10 Resipi Lauk Telur Ringkas & Pantas Yang Sesuai Untuk Sahur

Share

Ramai yang menggemari menu sahur yang ringkas dan cepat disediakan. Maklumlah masa yang ada sangat terhad dan mengekang anda untuk memasak lauk pauk yang lebih banyak cara penyediaannya. Menu sampingan berasaskan telur antara pilihan yang terbaik yang boleh anda sajikan. Di sini, RASA menampilkan resipi-resipi yang boleh dijadikan panduan. Selamat mencuba!

 

1. TELUR HANCUR SIMPLE 

BAHAN-BAHAN:

  • 2 biji telur
  • 1/ 2 biji bawang merah besar | dicincang
  • 100gm sayur campur
  • 20gm isi ayam
  • 10gm daun sup | dicincang
  • 1 sudu makan mayones
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit minyak masak untuk menumis

 

CARA MEMASAK:

  1. Pecahkan telur ke dalam mangkuk dan pukul hingga sebati. Ketepikan seketika.
  2. Panaskan minyak dan tumiskan bawang merah, sayur campur dan isi ayam sehingga masak.
  3. Kemudian masukkan telur diikuti dengan daun sup. Masukkan sedikit garam.
  4. Kacau telur sehingga menjadi ketulan kecil. Angkat dan hidangkan mengikut citarasa anda.

 

2. TAUFU TELUR MASAK SOS HAILAM

BAHAN-BAHAN:

  • 2 paket taufu telur | dipotong
  • 1/ 2 ulas bawang merah besar | dicincang
  • 20gm cendawan | dihiris
  • 20gm isi ayam
  • 2 sudu makan kicap pekat
  • 40ml air
  • 1/ 2 sudu makan minyak bijan
  • Sedikit daun ketumbar
  • Garam secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan goreng tao foo telur hingga garing. Ketepikan.
  2. Tumis bawang merah, isi ayam dan cendawan hingga wangi. Kemudian masukkan sedikit air.
  3. Seterusnya masukkan kicap pekat dan garam secukup rasa. Kacau hingga sebati.
  4. Susun taufu yang telah digoreng tadi diatas pinggan dan tuangkan sos keatasnya. Sedia untuk dinikmati.

Info Chef:  Taufu perlu digoreng terlebih dahulu bagi mengelakkan ia hancur.

 

3. RENDANG TELUR PUYUH

BAHAN-BAHAN:

  • 6 biji telur puyuh | direbus dan dibuang kulit
  • 200gm bawang merah | dikisar
  • 20gm bawang putih | dikisar
  • 10gm halia | dikisar
  • 20gm lengkuas | dikisar
  • 50gm serai | dikisar
  • 1 sudu makan cili giling
  • 100gm kerisik
  • 200ml santan
  • 1 sudu makan rempah kari
  • Sedikit garam dan gula
  • Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga wangi.
  2. Kemudian masukkan rempah kari dan tumis hingga masak.
  3. Seterusnya masukkan santan dan kerisik. Kacau sehingga kuah menjadi agak kering.
  4. Perasakan dengan gula dan garam dengan secukup rasa.
  5. Akhir sekali, masukkan telur puyuh yang telah direbus. Sedia untuk dinikmati.

 

4. TELUR MASAK ROS MASAM MANIS

BAHAN-BAHAN:

  • 6 biji telur | direbus dan dibuang kulit
  • 200gm bawang merah | dikisar
  • 20gm bawang putih | dikisar
  • 10gm halia | dikisar
  • 50gm serai | dikisar
  • 1 sudu makan cili giling
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 biji buah pelaga
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 1 tin puri tomato
  • 50gm sos cili
  • 50ml air
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak masak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan tumis kesemua bahan kisar sehingga wangi.
  2. Kemudian masukkan puri tomato, kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang. Kacau rata.
  3. Seterusnya masukkan sedikit air dan juga garam serta gula secukup rasa.
  4. Akhir sekali, masukkan telur dan biarkan didih seketika. Sedia untuk dinikmati.

Info Chef:  Boleh juga menggunakan telur itik segar untuk resipi ini.

 

5. TELUR MASAK HITAM MANIS

BAHAN-BAHAN:

  • 6 biji telur | direbus dan dibuang kulit
  • 200gm bawang merah | dikisar
  • 20gm bawang putih | dikisar
  • 10gm halia | dikisar
  • 50gm serai | dikisar
  • 1 sudu makan cili giling
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 biji buah pelaga
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 1 tin sos tomato
  • 50gm sos cili
  • 2 sudu makan kicap pekat
  • 50ml air
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak masak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau.
  2. Seterusnya masukkan sos tomato, sos cili, kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan kicap pekat. Gaul hingga rata.
  3. Kemudian masukkan air dan perasakan dengan garam serta gula secukup rasa.
  4. Akhir sekali, masukkan telur dan kacau hingga sebati dengan sos. Sedia untuk dihidangkan.

