Uncategorized

5 Cara Cepat Empukkan Daging Yang Liat Untuk Masak Sup, Gulai, Goreng & Singgang.

Share

Daging memang enak dimasak dengan pelbagai cara. Antara masakan Melayu yang popular adalah seperti gulai, kari, singgang, goreng dan sup. Daging ni pun ada pelbagai jenis. Ada bahagian yang lembut dan ada yang keras. Jika yang keras tu tidak direbus terlebih dahulu memang liat.

Teksturnya tidak seperti isi ayam yang lebih lembut dan cepat untuk dimasak. Namun usah risau, ada petua yang boleh dicuba. Berikut ada 5 cara yang anda boleh cuba untuk pastikan daging yang anda masak lembut dengan cepat serta tidak keras setelah dimasak.

 

CARA MUDAH EMPUKKAN DAGING DALAM MASA YANG SINGKAT

 

1. REBUS TERLEBIH DAHULU

Kaedah ni paling ‘basic’. Mak-mak kita dulu pun bila nak goreng daging, mesti mereka akan rebus daging terlebih dahulu. Setelah empuk, barulah akan digoreng dan sebagainya. Sewaktu merebus daging , ada juga pelbagai bahan yang dicampur supaya daging dapat lembut dengan cepat. Antaranya ialah dengan rebus daging bersama dengan sudu stainless steel, daun pisang abu, daun nangka, tebu, batang ubi kayu, buah pinang tua dan sebagainya. Memang berkesan.

 

2. HIRIS NIPIS

Jika anda kesuntukan masa untuk rebus daging tetapi perlu juga masak. Boleh guna kaedah ni. Hiris daging nipis-nipis secara melintang urat. Kemudian masaklah seperti biasa. Anda juga perlu buang segala lemak dan urat yang ada. Barulah daging tidak terlalu liat dan enak untuk dinikmati.

 

3. KETUK DAGING

Selain itu, anda juga boleh menggunakan pengetuk daging atau meat tenderizer. Caranya ialah dengan mengetuk daging agar otot-otot yang yang keras menjadi lebih lembut apabila dimasak.

 

4. PERAP TERLEBIH DAHULU

foto: omnivorescookbook.com

Anda juga boleh menggunakan teknik perapan untuk melembutkan daging tetapi kaedah ini memerlukan anda menyiapkannya dengan lebih awal. Caranya mudah sahaja. Perap daging menggunakan bahan-bahan berasid seperti jus limau, lemon, cuka atau jus nanas antara 2-24 jam. Bahan-bahan ini mampu melembutkan daging secara semulajadi bahkan menjadikan daging lebih enak apabila dimasak.

 

5. GUNA PERIUK TEKANAN

Cara paling mudah! Jika anda ada periuk tekanan atau ‘pressure cooker’, gunakan sahaja. Lagi jimat masa, mudah dan dijamin lembut masakan anda. Jika guna periuk tekanan niu, tidak perlulah anda nak rebus, perap atau ketuk daging. Sediakan rencah masakan dan masaklah seperti biasa. Memang mudah! Perut pun cepat kenyang.

Published by
Nur