1. CUCI DENGAN AIR: Jika masakan anda terlalu masin, bahan-bahan makanan yang ada dalam kuah tersebut boleh dicuci dengan air. Caranya mudah sahaja, keluarkan daging, ayam atau sayuran dan bilas dengan air bagi mengurangkan rasa masin. Masukkan kembali ke dalam kuah yang telah ditambah dengan air. Hasilnya amat memuaskan.

2. TAMBAH KARBOHIDRAT: Sup terlebih masin? Usah risau kerana ia masih boleh diselamatkan. Cuba masukkan hirisan ubi kentang, beras ( diikat dalam uncang) atau sedikit tepung. Ini kerana sumber karbohidrat ini berupaya menyerap rasa masin dan boleh membuatkan masakan anda kembali enak.

3. MADU / GULA: Jika anda memasak hidangan seperti sambal, rasa masin tersebut boleh dikurangkan dengan menambah sedikit gula atau madu kedalam hidangan. Namun jangan terlalu banyak kerana makanan anda akan menjadi manis.

4. TAMBAH CECAIR: Untuk jenis hidangan berkuah, selain dibasuh dan ditambah sumber karbohidrat, rasa masin juga boleh dikurangkan dengan menambah jumlah cecair pada kuah seperti air dan sos tomato. Tambah seadanya sehingga rasa masin berkurangan.

5. JUS LEMON / LIMAU:

Rasa masam dari buah-buahan sitrus seperti lemon dan limau boleh mengimbangi rasa masin dalam masakan. Contohnya, jika kuah tomyam anda terlalu masin, perah jus limau nipis dengan secukupnya. Ia juga menjadikan makanan lebih enak.