7 Idea Masakan Guna Ikan Bilis & Ikan Masin. Uihhh..Kecur Liur Dibuatnya

Share

Bila dah bosan dengan lauk pauk biasa, ikan masin dan bilis sering menjadi pilihan sebagai juadah pemecah selera. Rasa masin, pedas dan masam sememangnya boleh membuatkan anda makan nasi bertamb. Apa kata jadikan menu ikan masin dan bilis dalam senarai masakan pilihan anda hari ini.

 

1.IKAN MASIN KURAU MASAK CUKA

 

BAHAN-BAHAN:

  • 250gm ikan masin kurau | potong empat segi
  • 2 biji bawang besar | dipotong baji
  • 2 ulas bawang putih | dihiris
  • 6-8 biji cili padi | dibelah hujung
  • 3cm halia muda | dihiris memanjang halus
  • 2 sudu makan
  • 1 sudu sos cili
  • Gula secukup rasa
  • Garam jika perlu
  • Minyak untuk menggoreng dan menumis

 

CARA MEMASAK:

  1. Rendam ikan masin lebih kurang  lima minit, kemudian cuci bersih dan toskan.
  2. Panaskan minyak. Goreng ikan masin atas api sederhana, kemudian ketepikan.
  3. Keluarkan minyak, tinggalkan sedikit untuk menumis.
  4. Tumiskan bahan hirisan sehingga layu. Masukkan sos cili dan cuka, gaul rata.
  5. Masukkan ikan masin yang telah digoreng.
  6. Perasakan dengan sedikit garam dan gula.
  7. Angkat dan hidangkan panas-panas.

 

INFO CHEF:  Selain cuka anda juga boleh menggunakan perahan jus limau mipis atau kasturi.

 

2. KARI TULANG IKAN MASIN BERSAMA TERUNG

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm tulang ikan masin jenahak | direndam
  • 2 biji terung bulat | dibelah empat
  • 1/2 liter santan
  • 5 ulas bawang merah | dihiris
  • 4  ulas bawang putih | dihiris
  • 3cm halia muda | dihiris memanjang
  • 3 sudu makan rempah kari
  • 1 sudu makan serbuk cili
  • 1 sudu makan rempah penumis (jintan manis, jintan putih dan halba)
  • 3 sudu makan air asam jawa
  • 1 tangkai daun kari | dileraikan dari tangkai
  • 6 biji cili padi | dibuang tangkai
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menumis

 

CARA MEMASAK:

  1. Rendam ikan masin sekurang-kurangnya l5 minit. Kemudian toskan.
  2. Panaskan minyak, tumiskan rempah penumis bersama bahan hirisan dan daun kari hingga wangi.
  3. Kemudian masukkan rempah kari dan serbuk cili yang telah dibancuh dengan sedikit air.
  4. Kacau rata sehingga pecah minyak, masukkan pula santan, air asam, tulang ikan masin dan terung.
  5. Biarkan mereneh atas api sederhana hingga terung empuk.
  6. Lengkapkan rasa dengan garam dan gula.

 

INFO CHEF: Selain terung, anda boleh tukar dengan kacang bendi. Boleh juga campurkan  dengan hirisan tomato.

 

3. SAMBAL IKAN BILIS GARING

BAHAN-BAHAN:

  • 200gm ikan bilis |  dikopek
  • 1 biji bawang besar | dihiris
  • 6 ulas bawang merah | dikisar
  • 2 ulas bawang putih | dikisar
  • 15-20 tangkai cili kering | dikisar
  • 1 sudu makan sos cili
  • 3 sudu makan air asam jawa
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menggoreng dan menumis

 

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, goreng ikan bilis hingga garing dan ketepikan.
  2. Keluarkan sedikit minyak, tinggalkan sedikit untuk menumis.
  3. Tumiskan bahan kisar hingga pecah minyak.
  4. Masukkan air asam jawa gula secukupnya.
  5. Kecilkan api dan terus kacau sehingga pes cili agak pekat.
  6. Masukkan pula hirisan bawang besar.
  7. Apabila pes telah pekat dan secukup rasa masam, masin dan manisnya tutup api.
  8. Masukkan ikan bilis goreng dan kacau rata.

 

INFO CHEF:

  1. Gunakan ikan bilis saiz sederhana dan putih kerana ia lebih ranggup.
  2. Untuk pastikan pes cukup masam masin dan manisnya, pes akan bertukar warna merah menjadi merah kehitaman.

