6 Resipi Pes Homemade Yang Anda Boleh Buat Stok Di Rumah.

Share

Memasak bukanlah tugasan yang mudah. Tidak kira suri rumah atau yang bekerjaya, aktiviti memasak ni tentunya mengambil masa dan memenatkan. Oleh itu, ada cara yang boleh membantu kaum ibu supaya dapat memasak dengan lebih cepat dan mudah. Menerusi perkongsian saudari Rarra Sakura, beliau berkongsi enam resipi pes serbaguna yang boleh dijadikan stok masakan anda. Lebih istimewa, kesemua pes ini tidak menggunakan pengawet dan boleh tahan berbulan-bulan. Memang berbaloi.  Jom cuba.

1. PES SAMBAL IJO ALA PADANG

BAHAN-BAHAN:

  • 20 biji cili hijau besar (*)
  • 10 biji cili api hijau (*)
  • 10 ulas bawang merah (*)
  • 8 ulas bawang putih (*)
  • 5 biji tomato hijau yang muda (*)
  • 1 kiub bilis
  • 3 helai daun limau purut
  • Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Bahan bertanda (*) direbus sampai lembik sikit. Kemudian lenyek menggunakan lesung batu ataupun kisar kasar menggunakan blender.
  2. Panaskan minyak, tumis semua bahan sampai pecah minyak. Masukkan kiub bilis, perasakan dengan garam dan gula serta masukkan daun limau purut.
  3. Masak biar pes sambal jadi pekat atau kering. Padamkan api. Bila dah sejuk, masukkan ke dalam bekas bertutup yang kedap udara.
  4. Simpan dalam peti sejuk beku dan bila nak guna, pastikan guna sudu yang kering dan bersih.

 

2. PES TOMYAM

BAHAN-BAHAN:

  • 20 biji cili kering – rebus kemudian goreng garing menggunakan minyak (*)
  • 15 ulas bawang putih (*)
  • 10 ulas bawang merah (*)
  • 10 batang serai (*)
  • 8 helai daun limau purut (*)
  • 2 inci lengkuas (*)
  • 2 inci halia (*)
  • 3 sudu makan udang kering (*)
  • 1/4 keping gula melaka
  • 3cm belacan bakar (*)
  • Air asam jawa
  • 3 sudu makan sos ikan (nampla sauce)
  • Air, minyak masak dan garam secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Kisar semua bahan bertanda (*) dengan sedikit air atau lebihan minyak goreng cili tadi. Kisar halus.
  2. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar tadi sampai pekat.
  3. Masukkan air asam jawa, sos ikan, gula melaka dan garam secukupnya. Teruskan masak hingga betul-betul pecah minyak dan pekat.
  4. Bila pes kelihatan masak sempurna, sejukkan. Masukkan pes ke dalam bekas kedap udara dan simpan dalam peti sejuk beku. Bila nak guna, keluarkan dan masukkan ke dalam masakan tomyam, bihun goreng dan sebagainya.

 

3. PES MASAK KICAP BEREMPAH

BAHAN-BAHAN:

  • 20 biji cili kering – goreng dengan minyak sampai garing (*)
  • 10 ulas bawang merah (*)
  • 8 ulas bawang putih (*)
  • 2 inci halia (*)
  • Air asam jawa secukupnya
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 1 kiub pati ikan bilis
  • Minyak masak secukupnya
  • 4 sudu makan sos cili
  • 4 sudu makan sos tiram
  • 4 sudu makan kicap manis
  • 4 sudu makan kicap masin

BAHAN GORENG TANPA MINYAK:
2 sudu makan jintan manis
2 sudu makan jintan kasar
1 sudu makan lada hitam biji
1 sudu makan ketumbar biji

CARA MEMASAK:

  1. Satukan bahan bertanda (*), bahan goreng tanpa minyak dan sedikit minyak gorengan cili. Kisar hingga lumat.
  2. Tuang ke dalam kuali dan tumis hingga garing dan pecah minyak.
  3. Perasakan pes dengan air asam jawa, kiub pati ikan bilis, garam, gula dan kesemua jenis sos. Kacau sebati.
  4. Masak hingga pes menjadi pekat atau kering. Padamkan api dan sejukkan.
  5. Simpan dalam bekas kedap udara dan simpan dalam peti sejuk beku.

