10 Resipi Rare Orang Selatan, Sedap Walau Renyah Nak Buat

Share

 

 

Masakan tradisional memang ada yang susah hendak dimasak. Namun kepuasan menikmati hidangan tersebut selepas siap dimasak amat memuaskan hati. Kali ini RASA tampilkan 10 resipi hidangan yang semakin sukar ditemui yang semuanya berasal dari selatan tanah air, misalnya Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

BABAT MASAK UNGKEP
.

BAHAN-BAHAN
4 sudu besar minyak masak
3 kuntum bunga lawang
1 batang kulit kayu manis
500 gram babat (rebus dan hiris)
Air secukupnya
Garam dan gula secukupnya

BAHAN KISAR
6 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
3 cm halia
2 cm lengkuas
2 cm kunyit
2 batang serai
3 sudu besar ketumbar
2 sudu besar jintan manis

CARA MEMBUAT
1. Panaskan minyak masak. Tumis bunga lawang dan kulit kayu manis.
2. Masukkan semua bahan kisar, kacau sehingga terbit bau.
3. Bubuh babat. Kacau 3 minit.
4. Tuangkan air dan tambah garam dan gula.
5. Tutup sebentar. Biarkan masak atas api perlahan sehingga kuah jadi pekat.

PEPES AYAM
.

BAHAN-BAHAN
200 gram isi ayam
Garam secukup rasa
1/2 cawan kelapa parut
2 biji tomato (dicencang)
2 helai daun kunyit
1 sudu teh serbuk ketumbar
Daun pisang
Aluminium foil

BAHAN KISAR
5 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
2 biji buah keras
10 biji cili api
2 biji cili merah
2 batang serai

CARA MEMBUAT
1. Potong nipis isi ayam dan basuh. Toskan.
2. Gaul isi ayam dengan dengan sedikit garam.
3. Gaul sebati kelapa, bahan yang dikisar dengan tomato, daun kunyit, serbuk ketumbar dan garam.
4. Ratakan bahan gaul di atas daun pisang yang dilapikkan dengan aluminium foil. Letakkan ayam dan ratakan lagi baki bahan gaul.
5. Bungkus kemas dan bakar di atas kuali selama 20 minit dengan api sederhana.

ASAM PEDAS KELAPA BAKAR
.

BAHAN-BAHAN
2 keping ikan tenggiri
3 tangkai daun kesum
4 sudu besar kerisik
1 liter air asam jawa
4 tangkai bendi
Garam secukup rasa
Minyak masak (untuk menggoreng dan menumis)
Kepingan kelapa (dibakar atas api seketika)

BAHAN A
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
15 tangkai cili kering

BAHAN B
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
3 inci halia
1/2 sudu kecil serbuk lada hitam

CARA MEMBUAT
1. Ikan digoreng terlebih dahulu. Ketepikan.
2. Panaskan minyak masak dalam periuk. Bahan A ditumis sehingga separuh garing. Masukkan air asam. Biarkan mendidih.
2. Setelah mendidih, masukkan ikan yang sudah digoreng tadi, kelapa bakar, daun kesum dan bendi.
3. Panaskan kuali, tumis bahan B dengan kerisik sehingga garing. Campurkan ke dalam periuk. Masukkan garam. Biarkan 2 minit sebelum matikan api.
4. Sedia dihidang.

 

AYAM GORENG PEDAS CENCALOK
.

BAHAN GORENG
Minyak masak
8 biji bawang merah (hiris halus)
3 ulas bawang putih (hiris halus)

BAHAN KISAR
8 biji bawang merah (kisar)
2 cm kunyit hidup (kisar)
3 batang serai (kisar)

BAHAN LAIN
500 gram ayam (potong kecil)
1/2 cawan cencalok (toskan airnya)
3 helai daun limau purut
1/2 cawan jus asam jawa
1 cawan air
2 biji cili merah (hiris)
2 biji cili hijau (hiris)
1 sudu kecil gula
3 biji limau kasturi (perah jusnya)

CARA MEMBUAT
1. Panaskan minyak masak. Goreng hirisan bawang merah dan bawang putih. Angkat dan toskan.
2. Dalam kuali lain, panaskan minyak masak dan tumis bahan kisar.
3. Masukkan ayam, cencalok dan daun limau purut. Gaul rata.
4. Masukkan air asam dan air. Biarkan mendidih.
5. Masukkan bawang merah dan bawang putih yang sudah digoreng tadi dan juga hirisan cili merah serta cili hijau. Kacau rata.
6. Perlahankan api. Masak sehingga pekat. Akhir sekali masukkan gula dan jus limau kasturi. Kacau sekejap dan angkat. Sedia dihidang.

 

SAMBAL TEMPOYAK DAUN KAYU
.

BAHAN-BAHAN
1/2 cekak pucuk ubi
1 helai daun kunyit
2 papan petai
1 ikat pucuk labu
10 helai daun kaduk
1 genggam ikan bilis
1/2 cawan tempoyak
2 biji kelapa parut (perah santannya)
Garam dan gula secukupnya

BAHAN KISAR
20 biji cili padi
2 inci kunyit hidup
5 batang serai

CARA MEMBUAT
1. Siang pucuk ubi. Daun kunyit dibuang tulang tengahnya. Ambil isi petai.
2. Pucuk ubi, daun kunyit, pucuk labu, daun kaduk dimayang macam bunga rampai. Cuci dan toskan dalam tapis. Biarkan kering.
3. Isi petai dihiris nipis. Ikan bilis ditumbuk sedikit. Ketepikan
4. Masukkan bahan kisar ke dalam kuali bersama tempoyak dan santan. Kacau rata. Hidupkan api sederhana. Biar mendidih.
5. Masukkan ulam yang sudah dimayang tadi. Masukkan juga petai dan ikan bilis.
6. Perasakan dengan garam dan gula. Kacau sekejap. Matikan api. Sedia dihidang.

