Untitled design - 2019-10-24T111531.266

Kreatif dan sungguh melekakan bila melihat idea masakan di dalam instagram. Mereka yang tidak tahu memasak pun terdorong untuk mempelajari cara memasak bila gambar masakan yang dimuat naik membuat kita rasa terliur nak merasa. Berkongsi cerita dengan pemilik instagram daddyisthechef, Muhamad Azlan Hassan, 45 tahun, mula aktif akaun instagram pada Mei 2016 dengan niat untuk menyimpan dan berkongsi resipi serta gambar masakan untuk rujukan diri sendiri dan juga follower.

Idea tercetus

“Pada tahun 2006 saya create blog daddyinthecity…blog mengenai kehidupan seharian (macam diary) daddy dengan anak-anak perempuannya. Tapi nama panjang sangat nak sebut..jadi panggil ditc je…bila saya dah berhenti kerja dan ada banyak masa untuk saya concentrate memasak…wife saya cadang untuk buka akaun ig…untuk share apa yang saya masak dan juga resipi.

Tapi dia tak nak letak nama saya sebagai nama ig…dia nak create nama ig sebagai branding…masa tu mungkin dia terpengaruh dengan konsep fashion valet by vivy yusof.Jadi dia nak saya masak guna resipi yang di improvise dan jadi influencer kepada igers.. Kebetulan sebelum ni saya memang in that line…R&D engineer dan selalu keluarkan idea untuk produk baru. Jadi dia suruh saya gunakan skill R&D saya tu dalam masakan,maka dia nak kekalkan nama ditc,maka jadilah daddy is the chef.

Konsep ig daddyisthechef pulak ialah untuk tunjukkan kepada igers..recipe improvisation, food presentation yang menarik dan caption yang funny dan menghiburkan. Buat masa ini, saya dah ada dekat 90 resipi yang dikongsi dalam blog dan juga mula mengeluarkan merchandise dadyisthechef. Hanya menggunakan handphone dan photo editor untuk mendapatkan gambar yang cantik dan dimuat naik dalam insta,” ceritanya.

Minat memasak
Minat memasak sejak di bangku sekolah, malah kalau diberikan pilihan untuk memilih kerjaya sebagai jurutera atau chef, Azlan memilih untuk menjadi chef. Sayangnya ketika itu tidak diberikan pilihan oleh keluarga. “Orang yang mula-mula mengajar saya memasak ialah ibu saya. Selepas tamat sekolah, saya belajar memasak dengan kawan yang mempunyai sebuah restoran tomyam. Menu pertama yang saya belajar dan masak ialah tomyam. Semasa saya belajar di UK, kawan-kawan saya memanggil saya dengan nama Lan Tomyam,” ujarnya.

6 Resipi Masakan Harian Air Tangan @daddyisthechef

Bertugas sebagai jurutera selama 20 tahun dan kini sepenuh masa menguruskan rumah tangga memberi peluang kepada Azlan untuk mencipta resipi yang digemari keluarga. Akui Azlan,sebelum ini isteri yang sering memasak namun sejak menjadi househusband,setiap hari dia akan memasak manakala isteri memasak di hari minggu. “Saya masak berdasarkan apa yang diminta oleh anak-anak. Mereka yang memberi idea dan menu untuk saya masak. Semestinya makanan yang bersih, sedap dan lazat serta menyihatkan untuk dihidangkan buat keluarga.

Anak-anak juga memilih makan,jadi menu-menu masakan mereka yang pilih. Kadang kala food presentation pun dorang berkira..kena betul-betul cantik…macam dalam rancangan masakan. Saya jarang tengak rancangan masakan seperti masterchef, AFC tapi mereka yang selalu tengok sebab itu mereka banyak bagi idea dan suruh saya masak. Disebabkan saya tidak pernah menyertai mana-mana kelas memasak, jadi saya belajar di youtube dan blog terutamanya menu-menu barat. Saya berminat dengan blog dan youtube yang ada menyediakan tip memasak dan cara-cara memasak yang betul.

