4 Resipi Sayur Goreng Masak Guna Tauge, Bendi, Leek & Kacang Panjang. Simple Tapi Sedap!

Share

Sayur amat penting diambil dalam hidangan harian kerana ia membekalkan zat serta vitamin yang diperlukan oleh badan. Namun tidak ramai yang menggemari rasanya. Salah tu…Hidangan sayur-sayuran,  jika kena dengan gaya masakan, memang enak. Malah ada yang boleh dinikmati tanpa perlukan lauk pauk yang lain. Nak cuba? Rasa tampilkan empat resipi sayur yang boleh anda sajikan buat keluarga tercinta.

 

 1. TAUGEH IKAN MASIN

BAHAN-BAHAN:

  • 150gm tauge kasar
  • 1 keping tauhu | dipotong kecil
  • 3cm isi ikan masin
  • 1 pokok daun kucau | dipotong 3cm
  • 2 ulas bawang putih | dihiris
  • 2 ulas bawang merah | dihiris
  • 1 biji cili merah | dihiris
  • Garam dan gula secukupnya
  • Minyak untuk menumis

 CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah serta bawang putih sehingga wangi.
  2. Kemudian masukkan isi ikan masin. Goreng sehingga sedikit garing.
  3. Masukkan tauhu dan masak sehingga sedikit garing. Jika terlalu kering, tambah sedikit air.
  4. Seterusnya masukkan tauge dan cili merah. Gaul rata. Perasakan dengan sedikit gula dan garam jika perlu.
  5. Akhir sekali, masukkan daun kucai. Gaul rata dan angkat. Sedai untuk dinikmati.

INFO CHEF: Guna tauge kasar kerana ia memberikan rasa yang lebih enak.

 

2. KACANG PANJANG GORENG BERTELUR BERSAMA TAUHU

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ikat kacang panjang | dihiris
  • Sedikit ikan bilis halus
  • 3 sudu makan cili kisar
  • 3 ulas bawang putih | dihiris nipis
  • 1/2 biji bawang besar | dihiris nipis
  • 1 keping tauhu | dipotong kecil dan digoreng seketika
  • 1 biji cili merah | dihiris
  • Sedikit air
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Sedikit minyak masak

 CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak di dalam kuali, kemudian tumis bawang putih dan bawang besar yang dihiris sehingga terbit bau harum.
  2. Masukkan cili kisar. Tumis lagi sehingga pecah minyak.
  3. Kemudian masukkan  sedikit air dan juga ikan bilis. Gaul rata.
  4. Seterusnya masukkan kacang panjang, cili merah dan tauhu. Masak sehingga lembut. Perasakan dengan garam serta gula dengan secukupnya.
  5. Sedia untuk dihidangkan.

INFO CHEF: Tambah isi udang untuk rasa yang lebih enak.  

 

3. BENDI GORENG BERCILI BERSAMA DAGING BURGER

BAHAN-BAHAN:

  • 20 batang bendi | dihiris serong
  • 5 keping daging burger | dicincang kasar
  • 3 ulas bawang putih | dihiris
  • 3 ulas bawang merah | dihiris
  • 2 sudu makan cili kisar
  • Sos tiram secukup rasa
  • Garam dan gula secukupnya
  • Sedikit Air
  • Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang merah serta cili giling hingga garing.
  2. Kemudian masukkan daging burger. Masak sehingga sedikit kecut dan tidak melekat pada kuali.
  3. Seterusnya masukkan sos tiram, garam serta sedikit gula. Jika terlalu kering, tambah sedikit air.
  4. Akhir sekali masukkan hirisan bendi. Gaul hingga rata dan semua bahan kelihatan mesra.
  5. Angkat dna sedia untuk dihidangkan.

 INFO CHEF: Selain daging burger, boleh juga menggunakan corned beef.

 

4. LEEK GORENG BAWANG PUTIH BERSAMA UDANG

BAHAN-BAHAN:

  • 2 batang leek | dihiris serong
  • 10 ekor udang segar | dibersihkan
  • 3 ulas bawang putih | ditumbuk kasar
  • 1 biji cili merah | dihiris serong
  • 1 sudu makan kicap manis
  • 1 sudu makan sos tiram
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Sedikit air
  • Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih serta cili merah hingga wangi.
  2. Kemudian Masukkan udang. Goreng lagi hingga isi udang separa masak.
  3. Tambahkan kicap, sos tiram, gula, air dan sedikit garam jika perlu.
  4. Akhir sekali, masukkan leek. Gaul seketika dan angkat. Sedia untuk dinikmati.

 INFO CHEF:  Leek tidak perlu dimasak lama kerana ia akan menjadi terlalu lembik.

Published by
Nur