6 Resipi Lauk Berbuka Guna Daging.Mudah,Cepat & Sedap.

Share

Dalam peti sejuk ada daging tapi kurang pasti nak masak apa untuk berbuka? Usah pening-pening kerana enam idea lauk berbuka menggunakan daging ini boleh membantu anda. Ada yang berkuah ada yang dimasak kering. Malah lauk berbuka menggunakan daging ini juga sesuai dinikmati sewaktu sahur nanti. Selamat mencuba!

 

KOLEKSI RESIPI MENGGUNAKAN DAGING

 

 1. KURMA DAGING

BAHAN-BAHAN:

  • 150gm daging
  • 1 biji kentang – belah empat
  • 1 biji bawang besar  – kisar
  • 2 ulas bawang putih – kisar
  • 5cm halia – kisar
  • 1 biji cili hijau  – hiris
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 2 kuntum bunga cengkih
  • 4 biji buah pelaga
  • 3cm kulit kayu manis
  • 1 tangkai daun kari
  • 1 sudu makan serbuk kurma
  • 50ml santan pekat
  • 250ml air
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu teh serbuk pati ayam
  • 1 sudu teh gula
  • Minyak untuk menumis secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak. Tumis bahan yang dikisar bersama bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga, kulit kayu manis, daun kari dan cili hijau hingga wangi.
  2. Masukkan santan dan rempah kurma, tumis hingga pecah minyak.
  3. Kemudian masukkan daging, ubi kentang dan air. Masak sehingga daging benar-benar lembut dan kentang empuk.  Bolehlah ditambahkan air sekiranya daging dan kentang belum cukup masak.
  4. Biar mereneh sehingga kuah agak memekat. Kemudian barulah dimasukkan garam, serbuk pati ayam dan gula secukup rasa. Kacau sebentar dan tutup api.
  5. Sedia untuk dihidang.

Info Chef:-  Untuk mendapat rasa seperti kurma daging Burma, bolehlah dimasukkan daun ketumbar yang telah dihiris pada lima minit terakhir proses memasak.

 

2. DAGING MASAK HITAM KETUMBAR

BAHAN-BAHAN:

  • 150gm daging – hiris nipis
  • 10 tangkai cili kering – kisar
  • 1 biji bawang besar – kisar
  • 4 ulas bawang putih – kisar
  • 5 cm halia – kisar
  • 1 sudu teh serbuk ketumbar
  • 1 sudu teh serbuk jintan manis
  • 1 sudu teh serbuk jintan putih
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 4 biji buah pelaga
  • 2 kuntum bunga cengkih
  • 3cm kulit kayu manis
  • 1 sudu teh biji ketumbar – Tumbuk kasar dan digoreng
  • 2 sudu teh cuka
  • 15ml kicap manis
  • 1 sudu teh serbuk pati ayam
  • Minyak untuk menumis dan menggoreng secukupnya

 

CARA MEMASAK:-

  1. Daging direbus bersama cuka sehingga  daging lembut dan air rebusan tersebut kering. Kemudian gaul daging bersama 5ml kicap serta digoreng sebentar dengan api yang besar selama 3 minit dan angkat. Ketepikan.
  2. Di dalam kuali yang sama, tumis bahan yang dikisar bersama serbuk ketumbar, jintan manis, jintan putih, bunga lawang, cengkih, buah pelaga dan kulit kayu manis sehingga garing dan pecah minyak.
  3. Setelah itu masukkan baki kicap manis, serbuk pati ayam dan daging. Kacau sebentar dan tutup api. Tabur biji ketumbar yang telah digoreng ke atas daging.
  4. Siap untuk dihidang.

Info Chef:-  Untuk mendapatkan warna daging yang benar-benar hitam, bolehlah ditambah satu sudu teh kicap pekat ke dalam bahann yang ditumis.

 

3. DAGING MASAK HALIA

BAHAN-BAHAN:

  • 150gm daging – potong nipis
  • 2 sudu teh sos ikan
  • 1 sudu teh minyak bijan
  • 1 sudu teh gula
  • 5cm halia – hiris nipis dan halus
  • 1 biji bawang besar – hiris
  • 2 ulas bawang putih – hiris
  • 1 biji cili merah – hiris
  • 1 sudu teh cuka
  • 1 sudu teh garam
  • Sedikit air
  • 3 sudu besar minyak

CARA MEMASAK:-

  1. Daging diperap bersama sos ikan, minyak bijan dan sedikit gula selama 15 minit. Setelah itu goreng daging dengan api yang besar selama 3-5 minit. Angkat dan ketepikan.
  2. Dalam kuali yang sama, tumis halia, bawang besar, bawang putih, cili merah hingga naik wangi. Kemudian masukkan cuka, sedikit gula dan sedikit air, anggaran 1-2 sudu makan.
  3. Akhir sekali masukkan semula daging yang telah digoreng dan kacau sebentar. Tutup api.
  4. Sedia untuk dihidang.

Info chef: Jika suka, boleh tambah sedikit jumlah halia supaya lebih terasa halianya.

 

4. DAGING MASAK BOMBAY

BAHAN-BAHAN:

BAHAN A:

  • 150gm daging – potong nipis dan digoreng separuh masak
  • 50ml pati santan
  • 1 tangkai daun kari
  • 10 tangkai cili kering – kisar
  • 1 biji bawang besar  – kisar
  • 2 ulas bawang putih – kisar
  • 5cm halia – kisar
  • 5cm lengkuas – kisar
  • 1 batang serai – kisar
  • 1/2 sudu teh serbuk jintan manis
  • 1/2 sudu teh serbuk jintan putih
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 4 biji buah pelaga
  • 3cm kulit kayu manis
  • 1 sudu teh serbuk kari daging
  • 2 sudu makan kicap masin
  • 1 sudu teh gula pasir
  • 1/2 sudu teh serbuk pati ayam
  • Minyak untuk menumis secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak di dalam kuali, masukkan bahan yang telah dikisar, bersama daun kari, jintan manis, jintan putih, bunga lawang, buah pelaga, kulit kayu manis, serbuk kari daging dan santan. Masaklah hingga pecah minyak.
  2. Setelah itu masukkan kicap masin, gula dan pati ayam, kacau sebentar.
  3. Akhir sekali masukkan daging, kacau selama 2-3 minit dan tutup api.
  4. Sedia dihidang.

Info chef: Tidak perlu tambah garam kerana sudah menggunakan kicap masin di dalam resipi. Tetapi terpulang kepada cita rasa masing-masing.

 

5. DALCA DAGING ALA MAMAK

BAHAN-BAHAN:

  • 40gm rempah dalca
  • ½ kg daging- dipotong kecil
  • 125gm kacang dhal
  • 350ml santan
  • 2 inci halia
  • 7 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 2 biji kentang
  • 2 biji terung bulat
  • 1 batang lobak merah
  • 2 biji tomato
  • 5 tangkai kacang panjang
  • Sedikit rempah 3 sekawan
  • 125ml air asam jawa
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Rebus kacang dhal sehingga empuk.
  2. Sementara itu, kisar bawang merah bersama bawang putih dan halia.
  3. Tumiskan bahan-bahan tersebut sehingga naik baunya.
  4. Masukkan bahan-bahan kisar bersama rempah dalca.
  5. Masukkan daging dan biarkan sampai empuk
  6. Masukkan santan, air asam jawa, kacang dhal dan ubi kentang dan masak hingga empuk.
  7. Kemudian, masukkan terung, lobak merah, tomato dan kacang panjang.
  8. Masukkan garam secukup rasa dan biarkan mendidih

Info Chef: Kacang dhal hendaklah direbus terlebih dahulu untuk memastikan ia masak lebih sempurna.

 

 6. DAGING SALAI CICAH AIR ASAM

 BAHAN-BAHAN:

  • 1 batang daging batang pinang
  • 20gm serbuk kunyit

BAHAN AIR ASAM:

  • 1 biji bunga kantan – dimayang halus
  • 3 tangkai daun kesum  – dimayang halus
  • 1 biji bawang besar  – dimayang halus
  • 1 biji tomato  – dipotong halus
  • 5 tangkai cili padi  – dipotong halus
  • 200gm asam jawa
  • 300ml air
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Lumurkan daging  dengan serbuk kunyit dan salai @ bakar selama 20 minit.
  2. Kemudian untuk membuat air asam pula, satukan bahan mayang halus, bahan dipotong dadu dan bahan dipotong halus ke dalam bekas bersesuaian.
  3. Setelah itu, gaulkan asam jawa dan air di dalam bekas lain dan tapis. Curah ke dalam bekas berisi bahan-bahan tadi. Perasakan secukupnya.
  4. Akhir sekali, potong daging salai nipis-nipis dan hidangkan bersama air asam.

Info Chef: Aroma daging salai yang harum menjadikannya enak dimakan bersama nasi putih dan aneka ulaman.

 

 

 

 

 

 

 

 

Published by
Nur