10 Lokasi Sarapan Dan Makan Tengah Hari Paling Hit Di Selangor

Share

Hujung minggu memang seronok kalau dapat makan di luar dengan famili atau kawan-kawan. Tetapi bila nak pilih lokasi mana yang sesuai dengan selera semua orang, mulalah kita pening kepala. Buat anda yang berada di Selangor, yang ingin berkunjung ke sini atau punya urusan kerja, ini kami kongsikan 10 tempat pilihan terbaik yang boleh anda kunjungi.

1. Restoran Ceria

Jika anda berasal dari Shah Alam, anda pasti akan mengenali restoran di Jalan RU 3/9a, Seksyen 3 ini. Restoran ini popular dengan sajian sarapan pagi yang lazat iaitu nasi lemak yang mempunyai pelbagai pilihan lauk seperti ayam goreng, sambal sotong, paru goreng dan juga udang. Cakoi di restoran ini lebih lembut dan garing di luar bersama kaya ‘homemade’ jika dibandingkan di tempat lain. Restoran ini agak ramai pada hari Ahad namun dengan makanannya yang lazat, anda pasti akan berpuas hati!

By @hedzmynadzrin

Alamat : No. 12, Jalan RU 3/9a, Seksyen 3, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu beroperasi : Isnin – Ahad: 6.00 pagi-11.00 malam

 

2. Chong Kok Kopitiam

Di Klang, tiada apa yang lebih menarik selain memulakan hari anda dengan bersarapan di Chong Kok Kopitiam. Dengan kombinasi tiga hidangan yang sangat “old school” iaitu nasi lemak, roti bakar dan telur separuh masak, ia pasti membuatkan pengunjung seakan-akan berada pada tahun 70-an. Selain harganya yang murah, Kopi-O juga menjadi salah satu sajian bagi pengunjung sehinggakan ada yang datang dari jauh untuk mencubanya. Kedai ini sememangnya menceritakan definisi keharmonian Malaysia kerana ramai pengunjung yang hadir terdiri daripada pelbagai bangsa.

By @Andrewchan032

Alamat : No. 5, Jalan Stesen, Kawasan 1, 41000 Klang, Selangor

Waktu beroperasi : Isnin – Sabtu : 6.30 pagi – 5.00 petang

Ahad : 6.30 pagi – 1.00 petang

 

3. Lontong Klang

Siapa tidak kenal Lontong Klang ini. Keenakannya sangat popular di kalangan penduduk tempatan dan kawasan sekitarnya. Mempunyai 3 cawangan antaranya di Seksyen 7, Shah Alam yang telah diusahakan sejak tahun 1970-an lagi. Terdapat pelbagai jenis lontong yang boleh dicuba iaitu lontong biasa, lontong telur goreng, lontong ayam dan lontong special. Lontong Special adalah pilihan utama bagi pengunjung kerana kuantitinya dua kali ganda dari biasa serta mempunyai sotong & telur goreng. Rasa kuahnya memang sedap ada pedas-pedas manis tapi kalau anda sukakan yang lagi pedas, anda boleh minta sambal lebih. Rugi jika anda datang Shah Alam tetapi tak cuba makanan ini!

By @ftnfifa

Alamat : 20, Jalan Zirkon 7f/F, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu Beroperasi : Isnin-Ahad: 7.30 pagi – 5.00 petang

Jumaat: 6.30 pagi – 1.00 petang

 

4. Warung Cikgu Puchong

Jika anda berada di Puchong dan tidak tahu nak makan apa pada waktu tengah hari, Nasi Mmanggey adalah pilihan paling tepat untuk anda. Dengan harga RM5, anda boleh dapat nasi berlauk ayam ini di Warung Cikgu yang popular di kalangan warga Puchong. Makanan ini sama seperti nasi kukus ayam goreng berempah tapi ayam untuk Nasi Mmanggey ini dipotong secara cincang. Di sini juga turut dijual air kelapa, coconut shake dan ABC Oreo yang sesuai untuk diminum ketika cuaca panas.

By @tysen10

Alamat : No. 1, Jalan BP 6/7, Bandar Bukit Puchong, 47100 Puchong, Selangor

Waktu beroperasi : Isnin – Ahad : 8.00 pagi – 10.00 malam

 

5. Restoran Lontong King

Sekiranya di Klang popular dengan Lontong Klang, di Hulu Langat pula popular dengan Lontong King. Restoran ini berbeza dengan kedai-kedai lain kerana servis buffet yang disediakan seperti ala-ala hotel. Hidangan yang paling menarik di Restoran Lontong King ini ialah nasi lemak bersama kari kambing. Tidak dilupakan juga Kuih Lopes yang memang “tiptop” sesuai untuk dijadikan sebagai pencuci mulut.

