5 Panduan Membeli-Belah Barangan Dapur Agar Bajet Tak Lari

Share

Bila tibanya waktu gaji, pasti ramai yang berpusu-pusu ke pasaraya untuk membeli barang keperluan rumah terutamananya barangan dapur. Namun ada ketikanya terlebih bajet juga dibuatnya. Maklumlah, setiap lorong yang dilalui, ada tertera barangan harga diskaun dan harga murah. Memang goyah iman! Kadang kala, barangan yang tak perlu pun kita ‘terbeli’ dek terpengaruh dengan label ‘berhantu’ ni. Bila pulang ke rumah, datang pula rasa menyesal sebab dah ‘over spend’ duit untuk bulan ni.

 

Jadi untuk mengelakkan masalah ini terjadi, kami kongsikan 5 panduan yang boleh dicuba tatkala keluar membeli belah barangan dapur anda. Moga bermanfaat!

 

1. Buat Anggaran Belanjawan Bulanan

foto: alibaba

Pertama, sebelum berbelanja barang dapur, tentukan anggaran belanjawan yang anda perlu keluarkan untuk bulan tersebut. Mungkin setiap bulan, jumlahnya berbeza bergantung kepada situasi.

Sebagai contoh, bulan November anda dan keluarga setiap masa berada di rumah. Jadi, perbelanjaan barang dapur yang perlu dibeli adalah RM300. Bulan DIsember pula, 2 minggu anda dan keluarga bakal pergi bercuti. Jadi, perbelanjaan boleh dikurangkan dan begitulah seterusnya. Lebihan duit tersebut boleh digunakan untuk menampung bahagaian-bahagian perbelanjaan lain atau disimpan.

 

2. Bawa Duit Cukup-Cukup

Jika ke pasaraya dan bawa wang tunai dengan banyak, memang berbahaya. Selain risau disamun atau dirompak, anda juga mempunyai potensi untuk berbelanja lebih dengan membeli barangan yang tidak sepatutnya. Biasanya, bila dah dapat gaji, anda akan mengasingkan siap-siap duit belanja dapur dan lain-lain. Jadi, bawa sahaja wang yang telah diperuntukkan itu. Barulah anda akan membeli belah dengan lebih berhati-hati.

 

3. Kunjungi Kedai Yang Paling Banyak Beri Keuntungan

Terdapat banyak tempat membeli barangan dapur yang anda boleh tuju dan setiap satu daripadanya pasti ada cara tertentu untuk menarik pelanggan datang. Pilihlah pasaraya yang paling banyak memberi manfaat pada anda seperti menawarkan harga barangan runcit pada harga borong, mata ganjaran dalam setiap pembelian dan sebagainya.

 

4. Beli Secara Online

Membeli-belah di hujung jari. Kini ada banyak pasaraya yang menawarkan perkhidmatan belian secara online serta perkhidmatan penghantaran. Oleh itu, anda boleh menggunakan kemudahan ini untuk membeli belah barangan keperluan dapur anda. Sangat sesuai digunakan oleh kaum-kaum ibu yang sibuk bekerja. Boleh jimat masa dan minyak kereta.

 

5. Bawa senarai semak bercetak

Amalkan kaedah membawa senarai semak setiap kali keluar membeli barangan dapur. Hanya beli barangan yang tertera sahaja supaya jumlahnya cukup-cukup dengan duit yang dibawa. Selain mengelakkan anda berbelanja lebih, ia juga membantu anda supaya tidak perlu ulang-alik ke pasaraya beberapa kali kerana ada barang yang terlupa dibeli.

Kaedah ini juga sangat bagus kerana ia juga boleh membantu anda merekod barangan apa yang telah dibeli. Kadang-kala kita lupa barangan yang ada kerana tersorok di dalam kabinet. Bila dah jumpa, rupanya dah tamat tempoh. Rugi tu.

Selamat mencuba! Jika info ini bermanfaat, kongsikan dengan rakan-rakan anda juga.

 

Published by
Nur