Info Chef:  Jika mahukan rasa yang lebih pedas, tambahkan hirisan cili padi.

 

6. SAMBAL SARDIN DAN TELUR

BAHAN-BAHAN:

  • 1 tin kecil sardin
  • 4 biji telur ayam
  • 50gm cili giling
  • 1/ 2 ulas bawang merah besar | dicincang
  • 20gm cendawan | dihiris
  • 1 sudu makan kicap
  • 1 sudu makan asam jawa | dibancuh bersama 50ml air
  • Sedikit daun sup
  • Garam secukup rasa
  • Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan goreng telur mata. Ketepikan seketika.
  2. Dengan menggunakan kuali yang sama, tumis bawang merah dan cili giling hingga masak.
  3. Kemudian masukkan hirisan cendawan dan juga ikan sardin.
  4. Masukkan air asam jawa, gula dan garam secukup rasa.
  5. Tambahkan sedikit kicap dan juga daun sup. Tuangkan diatas telur yang telah digoreng tadi.

 

7. TELUR GORENG KUNYIT

BAHAN-BAHAN:

  • 4 biji telur | digoreng mata
  • 1 biji bawang besar | dihiris
  • 100gm lobak merah | dihiris
  • 6 biji kacang pis
  • 1/2 biji lada benggala | dihiris
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar, lobak merah, kacang pis dan lada benggala sehingga wangi dan separuh masak.
  2. Kemudian perasakan dengan garam serta gula secukup rasa.
  3. Untuk menghidang, susun telur yang digoreng di dalam pinggan hidangan dan letakkan sayur tadi diatasnya. Sedia untuk dinikmati.

Info Chef:  Elakkan dari menggoreng sayur terlalu lama bagi mengekalkan khasiatnya.

 

8. TELUR DADAR GULUNG

BAHAN-BAHAN:

  • 4 biji telur
  • 1 ulas bawang merah besar
  • 2 sudu makan sos cili
  • 1 sudu makan mayones
  • 50gm sayur campur
  • Sedikit minyak untuk menggoreng

CARA MEMASAK:

  1. Pecahkan telur dan pukul menggunakan garfu hingga kembang.
  2. Masukkan hirisan bawang besar, sos cili dan mayones. Kacau lagi hingga semua bahan sebati.
  3. Panaskan kuali dan goreng bancuhan telur tadi hingga masak. Gulungkan.
  4. Sedia untuk dihidangkan.

Info Chef:  Boleh juga menggunakan hirisan makanan laut untuk rasa lebih enak.

 

9. TAUFU TELUR KUKUS SOS CENDAWAN

BAHAN-BAHAN:

  • 2 paket taufu telur | dipotong
  • 2 ulas bawang merah | dicincang
  • 20gm cendawan | dihiris
  • 10gm lobak merah | dihiris halus
  • 2 sudu makan kicap pekat
  • 50ml air
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya
  • Bawang goreng secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Untuk menghasilkan sos, panaskan minyak dan tumis bawang merah, cendawan dan lobak merah hingga lembut.
  2. Kemudian masukkan sedikit air, kicap, garam dan gula secukupnya.
  3. Seterusnya tuangkan sos ke dalam pinggan dan susun taufu diatasnya.
  4. Masukkan ke dalam periuk kukusan dan kukus selama 10 minit.
  5. Hidangkan bersama bawang goreng.

Info Chef:  Jika sukakan kuah yang pekat, tambahkan sedikit bancuhan tepung jagung ke dalam kuah.

 

10. TELUR PUYUH MASAK PERCIK

BAHAN-BAHAN:

  • 6 biji telur puyuh | direbus dan dibuang kulit
  • 200gm bawang merah | dikisar
  • 20gm bawang putih | dikisar
  • 10gm halia | dikisar
  • 50gm serai | dikisar
  • 2 sudu makan cili giling
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • 150ml santan
  • 50ml air
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak masak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan tumiskan semua bahan kisar sehingga betul-betul wangi.
  2. Kemudian masukkan serbuk kunyit dan juga santan. Kacau hingga sebati.
  3. Masukkan sedikit air dan perasakan dengan garam serta gula secukup rasa.
  4. Akhir sekali, masukkan telur dan kacau rata. Sedia untuk dinikmati.
Published by
Nur