By @joe_makan

Alamat : No 4, Jalan Sri Nanding, Taman Sri Nanding, 43100 Hulu Langat, Selangor

Waktu beroperasi : Isnin – Ahad: 7.00 pagi – 11.00 malam

 

6. Warung Taman Klasik Rumbia, Sepang

Di Sepang pula terdapat satu warung yang sangat terkenal dikalangan warga Sepang iaitu Warung Taman Klasik Rumbia. Warung ini mudah sahaja untuk dicari kerana ianya tidak jauh dari Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi. Oleh kerana popular dengan Nasi Lemak Goyang, warung ini sentiasa ramai dengan pengunjung pada waktu pagi. Selain itu, anda juga boleh menikmati pelbagai hidangan pagi yang disediakan secara layan diri.

 

7. Warung Kita@Bangi

Walaupun Nasi Mmanggey ini berasal daripada Kelantan, namun makanan ini sangat popular di negeri Selangor. Terdapat satu lagi kedai makan yang menjual makanan ini iaitu kedai makan Warung Kita di Bangi. Konsepnya sama sahaja seperti di Warung Cikgu, Puchong akan tetapi kuah karinya sedikit berbeza kerana mempunyai kacang panjang. Anda boleh singgah ke warung ini pada pukul 9.00 pagi bagi mengelakkan orang ramai.

By @whathafizeats

Alamat : Jalan Industri Sungai Tangkas 1, Kampung Sungai Tangkas, 43000

Bangi, Selangor

Waktu beroperasi : 7.00 pagi–11.00 malam

 

8. Restoran Puteri Taman Sri Gombak

Restoran ini terkenal dikalangan warga Selangor kerana Teh Ais Madu yang cukup lazat. Persembahan hidangannya juga agak menarik apabila Teh Ais Madu kelihatan seakan-akan melimpah ruah. Selain itu, menu utama iaitu Nasi Kak Wok dengan pelbagai jenis lauk seperti ayam kunyit, paru berlada, keropok, gulai serta sambal belacan memang terbaik jika nak dibandingkan dengan restoran-restoran yang lain. Restoran Puteri Taman Sri Gombak berdekatan sahaja dengan Maybank Seri Gombak dan mudah untuk dijumpai. Jadi, apa tunggu lagi? Jom cuba!

By @amy.nwa

Alamat : No. 73, Jalan SG 3/10, Taman Sri Gombak, Batu Caves, 68100 Selangor

Waktu beroperasi : Isnin – Ahad: 7.00 pagi – 7.00 malam

 

9. Village Park Restaurant, Damansara

Village Park Restaurant yang terletak di Damansara Utama, satu lagi tempat sarapan yang patut anda kunjungi. Kehadiran yang diterima oleh restoran tersebut sangat ramai terutamanya pada waktu pagi. Nak tahu kenapa ramai? Ini adalah kerana set Nasi Lemak bersama dengan Ayam Goreng rangup dan garing berharga RM10.40. Hidangannya kelihatan sempurna terutama sekali nasi yang gebu dan harum. Sambal juga sangat sedap walaupun sedikit pedas. Restoran ini sangat popular dikalangan pelancong luar negara yang sukakan makanan Malaysia.

By @mfmirahfilzah

Alamat : No. 5, Jalan SS 21/37, Damansara Utama, 47400 Petaling Jaya, Selangor

Waktu beroperasi : Isnin – Jumaat: 7.00 pagi – 7.30 malam & Sabtu – Ahad: 7.00 pagi – 6.00 petang

 

10. Nasi Lemak Pak Musa, Banting

Restoran ini telah beroperasi sejak tahun 70-an lagi dengan mengekalkan resipi asli Pak Musa. Beras yang digunakan adalah beras tanak yang dimasak dalam kuali mengikut cara tradisional dan rasa nasinya tidak berlemak serta rasa ringan apabila dimakan. Sambal menjadi tarikan orang ramai sebab rasa manis dan halus. Selain itu, sambal nasi lemak yang sama dihidangkan dengan sotong dan telur goyang.

By @elyanasuhib

Alamat : Banting, 42700, Banting, Selangor

Waktu Beroperasi : Isnin – Jumaat: 7.30 pagi – 12.00 malam

 

Negeri Selangor sememangnya kaya dengan makanan yang sedap dan “best”. Anda boleh kunjungi Instagram Tourism Selangor iaitu @discoverselangor untuk melihat tempat-tempat menarik dan jangan lupa untuk hashtag #DiscoverSelangor dan #TakeMeAnyWhere!

Published by
Nur