Air Tangan Istimewa Menambat Rasa YM Che Puan Temenggong Perlis Datin Seri DiRaja Farinawati

Share

Kesempatan berkunjung ke kediaman YAM Tengku Temenggong Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Amir Abidin Jamalullail ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan YM Che Puan Temenggong Perlis Datin Seri DiRaja Farinawati Datuk Mohd Din amat dihargai. Setelah beberapa kali temujanji tertunda dek kerana hal yang tidak dapat dielakkan. Akhirnya pertemuan dengan kedua vip ini berlangsung dengan sempurna. Kala memasuki ke kediaman beliau, sudah terbau bau aroma masakan yang ingin dikongsi bersama majalah RASA.


.


Di atas meja sudah tersedia hidangan yang menyelerakan dengan penataan meja yang mewah dan bergaya. Rasa bertuah kerana hidangan pada hari itu sangat istimewa iaitu Siamese Kuey Teow Soup, Tuna Briyani dan Sotong Sumbat (putih) dan dari air tangan Che Puan sendiri.

Menurut Che Puan, Sotong Sumbat dihidangkan pada masa minum petang.” Pada mulanya saya tidak pandai makan,sebab rasanya manis. Selepas Almarhum tiada, suami mahu saya belajar bagaimana untuk membuatnya. Selepas beberapa kali cuba membuat resipi ini, akhirnya berjaya memasak dengan sempurna,” jelas beliau.

Resipi Beriani Tuna pula adalah versi masakan cara beliau. Bosan dengan resipi beriani daging, kambing dan ayam maka beliau mengolah sendiri beriani tuna mengikut caranya. “Anak-anak saya sukakan ikan. Smoked Tuna ini datang dari Maldives. Kebetulan saya mempunyai kawan dari Maldives .

Setiap kali dia pergi ke sana, saya akan mengirimnya. Resipi ini menjadi kegemaran anak-anak kerana Smoked Tuna tiada tulang. Anak-anak menyukai ikan seperti bawal emas, mereka lebih memilih ikan yang tiada tulang,”akui beliau.

Memasak menjadi rutin harian beliau. Hari minggu jadi kemestian saya memasak untuk keluarga.”Hari minggu agak kelam kabut sikit kerana setiap anak mahu menu yang berbeza-beza. Ada yang nak western seperti spagheti, ada yang suka sos bolognese, ada yang suka sos putih.
Jadi saya buatkan kedua sos tersebut.Lasagna adalah kegemaran anak-anak. Suami pula apa yang saya masak semua digemarinya.

Tengku lebih menyukai masakan melayu. Kegemaran beliau ialah Kari Kepala Ikan yang dimasak tipikal Indian style.Saya masak apa yang suami suka. Kalau balik ke Sarawak, memang menghayati sepenuhnya makanan di sana. Begitu juga suami amat menyukai lauk Sarawak. Aroma bau rempah ratus yang kuat baunya,” cerita beliau.


Ilmu memasak lebih didalami beliau selepas berkahwin. Akui beliau banyak belajar sendiri menu yang disukai oleh suami
dan anak-anak. “Saya dan anak pula tak suka makan di luar kerana merasakan bila makan seperti di hotel pun makanannya sama saja.
Jadi kami banyak menghabiska masa di rumah,apa yang anak nak makan saya masakkan,” jelasnya.

Bercerita tentang lauk kenduri di Sarawak, menu wajib ada ialah Daging Masak Hitam. Rasanya agak manis, kerana di dalam ada buah prun. Letak prun lebih pekat berbanding kismis yang ada rasanya kadang ada masam dan manis. Nasi yang dihidang ialah nasi minyak. Ditambah dengan Laksa Sarawak sebagai menu sampingan. Ketika Raya, di mana -mana di Sarawak, pasti ada dihidangkan Laksa Sarawak.


Antara pemanis mulut yang disukai beliau ialah puding karamel. Beliau juga mahir dalam membuat kek lapis Sarawak.”Ibu yang mengajar saya cara membuat kek lapis yang sedap mengikut resipinya. Jadi kami mengikut resipinya dari dulu hingga kini. Biasa yang kami makan ialah Kek lapis Desafair dengan bahan asas ialah horlick dan biskut marie. Ada dua warna hijau dan coklat. selain itu kek lapis Cadbury,”ujarnya.

Mempunyai dua buat restoran, Dayang Sarawak Corner iaitu satu di Putrajaya dan di Ampang dengan hidangan masakan Sarawak. Maka tidak perlu lagi ke Sarawak untuk menikmati Mi Kolok autentik rasa. “Dulu masa mula buka kedai, pukul 6 pagi saya sudah ke pasar ditemani suami.
Mencari barang basah untuk memasak hingga ke pasar borong, rasa lebih puas,” ujar beliau.

Beliau juga berkongsi tip – setiap apa yang dimasak menggunakan santan , sebaiknya letakkan cili padi dan batang supaya santan tidak pecah.


Siamese Kuey Teow Soup
Bahan-bahan:
2kg daging | rebus sampai lembut
4cm halia | dititik
5 biji bawang merah | dicincang halus
Daun bawang | ambil bahagian batang/akar
Fish ball/fish cake
1 sudu makan ikan secukupnyaa
1 sudu makan sos tiram
1 sudu teh kicap manis
Garam
Kiub ayam
Bawang putih-dicincang
1 sudu makan tepung jagung
Kuey teow halus

Cara memasak:
1. Rebus daging bersama halia dan bawang merah.Bila dading empuk, keluarkan dan tos.

2. Masukkan batang atau akar daun bawang dalam air rebusan tadi (boleh masuk berapa banyak ikut cita rasa). Renehkan semula air rebusan hingga batang atau akar daun sup hancur.

3. Letak satu sudu sos tiram, sos ikan, kicap manis dan kiub ayam.

4. Kemudian letakkan sedikit tepung jagung untuk pekatkan kuah dan garam secukup rasa.

Untuk hiasan:
Daging rebus | dihiris halus
Bawang putih | cincang halus dan goreng menggunakan api kecil
Sayur sawi
Taugeh
Perut lembu | rebus dan hiris kecil
Sambal kicap | cili padi + bawang putih
Gula
Cili padi | hiris

Daun sup/daun bawang| hiris


Tuna Briyani
Bahan-bahan:
4 cawan Beras Basmathi | masak 3/4 masak
1 helai daun bay kering
5 ulas bawang putih
2 inci halia
1/2 cawan jus lemon
3-4 keping smoked tuna
4 sudu makan yogurt
2 labu bawang besar | warna merah
3 biji tomato | saiz sederhana

3 pokok daun pudina | ambil daun sahaja
1 pokok daun ketumbar | hiris kasar
Pewarna merah/kuning | boleh juga guna safron
Rempah masala
Garam secukup rasa
3 sudu makan minyak sapi
1 sudu makan mentega
3 biji kentang | dibelah empat

Cara Memasak:
1. Rebus beras tiga perempat masak dan perasakan dengan sedikit garam. Kemudian tos.

2. Tumbuk halus bawang putih dan halia,bawang besar dan tomato dicincang.

3. Panaskan minyak sapi, letak sedikit mentega agar bau wangi, tumiskan bawang, bawang putih dan halia.
Kemudian letak tomato. Tumis sehingga naik bau dan kelihatan hancur.

4. Masukkan rempah masala. ( khas untuk ikan). Untuk sedap tambah rempah beriani.

5. Masukkan air dan juga jus lemon.

6. Masukkan yogurt.Kemudian masukkan kentang.

7. Akhir sekali letak smoked tuna. Sebagai pilihan boleh letak isi ikan tongkol hitam.

8. Kuah tuna tadi letakkan dalam periuk lain pula, untuk satukannya.

9. Dalam periuk lain, letqkkan kuah tuna untuk lapisan bawah sekali. Kemudian tabur daun mint dan daun ketumbar di atasnya.

10. Lapiskan di atasnya nasi yang 3/4 masak tadi, kemudian letak pewarna atau safron dan taburkan kismis.

11. Ulang proses melapis dengan cara langkah yang sama sekurang kurang dua lapisan. Setiap lapisan letak 2 ketul smoked tuna.

12. Masak lagi sehingga 20 minit.

13. Nasi yang sudah dimasak sedia dihidang bersama Smoked Tuna Briani.


Sotong Sumbat
Bahan-Bahan:
2 cawan berat pulut | direndam 4 jam

1 kg sotong
1/2kg santan
4cm halia | dihiris memanjang

4 biji bawang merah | dihiris

1 sudu besar halba
2 sudu makan gula

Cara Memasak:
1. Masukkan santan dalam periuk.

2. Masukkan pula halba, halia dan bawang merah.

3. Beras pulut yang telah direndam digaul dengan sedikit garam.

4. Sumbat pulut dalam sotong. Kemudian rebus.

5. Masukkan sotong yang telah disumbat pulut ke dalam santan.

6. Letak gula untuk melemakkan kuah. Masak dengan api sederhana supaya sotong tidak pecah.

Published by
Putri Adila Saari