Masakan yang menjadi kegemaran keluarga (hidangan wajib yang mereka selalu minta ialah seperti chocolate brownies, creme brulee, mongolian beef, tomyam, enchiladas dan pasta. Memasak dapat memberikan kegembiraan dan kepuasan terutamanya bila apa yang kita masak menjadi dan mereka yang menikmati masakan kita suka dengan masakan kita hingga bertambah-tambah bila makan. Selain itu, memasak dapat memberikan ketenangan kerana ia satu terapi di mana dapat mengalihkan fikiran dari pelbagai masalah atau perkara lain kerana memasak memerlukan fokus.

Ads

Azlan juga bersetuju bahawa “air tangan” ibu atau bapa dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Apa saja yang dimasaknya atau isteri, anak-anak akan suka dan mereka dapat membezakan dengan masakan luar. Sebagai contoh, setiap kali dia masak menu yang sama dengan menu restoran kegemaran mereka, selepas itu mereka tidak lagi berminat untuk makan di luar kerana mereka kata daddy boleh masak dan lagi sedap.

6 Resipi Masakan Harian Air Tangan @daddyisthechef

Shellout
Bahan-bahan makanan laut:
3-4 ekor ketam | potong 4
6-8 ekor sotong
10-12 ekor udang
500gm lala

Cara memasak:
1. Cuci bersih semua makanan laut.
2. Didihkan air bersama sedikit garam, kemudian direbus secara berasingan sekadar 3/4 masak.
3. Tos dan ketepikan.

Bahan-bahan sayuran:
Jagung manis | potong 3
Brokoli | dipotong kecil

Cara memasak:
1. Celurkan brokoli
2. Rebus jagung hingga empuk

Bahan-bahan sos:
5 ulas bawang merah | dihiris
5 ulas bawang putih | dihiris
1 inci halia | dihiris
2 tangkai daun kari
2 biji bawang besar | potong 4
1 paket serbuk kari udang, ketam dan ikan kering Adabi
2 paket perencah ikan bakar Adabi
1 sudu makan sos tiram
1 cawan air
2 sudu teh gula
1 sudu teh garam

Cara memasak:
1. Panaskan minyak, tumiskan bawang merah, bawang putih, halia dan daun kari hingga naik bau.
2. Masukkan serbuk kari dan perencah ikan bakar, kacau rata.
3. Masukkan sos tiram, gula dan garam, kacau rata.
4. Masukkan air, kacau rata dan biarkan sehingga mendidih.
5. Masukkan semua makanan laut dan gaul sebati.
6. Taburkan bawang besar dan tutup kuali selama lima minit.
7. Buka penutup, tutup api dan tuangkan ke atas meja yang telah di alas.
8. Taburkan sayuran dan bolehlah dihidangkan.


6 Resipi Masakan Harian Air Tangan @daddyisthechef

Scallop Buttermilk Pasta
Bahan-bahan:
1 paket mix vege pasta
10-12 scallop
1 cawan susu sejat
2 ulas bawang putih | dicincang
2 sudu makan + 1 sudu teh mentega
1 tangkai daun kari
1 sudu teh serbuk Cayenne pepper atau Paprika
1/2 sudu makan Parmesan cheese (sebagai pilihan)
Secubit garam
Secubit serbuk lada hitam

Cara memasak:
1. Panaskan air yang penuh hingga mendidih di dalam periuk dan rebus spageti sehingga masak.
2. Tos dan ketepikan.
3. Bersihkan scallop dengan lemon.
4. Masukkan ke dalam kuali tidak melekat.
5. Letakkan satu sudu teh mentega di atas scallop.
6. Taburkan sedikit serbuk cayenne dan garam.
7. Buka api perlahan, kemudian tutup kuali dan biarkan selama 6-8 minit. Ketepikan.
8. Panaskan mentega sehingga cair dan tumis bawang putih dan daun kari sehingga naik bau.
9. Masukkan susu sejat dan serbuk cayenne. Kacau rata.
10. Masak dengan api sederhana hingga susu mendidih.
11. Kecilkan api, masukkan parmesan dan kacau rata.
12. Kemudian masukkan secubit garam serta lada hitam.
13. Masak sehingga kuah sedikit pekat. Tutup api.
14. Hidangkan pasta dan scallop dalam mangkuk dan tuangkan sos ke dalamnya.

6 Resipi Masakan Harian Air Tangan @daddyisthechef
Tomyam Kelapa Muda Kepala Ikan Salmon
Bahan-bahan:

1 biji kelapa muda | ambil air & isinya
1 ketul kepala ikan salmon
2 cawan air
2 paket perempah tomyam Adabi
3 inci lengkuas | diketuk
2 batang serai | dititik
4 helai daun limau purut
10 biji cili api merah
1 biji bawang besar | dipotong baji
4 sudu makan perahan air limau
1 biji tomato | potong 8 bahagian
Daun bawang
Daun ketumbar
Daun selasih

Cara memasak:
1. Potong bahagian atas kelapa muda, keluarkan isi dan air kelapa. Asingkan dan ketepikan.
2. Masukkan air kelapa dan air ke dalam periuk bersama perencah tomyam, cili api, bawang besar, serai dan lengkuas.
3. Biarkan sehingga mendidih. Kemudian masukkan kepala ikan salmon.
4. Tutup periuk selama 5 minit.
5. Masukkan tomato, daun limau dan perahan air limau.
6. Biarkan mendidih dan tutup api.
7. Masukkan daun bawang, daun ketumbar dan daun selasih.
8. Masukkan isi kelapa ke dalam buah kelapa.
9. Kemudian masukkan bahan-bahan dan kepala ikan.
10. Tuangkan kuah tomyam dan bolehlah dihidangkan.

6 Resipi Masakan Harian Air Tangan @daddyisthechef

Sotong Vindaloo
Bahan-bahan:

5 ekor sotong
1 biji bawang besar | dicincang
4 biji tomato ceri | belah dua
1/4 sudu kecil biji lada hitam
2 sudu teh gula merah
1 sudu teh garam
3 sudu makan minyak

Ads

Bahan kisar:
1/4 cawan cuka
4 kuntum bunga cengkih
5 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 sudu makan serbuk cili (lebihkan kalau nak pedas)
1/2 sudu teh serbuk kunyit
1/2 sudu teh serbuk paprika
1/4 sudu teh serbuk kulit kayu manis
1/2 sudu teh serbuk jintan putih
1/2 sudu teh biji sawi

Cara memasak:
1. Masukkan kesemua bahan kisar dan kisar sehingga lumat dan menjadi pes.
2. Bersihkan sotong, tos dan keringkan.
3. Masukkan sotong, pes dan 1 sudu teh garam ke dalam mangkuk. Gaul sebati dan perap selama setengah jam.
4. Panaskan minyak di dalam kuali, masukkan bawang dan goreng sehingga layu.
5. Masukkan lada hitam dan sotong yang telah diperap tadi.
6. Kacau rata, tutup kuali dan biarkan lebih kurang 3-4 minit.
7. Buka penutup, keluarkan sotong dan ketepikan.
8. Masukkan gula dan tomato, kacau rata.
9. Buka api sederhana besar, biarkan mendidih selama 2-3 minit sehingga kuah hampir pekat.
10. Masukkan balik sotong, kacau rata sebentar dan tutup api. Bolehlah dihidangkan.

6 Resipi Masakan Harian Air Tangan @daddyisthechef

Ketam Masak Cili
Bahan A: (dikisar)

4 hiris lengkuas
8 ulas bawang putih
6 ulas bawang merah
10 biji cili kering
3 biji cili padi
5 biji cili merah
6 biji buah keras
1 sudu makan belacan (yang telah dibakar)
Air limau (1 biji limau)

Bahan B:
2 ekor ketam – dibersihkan dan dipotong 2 atau 4
5 sudu makan minyak
5 sudu makan sos tomato
1 sudu teh taucu
1/2 sudu teh garam
3 sudu makan gula
1 cawan air panas
2 biji telur

Cara memasak:
1. Panaskan minyak di dalam kuali leper.
2. Masukkan bahan A dan goreng sampai pecah minyak dan naik bau.
3. Masukkan bahan B dimulakan dengan sos tomato, taucu, garam dan gula. Kacau rata
4. Kemudian masukkan ketam. Kacau dan sebatikan.
5. Tuangkan air panas dan tutup kuali dengan penutup.
6. Biarkan selama 10 minit dengan api sederhana.
7. Bancuhkan telur di dalam mangkuk dan masukkan ke dalam kuali. Kacau rata dan sebatikan.
8. Tutup api dan boleh dihidangkan.

