perlu menggunakan mentega koko kerana kandungan coklat itu sendiri yang terdiri dari bahan tersebut.
3. COKLAT SUSU ( MILK CHOCOLATE)
Coklat susu terhasil dari campuran bahan-bahan seperti koko, gula dan susu. Coklat ini mempunyai rasa yang enak dan tidak terlalu pekat. Sangat sesuai digunakan dalam penghasilan manisan serta pencuci mulut.
KAEDAH MENCAIRKAN COKLAT
Untuk menggunakan coklat dalam masakan, biasanya ia perlu dicairkan terlebih dahulu. Ada beberapa cara yang boleh digunakan. Antaranya ialah:
1. GUNA MICROWAVE
Potong coklat kepada kepingan kecil. Masukkan ke dalam bekas tahan panas ( bukan besi) dan cairkan dalam ketuhar gelombang micro ( microwave). Pastikan anda menggunakan kepanasan sederhana dan cairkan dalam masa 1-4 minit. Panaskan selama 1 minit terlebih dahulu, kacau dan jika masih berketul, panaskan kembali antara 1-2 minit. Keluarkan dari microwave dan kacau hingga cair sepenuhnya.
2. DOUBLE BOILER
Kaedah ini paling biasa digunakan. Ia berupa teknik mencairkan coklat secara wap dimana coklat dipotong kecil dan dimasukkan ke dalam bekas. Kemudian letakkan bekas berisi coklat diatas periuk yang berisi air mendidih. Biarkan coklat cair di bahagian bawah, padamkan api, angkat dan kacau sehingga cair sepenuhya.
Lakukan dengan berhati-hati agar air tidak terpercik ke dalam coklat. Anda juga perlu elak coklat berada lama diatas api kerana ia akan menyebabkan coklat rosak. Tanda coklat masakan anda rosak ialah apabila ia kelihatan berminyak dan tidak melekat pada periuk.
3. GUNA KETUHAR
Jika menggunakan ketuhar, cairkan coklat menggunakan suhu yang tidak terlalu tinggi bagi mengelakkan coklat menjadi hangus.
CARA SIMPAN COKLAT MASAKAN
Coklat masakan ini tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk. Ada cara penyimpanan lebih mudah yang boleh dicuba. Malah jika disimpan dengan cara yang betul, coklat tersebut boleh tahan selama setahun. Cara untuk menyimpan yang boleh dicuba ialah:
- Simpan di tempat yang kering serta dingin seperti dalam kabinet.
- Jika ada lebihan coklat, balut menggunakan aluminium foil dan bungkus dengan plastik wrap. Kemudian masukkan ke dalam bertutup yang bekas kedap udara.
Selamat mencuba!
Sumber rujukan: Blogger Citarasawan ( http://citarasawan.blogspot.com)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI