14 Idea Masakan Harian Selera Kampung Yang Mudah & Cepat Disediakan. Pasti Pecah Selera.

Share

Bila setiap hari masak, ada kalanya kita akan buntu memikirkan menu. Jika asyik ulang lauk sama, naik jemu pula. Berikut adalah koleksi idea masakan kampung yang boleh anda cuba hasilkan sebagai sajian makan tengahari atau malam. Ringkas dan mudah. Selamat mencuba!

1. TUMIS KACANG PANJANG & KUPANG

BAHAN-BAHAN:

  • 10 tangkai kacang panjang | dipotong 3cm
  • 100gm isi kupang | dibersihkan
  • 1 biji bawang besar| dihiris
  • 2 biji cili merah | dihiris
  • 4 ulas bawang putih | dicencang
  • 1 sudu makan sos tiram
  • Air secukupnya
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan sedikit minyak masak di dalam kuali. Tumis bawang putih, bawang hiris dan cili     sehingga layu dan berbau wangi.
  2. Selepas itu masukkan sos tiram, sedikit air dan isi kupang. Kacau rata sehingga sebati.
  3. Masukkan kacang panjang dan garam secukup rasa. Kacau lagi sehingga rata.
  4. Biarkan kupang masak dan kacang panjang layu sedikit.
  5. Angkat dan sedia dihidangkan.

Info Chef: Jangan dimasak terlalu lama kerana kacang panjang akan lembik.

 

2. PERIA GORENG RANGUP

BAHAN-BAHAN:

  • 1 batang peria | dihiris bulat, dibuang biji dan dicuci
  • 1 sudu makan rempah kari
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
  • 4 sudu makan tepung beras
  • 1 sudu makan tepung jagung
  • 1 sudu teh serbuk cili
  • Garam secukup rasa
  • 1 sudu makan air
  • Minyak untuk menggoreng secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Rendam peria bersama 2 sudu garam dan gula. Kemudian tos dan keringkan.
  2. Masukkan peria yang telah dicuci ke dalam sebuah mangkuk.
  3. Masukkan kesemua bahan ke dalam mangkuk peria tadi kecuali air. Gaul semua bahan hingga rata dan sebati.
  4. Masukkan 1/2 sudu makan air dahulu dan gaul rata. Jika ia nampak masih agak kering masukkan 1/2 sudu makan air lagi. Pastikan tepung bersalut cantik pada peria.
  5. Panaskan minyak masak secukupnya di dalam kuali. Bila minyak sudah panas, masukkan peria sekeping demi sekeping dan jangan digoreng terlalu banyak pada sesuatu masa.
  6. Goreng peria hingga betul-betul garing. Angkat dan tos minyaknya.  Sedia dihidangkan.

Info Chef: Peria direndam di dalam air garam dan gula untuk mengurangkan rasa pahitnya. Selain itu jika ingin peria digoreng cantik, gunakan kuali tanpa lekat.

 

3. GULAI ITIK SERATI

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor itik serati  | direbus dan dibersihkan
  • Rempah 4 sekawan secukupnya (kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga)
  • 1 keping gula melaka
  • 1 sudu makan jus asam jawa
  • 500ml santan pekat
  • 5 sudu makan rempah kerutuk | dibancuh dengan sedikit air
  • 5 sudu makan minyak masak
  • Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR :

  • 15 biji bawang merah
  • 8 ulas bawang putih
  • 5cm halia

CARA MEMASAK:

  1. Panas minyak masak di dalam kuali. Tumis rempah 4 sekawan dan bahan kisar. Kacau rata sehingga wangi.
  2. Selepas itu masukkan rempah kerutuk. Kacau seketika.
  3. Masukkan santan masak sehingga mendidih sambil dikacau.
  4. Selepas itu masukkan gula melaka, gula dan garam secukup rasa. Kacau lagi. Selepas itu, masukkan jus asam jawa dan itik serati yang telah dicelur.
  5. Masak seketika dan bolehlah dihidangkan.

Info Chef: Itik serati direbus dahulu agar isinya lebih lembut.

 

4. IKAN PARI AIR ASAM

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ikan pari | direbus dengan asam keping dan sedikit garam

AIR ASAM:

  • 1 biji bawang besar | dipotong dadu
  • 1 biji tomato segar | dipotong dadu
  • 10 biji cili api | dihiris halus
  • 2 tangkai cili merah
  • 2.5cm belacan
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa
  • 1 sudu makan sos cili
  • 500ml bancuhan air asam jawa

CARA MEMASAK:

  1. Tumbuk cili merah bersama belacan, gula dan garam secukup rasa.
  2. Masukkan bancuhan air asam jawa ke dalam bekas bersama bahan-bahan yang ditumbuk tadi. Gaul rata.
  3. Masukkan bawang besar, tomato dan cili api yang dipotong tadi. Gaul sebati.
  4. Letakkan ikan pari ke dalam pinggan dan curahkan air asam jawa ke atasnya.
  5. Sedia dihidangkan.

Info Chef: Selain direbus, ikan pari boleh juga dikukus agar ia tidak pecah.

 

5. SAMBAL TUMIS PETAI

BAHAN-BAHAN:

  • 5 keping petai |dihiris nipis termasuk kulitnya
  • 1 biji kelapa |diambil santannya
  • 5 tangkai cili kering |dikisar
  • 5 biji cili padi |dikisar
  • 2 biji bawang besar |dikisar
  • 3 ulas bawang putih |dikisar
  • 10gm belacan |dikisar
  • Air secukupnya
  • Sedikit asam keping
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Hiris petai bersama kulitnya sekali dan rendamkan seketika di dalam air. Toskan.
  2. Satukan bahan kisar bersama petai dan biarkan petai empuk seketika.
  3. Masukkan santan bersama asam keping. Kacau rata.
  4. Perasakan dengan garam secukup rasa dan biarkan kuahnya pekat seketika.
  5. Angkat dan hidangkan.

Info Chef: Jika suka anda boleh juga meletakkan sedikit udang segar ke dalam kuahnya untuk lebih menaikkan rasanya.

 

6. ASAM PEDAS IKAN KEMBUNG

BAHAN-BAHAN:

  • 3 ekor ikan kembung
  • 10 tangkai cili kering |dikisar
  • 4 biji bawang merah |dikisar
  • 2 ulas bawang putih |dikisar
  • 1sm kunyit hidup |dikisar
  • 1sm halia |dikisar
  • 1sm lengkuas |dikisar
  • 1 sudu makan pati asam jawa
  • 3 biji kacang bendi
  • 500ml air
  • Daun kesum secukupnya
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Tumiskan bahan kisar hingga naik minyaknya.
  2. Masukkan sedikit air bersama air asam jawa. Biarkan mendidih.
  3. Kemudian masukkan ikan bersama garam, daun kesum serta kacang bendi.
  4. Didihkan hingga kuahnya sedikit pekat dan berminyak.
  5. Angkat dan hidangkan.

Info chef: Selain kembung, boleh juga menggunakan ikan kegemaran anda yang lain.

 

7. AYAM GORENG BEREMPAH

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ayam | dipotong 12
  • 5 biji bawang merah } dikisar halus
  • 3 ulas bawang putih } dikisar halus
  • 1 tangkai daun kari
  • 4 sudu makan cili kisar
  • 2 sudu makan serbuk kari
  • 2 sudu makan serbuk kunyit
  • 2 sudu makan serbuk ketumbar
  • 2 sudu makan serbuk jintan putih
  • 1 sudu makan serbuk jintan manis
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menggoreng

CARA MEMASAK:

  1. Ayam dibasuh bersih dan tos.
  2. Kemudian perap ayam bersama bahan-bahan lain selama sejam.
  3. Panaskan minyak dan goreng ayam sehingga garing. Angkat dan tos.
  4. Sedia dihidangkan.

Info Chef:  Sebaiknya gunakan bahan rempah seperti ketumbar, jintan manis dan jintan putih yang asli. Ia perlu disangai dan ditumbuk halus. Rempah-rempah ini mempunyai tekstur sedikit kasar dan menjadikan ayam goreng berempah lebih rangup dan enak rasanya.

 

8. SAMBAL CILI PADI POWER

BAHAN-BAHAN:

  • 20 tangkai cili padi hijau | ditumbuk lumat
  • 1 labu bawang besar | dipotong bulat
  • 4 ulas bawang putih | di mayang
  • 1 keping asam keping
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, tumis bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau.
  2. Kemudian masukkan cili padi yang ditumbuk tadi. Kacau rata dengan api perlahan.
  3. Setelah itu masukkan garam dan gula. Seimbangkan rasanya.
  4. Akhir sekali, masukkan asam keping dan biarkan sambal masak sempurna.

Info Chef:  Asam keping dimasukkan di akhir tumisan untuk menyeimbangkan rasa pedas. Tidak perlu dimasukkan asam keping yang banyak kerana ia akan menyebabkan rasa sambal masam.  

 

9. DAGING HITAM MANIS

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg daging | dipotong dadu
  • 5 sudu makan kerisik
  • Minyak untuk menumis

BAHAN PERAPAN:

  • 2 biji bawang besar | saiz sederhana } dikisar halus
  • 5 ulas bawang putih } dikisar halus
  • 3 batang serai } dikisar halus
  • 2 sudu makan ketumbar }dikisar halus
  • 1 sudu makan jintan putih } disangai dan ditumbuk halus
  • ½ sudu makan jintan manis } disangai dan ditumbuk halus
  • 1 sudu makan biji lada hitam
  • Sos tiram secukupnya
  • Kicap manis secukupnya
  • Gula secukup rasa

BAHAN TUMIS:

  • 1 batang kulit kayu manis
  • 5 biji buah pelaga
  • 3 biji bunga lawang

CARA MEMASAK:

  1. Daging yang telah dipotong digaul sebati dengan bahan perapan. Biarkan selama sejam.
  2. Kemudian panaskan minyak , tumis kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang sehingga naik bau.
  3. Setelah itu masukkan daging yang telah diperap bersama jusnya dan dikacau rata.
  4. Tambahkan air jika daging masih belum empuk.  Biarkan mendidih.
  5. Apabila daging sudah empuk, masukkan kerisik untuk memekatkan kuah. Kacau rata dan tutup api.
  6. Hiaskan dengan hirisan cili padi dan sedia dihidangkan.

Info Chef:  Tidak perlu dimasukkan garam kerana daging sudah diperap bersama sos tiram. Jus daging yang telah diperap hendaklah dididihkan sekali dengan daging kerana ia memberikan perisa yang enak pada masakan ini.

 

10. TELUR BUNGKUS AYAM TIRAM

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm daging ayam hancur
  • 100gm sayur campur
  • 3 ulas bawang putih | dicincang
  • 200ml sos tiram
  • Minyak untuk menumis secukupnya

BAHAN TELUR ( DIPUKUL BERSAMA):

  • 4 biji telur
  • 1 sudu teh tepung jagung

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak di dalam kuali, tumis bawang putih sehingga naik bau.
  2. Masukkan ayam dan sayur campur. Kacau dan masak sehingga kering.
  3. Kemudian, tuangkan sos tiram dan kacau sebati. Biarkan mendidih seketika dan padamkan api.
  4. Panaskan minyak di dalam satu lagi kuali, dadarkan telur dengan lebar yang sesuai.
  5. Sudukan ayam yang telah dimasak secukupnya dan bungkus telur dengan kemas.
  6. Angkat dan hidangkan panas-panas.

Info Chef: Kuali cembung (wok) digunakan untuk mendadar telur supaya ayam tiram mudah dibungkus.

 

11. AYAM PANGGANG BERSOS KELAPA BAKAR

BAHAN-BAHAN:

  • 5 ketul ayam
  • 3 biji bawang merah }ditumbuk halus
  • 2 ulas bawang putih } ditumbuk halus
  • 1sm halia }ditumbuk halus
  • Garam serbuk lada hitam  secukup rasa

Bahan Sos:

