10 Resipi Bersambal Wajib Ada Di Meja Makan!

Share

 

Masakan bersambal antara lauk pauk yang pasti ada di meja makan setiap keluarga. Ini kerana ia lebih mudah dimasak dan penuh perisa. Jika dimakan bersama nasi panas sahaja pun sudah mencukupi. RASA kongsikan 10 jenis sambal yang membuka selera anda. Wajib cuba tau!

AYAM SAMBAL PERISA TOMYAM

BAHAN-BAHAN:

  • ½ ekor ayam | potong kecil
  • 3 sudu makan cili kisar
  • 1 sudu makan pes tomyam
  • 4 ulas bawang merah |kisar halus
  • 3 ulas bawang putih |kisar halus
  • 2cm halia | kisar halus
  • 1 batang serai | titik
  • 1 biji bawang besar |belah empat
  • Garam, lada sulah dan gula secukupnya

 

CARA MEMASAK:

 

  1. Ayam dilumur dengan sedikit garam dan lada sulah.  Goreng hingga masak.  Ketepikan.
  2. Di dalam kuali, panaskan dua sudu makan minyak lalu tumis bahan-bahan kisar hingga wangi.
  3. Masukkan serai, cili kisar dan pes tomyam lalu tumis lagi hingga pecah minyak.
  4. Tambah sedikit air, garam dan gula secukup rasa.  Didihkan seminit.
  5. Masukkan bawang besar dan ayam goreng.  Didihkan seminit dua lagi dan tutup api.
  6. Angkat dan sedia dinikmati.

 

Saiz hidangan: 3-4 orang

Jenis hidangan : Melayu

Keistimewaan : Aroma tomyam yang membuka selera

Jenis masakan : Lauk pauk

Cara memasak : Goreng dan tumis

 

Info chef:  Boleh masukkan cili padi jika mahu lebih pedas.

 

AYAM BAKAR BERSAMBAL BAWANG

 

BAHAN-BAHAN A:

  • 1-2 ketul paha ayam
  • 6 ulas bawang merah   | tumbuk lumat
  • 4 ulas bawang putih | tumbuk lumat
  • 3cm halia |tumbuk lumat
  • Garam secukupnya

 

BAHAN-BAHAN B (SAMBAL):

  • 2 labu bawang besar |potong dadu
  • 3 sudu makan cili kisar
  • 10 ulas bawang merah | kisar halus
  • 4 ulas bawang putih | kisar halus
  • 3cm halia |kisar halus
  • 1 batang serai | titik
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Sedikit air asam (pilihan)

 

CARA MEMASAK:

 

  1. Perap ayam bersama bahan-bahan tumbuk dan garam selama 30-40 minit.  Kemudian ayam dibakar hingga masak dan ketepikan.
  2. Panaskan dua sudu makan minyak lalu tumis bahan-bahan kisar berserta cili kisar hingga cili masak.
  3. Masukkan serai, air asam, bawang besar lalu tumis lagi hingga sebati.  Tambah garam dan gula secukup rasa.
  4. Tuang ke atas ayam bakar dan hidangkan.

 

Saiz hidangan: 3-4 orang

Jenis hidangan : Melayu

Keistimewaan : Aroma halia dan serai yang tambah keenakan masakan

Jenis masakan : Lauk pauk

Cara memasak : Bakar dan tumis

 

Info chef:  Enak dimakan bersama nasi putih.

 

BAWAL GORENG SAMBAL KICAP BERSAYUR

 

BAHAN-BAHAN:

 

  • 1-2 ekor ikan bawal cermin/hitam
  • 7-8 biji kacang botol | hiris nipis
  • 7-8 biji cili merah
  • 5 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 3cm halia muda
  • 1 sudu makan kicap manis
  • Garam dan gula secukupnya
  • Sedikit serbuk kunyit

 

CARA MEMASAK:

 

  1. Ikan bawal dibersihkan, kelar-kelar lalu dilumur sedikit serbuk kunyit dan garam. Goreng hingga garing dan ketepikan.
  2. Cili merah, bawang merah, bawang putih dan halia di kisar halus.
  3. Panaskan sesudu makan minyak di dalam kuali, tumis bahan-bahan kisar hingga cili masak.
  4. Tambahkan kacang botol, kicap manis, garam dan gula secukup rasa.
  5. Tuang sambal ke atas bawal goreng.
  6. Sedia dinikmati.

 

 

Saiz hidangan: 3-4 orang

Jenis hidangan : Melayu

Keistimewaan : Aroma halia dan serai yang tambah keenakan masakan

Jenis masakan : Lauk pauk

Cara memasak : Bakar dan tumis

 

Info chef:  Enak dimakan bersama nasi putih.

