5 Lauk Pauk Gerenti Sedap Yang Sesuai Hidang Di Majlis Kenduri Kecil-Kecilan.

Share

Jika anda merancang untuk mengadakan kenduri kecil-kecilan, RASA ada beberapa cadangan menu yang boleh anda pertimbangkan. Selain lebih jimat, masak sendiri ni juga memberikan lebih kepuasan pada tuan rumah. Jika melakukan tempahan katering, banyak juga yang kena bayar tapi menjimatkan masa serta tenaga. Walau apa-apa pun pilihan anda, apa yang penting, makanan sedap untuk dijamu kepada tetamu yang hadir.

 

1. KARI UDANG


BAHAN-BAHAN:

  • 500gm udang | saiz XL
  • 2 biji bawang besar | kisar
  • 3 ulas bawang putih | kisar
  • 2cm halia | kisar
  • 1 tangkai daun kari | lurutkan dari tangkai
  • 3 sudu makan serbuk kari ikan
  • 2 sudu makan pes cili kering
  • 2 sudu makan air asam jawa
  • 100ml santan kotak
  • 2 sudu makan minyak masak
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Air secukupnya

CARA MEMASAK:
1. Bahan yang dikisar digaul bersama serbuk kari hingga sebati. (dijadikan pes).
2. Panaskan minyak dan masukkan daun kari, Apabila daun kari sedikit layu, masukkan pes dan tumis sehingga naik bau.
3. Masukkan pes cili, sedikit gula dan garam sesedap rasa dan tumis lagi sehingga pecah minyak.
4. Masukkan santan dan kacau perlahan lahan sehingga pecah minyak..kemudian tambah air ikut suka.
5. Setelah mendidih,masukkan udang dan gaul bersama sehingga udang masak..


6. Udang kari sedia dihidang

INFO CHEF: Jangan masak udang terlalu lama.

 

2. AYAM MASAK BERLADA

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm ayam | potong 7-8 ketul dan goreng
  • 1 biji bawang besar | hiris kasar
  • 1 biji bawang besar | kisar
  • 4 ulas bawang putih | kisar
  • 1 batang serai | kisar
  • 1 sudu makan pes cili kisar
  • 4 biji cili merah | kisar kasar
  • 2 biji cili hijau | kisar kasar
  • 1 asam keping gelugor
  • Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dalam kuali, goreng ayam separuh masak. Ketepikan.
2. Keluarkan minyak dan tinggalkan sedikit untuk menumis.
3. Tumiskan bahan kisar sampai pecah minyak dan masukkan daun limau purut dan asam gelugor.
4. Kemudian perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
5. Akhir sekali masukkan ayam yang dah siap goreng tadi bersama bawang besar yang telah dihiris.
6. Bila bawang layu, angkat dan hidangkan panas-panas.

INFO CHEF:  Jika tidak suka daun limau purut tidak perlu masukkannya. Atau ingin tambah bunga kantan juga boleh.

 

3. GULAI LEMAK PISANG MUDA

BAHAN-BAHAN:

  • 1 sisir pisang emas /kapas muda
  • 100gm tulang ikan talang masin | rendam
  • 1 liter santan pekat
  • 2 batang serai | ketuk
  • Garam dan perasa secukupnya
  • 10 biji cili padi | kisar
  • 2.5cm kunyit hidup | kisar
  • Daun kunyit | mayang halus

CARA MEMASAK: 
1. Pisang emas, disiat kulitnya dan dipotong serong.
2. Masukkan semua bahan kisar bersama tulang ikan masin ke dalam periuk.
3. Seterusnya tuangkan santan dan masak hingga mendidih.
4. Selepas itu,masukkan pula pisang tadi dan serai yang telah diketuk ke dalamnya.
5. Taburkan daun kunyit hiris, biarkan mereneh.
6. Tambahkan garam secukup rasa, dan biar kuah sedikit pekat. Sedia untuk dihidangkan.

INFO CHEF: Kulit pisang juga boleh dimasukkan ke dalam gulai jika suka.

 

4. DALCA TULANG

 

BAHAN-BAHAN:

  • 600gm tulang berdaging | bersih dan toskan
  • 4cawan santan
  • 2 sudu besar rempah kari daging | bancuh dengan sedikit air
  • 6 ulas bawang merah | mayang halus
  • 2 ulas bawang putih | mayang halus
  • 3cm halia | mayang halus

Bahan Rempah Penumis:

  • 3 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 2 cm kulit kayu manis
  • 1 tangkai daun kari
  • 3 biji buah pelaga
  • 2 biji ubi kentang | belah empat
  • 10 batang kacang panjang | potong 4cm
  • 1 biji lobak merah | potong memanjang 4cm
  • 1/2 cawan kacang dal | rendam dalam air panas
  • 3 biji cili hijau | tidak perlu dipotong
  • 1 biji tomato | belah empat
  • 1 labu bawang besar | hiris
  • 1 biji terung bulat | belah empat
  • 1 sudu makan minyak sapi
  • 3 sudu makan minyak masak
  • 2 sudu makan air asam jawa
  • Garam dan gula secukup
  • Minyak masak secukupnya untuk menumis
  • Air secukupnya | jika perlu

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak sapi & minyak masak di dalam periuk.
2. Tumiskan bahan yg dihiris bersama kulit kayu manis, buah pelaga, cengkih dan bunga lawang sehingga wangi. Masukkan daun kari.
3. Kemudian masukkan rempah kari daging dan biarkan sehingga timbul minyak.
4. Seterusnya masukkan daging, kacang dal air asam jawa dan sedikit santan. Renehkan sehingga daging lembut.
5. Apabila mendidih dan pecah minyak masukkan semua sayur yang dipotong.
6. Kacau lagi hingga mendidih seketika.
7. Masukkan garam dan gula secukup rasa, bila hampir masak masukkan tomato dan cili hijau.
8. Kacau seketika, kemudian tutup api.
9. Dalca sedia dihidangkan.

INFO CHEF: Jika suka anda boleh tukar tulang dengan daging tetel.

 

5. GULAI KAWAH DAGING

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg daging | potong kecil dan nipis
  • 4 sudu makan rempah kari daging
  • 2 biji kentang | belah empat
  • 2 cawan santan
  • 2 sudu makan air asam jawa
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya untuk menumis

Bahan Kisar:

  • 3 biji bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 2.5cm inci halia

CARA MEMASAK:
1. Cuci daging, kemudian rebus hingga empuk. Simpan air rebusan (dalam dua cawan).
2. Panaskan minyak dalam periuk, kemudian tumiskan semua bahan kisar hingga wangi.
3. Kemudian masukkan rempah kari yang dibancuh dengan sedikit air. Kacau hingga pecah minyak.
4. Seterusya masukkan kentang, air asam jawa dan daging yang telah direbus.
5. Kacau rata dan masukkan air rebusan daging tadi. Biarkan mendidih lebih kurang lima minit,
6. Masukkan santan. Kecilkan api dan biarkan mereneh.
7. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
8. Kari daging sedia dihidangkan.

INFO CHEF: Anda boleh tambah air jika suka kari daging yang agak cair.

Published by
Nur