4 Resipi Masakan Budu! Rugi Taw Kalau Tak Cuba!

Share

Wujud tak orang yang takda selera makan kalau takda budu? Mesti wujud kan! Budu ni bukan sahaja terkenal di Pantai Timur, malah restoran-restoran di Kuala Lumpur mahupun di mana-mana sahaja terdapat budu dalam hidangan masakan yang pelbagai.  Jom kita cuba resipi-resipi masakan budu ni!  

BUDU GORENG

 

BAHAN-BAHAN

  • 6 batang serai**
  • 10-12 ulas bawang merah*
  • 5-6 ulas bawang putih*
  • 2 inci halia**
  • 20-30 tangkai cili*
  • 4 botol budu
  • 8 biji telur
  • 4-5 biji asam limau nipis (perah airnya)
  • 2 cawan minyak untuk menumis

*Tumbuk lumat serai dan halia dan tumbuk manja bahan-bahan lain yang bertanda (*).

CARA PENYEDIAAN

  1. Panaskan minyak. Bila dah betul-betul panas, masukkan bahan yang ditumbuk tadi.
  2. Tumis bahan-bahan tadi sehingga betul-betul masak untuk bagi tahan lama.
  3. Masukkan budu. Tuang semua. Masukkan air. Isi penuh semua botol budu dengan air dan tuang dalam kuali tumis tadi. Langkah ini akan kurangkan rasa masin budu.
  4. Kacau sehingga mendidih.
  5. Pecahkan telur dan kacau sehingga nampak telur jadi seperti ‘scramble egg’.
  6. Jika puan-puan menggunakan perasa tambahan (ajinomoto), boleh masukkannya ketika ini.
  7. Masak lagi sehingga mendidih dan warnanya menjadi lebih gelap.
  8. Masukkan air perahan asam limau nipis dan kacau rata.
  9. Masak sehingga kering dan tutup api.

INFO: Budu goreng boleh disimpan selama seminggu hingga dua minggu pada suhu bilik. Untuk bagi tahan lebih lama, boleh disImpan di dalam peti. Budu goreng sedap dimakan dengan nasi putih panas, berserta dengan lauk lain atau ulam-ulaman.

Nasi putih panas + budu goreng + ikan rebus goreng = perfect!

Kredit Resipi & Foto: Tuan Azlin 

MASAK BUDU

 

BAHAN-BAHAN

  • 3 biji kelapa – perah untuk dapatkan pati santan (pekat)
  • 1 ikat daun kesum
  • 6 helai daun kunyit
  • 10 helai daun kaduk
  • 100 gm terung pipit
  • 2 ikat pucuk ubi
  • 20 tangkai cili padi – boleh kurangkan @ tambah
  • 2 botol budu
  • 2 biji bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 2 inci kunyit hidup
  • 5 batang serai
  • 3 keping asam keping – boleh juga digantikan dengan belimbing buluh

CARA PENYEDIAAN

  1. Bawang besar, bawang putih, kunyit, cili padi dikisar halus.
  2. Semua daun dihiris-hiris (jangan terlalu halus)
  3. Serai dihiris tipis-tipis.
  4. Pucuk ubi yang dah dihiris tadi ramas-ramaskan ia kemudian cuci dan toskannya (nak keluarkan getahnya)
  5. Pucuk mengkudu pula lepas dihiris masak sekejap untuk mengurangkan kadar kepahitannya. Kemudian tos.
  6. Masukkan semua bahan yang dihiris tadi, terung, serai, asam keping, santan dan budu dalam periuk, kemudian masak sehingga mendidih dan kuahnya agak pekat tapi kalau nak banyak kuah boleh lebihkan santan cair.
  7. Bila sudah masak bolehlah diangkat dan dihidang dengan nasi panas.

INFO: Budu tidak perlu diisi hingga habis 2 botol, rasa dulu ya..

Kredit Resipi & Foto: cikNor

BUDU TUMIS 

BAHAN-BAHAN

  • Bawang merah (kisar)
  • Bawang putih (kisar)
  • Cili kering (kisar) atau serbuk
  • Halia (kisar)
  • Serai (ketuk)
  • Daun limau purut
  • Kunyit hidup (kisar) atau serbuk.
  • Santan pekat
  • Sedikit budu
  • Sedikit garam jika budu kurang masin
  • Sedikit gula
  • Asam jawa atau keping

CARA PENYEDIAAN

Campurkan semua bahan ke dalam periuk dan masak sehingga pecah minyak, masukkan budu dan sesuaikan rasa.

atau 

Panaskan minyak, tumis bahan kisar sehingga garing, masukkan santan, serai, daun limau purut, kemudian didihkan. Masukkan budu serta perasakan dengan garam (jika kurang masin), gula dan asam.

Siap!

Kredit Resipi & Foto: Nanisufi

BENDI CELUR & AIR ASAM BUDU

BAHAN-BAHAN

  • 250 gm bendi
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil minyak masak
  • Air secukupnya untuk celur bendi

CARA PENYEDIAAN

  1. Buangkan hujung dan pangkal bendi, cuci dan toskan.
  2. Didihkan air dan masukkan sedikit garam dan sedikit minyak.
  3. Celur bendi dalam 5 minit atau agak-agak masak tetapi masih segar.
  4. Setelah siap, angkat dan toskan. Seeloknya tuang di dalam air sejuk, kemudian toskan. Siap dan bolehlah di hidangkan bersama kuah asam.

BAHAN-BAHAN (SAMBAL AIR ASAM BUDU)

  • 20 biji cili padi merah siam
  • 2 biji bawang merah
  • 1 inci belacan
  • Gula secukup rasa
  • 1/3 cawan jus asam jawa
  • 4 – 5 biji limau kasturi, ambil jusnya
  • 1/2 cawan budu
  • Hirisan bawang besar (hiasan)

CARA PENYEDIAAN

  1. Tumbuk cili padi, bawang merah, belacan hingga hancur dan lumat.
  2. Tuang budu, jus asam jawa dan jus limau kasturi.
  3. Tambah gula sebagai pengimbang rasa.
  4. Siap!

Kredit Resipi & Foto: Yatie

Selamat mencuba! 

 

 

 

Published by
Amanina