5 Menu Ayam Ala Thai  Paling Sedap & Ringkas.

Share

Masakan Thai  sememangnya  terkenal di seluruh dunia. Bahkan masakan ini juga cukup dekat dengan masyarakat di Malaysia.  Dengan adunan rasa masam, masin dan pedas sentiasa menjadi pilihan ramai penduduk Malaysia.  Jika anda penggemar masakan Thai,ini  RASA kongsikan 5  jenis masakan Thai berasaskan ayam yang comfirm sedap.

GULAI AYAM SIAM

BAHAN-BAHAN:

  • 1/2 ekor ayam | potong 6-8 ketul
  • 250ml santan pekat
  • 250ml air
  • 6 biji terung kampung | belah dua
  • 1 biji bawang besar | kisar
  • 4 biji bawang putih | kisar
  • 3cm lengkuas | hiris dan kisar
  • 3cm kunyit | hiris dan kisar
  • 6 tangkai cili padi hijau | kisar
  • 2 batang serai | hiris halus dan kisar
  • 1/2 sudu teh serbuk jintan manis
  • 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
  • 2 helai daun limau purut | carik
  • Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Tumis semua bahan iaitu bawang besar, bawang putih, halia, lengkuas, kunyit, cili padi hijau, serai, daun limau purut, serbuk jintan manis dan serbuk lada hitam hingga wangi dan pecah minyak.
  2. Kemudian masukkan ayam dan air secukupnya, kacau sebentar dan biarkan sehingga kuah mereneh dan ayam agak empuk dan masak.
  3. Setelah ayam agak empuk,masukkan terung kampung dan akhir sekali santan pekat.  Masaklah sehingga kuah agak memekat kemudian tutupkan api.  Siap untuk dihidangkan.

SALAD AYAM

BAHAN-BAHAN:

2 ketul isi dada ayam

  • 1 sudu teh sos ikan
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • 2 sudu teh sos Thai
  • 300gm daun kubis | hiris halus
  • 2 batang lobak merah | hiris halus
  • 1 batang timun | hiris halus
  • 3 batang daun bawang | potong 3cm panjang
  • 250gm kacang tanah goreng
  • 1 biji cili merah | potong halus
  • 4 biji cili padi |potong halus
  • 1 biji cili Benggala hijau |hiris memanjang
  • 1 biji cili Benggala merah |hiris memanjang
  • 2 tangkai daun pudina
  • 2 pokok daun ketumbar |potong kasar
  • Minyak masak secukupnya

BAHAN UNTUK SOS SALAD:

  • 2 sudu teh minyak bijan
  • 1 sudu makan mentega kacang
  • 3 sudu teh sos ikan atau secukup rasa
  • 1 biji limau nipis | ambil jusnya
  • 3 sudu teh cuka
  • 4 sudu teh gula pasir
  • 4 biji bawang putih | cincang
  • 2 sudu makan air masak

CARA MEMASAK:

  1. Di dalam mangkuk, satukan dada ayam bersama sos ikan, serbuk lada hitam dan sos Thai. Perap selama 30 minit.  Setelah itu goreng dada ayam di dalam kuali angkat dan hiris agak nipis.  Ketepikan.
  2. Di dalam mangkuk salad ,satukan semua bahan yang telah dihiris dan dipotong halus tadi. Masukkan ayam dan gaul sebati.
  3. Untuk membuatkan sosnya; masukkan kesemua bahan sos ke dalam bekas plastik kedap udara dan goncang sehingga kesemua bahan sebati.  Apabila saat untuk menghidang, tuangkan sos ke dalam salad tadi dan gaul sebati. Siap untuk dihidangkan.

