Serai bahan ramuan penting melazatkan masakan. Kalau beli di kedai runcit seikat tu jual cuma 4-5 batang aje. Padahal nak guna kerap juga, masakan kalau terkurang serai, kuranglah ummphnya.
Sebenarnya tanaman ni cukup mudah ditanam dan tak perlu ruang tanah yang luas pun. Boleh tanam dalam pasu aje. Tapi ‘frust’ juga lah kan bila tanam tumbuhnya kurus dan tak berapa nak subur.
Haah, kalau ikut petua orang tua-tua, kalau nak tanam serai jangan tanam banyak-banyak dalam satu pasu. Cukup satu atau dua batang sahaja kerana ia membiak dengan cepat.
Ni min kongsikan teknik tanam pasu biar tumbuh gemuk dan subur.
Langkah 1: Dapatkan anak benih
Cara mudah, gunakan batang serai yang dijual dipasar mahupun pasaraya untuk dijadikan sebagai anak benih. Selain itu, anda juga boleh menggunakan batang serai matang yang diambil dari rumpun serai yang ditanam.
Langkah 2: Rendam anak benih ke dalam bekas
Langkah ini penting bagi anda yang menggunakan anak benih yang dibeli di kedai kerana kebiasaannya anak benih ini tidak mempunyai akar. Jadi, korang ambil batang serai tu dan rendamkan ia ke dalam bekas yang mengandungi air. Langkah ini adalah untuk merangsang pertumbuhan akar. Dalam masa 3 hingga 4 hari, akar akan mula bertunas.
Langkah 3: Penyediaan medium tanah
Tanah yang anda boleh gunakan dan sesuai untuk pertumbuhan pokok ini ialah campuran tanah bakar dengan top soil. Tanah jenis ini boleh didapati dengan mudah di nurseri berhampiran rumah anda.
Langkah 4: Kaedah Menanam
Anda perlu menanam tanaman ini secara menyerong. Pastikan, hanya sebahagian perut serai sahaja yang tenggelam ke dalam medium tanah bersama dengan akar. Jika anda menanam keseluruhan perut serai, berkemungkinan besar serai anda akan mati.
Langkah 5: Menyiram
Di peringkat awal penanaman, anda perlu menyiram sekurang-kurangnya dua kali sehari. Hal ini kerana untuk menggalakkan tahap kematangan dan kestabilan serai kepada medium dan persekitarannya. Selepas 7 hari, anda boleh mengurangkan kadar siraman sekurang-kurang sehari sekali apabila ia mula kelihatan stabil.
Langkah 6: Pembajaan
Untuk mendapatkan serai yang sihat dan gemuk, berikan baja organik seperti air belacan sekurang-kurangnya dua minggu sekali.
Selamat bercucuk tanam. InsyaAllah lepas ni jimat kos ramuan masak .
Sumber :www.impiana.my