Tiba-tiba gulai atau kari yang anda masak terlajak pedas dari biasa, mungkin disebabkan anda menggunakan cili padi atau kering yang baru dibeli, jadi tak boleh akan agak kepedasannya. Kesian anak-anak tak boleh makan masakan yang anda masak, sedangkan masakaan itu adalah kegemaran mereka.
Jangan risau ini empat tip RASA kongsikan bagi membantu anda mengurangkan rasa pedas dengan hanya menggunakan bahan yang ada dalam dapur saja. Ianya mudah dan paling penting rasa pedas dapat dikurangkan dan anak-anak boleh makanan.
TAMBAH SEDIKIT GULA
Ads
Ini cara paling mudah, sebab semua dapur pasti ada menyimpan gula. Jadi manfaatkan kelebihan gula yang manis itu untuk mengurangkan sedikit rasa pedas. Apa perlu anda lakukan hanyalah masukkan sedikit gula dalam masakan. Tambahan gula hanya lebih sesuai untuk masakan yang tidak berkuah seperti sambal dan rendang.
MASUKKAN KENTANG
Kentang selain fungsinya boleh menyerap rasa masin, ia juga boleh menghilangkan rasa pedas masakan, terutamanya masakan yang berkuah seperti gulai, kari dan sup. Bila kentang mula empuk, ia akan menyerap rasa pedas kuah ke dalamnya.
TAMBAH AIR
Ini cara paling mudah, tapi cara ini bukan hanya menjadikan kuah cair tetapi jika terlebih air ia turut mengubah rasa masakan. Selain kuah menjadi lebih cair, rasa masin juga akan berkurangan. Sebagai cadangan jika gulai lemak atau kari, anda mungkin boleh tambahkan santan atau susu. Dengan cara ini rasa pedas berkurangan dan kuah tidak menjadi terlalu cair, cuma lebih kuah sahaja.
Ads
TAMBAHKAN BAHAN LAIN
Pilihan terakhir jika masakan terlalu pedas, anda boleh tambahkan bahan lain dalam masakan tersebut. Contohnya gulai atau kari yang terlebih pedas, anda boleh tambahkan sayur seperti terung atau buah-buahan seperti nanas atau mangga untuk mengimbangi rasa pedas sebelumnya.
Ads
Mudahkan, lepas ni takdalah anda kalut kalau lauk pauk atau sayur terlebih pedas. Tenang dan amalkan petua RASA kongsikan ini.
.
.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi. Download seeNI sekarang!
Ramai tahu tepung jagung berfungsi membantu memekatkan kuah dan sos. Namun pernahkah ada waktunya bila korang ingin menggunakan tepung jagung tapi kehabisan pulak. Jangan risau atau tak jadi masak hanya kerana kehabisan tepung jagung. Sebenarnya boleh saja tukar dengan tepung lain yang ada dalam dapur korang. Berikut beberapa tepung yang boleh digunakan sebagai ganti tepung jagung :-
Tepung Ubi
Tepung yang diperbuat dari ubi kayu ini mempuyai rasa dan warna hampir sama dengan tepung jagung, Sebab itu kalau anda gunakan sebagai penganti tepung jagung, ia tidak akan mengubah rasa. Cara penggunaannya, anda hanya perlu larutkan tepung ubi dalam air mendidih, Jangan guna air sejuk kerana ia tidak larut dalam air sejuk. Namun pastikan nisbah airnya adalah betul, jika kurang hasil bancuhan akan menjadi pekat kenyal. Tepung ubi juga tidak sesuai untuk makanan yang dimasak lama kerana ia boleh mengeras, sebab itu ia lebih sesuai sebagai campuran dalam tumisan dan sup.
Tepung Beras
Tepung beras adalah alternatif terbaik penganti tepung jagung. Teksturnya lebih pekat padat tidak lembik atau kenyal seperti tepung ubi. Untuk menggunakannya, satu sudu makan tepung jagung bersamaan 3 sudu makan tepung beras. Ia sesuai digunakan untuk campuran dalam sos atau tumiasan, jika dicampurkan dalam bahan gorengan ia akan memberikan tekstur rangup.
Tepung Serbaguna
Tepung gandum serba guna adalah campuran tepung gandum rendah protein dengan tinggi protein. Namun tepung ini ada sedikit bau tepung, oleh itu ia sesuai anda gunakan untuk makanan yang kuat bau supaya dengan bau tepung tidak akan begitu ketara. Sifatnya hampir sama dengan tepung jagung, ia boleh membantu memekatkan kuah masakan. Jika ingin menggunakan tepung ini nisab penggunaannya adalah satu sudu makan tepung jagung bersamaan dua sudu makan terpung serba guna.
