Anda menghadapi masalah masakan dan kuih muih bersantan cepat basi? Sebenarnya masalah santan mudah basi ini adalah disebabkan oleh kualiti santan yang digunakan kurang baik, tidak segar dan diproses dengan cara tidak bersih. Tapi sekarang jangan bimbang lagi, ada tip dan petua mudah yang boleh membantu anda mengatasi masalah ini.
CARA ELAK SANTAN CEPAT BASI
1. PILIH KELAPA BARU
Untuk pastikan masakan bersantan lambat basi, pilihlah kelapa yang baru dikupas dari sabut, kelapa yang betul-betul tua dan isinya putih. PAstikan juga kelapa tersebut tidak berbau masam atau busuk. Jika anda membeli kelapa di kedai, minta pekedai belah kelapa baru supaya anda tidak terbeli kelapa yang kurang baik.
2. GUNA JENIS KELAPA YANG SESUAI
Jenis-jenis kelapa juga memainkan peranan yang penting dalam mengelakkan masakan cepat basi. Jika anda ingin membuat rendang, kari, opor dan gulai, sebaiknya pilih kelapa tua. Ini kerana kelapa yang cukup tua mengeluarkan santan yang bagus untuk masakan serta mempunyai kandungan minyak yang banyak. Jika ingin membuat inti, sebaiknya pilihlah kelapa yang lebih muda kerana rasanya yang lebih sedap serta lembut.
3. TEKNIK PERAH SANTAN
Teknik memerah santan juga menjadi sebab santan cepat basi. Jika anda menggunakan cara tradisional, kelapa hendaklah diparut ikut arah melintang. Namun jika anda membeli kelapa yang sudah siap diparut, pastikan ia diperah menggunakan air masak atau air bersih bagi memastikan santan tahan lebih lama bila disimpan.
4. CARA MENYIMPAN SANTAN
Sebaiknya apabila anda membeli santan segar dari kedai, segera simpannya dalam peti sejuk sebelum digunakan. Atau simpan dalam freezer jika belum sedia digunakan untuk beberapa hari. Sebenarnya santan boleh disimpan lama hingga tiga bulan, jika disimpan dalam freezer yang bertutup rapat. Cairkan pada suhu bilik sebelum menggunakannya.