Pernah tak tiba-tiba lauk kari anda terasa masin. Ini mesti gara-gara terlebih garam. Tapi jangan panik, kari itu masih boleh diselamatkan lagi. Bagi mereka yang baru belajar memasak, garam seeloknya ditaburkan dengan cubitan jari untuk mengelakkan terlebih masuk garam.
Jangan membazir, kalau ikut petua genius yang mudah ini pasti kari anda kembali lazat. Ia mampu menyerap rasa masin yang berlebihan itu.
1. Masukkan hirisan kentang mentah
Hiriskan beberapa kentang mentah dan masukkan ke dalam kari anda. Hirisan kentang itu akan menyerap dan boleh mengurangkan rasa masin daripada garam yang berlebihan itu. Biarkan kentang dalam 20 minit dalam kari. Oh, jangan lupa pula membasuh dan mengupas kentang itu terlebih dahulu.
2. Buat doh tepung
Buat bebola doh tepung dalam 2- 3 biji bergantung banyak mana kuah kari anda dan masukkan ke dalam kari. Ia boleh menyerap garam berlebihan itu. Hah, jangan lupa keluarkan bebola itu sebelum kari dihidangkan.
3. Tambahkan krim segar
Tambahkan krim segar untuk meneutralkan kesan garam. Ia akan menyebabkan kari lebih berkrim dan mengurangkan rasa garam yang berlebihan itu.
4. Kentang rebus
Anda boleh juga menambahkan kentang rebus di dalam kuah kari dan biarkan ia di dalam kuah kari itu. Ia juga boleh mengurangkan rasa masin.
5. Dadih
Tambahkan satu sudu makan dadih di dalam kari dan masakkan sekali dalam kari itu. Ia memberikan rasa yang ringan dan enak serta mengurangkan rasa masin.
6. Susu
Menambahkan susu juga mampu memberi kesan yang sama kerana ia juga berupaya mengurangkan jumlah garam yang dimasukkan kerana ia boleh meneutralkan kemasihan dan mengimbangkan rasa keseluruhan kari.
7. Bawang besar
Anda boleh menambahkan bawang besar mentah atau pun yang telah digoreng. Kiranya anda mahu menambahkan bawang mentah, belah dua bawang itu. Masukkan ke dalam kari dan anda boleh mengeluarkannya selepas beberapa minit, ia juga satu bahan yang boleh menyerap lebihan garam. Anda juga boleh menambah bawang besar yang digoreng yang boleh menambah perisa dan biarkan sahaja ia di dalam kari.
8. Cuka dan gula
Tambahkan satu sudu makan cuka bersama satu sudu makan gula, untuk menyeimbangkan rasanya. Rasa cuka yang masam dan gula yang manis, kedua dua bahan perasa itu akan membuarkan rasa kari lebih seimbang.
Jadi sekiranya anda terlebih tabur garam di dalam hidangan , jangan rasa kecewa, ingat petua genius ini sebelum anda ingin memasak semula.