Tepung Sagu
Tepung ini berasal dari batang pokok sagu. Pati sagu yang menjadi tepung ini mudah menyerap cairan semasa dipanaskan, sebab itulah tepung ini boleh memekatkan masakan. Jika digunakan dalam kuih muih seperti biskut ia akan memberikan tekstur yang rapuh.
Tepung Kentang
Tepung ini diperbuat dari kentang, namun ia tidak berbau atau memberi kesan rasa kentang. Ia antara tepung paling sesuai sebagai penganti tepung jagung. Nisbah penggunaannya sama sahaja, anda boleh selaraskan ikut cita rasa. Namun semasa mencampurkannya dalam masakan, perlulah menggunakan api sederhana.
Diharapkan dengan info ini anda boleh manfaatkan dalam mengolah pelbagai jenis masakan kegemaran anda.
Sebut je sayur mesti terbayangkan masak tumis, bening, sup atau gulai. Tapi sebenarnya sayur juga sedap digoreng salut atau celup tepung, namun bukan semua sayur yang sedap digoreng salut tepung ni. Selain sedap dimakan dengan nasi cecah sambal, sayur goreng juga sedap dijadikan kudapan ringan sambil menonton. Ini dia enam jenis sayur yang boleh digoreng salut tepung. Mungkin ini idea bagus untuk anak-anak makan sayur
Terung
Bayangkan terung yang lembut dan manis rasanya itu digoreng dengan tepung, terasa ranggup di luar, lembut berjus di dalam. Kena pulak dengan pencecah memang terbaik sedapnya. Cuma semasa menghiris pastikan saiz terung adalah sama dan hirisan tidak terlalu nipis atau tebal.
Brokoli
Brokoli antara sayuran hijau kaya dengan khasiat yang baik untuk kesihatan. Brokoli goreng tepung antara menu yang sangat sedap. Korang boleh potong brokoli menjadi ketulan-ketulan kecil sebelum disalut dengan adunan tepung kemudian goreng minyak banyak. Untuk tambah perisa, adauna tepung boleh tanpa perasa ayam, rempah kari, serbuk cili, lada hitam atau tomyam. Terpulang pada cita rasa.
Bunga Kubis
Cara potong dan menggoreng bunga kubis sama seperti brokoli untuk digoreng tepung. Namun teksturnya yang ranggup dan empuk pasti disukai ahli keluarga terutama anak-anak.
Lobak Merah
Lobak merah goreng tepung memang sedap, rangup dan manis. Cara paling mudah menyediakannya, adalah dengan menghiris lobak merah seperti kentang goreng. Potong memanjang lebih kurang 3-4cm, kemudian kukus hingga empuk sebelum sedia dicelup tepung dan goreng hingga rangup.
Bayam
Rangup dan sedapnya kerepek bayam, kerana itulah ramai yang menyukainya sebagai kudapan sambail santai menoton TV. Siapa sangka ia hanyalah sehelai daun bayam yang nipis dan berubah menjadi kerepek yang rangup bila digoreng dengan salutan tepung.
Kacang Buncis
Mungkin jarang dengar kacang buncis boleh digoreng celup tepung. Tapi percayalah rasanya sedap, rangup dan manis. Apa lagi jika dimakan panas-panas.
Dari enam jenis sayur ini mana satu pilihan korang, atau ada cadangan sayur lain yang pernah korang buat. Boleh share dengan RASA ye.
Terdapat pelbagai jenis herba dan rempah ratus yang digunakan dalam masakan. Namun tujuh tumbuhan ini antara yang paling penting, banyak guna dan mudah ditanam. Kalau rumah anda tiada pokok-pokok ni, memang rugi. Jom lihat keistimewaan dan khasiat yang terkandung di dalamnya.
1. DAUN LIMAU PURUT
Daun limau purut antara daun yang cukup terkenal kerana digunakan dalam pembuatan tomyam. Ia juga turut digunakan dalam menyedapkan lagi masakan rendang, sambal sardin, paprik dan bermacam-macam lagi. Rasa dan bau daun limau purut yang kuat tetapi harum menjadikan rasa masakan bertambah enak. Tidak seperti jenis pokok limau yang lain, tumbesaran pokok limau purut agak perlahan dan anda tidak memerlukan ruang yang besar untuk menanamnya. Tip untuk mengelakkan masakan yang menggunakan limau purut menjadi pahit adalah dengan membuang batang bahagian tengah daun sebelum dimasukkan ke dalam masakan.
