5 Resipi Udang Yang Sempoi & Sedap, Boleh Cuba Buat Lauk Berbuka Nanti.

Share

Udang, antara seafood yang sedap dan disukai ramai, tidak kiralah dimasak apa sekalipun pasti ramai menggemarinya.  Malah udang juga lauk paling senang dimasak, anda hanya perlu ambil masa 10-15 minit saja untuk menyiapkan menu.  Kalau tak percaya cuba lima cara masak udang yang korang boleh cuba masak sendiri di rumah.

  

UDANG SAMBAL BELACAN

 BAHAN-BAHAN:

  • 500gm udang saiz XXL | dibersihkan dan toskan
  • 1 biji bawang besar |dikisar
  • 3 ulas bawang putih | dikisar
  • 2.5cm halia | dikisar
  • 3 sudu makan pes cili kering
  • 2 sudu makan air asam jawa
  • 3cm belacan
  • Garam dan gula secukupnya
  • Minyak untuk menggoreng dan menumis

CARA MEMASAK:

  1. Gaulkan udang yang telah dibersihkan dengan sedikit garam dan serbuk kunyit.
  2. Panaskan minyak, goreng udang hingga kemerahan, angkat dan ketepikan.
  3. Keluarkan minyak dan tinggalkan sedikit, kemudian tumis bahan kisar hingga wangi.
  4. Masukkan pes cili, diikuti belacan, kacau hingga pecah minyak,
  5. Kemudian masukkan air asam, garam dan gula secukupnya.
  6. Setelah pekat dan agak kering masukkan udang yang telah digoreng.
  7. Tutup api dan gaul rata.
  8. Sedia dihidangkan.

 

UDANG GORENG MENTEGA TELUR

 BAHAN UNTUK UDANG GORENG:

  • 500gm udang saiz XXL | dibersihkan
  • 8 biji cili padi | dihiris
  • 1/2 cawan susu seger
  • 1 sudu makan mentega
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • Garam secukup rasa
  • Minyak masak untuk menggoreng

BAHAN UNTUK SARANG TELUR:

  • 2 biji telur kuning
  • 1 sudu makan mentega
  • 1 cawan minyak masak

CARA MEMASAK:

  1. Gaulkan udang bersama garam dan lada sulah secukupnya. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak, goreng udang sehingga kemerahan.
  3. Angkat dan toskan.
  4. Kemudian keluarkan minyak kerana ia tidak digunakan lagi.
  5. Panaskan mentega dalam kuali, tumiskan bawang putih dengan cili hingga garing dan naik bau.
  6. Masukkan susu cair, kacau seketika. Kemudian masukkan udang yang telah digoreng tadi.
  7. Perasakan dengan serbuk lada hitam dan sedikit garam.
  8. Untuk membuat sarang telur. Pukul ringan kuning telur.
  9. Panaskan mentega bersama minyak masak sehingga panas, tuangkan kuningan telur sedikit demi sedikit supaya telur masuk kuali halus-halus.
  10. Sambil itu kacau laju-laju hingga telur habis.
  11. Terus kacau sehingga telur kelihatan bersarang dan berwarna kuning keemasan.
  12. Kemudian tuangkan ke atas tapisan untuk toskan minyak.
  13. Akhir sekali taburkan di atas udang dan hidangkan panas-panas.

UDANG GORENG BEREMPAH

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm udang saiz XXL | dibersihkan
  • 4 ulas bawang merah | dikisar
  • 3 ulas bawang putih  | dikisar
  • 1 biji bawang besar |dicincang
  • 1 batang serai | dikisar
  • 2 tangkai daun kari | dilurut dari tangkai
  • 6 biji cili padi | dihiris
  • 1 sudu makan serbuk kari
  • 1 sudu teh serbuk ketumbar
  • 1/2 sudu teh serbuk jintan manis
  • 1/2 sudu teh serbuk jintan putih
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • Garam dan gula secukupnya
  • Minyak secukupnya untuk menggoreng

CARA MEMASAK:

  1. Gaulkan udang yang telah dibersihkan dengan semua bahan kisar dan serbuk rempah kari, ketumbar, jintan manis, jintan putih, serbuk kunyit, garam dan gula secukupnya.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, goreng daun kari hingga garing dan naik bau.
  3. Masukkan hirisan bawang besar, diikuti udang.
  4. Goreng hingga udang kemerahan lebih kurang lima minit.
  5. Angkat dan hidangkan panas-panas.

RENDANG UDANG

 BAHAN-BAHAN:

  • 500gm udang saiz XXL | dibersih dan toskan
  • 500ml santan pekat
  • 2 sudu makan kerisik
  • 3 sudu makan pes cili kering
  • 6 ulas bawang merah | dikisar
  • 4 ulas bawang putih | dikisar
  • 3cm halia |dikisar
  • 2cm lengkuas | dikisar
  • 2 batang serai | dikisar
  • 1 helai daun kunyit | dihiris
  • 1 sudu makan air asam jawa
  • Garam dan gula secukupnya
  • Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga wangi.
  2. Masukkan pes cili tumis lagi hingga pecah minyak.
  3. Masukkan pula santan, dan biarkan mendidih hingga kuah pekat.
  4. Kemudian masukkan udang, kacau rata hingga udang bertukar warna kemerahan.
  5. Masukkan kerisik dan air asam jawa.
  6. Kecilkan api biarkan mereneh seketika.
  7. Lengkapkan rasa dengan garam dan gula, kemudian taburkan hirisan daun kunyit.
  8. Sedia dihidangkan.

UDANG GORENG TEMPOYAK
BAHAN-BAHAN:

  • 500 gm udang saiz  XXL | dibersihkan
  • 2 sudu makan tempoyak | dibancuh dengan sedikit air
  • 1 biji bawang besar | dihiris
  • 1 helai daun kunyit  | dihiris halus
  • 1/2  sudu teh serbuk kunyit
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menggoreng dan menumis

BAHAN KISAR:

  • 20 biji cili padi
  • 5 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih

CARA MEMASAK:

  1. Gaulkan udang bersama serbuk kunyit dan garam secukupnya dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak, goreng udang hingga kemerahan, angkat dan toskan.
  3. Keluarkan sebahagian minyak, tinggalkan sedikit untuk menumis.
  4. Tumiskan hirisan bawang besar hingga layu, kemudian masukkan bahan kisar dam serbuk kunyit.
  5. Kacau hingga pecah minyak.
  6. Seterusnya masukkan bancuhan tempoyak, diikuti garam dan gula secukupnya.
  7. Bila kuah tempoyak agak pekat dan cukup rasa, masukkan hirisan daun kunyit dan udang.
  8. Tutup api dan gaul rata.
  9. Sedia dihidangkan.

 

 

 

Published by
Norasida Myasin