Menikmati manisan di akhir hidangan seolah-olah satu pelengkap yang memuaskan. Sebab itu, kebiasaannya hidangan pemanis mulut seperti aneka bubur dan pengat manis sering menjadi pilihan ramai pada akhir hidangan termasuklah ketika berbuka puasa bersama keluarga tersayang. Apa kata anda cuba aneka bubur dan pengat yang mudah disediakan ini. Buat sendiri lebih jimat dan dijamin bersih. Jom cuba!

 

1. BUBUR BARLI DAN KELEDEK

15 Resipi Bubur & Pengat Sedap Untuk Berbuka & Moreh.

BAHAN-BAHAN:

  • 100gm barli  
  • 200gm keledek yang dipotong dadu
  • 250gm gula pasir atau secukup rasa
  • 250gm santan
  • 600gm air
  • 1 helai daun pandan
  • 1/2 sudu teh garam

CARA MEMASAK:

  1. Rebus barli dan keledek hingga kembang dan empuk.  Setelah empuk masukkan gula, garam dan daun pandan.  Kacau sebentar kemudian masukkan santan pekat.
  2. Apabila kuah telah menggeleggak dan agak pekat, tutup api dan sedia untuk dihidang.

 

2. BUBUR ANEKA UBI

15 Resipi Bubur & Pengat Sedap Untuk Berbuka & Moreh.

BAHAN-BAHAN:

  • 50gm keledek berwarna oren yang dipotong dadu
  • 50gm ubi keledek kuning yang dipotong dadu
  • 50gm ubi kayu yang dipotong dadu
  • 50gm ubi keladi yang dipotong dadu
  • 250gm gula pasir atau secukup rasa
  • 250gm santan
  • 650gm air
  • 1 helai daun pandan | simpul
  • 1/2 sudu teh garam

CARA MEMASAK:

  1. Rebus keledek, ubi kayu dan keladi hingga kembang dan empuk.  
  2. Setelah empuk masukkan gula, garam dan daun pandan.  Kacau sebentar, kemudian masukkan santan pekat.
  3. Apabila kuah telah menggelegak dan agak pekat, tutup api dan sedia untuk dihidang.

 

3. BUBUR BUTIR NANGKA

15 Resipi Bubur & Pengat Sedap Untuk Berbuka & Moreh.

BAHAN-BAHAN:

  • 100gm tepung pulut
  • 1-2 titis pewarna merah
  • 1-2 titis pewarna hijau
  • 1-2 titis pewarna kuning
  • 250gm gula pasir atau secukup rasa
  • 250gm santan
  • 400gm air | kuah santan
  • 600gm air | untuk rebus butir nangka
  • 1 helai daun pandan |simpul
  • 1/2 sudu teh garam

CARA MEMASAK:

  1. Jerang air di dalam periuk hingga menggelegak.  
  2. Untuk membuat butir nangka; gaulkan tepung pulut bersama garam dan sedikit air. Gaul hingga menjadi seperti doh.  Bahagikan kepada tiga bahagian dan titiskan pewarna kepada setiap bahagian.  Gaul hingga warna sekata dan bentuk seperti butir nangka.
  3. Masukkan butir-butir nangka tadi ke dalam air yg telah menggelegak.  Tunggu sehingga butir nangka itu timbul barulah diangkat.  Redam butir nangka yang telah masak di dalam air sejuk supaya tidak melekat. Ketepikan.
  4. Untuk kuahnya pula; rebus air sebanyak 400gm hingga menggelegak. Kemudian masukkan butir nangka, gula, garam dan daun pandan.  Kacau sebentar kemudian masukkan santan pekat.  
  5. Apabila kuah telah menggeleggak  dan agak pekat, tutup api dan sedia untuk dihidang.

 

4. PENGAT PISANG CAMPUR MI SIPUT

15 Resipi Bubur & Pengat Sedap Untuk Berbuka & Moreh.

BAHAN-BAHAN:

  • 2 biji pisang nangka | bentuk bunga
  • 1 keping mi siput 
  • 100gm gula pasir atau secukup rasa
  • 50gm gula merah/melaka
  • 250gm santan
  • 650gm air
  • 1 helai daun pandan
  • 1/2 sudu teh garam

CARA MEMASAK:

  1. Rebus mi siput sehingga agak kembang, kemudian masukkan pisang.
  2. Biar ia mereneh sebentar kemudian masukkan gula, gula merah/Melaka, garam dan daun pandan.  Kacau sebentar kemudian masukkan santan pekat. 
  3. Apabila kuah telah menggelegak dan agak pekat, tutup api dan sedia untuk dihidang.