BOTOK-BOTOK IKAN TENGGIRI
.

BAHAN KISAR
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
3 biji buah keras
1/2 inci kunyit hidup
2 batang serai
1/2 sudu kecil lada hitam

BAHAN REMPAH
1 sudu besar rempah beriani
1 sudu besar rempah kari ikan
1 1/2 sudu besar cili kisar
1/2 cawan pati santan
2 sudu besar kerisik
1 sudu kecil pes asam jawa
1 sudu besar gula melaka
Garam secukupnya

BAHAN ULAM (hiris)
Pucuk ubi
Daun pudina
Pucuk mengkudu
Daun kesum
Daun cekur
Daun kunyit

BAHAN LAIN
2 keping ikan tenggiri
Daun pisang secukupnya
Lidi sate secukupnya

CARA MEMBUAT REMPAH
1. Bancuh bahan kisar dengan rempah beriani dan rempah kari ikan. Kacau sehingga menjadi pes. Kalau perlu tambah sedikit air. Ketepikan.
2. Panaskan minyak masak dalam kuali, tumis cilis kisar. Masukkan pes rempah, kacau rata dan biar mendidih.
3. Masukkan santan, kerisik, asam jawa, gula melaka dan garam. Kacau lagi.
4. Kacau sampai naik minyak. Matikan api.

CARA MEMBUAT BOTOK-BOTOK
1. Panaskan pengukus. Ambil sehelai daun pisang. Bersihkan dan layurkan atas api. Lapikkan dalam pengukus.
2. Letak pucuk ubi. Sapu dengan pes rempah secukupnya. Letak sekeping ikan tenggiri.
3. Sapu lagi pes rempah atas ikan dan tabur hirisan daun pudina, mengkudu, kesum, cekur dan daun kunyit.
4. Bungkus kemas. Sematkan dengan lidi sate. Kukus sampai masak.

IKAN KELI SALAI MASAK LEMAK CILI API
.

BAHAN-BAHAN
1 1/2 cawan santan
1 helai daun kunyit
Garam
1 keping asam keping
2 ekor ikan keli salai

BAHAN TUMBUK
1 tangkai cili merah
5 tangkai cili padi
2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUAT
1. Basuh ikan dan toskan. Ketepikan. Masukkan bahan tumbuk ke dalam periuk dengan sedikit air supaya cili masak. Masukkan santan. Kacau rata supaya santan tidak berketul.
2. Masukkan daun kunyit, garam dan asam keping. Apabila mendidih, masukkan ikan keli dan kacau rata sehingga ikan masak. Sesuaikan rasa. Tutup api dan sedia dihidang.

BURASAK
.

BAHAN-BAHAN (untuk 10 orang)
1 kg beras wangi
1 biji kelapa (ambil santan)
Garam secukup rasa
Daun pucuk pisang berukuran A4
Daun pisang tua panjang lebih kurang 3 jengkal

CARA PENYEDIAAN
1. Basuh beras. Panaskan santan sehingga mendidih. Setelah mendidih kecilkan api.
2. Masukkan garam. Selepas santan berubah warna, padamkan api.
3. Tuang santan panas ke dalam beras sambil digaul. Biarkan beras lembap sedikit.
4. Ambil sedikit beras dan letakkan atas daun pisang. Bungkus macam bungkus lepat.

CARA MEMBUNGKUS
1. Susun lima bungkusan dan ikat dengan tali rafia. Mulakan balutan dari satu hujung ke hujung yang satu lagi.

CARA MEMASAK
1. Rebus burasak selama 3 jam. Setelah masak, angkat dan tos seperti merebus ketupat. Buka tali dan buangkan daun pisang tua. Selepas direbus biarkan sejuk dan sedia untuk dihidang.

LEPAT LUI
.

BAHAN-BAHAN
1 kg pulut
1 biji kelapa (ambil santan)
Garam secukup rasa
Daun pucuk pisang berukuran A4
Daun pisang tua panjang lebih kurang 3 jengkal

CARA MEMASAK
1. Basuh pulut. Panaskan santan sehingga mendidih. Setelah mendidih kecilkan api.
2. Masukkan garam. Selepas santan berubah warna, padamkan api.
3. Tuang santan panas ke dalam pulut sambil digaul. Biarkan pulut lembap sedikit.
4. Ambil sedikit pulut dan letakkan atas daun pisang. Bungkus dengan cara buat bentuk segitiga.

CARA MEMBUNGKUS
1. Susun tujuh bungkusan dan ikat dengan tali rafia. Mulakan balutan dari satu hujung ke hujung yang satu lagi.

CARA MEMASAK
1. Rebus lepat lui selama 3 jam. Setelah masak, angkat dan tos seperti merebus ketupat. Buka tali dan buangkan daun pisang tua. Selepas direbus biarkan sejuk dan sedia untuk dihidang.

ASAM PEDAS JOHOR
.

BAHAN-BAHAN
2 keping ikan tenggiri
3 tangkai daun kesum
1 liter air asam jawa
3 biji tomato
Garam secukup rasa
Minyak masak (untuk menggoreng dan menumis)

BAHAN A
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
15 tangkai cili kering
3 inci halia

CARA MEMBUAT
1. Panaskan minyak masak dalam periuk. Bahan A ditumis sehingga separuh garing. Masukkan air asam. Biarkan mendidih.
2. Setelah mendidih, masukkan ikan tenggiri, daun kesum dan tomato.
3. Masukkan garam. Biarkan 2 minit sebelum matikan api.
4. Sedia dihidang.

Selamat mencuba!

Resipi Oleh Rohayu Ramli

Published by
Maryam Elyas