Ringkas penyediaannya, namun tetap mampu menambat selera. Sesuai dijadikan hidangan pembuka atau hidangan sampingan untuk dimakan bersama nasi dan lauk pauk lain. Anda boleh mencuba 6 jenis kerabu yang agak ringkas ini tapi dijamin sedap. Pilih mengikut cita rasa anda.

 

1. KERABU DAGING TIMUN

6 Resipi Kerabu Yang Memang Sedap Kalau Makan Waktu Buka Puasa.

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm daging lembu
  • 1 biji timun – hiris nipis
  • 1 batang lobak merah – hiris nipis memanjang
  • 1 biji tomato – cincang kasar
  • 1 batang serai (ambil bahagian dalamnya) – mayang halus
  • 1 biji bawang besar – mayang halus
  • 1 biji cili merah – mayang halus
  • 6 biji cili padi – hiris nipis
  • 2 sudu makan air perahan limau/limau kasturi
  • 1 sudu makan sos ikan
  • 1 sudu makan sos cili Thai
  • Garam, lada sulah dan gula secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Tabur sedikit garam dan lada sulah pada daging lalu panggang hingga masak.  Hiris nipis-nipis. Ketepikan.
  2. Di dalam mangkuk, satukan semua bahan dan gaul rata dan sebati.
  3. Tambah garam dan gula secukup rasa.
  4. Setelah itu, tuang hirisan daging ke dalam mangkuk dan sedia untuk dihidangkan.

Info chef: Lebih enak dihidangkan setelah kerabu disimpan di dalam peti sejuk selama sejam.

 

Ads

2. KERABU JANTUNG PISANG

6 Resipi Kerabu Yang Memang Sedap Kalau Makan Waktu Buka Puasa.

BAHAN-BAHAN:

  • 1 biji jantung pisang – rebus empuk dan hiris nipis
  • ½ cawan kelapa parut – ambil putihnya sahaja
  • 2 biji limau kasturi – perah jusnya
  • 1 sudu makan kerisik
  • Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan B (tumbuk):

  • 4 biji cili merah
  • 4 biji bawang merah (bakar)
  • 3 biji bawang putih (bakar)
  • 3cm belacan bakar

CARA MEMASAK:

  1. Kisar bahan-bahan B hingga lumat dan menjadi pes. Ketepikan.
  2. Di dalam sebuah mangkuk, gaul bahan-bahan bersama kelapa parut, garam dan gula secukup rasa. Gaul sebati.
  3. Masukkan jantung pisang dan kerisik ke dalam mangkuk tersebut. Gaul lagi hingga sebati.
  4. Akhir sekali, tambahkan perahan jus limau kasturi dan gaul sebati.
  5. Sedia dihidangkan.

Info chef: Untuk rasa lebih asli, tumbuk bahan B menggunakan lesung batu berbanding dikisar menggunakan pengisar makanan.

 

3. KERABU MANGGA

6 Resipi Kerabu Yang Memang Sedap Kalau Makan Waktu Buka Puasa.

BAHAN-BAHAN:

  • 1-2 biji mangga muda
  • 50gm ikan bilis – sangai dan tumbuk kasar
  • 1 batang serai (ambil bahagian dalamnya sahaja) – mayang halus
  • 1 biji bawang besar – mayang halus
  • 1 biji cili merah – mayang halus
  • 5 biji cili padi- hiris nipis
  • 1 sudu makan air perahan limau
  • 1 sudu teh sos ikan
  • Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Buah mangga dibuang kulit dan disagat/hiris halus memanjang. Ketepikan.
  2. Kemudian di dalam mangkuk, satukan hirisan mangga, serai, bawang besar, cili merah, cili padi dan sos ikan. Gaul rata.
  3. Tambah garam (jika perlu), gula dan air perahan limau. Gaul sebati.
  4. Akhir sekali tabur ikan bilis dan sedia dihidangkan.

 

4. KERABU PERUT KERISIK

6 Resipi Kerabu Yang Memang Sedap Kalau Makan Waktu Buka Puasa.

BAHAN-BAHAN:

Ads
  • 400gm perut lembu – rebus dan hiris nipis
  • ½ biji kelapa parut – sangai hingga perang
  • 2 biji tomato – cincang nipis & ramas sedikit
  • 2 biji cili merah – mayang halus
  • 6 biji cili padi – hiris nipis
  • 1 biji bawang besar – mayang halus
  • 2 sudu makan kerisik
  • 1 sudu makan air asam jawa
  • Garam dan gula secukup rasa

CARA-MEMASAK:

  1. Di dalam mangkuk, satukan semua bahan dan gaul sebati.
  2. Tambah garam dan gula secukup rasa.
  3. Jika suka boleh tambah  hirisan daun limau purut.

 

 5. KERABU SOTONG ALA THAI

6 Resipi Kerabu Yang Memang Sedap Kalau Makan Waktu Buka Puasa.

BAHAN-BAHAN:

  • 4-5 ekor sotong saiz sederhana – potong dan bersihkan
  • 1 biji tomato – hiris nipis
  • 2 batang kacang panjang – potong pendek
  • 1 biji cili merah – cincang dadu
  • 5 biji cili padi – hiris nipis
  • 1 biji bawang besar – cincang dadu
  • 1 helai daun limau purut – hiris halus
  • 1 batang serai (ambil bahagian dalamnya) – hiris halus
  • 1 sudu makan air perahan limau/limau kasturi
  • Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Tabur sedikit garam pada sotong lalu kukus hingga masak.
  2. Satukan sotong, kacang panjang, tomato, cili merah, cili padi, bawang besar, daun limau purut dan serai di dalam satu mangkuk.
  3. Tambah air perahan limau dan gaul sebati.
  4. Tambah garam dan gula secukup rasa dan gaul hingga semua bahan sebati.

 

Ads

6. KERABU SUHUN SIAM

6 Resipi Kerabu Yang Memang Sedap Kalau Makan Waktu Buka Puasa.

BAHAN-BAHAN:

  • 200gm suhun
  • 10 ekor udang sederhana besar – bersihkan dan celur
  • 1 biji tomato – cincang kasar
  • 1 biji cili merah – hiris nipis
  • 1 biji bawang besar – mayang halus
  • 3 biji bawang putih jeruk – mayang halus
  • 1 sudu makan sos ikan
  • 2 sudu makan air perahan limau/limau kasturi
  • Daun ketumbar – cincang halus
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Bijan – sangai (jika suka)

CARA MEMASAK:

  1. Suhun direndam sebentar dan celur. Toskan.  
  2. Satukan suhun, udang, tomato, cili merah, bawang besar, bawang putih jeruk dan gaul rata.
  3. Tambah sos ikan, air perahan limau, garam (jika perlu) dan gula secukup rasa.  Gaul sebati.
  4. Tabur cincangan daun ketumbar dan bijan sangai.

 

 

 

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI