8 Resipi Lauk Berbuka Yang Ringkas, Mudah Masak & Sedap!

Share

Bila dah dekat nak habis puasa ni, ada harinya kita akan buntu memikirkan menu. Jika asyik ulang lauk sama, naik jemu pula. Berikut adalah koleksi idea masakan kampung yang boleh anda cuba hasilkan sebagai sajian berbuka puasa hari ni. Ringkas dan mudah. Selamat mencuba!

 

1. TUMIS KACANG PANJANG & KUPANG

BAHAN-BAHAN:

  • 10 tangkai kacang panjang | dipotong 3cm
  • 100gm isi kupang | dibersihkan
  • 1 biji bawang besar| dihiris
  • 2 biji cili merah | dihiris
  • 4 ulas bawang putih | dicencang
  • 1 sudu makan sos tiram
  • Air secukupnya
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan sedikit minyak masak di dalam kuali. Tumis bawang putih, bawang hiris dan cili     sehingga layu dan berbau wangi.
  2. Selepas itu masukkan sos tiram, sedikit air dan isi kupang. Kacau rata sehingga sebati.
  3. Masukkan kacang panjang dan garam secukup rasa. Kacau lagi sehingga rata.
  4. Biarkan kupang masak dan kacang panjang layu sedikit.
  5. Angkat dan sedia dihidangkan.

Info Chef: Jangan dimasak terlalu lama kerana kacang panjang akan lembik.

 

2. PERIA GORENG RANGUP

BAHAN-BAHAN:

  • 1 batang peria | dihiris bulat, dibuang biji dan dicuci
  • 1 sudu makan rempah kari
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
  • 4 sudu makan tepung beras
  • 1 sudu makan tepung jagung
  • 1 sudu teh serbuk cili
  • Garam secukup rasa
  • 1 sudu makan air
  • Minyak untuk menggoreng secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Rendam peria bersama 2 sudu garam dan gula. Kemudian tos dan keringkan.
  2. Masukkan peria yang telah dicuci ke dalam sebuah mangkuk.
  3. Masukkan kesemua bahan ke dalam mangkuk peria tadi kecuali air. Gaul semua bahan hingga rata dan sebati.
  4. Masukkan 1/2 sudu makan air dahulu dan gaul rata. Jika ia nampak masih agak kering masukkan 1/2 sudu makan air lagi. Pastikan tepung bersalut cantik pada peria.
  5. Panaskan minyak masak secukupnya di dalam kuali. Bila minyak sudah panas, masukkan peria sekeping demi sekeping dan jangan digoreng terlalu banyak pada sesuatu masa.
  6. Goreng peria hingga betul-betul garing. Angkat dan tos minyaknya.  Sedia dihidangkan.

Info Chef: Peria direndam di dalam air garam dan gula untuk mengurangkan rasa pahitnya. Selain itu jika ingin peria digoreng cantik, gunakan kuali tanpa lekat.

 

3. IKAN PARI AIR ASAM

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ikan pari | direbus dengan asam keping dan sedikit garam

AIR ASAM:

  • 1 biji bawang besar | dipotong dadu
  • 1 biji tomato segar | dipotong dadu
  • 10 biji cili api | dihiris halus
  • 2 tangkai cili merah
  • 2.5cm belacan
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa
  • 1 sudu makan sos cili
  • 500ml bancuhan air asam jawa

CARA MEMASAK:

  1. Tumbuk cili merah bersama belacan, gula dan garam secukup rasa.
  2. Masukkan bancuhan air asam jawa ke dalam bekas bersama bahan-bahan yang ditumbuk tadi. Gaul rata.
  3. Masukkan bawang besar, tomato dan cili api yang dipotong tadi. Gaul sebati.
  4. Letakkan ikan pari ke dalam pinggan dan curahkan air asam jawa ke atasnya.
  5. Sedia dihidangkan.

Info Chef: Selain direbus, ikan pari boleh juga dikukus agar ia tidak pecah.

 

4. SAMBAL TUMIS PETAI

BAHAN-BAHAN:

  • 5 keping petai |dihiris nipis termasuk kulitnya
  • 1 biji kelapa |diambil santannya
  • 5 tangkai cili kering |dikisar
  • 5 biji cili padi |dikisar
  • 2 biji bawang besar |dikisar
  • 3 ulas bawang putih |dikisar
  • 10gm belacan |dikisar
  • Air secukupnya
  • Sedikit asam keping
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Hiris petai bersama kulitnya sekali dan rendamkan seketika di dalam air. Toskan.
  2. Satukan bahan kisar bersama petai dan biarkan petai empuk seketika.
  3. Masukkan santan bersama asam keping. Kacau rata.
  4. Perasakan dengan garam secukup rasa dan biarkan kuahnya pekat seketika.
  5. Angkat dan hidangkan.

Info Chef: Jika suka anda boleh juga meletakkan sedikit udang segar ke dalam kuahnya untuk lebih menaikkan rasanya.

 

5. ASAM PEDAS IKAN KEMBUNG

BAHAN-BAHAN:

  • 3 ekor ikan kembung
  • 10 tangkai cili kering |dikisar
  • 4 biji bawang merah |dikisar
  • 2 ulas bawang putih |dikisar
  • 1sm kunyit hidup |dikisar
  • 1sm halia |dikisar
  • 1sm lengkuas |dikisar
  • 1 sudu makan pati asam jawa
  • 3 biji kacang bendi
  • 500ml air
  • Daun kesum secukupnya
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Tumiskan bahan kisar hingga naik minyaknya.
  2. Masukkan sedikit air bersama air asam jawa. Biarkan mendidih.
  3. Kemudian masukkan ikan bersama garam, daun kesum serta kacang bendi.
  4. Didihkan hingga kuahnya sedikit pekat dan berminyak.
  5. Angkat dan hidangkan.

Info chef: Selain kembung, boleh juga menggunakan ikan kegemaran anda yang lain.

 

6. SAMBAL CILI PADI POWER

BAHAN-BAHAN:

  • 20 tangkai cili padi hijau | ditumbuk lumat
  • 1 labu bawang besar | dipotong bulat
  • 4 ulas bawang putih | di mayang
  • 1 keping asam keping
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, tumis bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau.
  2. Kemudian masukkan cili padi yang ditumbuk tadi. Kacau rata dengan api perlahan.
  3. Setelah itu masukkan garam dan gula. Seimbangkan rasanya.
  4. Akhir sekali, masukkan asam keping dan biarkan sambal masak sempurna.

Info Chef:  Asam keping dimasukkan di akhir tumisan untuk menyeimbangkan rasa pedas. Tidak perlu dimasukkan asam keping yang banyak kerana ia akan menyebabkan rasa sambal masam.  

 

7. KERABU KAKI AYAM

BAHAN-BAHAN:

  • 8 ketul kaki ayam
  • 1/2 biji bawang besar | di mayang
  • 5 biji cili api hijau | dipotong
  • 2 biji cili merah | dihiris halus
  • 1 batang serai | dihiris halus
  • 2 biji limau nipis | diambil jusnya
  • 3 sudu makan sos ikan
  • 1 pokok daun sup| dihiris halus
  • Gula & garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan kaki ayam ke dalam periuk bersama sedikit garam dan air. Rebus sehingga empuk.
  2. Setelah kaki ayam betul-betul empuk, tos dan pisahkan isi dari tulangnya.
  3. Masukkan kesemua bahan ke dalam mangkuk. Gaul rata.
  4. Sesuaikan rasanya dan sedia untuk dihidangkan.

Info Chef: Pastikan ayam yang direbus ditos terlebih dahulu sebelum digaulkan bersama bahan kerabu. Ini membuatkan kerabu lebih tahan lama.

 

8. BENDI GORENG BERLADA

BAHAN A:

  • 10 biji sayur bendi
  • 5 biji cili merah | ditumbuk
  • 3 biji bawang merah | ditumbuk
  • 1 ulas bawang putih | ditumbuk
  • 2 sudu besar udang kering
  • Sedikit air
  • Sedikit minyak untuk menumis
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Bersihkan bendi dan potong serong.
  2. Panaskan minyak masak dan tumis bahan-bahan yang ditumbuk tadi  bersama udang kering sehingga naik bau.
  3. Seterusnya masukkan sayur bendi bersama sedikit air. Kacau hingga rata dan tutup kuali seketika.
  4. Apabila bendi telah lembut, matikan api dan perasakan dengan sedikit garam.
  5. Sedia untuk dihidangkan.

 Info Chef: Untuk rasa lebih pedas, boleh menggunakan cili padi yang ditumbuk bersama cili merah.

 

 

 

 

Published by
Nur