2. DAUN KESUM
Daun kesum atau nama santifiknya ‘Polygonum minus’ merupakan tumbuhan yang cukup penting bagi penggemar masakan asam pedas dan laksa. Tanpanya rasa laksa dan asam pedas akan menjadi kurang enak dan seakan tidak cukup bahan. Selain itu, daun kesum juga enak dijadikan campuran kerabu atau aneka masakan yang menggunakan ikan terutamanya ikan darat. Ini kerana ia mampu membuang rasa dan bau hanyir ikan dan menjadikan hidangan lebih sedap. Jika diamati, terdapat dua jenis kesum, iaitu menjalar dan yang tumbuh agak menegak. Daun kesum membekalkan khasiat pemakanan yang seimbang di mana ia kaya dengan beta karotena, kalsium, fosforus, vitamin A dan vitamin C.
3. DAUN PANDAN
Daun pandan atau nama botaninya ‘Pandanus odorus’ tergolong dalam keluarga ‘Pandanaceae. Murah dan nampak biasa-biasa je tapi ia sangat penting dalam penghasilan nasi, aneka kuih muih serta minuman. Haruman wangi dari rebusan daun pandan menjadikan nasi lemak serta bancuhan air sirap menjadi sedap.
Manakala dalam penyediaan kuih-muih pula, air kisaran daun pandan dijadikan pewarna semulajadi, pewangi serta perangsang selera. Antara aneka kuih-muih yang biasanya menggunakan daun pandan adalah seperti Kuih Seri Muka, Kuih Talam, Seri Ayu dan pelbagai jenis puding.
4. DAUN KUNYIT
Kunyit merupakan tanaman yang berasal dari India. Tanaman ini kemudiannya diperkenalkan ke negara Asia Tenggara dan Selatan Asia. Daun kunyit yang datangnya daripada rizom kunyit hidup ini sangat memerlukan cahaya matahari untuk kekal subur. Daunnya licin, besar dan bujur serta berwarna hijau.
Sebagai tumbuhan pemberi aroma yang hebat, daun kunyit sangat digilai tukang masak dan sangat penting dalam penyediaan masakan seperti gulai, rendang dan sambal. Malah, daun kunyit tua juga digunakan sebagai pembalut ikan atau daging bakar. Baunya memang cukup wangi dan mempengaruhi keenakan rasa masakan. Maka tidak hairanlah jika di musim perayaan, daun ini memang menjadi rebutan ramai.
5. DAUN KARI
Masakan kari pasti tidak lengkap tanpa adanya daun ini. Sangat mudah ditanam dan membiak, daun kari mempunyai bau yang kuat dan rasanya agak pahit . Daun ini mempunyai banyak kegunaan bagi masyarakat India kerana ia tidak hanya digunakan dalam masakan kari sahaja tetapi turut digunakan dalam masakan lain seperti Rasam, Chutney, Muruku dan sebagainya lagi.
Dari segi khasiat pula, daun kari bukanlah sekadar daun yang mengeluarkan bau, tetapi ia mengandungi 6.1% protein, 16% karbohidrat dan 6.4% serat. Malah ia turut mengandungi mineral dan vitamin seperti kalsium, fosforus,zat besi,asid nikotinik dan vitamin C.
6. BUNGA KANTAN
Bunga kantan atau nama saintifiknya ‘Pheaomeria imperialis’ membiak melalui dua cara iaitu pecahan rizom dan juga biji benih. Setiap helaian bunganya memainkan peranan dan meninggalkan bau yang enak. Manakala batangnya pula turut mengeluarkan bau yang harum. Oleh sebab itulah dalam penyediaan laksa, batang bunga kantan tetap digunakan untuk meninggalkan aroma yang lebih hebat. Buahnya pula digunakan untuk menghasilkan rasa masam dalam masakan seperti gulai ikan bagi menggantikan asam keping atau asam jawa.
7. SERAI
Serai amat popular dalam masakan Thailand namun ia juga merupakan herba yang penting dan merupakan salah satu bahan asas utama dalam masakan Melayu. Ini kerana herba ini memberikan aroma dan rasa kepada hidangan. Namun hanya bahagian bebuli putih sahaja yang digunakan untuk memasak. Antara masakan yang menggunakan serai adalah seperti rendang, sajian nasi ulam, aneka kerabu, penyedap dalam sup dan banyak lagi. Dari segi kesihatan, serai dikatakan mampu menyingkirkna kolesterol berlebihan, melancarkan sistem pencernaan, anti kulat serta mampu mengubati demam.
Selain sedap dibuat sambal, goreng kunyit atau dimasuk dalam tomyam sotong juga enak dibuat masak lemak. Jika nak lebih sedap dan istimewa boleh cuba buat sotong masak lemak Padang.