 

5. PENGAT KELADI, PISANG & KELEDEK

15 Resipi Bubur & Pengat Sedap Untuk Berbuka & Moreh.

BAHAN-BAHAN:

  • 2 biji pisang nangka | dibentuk bunga
  • 100gm keladi |potong dadu sebesar lebih kurang 2cm x 2cm
  • 100gm keledek |potong dadu lebih kurang 2cm x 2cm
  • 100gm gula pasir atau secukup rasa
  • 50gm gula merah/melaka
  • 250gm santan
  • 650gm air
  • 1 helai daun pandan |simpul
  • 1/2 sudu teh garam

CARA MEMASAK:

  1. Rebus keladi dan keledek sehingga empuk, kemudian masukkan pisang.  
  2. Masaklah sebentar kemudian masukkan gula, gula merah/Melaka, garam dan daun pandan. 
  3. Kacau sebentar kemudian masukkan santan pekat. Apabila kuah telah menggelegak  dan agak pekat, tutup api dan sedia untuk dihidang.

 

IKLAN

6. BUBUR ANAK LEBAH

15 Resipi Bubur & Pengat Sedap Untuk Berbuka & Moreh.

BAHAN-BAHAN:

  • 100gm tepung gandum
  • 100gm pulut | rendam selama 1 jam, tos airnya
  • 1-2 titis pewarna hijau
  • 1-2 titis pewarna merah
  • 100gm gula pasir atau secukup rasa
  • 250gm santan
  • 600gm air
  • 1 helai daun pandan | simpul
  • 1 sudu sudu teh garam

CARA MEMASAK:

  1. Jerang air di dalam periuk hingga menggelegak.
  2. Sementara itu, untuk membuat anak lebah; gaulkan tepung gandum bersama garam dan sedikit air. Gaul hingga menjadi seperti doh.
  3. Cubit sedikit doh tadi dan gentel-gentel masukkan ke dalam air yang telah menggelegak.  Buatlah sehingga habis.
  4. Tunggu sehingga tepung itu timbul dan terapung di permukaan air. Setelah itu masukkan gula, 1/2 sudu teh garam dan daun pandan.  Kacau sebentar kemudian masukkan santan pekat.  Apabila kuah telah menggeleggak dan agak pekat, tutup api. Ketepikan.
  5. Gaulkan garam pada pulut kemudian bahagikan kepada dua bahagian.Titiskan pewarna merah dan hijau. Gaulkan rata dan kukus sehinga pulut masak.  Apabila sejuk bolehlah dibentuk dan dicurahkkan sekali bersama kuah santan yang telah dimasak tadi.
  6. Sedia untuk dihidangkan.

 

7. BUBUR BUAH DELIMA

15 Resipi Bubur & Pengat Sedap Untuk Berbuka & Moreh.

BAHAN-BAHAN:

  • 100gm biji buah delima
  • 250gm santan pekat
  • 450gm air
  • 100gm gula atau secukup rasa
  • 1 1/2 sudu teh tepung jagung
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 helai daun pandan | simpul

CARA MEMASAK:

  1. Jerang air sehingga mendidih, masukkan biji delima, masaklah sehingga biji delima timbul.  Angkat dan disejukkan. Ketepikan.’
  2. Di dalam periuk satukan santan, air, gula, garam, tepung jagung dan daun pandan. Kacau sehingga sebati kemudian hidupkan api.  Kacau senantiasa sehingga kuah agak memekat, tutupkan api.
  3. Setelah itu bolehlah dihidangkan dengan meletakkan santan dahulu di dalam bekas bubur kemudian barulah diletakkan biji delima utnuk mendapatkan rupa yang menarik.

 

8. BUBUR SOM-SOM

15 Resipi Bubur & Pengat Sedap Untuk Berbuka & Moreh.

BAHAN-BAHAN:

  • 100gm tepung beras
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 1/2 cawan air
  • 50gm gula merah/melaka
  • 50gm gula pasir

CARA MEMASAK:

  1. Di dalam periuk, renehkan air bersama gula melaka dan gula pasir sehingga agak pekat. Ketepikan.
  2. Di dalam kuali kacau tepung beras, santan, air dan garam. Kacau hingga sebati dan beras tidak berketul.
  3. Kemudian hidupkan api, kacau hingga tepung menjadi kental. Masukkan ke dalam acuan yang sesuai untuk membentuknya, apabila sejuk bolehlah dihidangkan bersama air gula.

 

9. PENGAT KELEDEK UNGU 

15 Resipi Bubur & Pengat Sedap Untuk Berbuka & Moreh.

BAHAN-BAHAN:

IKLAN
  • 400gm keledek ungu |potong dadu lebih kurang 2cm x 2cm
  • 100gm gula pasir atau secukup rasa
  • 50gm gula merah/melaka
  • 250gm santan
  • 600gm air
  • 1 helai daun pandan | simpul
  • 1/2 sudu teh garam

CARA MEMASAK:

  1. Rebus keledek sehingga empuk, kemudian masukkan gula, gula merah/melaka, garam dan daun pandan. 
  2. Kacau sebentar kemudian masukkan santan pekat.  Apabila kuah telah menggelegak  dan agak pekat, tutup api dan sedia untuk dihidang.

 

10. BUBUR JAGUNG DAN KACANG MERAH

15 Resipi Bubur & Pengat Sedap Untuk Berbuka & Moreh.

BAHAN-BAHAN:

  • 1 tongkol jagung manis | dihiris
  • 100gm kacangf merah @ kidney beans |rebus hingga empuk
  • 100gm gula pasir atau secukup rasa
  • 250gm santan
  • 400gm air
  • 1 helai daun pandan | simpul
  • 1/2 sudu teh garam

CARA  MEMASAK:

  1. Rebus rebus biji jagung lebih kurang 15 minit untuk mengeluarkan rasa jagung, kemudian masukkan kidney beans yang telah direbus  sebentar. 
  2. Setelah itu masukkan gula, garam dan daun pandan.  Kacau sebentar kemudian masukkan santan pekat.
  3. Apabila kuah telah menggeleggak  dan agak pekat, tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

 

11. BUBUR BEBOLA PULUT BERSAGU BERSAMA KELADI

15 Resipi Bubur & Pengat Sedap Untuk Berbuka & Moreh.

BAHAN BEBOLA PULUT:

  • 100gm tepung pulut 
  • 50gm kelapa parut
  • 30gm gula merah/melaka
  • Sedikit air 
  • Garam secukup rasa
  • 1 sudu makan minyak masak 
  • 1 sudu teh tepung jagung

BAHAN UNTUK DOH:

  • 1 helai daun pandan
  • 100gm keladi yang dipotong dadu serta direbus
  •  1/2 sudu teh garam

UNTUK KUAH:

  • 250gm santan pekat
  • 100gm gula pasir
  • 50gm sagu mata ikan yang telah dibasuh dan ditoskan airnya
  • 650ml air untuk merebus

CARA MEMASAK:

  1. Untuk membuat  inti kelapa;  Campurkan kelapa parut, minyak masak, air sebanyak satu cawan, gula merah/melaka, daun pandan dan tepung jagung di dalam  kuali dan kacau.  Kemudian hidupkan api masaklah sehingga kering. Sejukkan dan ketepikan.
  2. Untuk membuat doh; Di dalam periuk, jerang air bersama daun pandan sehingga mendidih.  Kemudian gaulkan tepung pulut bersama 1/2 sudu teh garam dan sedikit air. Bancuh sehingga tidak melekat pada tangan dan boleh membentuk doh.  
  3. Ambil secubit tepung pulut sebesar duit syiling 0.50 sen, bentukkan bulat dan leperkan. Masukkan inti kelapa yang telah disejukkan tadi, bentukkan bulat semula.
  4. Didihkan air di dalam periuk, kemudian masukkan bebola pulut tersebut ke dalam air yang mendidih. Masak sehingga bebola pulut timbul di permukaan. Buatlah sehingga habis ke semua adunan tadi.
  5. Untuk membuat kuah; Satukan keladi, gula, garam, santan pekat dan sagu mata ikan dalam satu periuk. Masaklah sehingga kuah agak memekat.
  6. Siap untuk dihidangkan.

 

12. BUBUR LABU DAN CHA-CHA

15 Resipi Bubur & Pengat Sedap Untuk Berbuka & Moreh.

BAHAN-BAHAN:

IKLAN
  • 100gm cha-cha
  • 100gm labu  yang telah dipotong 
  • 100gm gula pasir atau secukup rasa
  • 50gm gula merah/melaka
  • 250gm santan
  • 600am air
  • 1 helai daun pandan
  • 2 sudu makan sagu mata ikan | basuh dan toskan air
  • 1/2 sudu teh garam

CARA MEMASAK:

  1. Rebus cha-cha sehingga agak kembang, kemudian masukkan labu. Masaklah sehingga empuk. 
  2. Setelah empuk masukkan sagu, gula, gula merah, garam dan daun pandan.  Kacau sebentar kemudian masukkan santan pekat. 
  3. Apabila kuah telah menggelegak dan agak pekat, tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

 

13. BUBUR CANDIL

15 Resipi Bubur & Pengat Sedap Untuk Berbuka & Moreh.

BAHAN-BAHAN:

UNTUK DOH:

  • 100gm tepung ubi kayu |untuk doh
  • 1 cawan air |untuk doh
  • 1-2 titis pewarna merah
  • 1-2 titis pewarna hijau
  • 1-2 titis pewarna ungu
  • 1 sudu teh air kapur
  • 1 1/2 sudu teh garam

UNTUK KUAH:

  • 250gm santan pekat
  • 100gm gula pasir
  • 50gm gula merah/melaka
  • 1 sudu makan tepung ubi |untuk kuah
  • 1 helai daun pandan |simpul
  • Sedikit garam
  • 600ml air untuk merebus

CARA MEMASAK:

  1. Di dalam periuk, jerang air bersama daun pandan sehingga mendidih. Ketepikan.
  2. Untuk membentuk doh; gaulkan tepung ubi bersama 1/2 teh garam, air kapur dan sedikit air sehingga membentuk doh.
  3. Bahagikan kepada tiga bahagian dan titiskan pewarna uli sehingga warna sekata, bentukkan bulat-bulat.
  4. Kemudian masukkan ke dalam air yang mendidih. Masak sehingga doh timbul di permukaan. Tutupkan api. Ketepikan.
  5. Untuk membuat kuah; Gaulkan gula merah/melaka, tepung ubi bersama 1 cawan air sehingga sekata, kemudian masukkan ke dalam periuk candil tadi.  Masaklah sehingga kuah agak pekat. 
  6. Untuk menghidang, curahkan santan pekat yang telah digaulkan bersama garam.   

 

14. ASAM GUMPAL

15 Resipi Bubur & Pengat Sedap Untuk Berbuka & Moreh.

BAHAN INTI ASAM GUMPAL:

  • 100gm kacang hijau 
  • 1 keping gula melaka
  • 1 liter air

BAHAN SAGU MATA IKAN:

  • 100gm biji sagu 
  • 2 1/2 cawan air suam

BAHAN UNTUK KUAH:

  • 250gm santan pekat
  • 2 cm halia yang dihiris halus
  • 1/2 sudu teh halba
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 biji bawang merah yang dihiris

CARA MEMASAK:

  1. Untuk membuat inti; Rebus kacang hijau hingga empuk masukkan gula melaka masaklah sehingga menjadi pes kacang hijau. Ketepikan.
  2. Seterusnya gaulkan sagu mata ikan bersama 1/2 cawan air suam, bentukkan sagu mata ikan di tapak tangan. Masukkan inti dan bentukkan bulat.  Buatlah sehingga selesai. Kukus selama 20-30 minit atau sehingga masak.
  3. Untuk kuahnya; Di dalam periuk masaklah santan bersama  dua cawan air, halba, halia, bawang merah  dan garam. Apabila mendidih masukkan asam gumpal yang telah dikukus tadi.  Masaklah sehingga kuah agak memekat. 
  4. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.

 

15. BUBUR NANGKA BERSAGU DAN KELADI

15 Resipi Bubur & Pengat Sedap Untuk Berbuka & Moreh.

BAHAN-BAHAN:

  • 200gm keledek |potong dadu
  • 200gm keladi |potong dadu
  • 4-5 biji isi nangka |carik kasar
  • 50gm sagu mata ikan |basuh dan ditoskan airnya
  • 250gm gula pasir atau secukup rasa
  • 250gm santan
  • 600gm air
  • 1 helai daun pandan
  • 1/2 sudu teh garam

CARA MEMASAK:

  1. Rebus keladi hingga empuk.  Setelah empuk masukkan gula, garam dan daun pandan.  Kacau sebentar kemudian masukkan santan pekat.
  2. Apabila kuah telah menggelegak dan agak pekat, masukkan isi nangka dan kacau perlahan. Biar mereneh seketika dan tutup api.
  3. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.

 

 ANDA JUGA BOLEH CUBA:

Sedap & Tak Muak. Puding Roti Sos Kastard Ni Memang Best.

Cara Mudah Buat Cendol Homemade Sedap Guna Tepung Beras.

 

 

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI