6 Resipi Lauk Mudah Citarasa Orang Kampung Yang Boleh Masak Dengan Bajet Murah.

Share

Pada zaman yang serba mencabar ini, soal perbelanjaan barangan dapur sangat memerlukan perancangan yang teliti. Lebih-lebih lagi sekiranya memiliki keluarga yang besar. Maka, sangat penting untuk membuat bajet sebaik mungkin, termasuk bajet membeli stok makanan basah untuk dimasak hari-hari. Kali ini RASA kongsikan resipi lauk pauk kampung yang anda boleh hasilkan dengan kos yang murah. Boleh cuba.

1. DAGING GORENG HALIA

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm daging |hiris
  • 3 ulas bawang putih | kisar
  • 5 ulas bawang merah |kisar
  • 5cm halia | hiris keping
  • 2 sudu sos tiram
  • Sedikit daun bawang
  • Sedikit cuka
  • Sedikit air
  • Gula secukupnya
  • Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Tumis bahan kisar sehingga naik bau.
  2. Masukkan daging dan sedikit air.
  3. Masukkan cuka, gula, sos tiram.
  4. Akhir sekali masukkan daun bawang.

Info chef: Resipi ini tidak menggunakan garam kerana sos tiram sudah masin.

2. AYAM MASAK KICAP

BAHAN-BAHAN:

  • 1/4 ekor ayam |bubuh garam/kunyit dan goreng
  • 1 biji bawang besar | potong wedges
  • 3 ulas bawang putih |kisar
  • 6 ulas bawang merah | kisar
  • 5cm halia | kisar
  • 2 helai daun bay
  • 1/2 biji cili benggala
  • 4 sudu makan kicap
  • Sedikit cuka
  • Sedikit air
  • Garam dan gula secukupnya
  • Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Tumis bahan kisar sehingga naik bau.
  2. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi.
  3. Masukkan cuka, kicap dan gula secukup rasa. Akhir sekali masukkan bawang besar dan cili benggala.
  4. Angkat dan sedia dihidangkan

Info chef: Enak dimakan bersama nasi panas.

3. IKAN KUAH LADA

BAHAN-BAHAN:

  • 3 keping ikan tenggiri
  • 3 ulas bawang putih | kisar
  • 6 ulas bawang merah |kisar
  • 8 sudu cili kering kisar
  • 2.5cm kunyit hidup | kisar
  • 1 tangkai daun kari
  • 2.5cm halia  kisar
  • 1 sudu kecil ketumbar |sangai dan kisar
  • 1 sudu kecil jintan manis |sangai dan kisar
  • 1 sudu kecil jintan putih |sangai dan kisar
  • 1 sudu lada hitam – sangai dan kisar
  • 5cm kelapa keping bakar
  • 5 batang kacang bendi
  • 2 biji tomato |belah empat
  • 750ml air
  • Asam jawa dan garam secukupnya
  • Minyak untuk menumis secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Tumis bahan kisar termasuk kelapa bakar sehingga naik bau Masukkan cili. Apabila cili sudah garing, masukkan 250ml  air.
  2. Masukkan ikan. Biar mendidih sebentar.
  3. Kemudian masukkan perahan asam jawa bersama 500ml air tadi. Perasakan dengan garam secukup rasa Akhir sekali masukkan sayur bendi dan tomato bulat.
  4. Angkat dan sedia dinikmati.

Info chef: Kelapa bakar itu perlu dibakar hingga hangus. Kemudian Kikis  bahagian yang hangus dan ambil isi tengah. Kemudian kisar.

4. DAGING MASAK MERAH ALA THAI

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm daging | direbus bersama pewarna merah
  • 1 biji bawang besar | hiris bulat
  • 3 ulas bawang putih |kisar
  • 5 ulas bawang merah |kisar
  • 2.5cm halia | kisar
  • 1 sudu makan sos ikan
  • 1 sudu makan sos cili
  • 2 sudu makan sos tomato
  • 1/2 biji lada benggala hijau
  • Sedikit air
  • Garam dan gula secukupnya
  • Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Tumis bahan kisar sehingga naik bau wangi.
  2. Masukkan daging dan sedikit air. Kacau sebati dan biar mereneh.
  3. Masukkan sos tomato, sos cili dan sos ikan. Akhir sekali masukkan cili benggala. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  4. Angkat dan sedia dihidangkan.

Info chef: Jika anda suka kurang masin, tidak perlu masukkan garam kerana sudah ada sos-sos yang memberikan rasa pada masakan.

5. SAMBAL IKAN TONGKOL

BAHAN-BAHAN:

  • 3 keping isi ikan tongkol | bubuh garam kunyit dan goreng
  • 1 biji bawang besar | hiris bulat
  • 3 ulas bawang putih | kisar
  • 8 ulas bawang merah | kisar
  • 6 biji cili merah |kisar
  • 1 batang serai |titik
  • 4 biji cili padi |kisar
  • 2 biji tomato |belah empat
  • 1 keping asam keping
  • Gula dan garam secukup rasa
  • Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Tumis bahan kisar dan serai yang dititik sehingga terbit bau.
  2. Masukkan cili, tumis sampai garing
  3. Masukkan pula ikan yang sudah digoreng tadi dan sedikit air.
  4. Masukkan asam keping, diikuti dengan gula dan garam secukup rasa. Akhir sekali masukkan bawang besar hiris dan tomato. Gaul sebati.
  5. Angkat dan sedia dihidangkan.

Info chef: Jika tidak suka terlalu pedas, tidak perlu masukkan cili padi.

6. DAGING TETEL MASAK SAMBAL

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm daging tetel | direbus hingga empuk
  • 3 ulas bawang putih |kisar
  • 5 ulas bawang merah |kisar
  • 3 sudu cili kering kisar
  • 1 batang serai | dititik
  • Sedikit asam jawa
  • Sedikit air
  • Garam dan gula secukupnya
  • Minyak untuk menumis secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Tumis bahan kisar sehingga naik bau wangi. Masukkan serai yang telah dititik dan cili kering kisar. Kacau sebati.
  2. Pastikan sehingga cili cukup garing barulah masukkan daging tetel diikuti sedikit air. Biar ia mendidih.
  3. Perasakan dengan gula dan garam secukup rasa.
  4. Angkat dan sedia dihidangkan.

Info chef: Jika hendak lebih berkuah, boleh tambah lebih air. Begitu juga sebaliknya.

 

 

 

 

Published by
Nur