  • 1/2 isi kelapa tua | dicencang kecil dan dibakar dalam ketuhar sehingga keperang-perangan lalu dikisar
  • 1 biji bawang besar } dikisar bersama sehingga halus
  • 3 ulas bawang putih } dikisar bersama sehingga halus
  • 2 ulas buah keras } dikisar bersama sehingga halus
  • 1 batang serai } dikisar bersama sehingga halus
  • 1sm belacan  } dikisar bersama sehingga halus
  • 2 sudu makan kacang tanah goreng } dikisar bersama sehingga halus
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menumis secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Satukan ayam bersama bahan lain. Gaul dan perap seketika.
  2. Panggang ayam sehingga masak di atas bara api. Ketepikan.
  3. Panaskan minyak di dalam kuali, tumis kesemua bahan kisar sehingga garing dan pecah minyak. Tambahkan air jika perlu.
  4. Setelah itu, masukkan kelapa bakar yang dikisar. Biarkan mendidih dan kacau sebati. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  5. Akhir sekali, masukkan ayam yang telah dipanggang. Kacau mesra dan padam api.
  6. Hidangkan sementara panas.

Info Chef: Ayam juga boleh dipanggang menggunakan kuali leper dengan api perlahan sehingga masak.

 

12. ASAM PEDAS IKAN SALMON

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ikan salmon bersaiz kecil | dipotong
  • 4 ulas bawang merah | ditumbuk
  • 3 ulas bawang putih | ditumbuk
  • 1 batang serai |dititik
  • 4 batang daun kesum
  • 1 bunga kantan | dipotong dua
  • 4 biji bendi
  • 4 sudu besar cili kering kisar
  • 1 ½ mangkuk air
  • Garam
  • Gula
  • Sedikit belacan
  • Minyak masak | untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan sedikit minyak dan masukkan cili kering kisar, bawang merah, bawang putih dan belacan. Tumis sehingga naik bau.
  2. Kemudian masukkan serai dan air asam jawa. Kacau seketika dan biarkan mendidih.
  3. Masukkan ikan, bendi, daun kesum dan juga bunga kantan. Tambahkan air sedikit demi sedikit mengikut kepekatan yang anda suka. Biarkan mendidih sekali lagi.
  4. Akhir sekali, masukkan garam dan gula mengikut cita rasa anda. Sedia untuk dihidangkan.

Info Chef:  Untuk menghilangkan bau hanyir ikan salmon,basuh dan rendamkan di dalam air yang dicampurkan jus lemon selama 10 minit lalu dibilas dengan air biasa.

13. KERABU KAKI AYAM

BAHAN-BAHAN:

  • 8 ketul kaki ayam
  • 1/2 biji bawang besar | di mayang
  • 5 biji cili api hijau | dipotong
  • 2 biji cili merah | dihiris halus
  • 1 batang serai | dihiris halus
  • 2 biji limau nipis | diambil jusnya
  • 3 sudu makan sos ikan
  • 1 pokok daun sup| dihiris halus
  • Gula & garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan kaki ayam ke dalam periuk bersama sedikit garam dan air. Rebus sehingga empuk.
  2. Setelah kaki ayam betul-betul empuk, tos dan pisahkan isi dari tulangnya.
  3. Masukkan kesemua bahan ke dalam mangkuk. Gaul rata.
  4. Sesuaikan rasanya dan sedia untuk dihidangkan.

Info Chef: Pastikan ayam yang direbus ditos terlebih dahulu sebelum digaulkan bersama bahan kerabu. Ini membuatkan kerabu lebih tahan lama.

 

14. BENDI GORENG BERLADA

BAHAN A:

  • 10 biji sayur bendi
  • 5 biji cili merah | ditumbuk
  • 3 biji bawang merah | ditumbuk
  • 1 ulas bawang putih | ditumbuk
  • 2 sudu besar udang kering
  • Sedikit air
  • Sedikit minyak untuk menumis
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Bersihkan bendi dan potong serong.
  2. Panaskan minyak masak dan tumis bahan-bahan yang ditumbuk tadi  bersama udang kering sehingga naik bau.
  3. Seterusnya masukkan sayur bendi bersama sedikit air. Kacau hingga rata dan tutup kuali seketika.
  4. Apabila bendi telah lembut, matikan api dan perasakan dengan sedikit garam.
  5. Sedia untuk dihidangkan.

 Info Chef: Untuk rasa lebih pedas, boleh menggunakan cili padi yang ditumbuk bersama cili merah.

 

 

 

 

Published by
Nur