Tiada yang lebih menggembirakan buat seorang chef, apabila makanan yang dihidangkan mendapat pujian. Terasa berbaloi keringat yang menitik itu. Setiap detik berlalu adalah pelajaran yang baharu buat mereka yang bergelar chef. Ini lah antara luahan yang dikongsi bersama Min.
Terasa suasana muhibbah dan persahabatan yang erat terjalin di antara empat chef berbilang bangsa dari hotel Royal Chulan KL ini. Chef Chew Nee Sian, Chef Ravi Kumar a/l Perumal Pillai, Chef Mohd Farhan Hamidon dan Chef Mohd Khalid Yaacob bila Min mengajak mereka bersembang mengenai kerjaya mereka.
Gandingan warga kerja lama dan baru adalah antara resipi kejayaan pekerjaan mereka.Di antara berempat ini Eksekutif Sous Chef, Chew Nee Sian
adalah orang yang paling lama pengalamannya dalam bidang masakan iaitu selama 30 tahun.Sebagai orang yang paling ‘senior’, Chef Chew tidak pernah lokek membantu dan berkongsi rahsia hidangan dengan chef generasi baru. Walaupun kerjayanya bermula di restoran Cina, kini dia bukan sahaja pakar dalam masakan ini tetapi juga mampu menguasai sajian Melayu tradisional dan barat.“Dari kecil hingga dewasa, saya tidak pernah merasai sajian Melayu. Tetapi apabila masuk ke dalam bidang ini semua jenis masakan perlu dikuasai dengan cepat. Budaya dan citarasa juadah ini juga penting untuk diserasikan.Saya kini boleh memasak 10 jenis rendang dan telah mencipta lebih daripada 100 resipi pelbagai hidangan, Yang penting dalam masak ini perlu ada ‘wow factor’dan perlu ada ikhlas. Kami bukan sekadar memasak tetapi cara persembahannya dan hiasan juga memerlukan kreativiti dan jiwa artis,” akuinya yang turut membimbing barisan 20 chef di hotel ini.
Buat Chef Ravi Kumar yang menggalas jawatan Master Butcher berpendapat kerjaya ini juga memerlukan dia untuk sentiasa membuat penyelidikan dan pembangunan (R & D). Mencuba menu baru dan bersedia mencuba melalui ‘try and error’. Beliau yang mempunyai pengalaman 15 tahun adalah pakar dalam pemprosesan dan masakan berasakan daging dan ‘seafood’.
Sehingga kini dia telah berjaya menghasilkan lebih 40 menu dan bahan perapan menggunakan fomulanya sendiri. Katanya, “Kelebihan chef ini ialah kami boleh membuat ‘food tasting’ dan boleh memberi komen untuk melazatkan lagi makanan. Setiap kali menerima tugasan untuk kerabat diraja dan orang kenamaan, kami akan juga menyediakan pelbagai juadah untuk pelanggan kehormat ini memilih menu sendiri melalui ‘food tasting’ ini. Tidak menerima sebarang ‘complaint’ atau aduan ketidakpuasan juga sudah cukup memberi kepuasan buat kami.”
Pendapat ini diperakui oleh Chef Mohd Farhan yang bertugas sebagai Demi Chef di restoran Steakhouse bersama Chef Ravi. Farhan menggalas tanggungjawab menyelia restoran makanan barat dan membantu dapur lain ketika hotel berada di waktu puncak dan sibuk. “Paling manis apabila dapat memasak untuk tiga Yang Di Pertuan Agung iaitu DYMM Sultan Terengganu, Kedah dan Kelantan, dapat bersama selebriti terkenal dan pernah berpeluang membuat promosi makanan di Switzerland.
Chef Muhammad Khalid pula bersyukur kerana minatnya dalam profesion ini mendapat minat dan dorongan keluarga. Dia yang memikul tanggungjawab sebagai Chef De Partie ini mempunyai kepakaran dalam pembuatan dessert dan pastri. Di samping itu Chef Khalid juga turut terlibat menyelia pekerja dan memastikan semua kerja yang diberikan siap tepat pada masanya. “Saya bangga mempunyai rakan sekerja yang mempunyai semangat berpasukan yang tinggi. Walaupun sibuk suasana bekerja seperti dalam keluarga menyebabkan kami mampu melalui cabaran kerjaya ini.
Apa pun pengalaman pahit manis buat keempat chef ini semuanya berjaya ditangani kerana minat dan kecintaan mereka terhadap profesion ini. Yang pasti keikhlasan dalam pekerjaan menjadi rahsia kelazatan sajian makanan di hotel Royal Chulan Kl ini.
Terima kasih : Hotel Royale Chulan KL .No 5, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur