Ayam, lauk paling digemari oleh anak-anak, selain mudah dimasak, ia juga boleh dipelbagaikan resipinya. Antara menu ayam yang menjadi kegemaran ramai adalah ayam yang dimasak ‘sambal’. Sesuai di penghujung Ramadan ini, bangkitkan selera seisi keluarga dengan tiga menu sembal ayam yang berbeza, tapi hasilnya gerenti sedap hingga menjilat jari.

3 Resipi Ayam Sambal Ni, Sedap Sampai Menjilat Jari.

AYAM SAMBAL MINANG

BAHAN-BAHAN:

  • 1 kg ayam | potong sederhana
  • 500ml santan pekat
  • 2 sudu makan kerisik
  • 6 helai daun limau purut
  • 4 batang serai | titik
  • 1 keping asam gelugor
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya untuk menumis

BAHAN KISAR:

  • 3 biji bawang besar | hiris
  • 5 ulas bawang putih
  • 5 biji cili merah
  • 10 tangkai cili kering | rebus
  • 5 biji buah keras
  • 3cm lengkuas
  • 2cm halia
  • 3cm kunyit hidup

CARA MEMASAK:

IKLAN
  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumiskan bahan kisar bersama serai dan daun limau purut.
  2. Setelah timbul minyak dan wangi, masukkan ayam, kacau rata dan tutup seketika kuali.
  3. Selepas 2-3 minit buka penutup dan kacau rata lagi.
  4. Biarkan mereneh atas api sederhana hingga air ayam kering.
  5. Masukkan santan dan asam gelugor.
  6. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  7. Setelah kuah pekat, masukkan kerisik dan kacau lagi.
  8. Kecilkan api, biarkan ia mereneh lebih kurang lima minit lagi.
  9. Tutup api dan rendang sedia dihidangkan.

3 Resipi Ayam Sambal Ni, Sedap Sampai Menjilat Jari.

AYAM SAMBAL DAUN LIMAU PURUT

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg ayam | potong sederhana dan bersihkan
  • 1 biji limau nipis | ambil airnya sahaja
  • 5 helai daun limau purut | hiris halus
  • 1 batang serai titik
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak masak untuk menggoreng dan menumis

BAHAN KISAR:

IKLAN
  • 1 biji bawang besar
  • 4 ulas bawang putih
  • 3 biji cili merah
  • 10 tangkai cili kering | rebus

CARA MEMASAK:

  1. Gaulkan ayam bersama sedikit garam halus dan serbuk kunyit. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak, goreng ayam separuh masak. Angkat dan ketepikan.
  3. Keluarkan minyak, tinggal sedikit untuk menumis.
  4. Tumiskan bahan kisar bersama serai dan hirisan daun limau purut hingga wangi.
  5. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi, gaul rata dan perasakan dengan garam, gula dan jus limau nipis tadi.
  6. Kecilkan api dan biarkan mereneh seketika.
  7. Tutup api dan ayam sambal sedia dihidangkan.

3 Resipi Ayam Sambal Ni, Sedap Sampai Menjilat Jari.

AYAM SAMBAL HIJAU

IKLAN

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg ayam | potong sederhana
  • 1 biji limau nipis | ambil airnya
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya untuk menggoreng dan menumis

BAHAN KISAR:

  • 8 biji cili hijau
  • 10 biji cili padi hijau
  • 1 biji bawang besar
  • 3 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 2 batang serai

CARA MEMASAK:

  1. Gaulkan ayam dengan garam halus dan sedikit serbuk kunyit. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak, goreng ayam separuh masak. Angkat dan toskan.
  3. Keluarkan minyak, tinggal sedikit untuk menumis.
  4. Tumiskan bahan kisar hingga naik bau dan pecah minyak.
  5. Masukkan ayam,goreng tadi gaul rata.
  6. Perasakan dengan jus limau nipis, garam dan gula secukup rasa.
  7. Kecilkan api, renenhkan seketika baru tutup api.
  8. Sambal ayam sedia dihidangkan.

 

 

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI