8 Makanan Tradisi Orang Kedah & Johor Yang Rugi Kalau Tak Cuba.

Share

Malaysia kaya dengan kepelbagaian makanan yang ternyata sedap-sedap belaka. Jika hendak dikira jumlah dan jenisnya, pasti tidak terhitung. Andai berkunjung ke Kedah dan Johor, terdapat banyak makanan-makanan tradisi yang sedap. Hari ni RASA kongsikan seleksi resipi tradisional dari kedua-dua negeri ini yang boleh anda cuba buat di rumah. Memang sedap dan unik. Malah ada diantaranya adalah kuih tradisional yang amat jarang ditemui. Sebagai contoh, kuih Bunga Pudak. Dekat Kedah je ada kuih ni. Memang sedap! Andai ke sana memang kena cuba.

Jom lihat resipi-resipinya:

RESIPI TRADISI KEDAH

 

1. LAKSA KEDAH

Kata orang Laksa Kedah asli ni ada ciri tertentu. Kuah mestilah pekat dan likat. Dari segi warna tu agak pucat sikit kekelabuan. Ini kerana laksa Kedah asli tidak menggunakan cili kering, tetapi menggunakan cili padi.

BAHAN-BAHAN:

  • 1 bungkus laksa kasar (besar) – direndam dan direbus
  • 1 kg ikan selayang (sardin) direbus bersama asam keping dan sedikit garam
  • 4 ulas bawang merah
  • 1 1/2 sudu kecil belacan
  • 20 biji cili padi (ikut nak pedas mana)
  • 4 keping asam keping
  • 2-3 tangkai daun kesum
  • 2 batang bunga kantan – dibelah
  • 3 batang serai – diketuk
  • Telur rebus secukupnya
  • Limau nipis – dipotong

Bahan ulam (dipotong halus dan nipis) :

  • Daun pucuk jangguih (gajus)
  • Daun ulam raja
  • Daun Selom
  • Daun pucuk putat
  • Timun
  • Cili padi
  • Bawang besar

CARA MEMASAK:

  1. Ikan selayang rebus diasingkan isinya. Isi ditumbuk halus.
  2. Tulang ikan dikisar bersama air rebusan ikan. Lepas kisar tapis dengan penapis (raga) plastik yang berlubang kasar. Tapis dua hingga 3 kali sehingga nampak tulang putih yang tinggal tu.
  3. Bawang merah, cili padi dan belacan dikisar.
  4. Campurkan isi ikan, air tapisan tulang ikan, bahan kisar (cili dan bawang) didalam periuk sekali. Jika terlalu pekat tambah air.
  5. Masukkan asam keping, serai, bunga kantan, daun kesum dan rebuslah sehingga mendidih. Rebus lama supaya kuah menjadi mesra dan lebih sedap. Perasakan garam secukup rasa.

CARA HIDANG:

  1. Letak laksa yang direbus dalam pinggan dan tuang kuahnya.
  2. Tabur ulam-ulaman, cili padi, dan telur rebus.
  3. Perah sedikit limau dan tuang sedikit kicap pekat manis.
  4. Sedia untuk dimakan.

Kredit info, resipi & foto: http://www.enyabdullah.com

 

2. GULAI BATANG PISANG

Kalau dapat menu ni memang leka. Jika berkunjung ke kenduri perkahwinan di kawasan Utara, selalunya akan disajiakn denga lauk ni. Kena cuba sebab memang best!

BAHAN-BAHAN:

  • 2 batang umbut pisang – potong menyerong dan buang benangnya
  • 1 kg tulang
  • 1 kg daging – potong ikut suka
  • 75 gram serbuk kari daging
  • 1 cawan cili kering kisar
  • 4 cawan santan pekat
  • 2.5 liter santan cair
  • 1 cawan minyak
  • 3 keping kulit kayu manis
  • 6 kuntum bunga lawang
  • 4 tangkai daun kari – lurutkan
  • garam / gula / perasa pilihan secukup rasa

Bahan hiris:

  • 30 biji bawang merah
  • 15 ulas bawang putih
  • 8 cm halia

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan tumis bahan hiris hingga layu.
  2. Masukkan kulit kayu manis dan bunga lawang. Biarkan sehingga timbul aroma.
  3. Masukkan cili kisar dan gaul sebati.
  4. Kemudian masukkan serbuk kari serta daun kari. Tambahkan 1 cawan santan cair. Perlahankan api dapur. Tumis bahan hingga terbit minyak.
  5. Campurkan daging bersama tulang dan masukkan kesemuanya ke dalam kuali. Gaul rata dan masak sehingga daging menjadi layu.
  6. Tambahkan santan cair. Biarkan gulai mendidih sehingga daging empuk.
  7. Masukkan umbut pisang. Masak lagi sehingga umbut layu / lembut.
  8. Akhir sekali tambahkan santan pekat, garam / gula / perasa pilihan.
  9. Setelah masakan sempurna, padamkan api dapur.

Kredit resipi & foto: http://salamisimon1.blogspot.my

 

3. QASIDAH

Sejenis kuih lembut yang lemak manis dan kaya dengan haruman bawang goreng. Biasanya, orang tua-tua suka makan kuih ini. Teksturnya yang lembut dan lemak-lemak manis memang kena dengan selera orang Melayu.

BAHAN-BAHAN:

  • 5 ulas bawang rose – dimayang halus sedikit minyak untuk menggoreng
  • 1 cawan tepung gandum + 2 sudu besar lagi
  • 3 cawan air
  • 7 sudu besar gula pasir
  • 1/4 sudu teh garam halus

CARA MEMASAK:

  1. Gorengkan bawang dengan minyak yang mencukupi sehingga ia garing. Angkat dan ketepikan.
  2. Satukan tepung, air, gula dan garam. Kacau hingga tepung sebati dan larut atau kisarkan aja.
  3. Tapiskan ke dalam periuk. Masukkan 1-1/2 sudu tehminyak bawang tadi ke dalam periuk tadi.
  4. Masak dengan api sederhana kecil sehingga ia memekat.
  5. Kacau selalu supaya adunan tidak berketul.
  6. Kacau lagi sehingga adunan meletup-letup, pekat dan berkilat.
  7. Ambil loyang atau bekas dan sapukan dengan minyak bawang tadi.
  8. Terus tuangkan adunan ke dalam loyang dan ratakan.
  9. Taburkan bawang goreng tadi dan renjiskan sedikit minyak bawang di atasnya. S

Nota:  Boleh letakkan loyang di dalam bekas berisi air untuk sejukkannya. Semua sukatan bahan menggunakan sudu dan cawan metrik.

Kredit resipi & foto: http://aisyahaz-zahra2278.blogspot.my

 

4. KUIH BUNGA PUDAK

Kuih bunga pudak adalah sejenis kuih asli di negeri Kedah,terutama di bahagian utara Kedah seperti Alor Star,Jitra dan kawasan-kawasan berdekatan dengannya. Bagi yang nak rasa, kuih ni boleh didapati di kedai-kedai kuih tradisi terutama kat Pekan Rabu,Alor Star.

BAHAN-BAHAN:

INTI:

  • 1 biji kelapa parut
  • 1 cawan gula pasir
  • sedikit garam
  • perasa ros
  • pewarna kuning/merah/hijau

KULIT:

  • 1 bungkus tepung pulut
  • 1 cawan air
  • 1 cawan garam halus

CARA MEMASAK:

  1. Campurkan semua bahan untuk inti. Goreng dengan api sederhana, kacau hingga kering.
  2. Gaul semua bahan untuk kulit. Biar 1/2 jam.
  3. Sediakan kuali sederhana panas. Ambil 1 sudu adunan tepung masuk dalam penapis kopi, ayak tepung tersebut ke dalam kuali. Ayak rata dalam bentuk bulat.
  4. Masukkan inti ditengahnya. Lipat empat segi.
  5. Panaskan seketika, angkat dan ulangi hingga habis.

Kredit resipi & foto: http://baca-blogspot.blogspot.my

 

 

RESIPI TRADISI JOHOR

 

1. LAKSA JOHOR

Laksa yang unik kerana ia menggunakan spageti berbanding kebanyakan laksa lain yang menggunakan laksa beras.

BAHAN-BAHAN:

  • 220gm spageti | direbus

BAHAN KUAH:

  • 200gm ikan kembung | direbus dan dikisar
  • 100gm bawang besar
  • 50gm bawang putih
  • 20gm cili kering
  • 1 batang serai
  • 10gm jintan putih
  • 10gm daun ketumbar
  • 1 batang bunga kantan
  • 800ml air rebusan ikan
  • 200ml santan
  • Garam secukup rasa

BAHAN HIASAN:

  • 10gm sambal belacan
  • 10gm cili padi | dipotong kasar
  • 10gm timun
  • 5gm daun kesum
  • 5gm daun selasih
  • 1 biji limau nipis | dibelah dua

CARA MEMASAK:

  1. Didihkan air rebusan ikan di dalam periuk.
  2. Selepas itu masukkan bahan kisar, jintan putih, isi ikan, daun ketumbar, dan bunga kantan. Didihkan.
  3. Seterusnya masukkan santan pekat dan perasakan. Biarkan mendidih sehingga kuah menjadi pekat.
  4. Akhir sekali, masukkan spageti ke dalam mangkuk dan hiaskan dengan bahan-bahan hiasan yang lain. Tuangkan kuah laksa di atasnya.
  5. Sedia untuk dihidangkan.

 

2. KACANG PHOOL

Andai ke Johor tetapi tidak menikmati hidangan Kacang Phool, memang tidak lengkap percutian anda. Sajian ini dihidangkan bersama roti dan telur mata. Ada juga hiirsan bawang serta cili bagi pelengkap rasa. Memang best!

BAHAN-BAHAN :

  • 1 kacang foul/phool
  • 1 tin kecil baked bean cap ayam
  • 300 gm daging cincang
  • 10 biji bawang merah*
  • 4 ulas bawang putih*
  • 1 inci halia*

(semua bahan bertanda * dikisar halus)

  • 1 1/2 sudu besar rempah kari Baba`s
  • 1 sudu besar serbuk ketumbar
  • 1 kiub daging
  • 2 cawan air
  • 2 sudu besar minyak sapi
  • Garam secukup rasa

BAHAN_BAHAN SAMPINGAN :

  • Roti – lagi best roti paun – dibakar dan sapu mentega
  • Telur – digoreng mata kerbau
  • Cili hijau – dipotong kecil
  • Buah tomato – dipotong dadu
  • Bawang besar – dipotong dadu
  • Limau kasturi – belah dua

CARA MEMASAK:

  1. Satukan rempah kari dengan serbuk ketumbar dan sedikit air.Kemudian digaul rata jadi pes .
  2. Panaskan periuk guna api sederhana serta terus masukkan semua minyak sapi.Biar cair dan masukkan semua pes rempah dan kacau bahan-bahan ni sampai la pes rempah pecah minyak, jadi wangi dan masak .
  3. Masukkan semua daging cincang dan dikacau sampai daging masak .
  4. Kemudian masukkan air serta serbuk kiub daging secukupnya ke dalam kuah dan kacau .
  5. Bila mendidih masukkan kacang phool yang dah dilenyek dengan baked bean .
  6. Kacau semua bahan sampai cukup sebati, boleh di rasa jika kurang masin boleh ditambah garam dan boleh juga di masukkan sedikit gula untuk rasa yang seimbang .
  7. Terus kacau sos dan guna api dapur sederhana besar serta biarkan sampai kacang phool menjadi pekat .
  8. Bila kuah dah masak boleh la ditutup api dapur . Biarkan sebentar sampai kacang phool sedikit sejuk dan boleh dimakan dgn roti .

Kredit resipi & foto: http://resepinannie.blogspot.my

 

3. MEE BANDUNG MUOR

Salah satu sajian mi yang sedap! Mi Bandung Muar ni memang legend. Kuahnya yang pekat, penuh rasa udang kering. Dalam setiap hirupan kuah penuh rasa nikmat. Pergh…Kena cuba ni.

BAHAN-BAHAN:

  • 1 kg mee kuning (dicelur dan di toskan)
  • 10 tangkai cili kering (buang biji dan rebus, toskan)
  • 1 labu bawang putih (diketuk)
  • 5 biji bawang merah
  • 1/2 cawan udang kering, direbus dengan secawan air (alternatively boleh guna sotong rendam, rebus juga, ini style Mee Bandung Tanjung Agas, Muar)
  • 1/2 cawan udang hidup
  • 1 cawan daging rebus (dipotong nipis)
  • Sawi (sukatan ikut suka, potong anggaran 1 inci) Kobis (sukatan ikut suka, hiris kasar)
  • 1/2 cawan gula pasir
  • 3 – 4 cawan air rebusan daging
  • 1 sudu makan sos tiram
  • Telur ayam (mengikut jumlah hidangan)
  • Garam secukup rasa
  • Minyak untuk menumis
  • Lain lain perencah seperti daging ayam, fishballs, sotong, bunga kobis, hati rebus boleh dimasukkan mengikut individual preference.
  • Daun saderi & daun bawang, jika suka (dihiris)

CARA MEMASAK:

  1. Kisar cili kering, udang kering danair rebusannya, gula, bawang putih serta bawang merah.
  2. Panaskan sedikit minyak didalam kuali
  3. Tumiskan bahan bahan yang dikisar. Jangan sampai garing.
  4. Masukkan sos tiram, udang, daging rebus,batang sawi, bahan-bahansampingan dan air rebusan daging dan garam
  5. Masak hingga kesemua bahan empuk dan akhir sekali masukkan telur dan kacau perlahan-lahan.
  6. Curahkan kuah keatas mee yang telah di letak dalam mangkuk.
  7. Hiaskan dengan daun bawang dan daun saderi.

Kredit resipi & foto: http://hidupbiarsedap.blogspot.my

 

4. MEE REBUS JOHOR

BAHAN-BAHAN:

  • 2 kilo mee kuning-  dicelur
  • 1/2 kilo daging –  dihiris halus ataupun tetel
  • 4 biji keledek – direbus dan dikisar
  • 1 cawan tauchu – dicuci dan dikisar
  • 3 ulas bawang putih – dikisar
  • 3 biji bawang merah – dikisar
  • 1 inci halia – dikisar
  • 1/2 cawan udang kering – dikisar
  • 3 batang serai – dititik
  • 1 inci lengkuas – dititik
  • 5 sudu makan rempah kari daging
  • Garam, gula dan serbuk perasa secukupnya
  • Minyak untuk menumis

Bahan Taburan Tepung Udang Kering:

  • 1/2 cawan udang kering, dikisar
  • 80g tepung gandum
  • 1/4 camt serbuk kunyit
  • Garam
  • Air secukupnya
  • Minyak untuk menggoreng

Bahan Hiasan:

  • Tauhu yang digoreng – dipotong kecil
  • Daun sup – dimayang
  • Bawang goreng
  • Telur rebus – dibelah dua
  • Lada hijau – dipotong bulat
  • Taugeh- dicelur
  • Limau kasturi – dibelah dua

CARA MEMASAK:

Cara Buat Tepung Udang Kering:

  1. Campurkan kesemua bahan-bahan dan gaul rata. Cara menggoreng ada teknik sikit. Bancuhan tepung direnjis pada minyak dan goreng adunan sehingga garing. Angkat dan toskan. Minyak kena banyak untuk menggoreng tepung ini.

Cara Membuat Kuah:

  1. Panaskan minyak dalam periuk.
  2. Masukkan serai dan lengkuas yang telah dititik.
  3. Kemudian tumis bawang putih, bawang merah, halia dan udang kering yang telah dikisar hingga naik bau.
  4. Masukkan rempah kari kacau rata.
  5. Kemudian masukkan tauchu dan keledek yang telah dikisar bersama dengan daging. (selalu tauchu dan keledek yang dikisar kita letakkan air untuk senang dikisar) jadi tak payah tambah air takut kuahnya tak pekat.
  6. Masukkan garam, gula dan serbuk perasa.

CARA MENGHIDANG:

Hidangkan mee yang telah dicelur bersama taugeh. Tuangkan kuahnya dan kemudian hiaskan dengan tauhu goreng, daun sup, bawang goreng, telur rebus, lada hijau, limau kasturi dan tak lupa juga taburan tepung udang kering.

Kredit resipi & foto: https://cikmatahariku.blogspot.my

Published by
Nur