 

4. SAMBAL IKAN BILIS TERUNG PIPIT

BAHAN-BAHAN:

  • 150gm ikan bilis telah dikopek | dikisar kasar
  • 150 gm terung pipit | dibelah tengah tidak putus
  • 6 ulas bawang merah | dikisar kasar
  • 2 ulas bawang putih | dikisar kasar
  • 10 tangkai cili kering | dikisasr halus
  • 10 biji cili padi | dikisar halus
  • 1 sudu besar air asam jawa
  • Garam dan gula secukupnya
  • Minyak untuk menggoreng dan menumis

 

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, goreng terung pipit lebih kurang 2-3 minit. Angkat dan ketepikan.
  2. Keluarkan sebahagian minyak dan tinggalkan sedikit untuk menumis.
  3. Tumiskan bahan kisar kasar hingga wangi, kemudian masukkan cili kering dan padi yang dikisar halus.
  4. Masukkan air asam jawa dan terung pipit yang telah digoreng tadi.
  5. Kecilkan api dan lengkapkan rasa dengan garam dan gula secukupnya.
  6. Angkat dan hidangkan.

 

INFO CHEF: Selain terung pipit boleh juga gunakan lobak jeruk manis atau masin. Tetapi potong dadu kecil.

 

5. SAMBAL BILIS TUMBUK

BAHAN-BAHAN:

  • 100gm ikan bilis | dikopek
  • 10 tangkai cili padi
  • 1/2 biji tomato | dibuang biji dadu kecil
  • 1 biji limau nipis
  • Sedikit garam

 

CARA MEMASAK:

  1. Cuci ikan bilis dan toskan.
  2. Tumbuk cili padi hingga lumat, masukkan ikan bilis dan tumbuk lagi hingga bilis hancur kasar.
  3. Keluarkan dari lensung batu dan masukkan dalam mangkuk.
  4. Perahkan jus limau nipis, masukkan sedikit garam dan tomato yang telah didadu.
  5. Gaul rata, dan sedia dihidangkan.
  6. Jika terlalu masam boleh tambah sedikit gula untuk mengimbangi rasa.

 

INFO CHEF: Selain tomato, boleh juga gunakan belimbing buluh (hiris nipis atau tumbuk bersama ikan bilis).

 

6. SAMBAL BILIS BERTELUR

BAHAN-BAHAN:

  • 150gm ikan bilis | dikopek
  • 2 biji telur
  • 20 biji cili padi
  • 1 biji bawang besar
  • 1 ulas bawang putih
  • Sedikit air asam jawa
  • Garam dan gula secukupnya
  • Minyak untuk menumis

 

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan ikan bilis, cili padi, bawang besar dan bawang putih dalam pengisar .
  2. Kisar kasar tanpa air. Atau gunakan pengisar kering.
  3. Panaskan minyak, tumiskan bahan kisarkasar hingga sedikit garing.
  4. Masukkan air asam dan lengkap rasa dengan garam dan gula.
  5. Akhir sekali pecahkan telur di dalamnya, kacau rata sehingga telur sebati dengan sambal ikan bilis.
  6. Tutup api angkat dan hidangkan.

 

INFO CHEF: Isi ikan masin talang juga enak dimasak seperti ini tetapi ia perlu didadu kecil sebelum dijadikan sambal dan dicampurkan telur.

 

7. IKAN MASIN SAMBAL PETAI

 

BAHAN-BAHAN:

  • 100 gm isi ikan masin jenahak | dipotong dadu
  • 100gm isi petai
  • 1 biji bawang besar | dihiris
  • 3 ulas bawang merah | dikisar kasar
  • 2 ulas bawang putih | dikisar kasar
  • 3 sudu makan pes cili kering
  • 1 sudu makan air asam jawa
  • 1 sudu makan sos cili
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menggoreng dan menumis

 

CARA MEMASAK:

  1. Cuci ikan masin dan petai kemudian toskan berasingan.
  2. Panaskan minyak goreng ikan masin dan petai secara berasingan dan ketepikan.
  3. Keluarkan minyak tinggalkan sedikit untuk menumis.
  4. Tumiskan bawang merah dan putih kisar hingga wangi kemudian masukkan pes cili.
  5. Masukkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa dan pecah minyajk.
  6. Masukkan ikan masin dan petai kemudian gaul rata.
  7. Tutup api dan hidangkan.

 

INFO CHEF: Petai digoreng terlebih dahulu untuk mengurangkan bau dan ia lebih sedap.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Published by
Nur