 

4. PES ASAM PEDAS

BAHAN-BAHAN:

  • 20 biji cili kering – rebus terlebih dahulu (*)
  • 10 biji cili merah – rebus terlebih dahulu (*)
  • 5 biji cili padi – rebus terlebih dahulu (*)
  • 15 ulas bawang merah (*)
  • 10 ulas bawang putih (*)
  • 2 inci lengkuas (*)
  • 2 inci halia (*)
  • 2 inci belacan bakar (*)
  • 1 sudu makan biji ketumbar (**)– jika tidak suka, boleh abaikan penggunaannya
  • 1 sudu makan jintan manis (**)– jika tidak suka, boleh abaikan penggunaannya
  • Air asam jawa, garam dan gula secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Kisar bahan bertanda (*) dan (**) sampai sebati.
  2. Panaskan minyak dan tumis sampai garing dan pecah minyak. Perasakan dengan garam, air asam jawa dan gula dengan secukupnya.
  3. Bila pes dah jadi pekat atau kering, padamkan api dan biarkan sejuk.
  4. Simpan pes dalam bekas kedap udara dan simpan dalam peti sejukbeku.

 

5. PES CILI PADI

BAHAN-BAHAN:

  • 20 biji cili padi merah – rebus
  • 20 biji cili merah besar -rebus
  • 2 inci kunyit hidup
  • Garam secukupnya
  • Sedikit air panas atau suam

CARA MEMASAK:

  1. Kisar semua bahan dengan sedikit air. Pastikan guna air panas atau suam. Lagi bagus kalau bahan-bahan tadi dikisar kering.
  2. Kemudian masukkan ke dalam bekas kedap udara dan simpan dalam peti sejukbeku.
  3. Pes ini sesuai digunakan jika masak gulai atau masakan yang tidak menggunakan bawang.

 

6. PES SAMBAL SERBAGUNA UNTUK IKAN/AYAM/SEAFOOD

BAHAN-BAHAN:

  • 20 biji cili kering – rebus (*)
  • 20 biji cili merah – rebus (*)
  • 4 biji tomato (*)
  • 15 ulas bawang merah (*)
  • 10 ulas bawang putih (*)
  • 2 inci halia (*)
  • 1/4 keping gula melaka
  • 4 sudu makan sos cili
  • 4 sudu makan sos tiram
  • 1 biji kiub bilis – boleh gantikan dengan 3 sudu makan udang kering (*)
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit air asam jawa
  • Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Kisar semua bahan bertanda (*) dengan sedikit air. Jika kisar menggunakan pengisar kering lagi bagus.
  2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar tadi hingga garing serta pecah minyak.
  3. Masukkan gula melaka, kiub bilis, air asam jawa, garam, sos cili dan sos tiram. Gaul rata.
  4. Masak hingga pes kering dan pekat. Bila dah sempurna, padamkan api dan sejukkan. Kemudian simpan dalam bekas bertutup dan letak dalam peti sejukbeku.

    INFO:

  • Pes perlu dimasak menggunakan api perlahan.
  • Guna air masak, panas atau suam semasa mengisar cili.
  • Sebelum disimpan dalam peti sejuk beku, pastikan pes betul-betul sejuk.
  • Pastikan guna peralatan yang kering untuk proses penyimpanan.
  • Jika simpan dalam peti sejuk biasa, pes mampu bertahan selama sebulan. Jika nak tahan lebih lama, simpan dalam peti sejukbeku.

 

Kredit resipi & foto: Rarra Sakura

Published by
Nur