6 Resipi Masakan Harian Air Tangan @daddyisthechef

Sotong Sumbat Percik
Bahan-bahan:

5 ekor sotong
1/2 cawan kacang peas (boleh juga gunakan segenggam bayam)
2 biji telur
Sedikit garam
Sedikit lada hitam

Ads

Cara memasak:
1. Rebus kacang peas sehingga empuk
2. Pukul telur bersama garam dan lada hitam.
3. Kemudian tuangkan telur tadi ke dalam kuali dan kacau telur sehingga menjadi telur hancur (scramble egg). Tetapi jangan terlalu masak, biarkan telur sedikit basah.
4. Masukkan kacang peas ke dalam kuali dan gaulkan sekali dengan telur tadi. Ketepikan
5. Rebus air di dalam periuk kecil sehingga mendidih. Matikan api dan masukkan sotong yang telah dibersihkan ke dalam periuk tadi selama dua minit.
6. Angkat sotong, toskan dan sumbat telur di dalam sotong sehingga padat tetapi 3/4 penuh.
7. Sambungkan kepala sotong dan cucuk dengan pencungkil gigi untuk melekatkannya.

Bahan kuah percik:
1 kotak santan pekat (200ml)
8 ulas bawang merah
1 inci halia
1 batang serai
3-5 tangkai cili kering – ikut kepedasan masing-masing
1 1/2 sudu makan gula merah
1 keping asam keping
Garam secukup rasa

Cara memasak:
1. Kisar bawang, serai, halia dan cili kering
2. Masukkan bahan kisar bersama santan dan setengah cawan air ke dalam periuk
3. Kemudian masak atas dapur dengan api perlahan sambil terus dikacau.
4. Masak sehingga kuah pekat (kuah menjadi lebih kurang separuh daripada kuah sebelum dimasak)
5. Masukkan garam, gula dan asam keping
6. Sesuaikan rasa, tutup api dan bolehlah diangkat. Kemudian keluarkan asam keping tadi.

Proses merecik:
1. Bakar sotong seketika sambil balik-balikkan sotong supaya masak sekata.
2. Apabila sotong mulai sedikit garing, lumur bahan kuah ke badan sotong dan bakar seketika sambil dibalik-balikkan sotong.
3. Kemudian masukkan sotong ke dalam pinggan dan tuang lebihan bahan kuah ke atas sotong.
*kalau tak nak bakar sotong, boleh digoreng dengan mentega tetapi pastikan sotong itu dibalik-balikkan dan lumur bahan kuah apabila sotong mulai garing.


6 Resipi Masakan Harian Air Tangan @daddyisthechef

Udang Masala
Bahan-bahan:
300gm udang
½ sudu teh serbuk kunyit
2 sudu teh serbuk cili
½ sudu teh serbuk jintan manis
2 sudu teh serbuk ketumbar
1 inci halia*
1 ulas bawang putih*
*dikisar
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
1 biji bawang besar | dicincang
2 biji cili padi | di belah dua
¼ sudu teh garam
1 sudu teh gula
2 sudu makan tomato puri
1 tangkai daun kari
2 sudu makan minyak kelapa atau minyak sayuran

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih dan serbuk jintan manis sehingga naik bau.
2. Masukkan bawang dan goreng hingga layu dan warna kekuningan.
3. Masukkan pula bahan kisar, cili padi, serbuk kunyit, serbuk cili, tomato puri, garam dan gula. Kacau rata dan masak sehingga pecah minyak.
4. Kecilkan api dan masukkan udang dan daun kari. Kacau rata
5. Tutup kuali dan biarkan udang ¾ masak.
6. Kemudian buka penutup, masukkan serbuk ketumbar, besarkan api dan kacau sehingga sebati.
7. Padamkan api dan bolehlah dihidangkan.

Foto&Resipi : Muhamad Azlan Hassan

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI