4 Manisan Karamel Yang Mudah Nak Dibuat, Cair Di Mulut

Share

 

Manisan misalnya kek atau puding kalau ditambah dengan karamel memang sedap sesangat. Terasa betapa nikmatnya dapat makan. Lagi-lagi kalau rasanya sedap dan lembut. Bila dimakan pula, cair dalam mulut. Hai, jomlah buat. Tak tahan rasanya dah ni.

Jom kita tengok 4 resipi yang mesti buat hati meronta nak menikmati manisan berkaramel ni.

TOFFEE CARAMEL WALNUT CHEESE CAKE

Bahan A (base):
150 gram digestive biscuits (dihancurkan)
70 gram mentega (dicairkan)

Cara Membuat:
1) Gaul sebati bahan-bahan untuk dijadikan base.
2) Mampatkan adunan di dalam loyang. Sejukkan.

Bahan B (adunan keju):
250 gram krim keju
8 gram gula kastor
8 gram serbuk gelatin (satukan dengan 60 ml air)
100 gram krim putar (non dairy)
100 gram krim putar (UHT)

Cara Membuat:
1) Satukan air dan serbuk gelatin. Double boil sehingga larut. Biarkan suam.
2) Putar krim putar sehingga gebu dan masukkan gula.
3) Masukkan adunan gelatin dan krim putar. Gaul sebati.

Bahan C (toffee):
40 gram almond nib
60 gram gula kastor

Cara Membuat:
1) Masak gula sehingga perang dan masukkan almond nib. Gaul dan tutup api.
2) Ratakan adunan di atas loyang.
3) Apabila sudah sejuk, patah-patahkan sehingga kecil dan dicencang.

Bahan D (caramel sauce):
1 cawan krim putar (UHT)
½ cawan gula perang
1 sudu besar mentega

Cara Membuat:
Campur semua bahan di dalam periuk. Kacau di atas api sederhana sehingga adunan pekat. Tutup api apabila mentega sudah cair.

Bahan Hiasan:
Walnut secukupnya (dibakar sebentar).

Cara Melapis dan Menghias:
1)Loyang dimampatkan dengan Bahan A dan sejukkan di dalam peti sejuk.
2)Tuangkan adunan Bahan B ke dalamnya.
3)Taburkan Bahan C. Ketuk loyang supaya adunan menjadi padat.
4)Bekukan selama semalaman atau selama tiga jam.
5)Keluarkan adunan dari loyang dan tuangkan Bahan D di atas kek.
6)Taburkan walnut untuk hiasan.

Tip:
Selain sos karamel, boleh guna aneka jem seperti strawberi, bluberi atau kiwi.

PUDING KARAMEL

Bahan-Bahan:
7 biji telur ayam
½ tin susu pekat manis
½ cawan air
1 sudu besar tepung kastard
Esen vanila secukupnya

Bahan Gula Hangus:
4 sudu besar gula pasir

Cara Membuat:
1) Buat gula hangus di dalam loyang dengan api sederhana sehingga kekuningan. Ketepikan.
2) Masukkan air dan tepung kastard ke dalam mangkuk.
3) Masukkan susu pekat manis.
4) Masukkan telur.
5) Masukkan esen vanila. Pukul sebati.
6) Tuang adunankastard ke dalam loyang gula hangus tadi. Kukus sehingga masak. Terbalikkan dan sejukkan.

KEK PUDING KARAMEL

Bahan Gula Hangus:
2 sudu besar gula pasir
2 sudu besar air

Bahan Puding:
1 cawan susu cair
60 gram gula kastor
½ cawan teh esen vanila
3 biji kuning telur

Bahan Kek A:
140 gram tepung gandum (diayak)
1 sudu teh serbuk penaik (diayak)
60 gram gula kastor
3 biji kuning telur
135 ml air
50 ml minyak jagung

Bahan Kek B:
6 biji putih telur
60 gram gula kastor
1 sudu teh cream of tartar

Cara Membuat:
1) Buat gula hangus dan tuang ke dalam loyang yang telah disapu minyak.
2) Didihkan semua bahan di dalam periuk dan tuang ke atas karamel di dalam loyang tadi.
3) Pukul Bahan A sehingga kembang dan baru masukkan tepung. Kacau sebati dan tidak bergentel.
4) Pukul Bahan B sehingga kembang.
5) Satukan adunan A dan B.
6)Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian dan warnakan.
7) Sendukkan adunan ke dalam loyang yang telah diisi puding perlahan-lahan secara berselang seli.
8) Bakar menggunakan kaedah bain marie selama 45 minit menggunakan api bawah dan 15 minit yang seterusnya menggunakan api atas dan bawah pada suhu 160°C.
9) Kek akan mengecut. Terbalikkan.
10) Sedia untuk dihidangkan.

KEK KARAMEL WONDERFUL

Bahan-Bahan:
360 gram tepung gandum
360 gram gula perang
250 gram mentega
250 ml susu segar
4 biji telur ayam
4 sudu besar serbuk penaik
2 sudu besar esen vanila
½ camca teh garam

Bahan Keju Krim Karamel:
125 ml sos karamel
250 gram krim keju
100 gram mentega
60 gram gula aising
1 sudu besar esen vanila

Cara Membuat:
1) Gris loyang dan lapikkan kertas minyak di dalamnya. Ketepikan.
2) Satukan tepung, gula perang, serbuk penaik dan garam di dalam mangkuk adunan. Pukul seminit.
3) Pukul mentega dan telur sehingga sebati. Masukkan susu segar dan esen vanila. Masukkan bahan kering dan pukul rata.
4) Tuang ke dalam loyang dan bakar selama 30 minit pada suhu 175°C. Sejukkan di atas redai. Potong kek kepada dua bahagian.
5) Pukul mentega dan krim keju sehingga sebati. Masukkan gula aising dan esen vanila. Sebatikan.
6) Masukkan sos karamel dan kaup balikkan.
7) Hiaskan pada kek.

Selamat mencuba!

Published by
Maryam Elyas