 

 

DAGING GORENG SAMBAL IJO

 

BAHAN-BAHAN:

  • 400gm daging lembu muda | hiris nipis
  • 10 biji cili padi | tumbuk kasar
  • 1 labu bawang besar |potong bulat
  • 10 biji cili hijau |kisar halus
  • 6 ulas bawang merah | kisar halus
  • 4 ulas bawang putih | kisar halus
  • 1 tangkai daun ketumbar | kisar halus
  • 3cm halia | kisar halus
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • Garam dan lada sulah secukup rasa

 

CARA MEMASAK:

 

  1. Gaul daging bersama lada sulah, garam secukupnya dan serbuk kunyit.  Perap selama sejam atau lebih.
  2. Goreng daging hingga agak garing. Ketepikan.
  3. Di dalam kuali, tumis bahan-bahan kisar hingga masak.
  4. Masukkan daging goreng, bawang besar dan cili padi yang ditumbuk kasar. Gaul sebati.
  5. Tambah garam dan lada sulah secukup rasa.

 

 

Saiz hidangan: 2-3 orang

Jenis hidangan : Melayu

Keistimewaan : Rasa pedas

Jenis masakan : Lauk pauk

Cara memasak : Goreng dan tumis

 

Info chef:  Jika suka boleh tambah daun bawang.

 

 

PUYUH GORENG BERSAMBAL HIJAU

 

BAHAN-BAHAN:

  • 3-4 ekor burung puyuh |bersihkan
  • 15 biji cili padi hijau
  • 4 biji cili besar hijau
  • 5 ulas bawang merah
  • 1 labu bawang besar | potong bulat
  • 1 batang serai |ketuk
  • 3cm belacan
  • 1 sudu teh air asam jawa
  • Garam dan gula secukup rasa

 

CARA-CARA:

  1. Tabur sedikit garam dan serbuk kunyit pada burung puyuh.  Goreng hingga garing dan ketepikan.
  2. Cili padi, cili hijau, bawang merah dan belacan dikisar halus.
  3. Panaskan dua sudu makan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan kisar berserta serai hingga naik bau dan cili masak.
  4. Masukkan bawang besar, jus asam jawa, gula dan garam secukup rasa.  Didihkan sambal seminit dua lagi hingga sebati.
  5. Masukkan burung puyuh goreng dan kaup balikkan.

 

Saiz hidangan: 2-3 orang

Jenis hidangan : Melayu

Keistimewaan : Rasa belacan yang tambah kesedapan sambal

Jenis masakan : Lauk pauk

Cara memasak : Goreng dan tumis

 

Info chef:  Boleh tambah jumlah cili padi mengikut tahap kepedasan yang diingini.

 

 

SAMBAL BABAT CILI PADI

 

BAHAN-BAHAN:

  • 400gm babat (perut lembu) |bersihkan
  • 10-15 biji cili padi hijau
  • 5 biji cili hijau
  • 6 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 labu bawang besar
  • 1 sudu teh air asam jawa
  • Garam dan gula secukup rasa

 

CARA MEMASAK:

  1. Babat (perut lembu) dihiris nipis dan rebus empuk. Toskan.
  2. Kisar cili padi, cili hijau, bawang merah dan bawang putih hingga jadi pes yang lumat.
  3. Panaskan dua sudu makan minyak di dalam kuali.
  4. Tumis bahan-bahan kisar dengan api yang kecil hingga pecah minyak. Masukkan air asam.
  5. Masukkan babat dan bawang besar. Tambah garam dan gula secukup rasa. Gaul sekata.
  6. Angkat dan sedia dinikmati.

 

Saiz hidangan: 2-3 orang

Jenis hidangan : Melayu

Keistimewaan : Rasa pedas dan masin yang buka selera

Jenis masakan : Lauk pauk

Cara memasak : Rebus dan tumis

Info chef:  Babat yang telah dibersihkan ada dijual di pasar-pasar basah.

 

 

SAMBAL BILIS TUMBUK

 

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm ikan bilis
  • 2-3 sudu makan cili kisar
  • 6 ulas bawang merah | kisar halus
  • 4 ulas bawang putih | kisar halus
  • 1 labu bawang besar | kisar halus
  • 3cm belacan
  • 1 sudu teh air asam jawa
  • Garam dan gula secukup rasa

 

CARA MEMASAK:

  1. Ikan bilis dibersihkan, basuh dan ditumbuk kasar.  Goreng separuh masak dan ketepikan.
  2. Panaskan dua sudu makan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan kisar hingga benar-benar masak.
  3. Masukkan bilis tumbuk, belacan, air asam, garam dan gula secukup rasa.
  4. Tumis lagi hingga sambal hampir kering dan pecah minyak.
  5. Tambah garam dan gula secukup rasa. Gaul sekata.
  6. Angkat dan sedia dinikmati.