AYAM HALIA

BAHAN-BAHAN:

  • 1/2 ekor ayam | potong 6 – 8 ketul
  • 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
  • 5cm halia |hiris halus dan memanjang
  • 1 biji bawang besar | hiris
  • 4 biji bawang putih | hiris
  • 4 biji cili padi | hiris
  • 1 tangkai cili merah | hiris
  • 1/2 batang lobak merah | hiris halus dan memanjang
  • 4 tangkai kacang panjang | potong 3cm panjang
  • 2 sudu teh sos ikan atau secukup rasa
  • 1 sudu teh serbuk pati ayam
  • 1 sudu teh gula atau secukup rasa
  • 2 sudu teh cuka atau secukup rasa
  • 60ml air
  • Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Di dalam mangkuk, gaulkan ayam bersama serbuk kunyit, garam dan serbuk lada hitam.  Ketepikan.
  2. Panaskan minyak lebih kurang enam sudu makan di dalam kuali dan goreng sebentar ayam selama lebih kurang 5 minit, angkat dan ketepikan.
  3. Di dalam kuali yang sama, tumiskan halia, hirisan bawang besar, bawang putih, cili padi dan cili merah sehingga wangi.
  4. Kemudian masukkan lobak merah, kacang panjang, sos ikan, serbuk pati ayam, gula, cuka dan air.
  5. Masaklah sehingga kuah mendidih akhir sekali masukkan kembali ayam dan kacau sebentar.
  6. Tutupkan api. Siap untuk dihidangkan.

AYAM PANDAN

BAHAN-BAHAN:

  • 1/2 ekor ayam | potong  6-8 ketul
  • 4 biji bawang putih | kisar halus
  • 1 biji bawang besar | kisar halus
  • 3cm halia | kisar halus
  • 3cm lengkuas | kisar halus
  • 6 tangkai cili padi | kisar halus
  • 2 batang serai dihiris halus | kisar halus
  • 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 sudu teh serbuk ketumbar
  • 1/2 sudu teh serbuk jintan manis
  • 1 sudu teh serbuk pati ayam
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa
  • Daun pandan secukupnya
  • Minyak masak  untuk menggoreng

CARA MEMASAK:

  1. Gaulkan ayam bersama kesemua bahan kisar, serbuk ketumbar, serbuk jintan manis, serbuk kunuit, serbuk pati ayam, garam dan gula.
  2. Perap semalaman bagi mendapatkan rasa yang lebih enak.
  3. Setelah itu bungkuslah ayam tersebut dengan daun pandan seperti membungkus ketupat palas.
  4. Goreng di dalam minyak yang banyak dengan api yang agak sederhana besar agar ayam masak sekata.
  5. Ayam pandan siap untuk dihidangkan.

AYAM KARI HIJAU

BAHAN-BAHAN:

  • 1/2 ekor ayam | potong 4-6 ketul
  • 1 biji bawang besar | dikisar
  • 4 biji bawang putih | dikisar
  • 6 tangkai cili padi hijau | dikisar
  • 4 pokok daun ketumbar | potong kecil serta kisar bersama akarnya
  • 4 helai daun limau purut | dihiris halus serta dikisar
  • 1/2 sudu teh serbuk jintan manis
  • 1 sudu teh serbuk kari ayam
  • 1 sudu teh serbuk pati ayam
  • 2 keping asam gelugur
  • 125ml santan pekat
  • 250ml air
  • 1 biji tomato | belah enam
  • 1 biji bawang besar | belah empat
  • Garam secukupnya
  • Gula secukupnya
  • Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Di dalam kuali tumiskan bahan yang telah dikisar bersama serbuk jintan manis, serbuk kari ayam, serbuk pati ayam, asam gelugur, garam dan gula secukup rasa sehingga pecah minyak.
  2. Masukkan santan pekat, masak selama 5-6 minit atau sehingga pecah minyak.
  3. Kemudian masukkan ayam dan air kacau sebentar, biarkan sehingga air mendidih atau sehingga kuah agak memekat.
  4. Setelah itu masukkan tomato yang telah dihiris dan bawang besar yang telah dibelah empat.
  5. Masaklah sehingga tomato dan bawang agak lembut.  Tutupkan api.  Kari hijau ayam sedia untuk dihidangkan.

 

Published by
Norasida Myasin