 

Saiz hidangan: 3-4 orang

Jenis hidangan : Melayu

Keistimewaan : Ada pedas, masam, manis dan masin yang seimbang

Jenis masakan : Lauk pauk

Cara memasak : Goreng dan tumis

Info chef:  Bilis yang jangan ditumbuk halus kerana kita masih boleh terasa teksturnya ketika dimakan.

 

 

SAMBAL HITAM PARU LENGKUAS

 

  • BAHAN-BAHAN:
  • 300gm paru | hiris nipis
  • 100gm lengkuas muda | hiris nipis
  • 2 sudu makan kicap pekat manis
  • 2 sudu makan stok daging
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • 2 sudu makan cili kisar
  • 4 ulas bawang putih | kisar lumat
  • 1 biji bawang besar |potong bulat
  • Garam dan lada sulah secukupnya

 

CARA MEMASAK:

 

  1. Paru direbus empuk lalu dihiris nipis.  Tabur sedikit garam dan goreng garing.  Ketepikan.
  2. Panaskan sesudu makan minyak di dalam kuali.
  3. Tumis bawang putih hingga wangi. Masukkan cili kisar dan lengkuas, tumis lagi hingga cili masak.
  4. Masukkan kicap dan stok daging dan didihkan beberapa minit.
  5. Masukkan paru goreng, lada hitam dan bawang dan kaup-balikkan  sebati.
  6. Tambah garam dan lada sulah secukup rasa. Kacau sekata.
  7. Angkat dan sedia dinikmati.

 

Saiz hidangan: 2-3 orang

Jenis hidangan : Melayu

Keistimewaan : Aroma lengkuas yang unik

Jenis masakan : Lauk pauk

Cara memasak : Rebus, goreng dan tumis

Info chef:  Boleh gantikan stok daging dengan air biasa jika stok daging tiada.

 

 

SAMBAL KENTANG, TAUHU  TEMPE

 

BAHAN-BAHAN:

  • 2 biji ubi kentang |hiris nipis
  • 2 biji tempe |hiris nipis
  • 2 biji tauhu | hiris nipis
  • 100gm ikan bilis
  • 1 biji bawang besar | mayang halus
  • 4 ulas bawang merah |tumbuk lumat
  • 3 ulas bawang putih | tumbuk lumat
  • 2 sudu makan cili kisar
  • 1 sudu teh air asam jawa
  • Garam dan gula secukup rasa

 

CARA MEMASAK:

 

  1. Ubi kentang, tempe, tauhu dan ikan bilis digoreng garing.  Ketepikan.
  2. Panaskan dua sudu makan minyak dalam kuali. Tumis bahan-bahan tumbuk hingga naik bau. Masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga cili masak.
  3. Masukkan bawang besar, air asam dan semua bahan-bahan goreng.
  4. Tambah garam dan gula secukup rasa.  Kaup-balikkan sebati.
  5. Angkat dan sedia dinikmati.

 

 

Saiz hidangan: 3-4 orang

Jenis hidangan : Melayu

Keistimewaan : Pelbagai rasa dalam satu masakan

Jenis masakan : Lauk pauk

Cara memasak : Goreng

Info chef:  Ikan bilis harus digoreng garing supaya tidak lembik bila digaul sambal.

 

SAMBAL PETAI BILIS KERING

 

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm ikan bilis |goreng garing
  • ½ mangkuk petai | bersihkan
  • 20 biji cili padi hijau |kisar halus
  • 5 biji cili hijau | kisar halus
  • 4 ulas bawang putih | kisar halus
  • 1 labu bawang besar | potong bulat
  • 3cm belacan
  • 1 sudu teh air asam jawa
  • Garam dan gula secukup rasa

 

CARA MEMASAK:

  1. Tumis bahan-bahan kisar hingga benar-benar masak.
  2. Masukkan belacan, air asam, garam dan gula secukup rasa.
  3. Tumis lagi hingga sambal hampir kering dan pecah minyak.
  4. Masukkan bawang besar, ikan bilis goreng dan petai lalu kaup-balikkan sebati.
  5. Tambah garam dan gula secukup rasa.

 

Saiz hidangan: 2-3 orang

Jenis hidangan : Melayu

Keistimewaan : Petai yang tambah kesedapan masakan

Jenis masakan : Lauk pauk

Cara memasak : Tumis

Info chef:  Jangan goreng petai terlalu lama agar ia kekal rangup bila dimakan.

 

Penyelaras Rasa: Nurul Azwa Abu Bakar, Nur Elina Kamarudin, Norasida Mohd Yasin

Resipi: Terima kasih Chef Suwarsi M. Arukin, Taman Sri Andalas, Klang, Selangor.

 

CUBA JUGA RESIPI SEDAP INI:

Published by
Mastura Abu Kassim