Suatu ketika, ajinomoto menjadi sesuatu yang tabu dalam masyarakat Melayu. Kalau setiap hari guna dalam masakan boleh buat sakit kepala, rambut gugur dan macam-macam lagi. Siapa suka jadi botak ya tak? Sudahnya perencah ‘ajaib’ menyedap makanan ni, terus terpinggir.
Berpeluang mengikuti Exploring The Wonders Of Umami, Media Gathering 2017 di Ajinomoto Sdn Bhd, di Jalan Kucai Lama, Kuala Lumpur memberikan satu pengalaman baru yang selama ini tabu di fikiran. Selama ini yang saya faham tentang produk ini adalah sebagai penyedap makanan itu sahaja, selebihnya tidak pernah saya peduli atau ambil kisah.
Dari zaman mula kenal dapur, kemudian boleh masak dan sehingga usia sekarang serbuk putih halus ini memang ada dalam dapur. Dari rumah mak di kampung sampai di rumah sendiri sekarang, bahan ini tetap menjadi pelengkap rasa dalam masakan. Tetapi sebagai seorang yang suka memasak, keutamaan saya dalam makanan adalah cukup rasa asam, garam, manis dan pedas dalam masakan sudah cukup. Secubit serbuk perasa hanya sebagai tambahan pelengkap rasa.
Kalau tak percaya, cuba dua resipi sup yang ditambah dengan bahan perasa ini, rasa daging dan ayamnya lebih terasa, sedap hingga menghirup kuahnya.
SUP DAGING MAMAK
BAHAN-BAHAN:
- 1 kg daging | direbus seketika bersama 2 helai daun pandan
- 3-4 biji cili padi
- 3 sudu tepung dhal | dibancuh bersama sedikit air
- 1 kiub pati daging
- 1 sudu kecil garam
- Sedikit daun ketumbar
- Sedikit daun bawang
- 1 sudu kecil lada hitam | ditumbuk kasar
- Garam dan perasa secukupnya
BAHAN TUMIS:
- 4 sudu makan rempah sup
- 100gm bawang kecil | dikisar halus
- 30gm bawang putih | dikisar halus
- 50gm halia | dikisar halus
- 2 batang kayu manis
- 2 kuntum bunga lawang
- Sedikit bunga cengkih dan buah pelaga
CARA MEMASAK:
- Tumiskan bahan kisar bersama rempah sup, kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga sehingga garing.
- Kemudian masukkan bahan tumisan ke dalam air rebusan daging. Masukkan pula bancuhan tepung dhal, cili padi, lada hitam beserta daun ketumbar.
- Perasakan secukupnya dan biarkan mendidih.
- Setelah mendidih, taburkan daun bawang dan tutup api.
SUP AYAM THAILAND
BAHAN-BAHAN:
- 1/4 ekor ayam | dipotong kecil
- 1 batang serai | dititik
- 2sm lengkuas | dititik
- 1 batang saleri | dipotong serong
- 1 biji tomato | dipotong empat
- 1 batang akar daun ketumbar
- 3-4 biji cili padi | dipotong
- 1/2 biji limau nipis
- 1biji bawang besar | dihiris
- 2 ulas bawang merah | dikisar
- 1 ulas bawang putih | dikisar
- Sedikit sos ikan
- 1 sudu besar serbuk ketumbar
- 1/2 sudu besar serbuk jintan manis
- 1/2 sudu besar serbuk jintan putih
- Air secukupnya
- Garam dan perasa secukupnya
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak untuk menumis. Tumiskan bahan kisar sehingga harum.
- Masukkan sekali cili padi, lengkuas, serai, serbuk ketumbar, serbuk jintan manis dan serbuk jintan putih sehingga agak pecah minyak sedikit.
- Kemudian masukkan air secukupnya dan masukkan ayam. Biarkan seketika sehingga ayam masak.
- Seterusnya, masukkan batang saleri, tomato dan akar ketumbar. Perasakan secukupnya.
- Akhir sekali, perahkan jus limau nipis dan tutup api.
Begitu juga kalau anda menggoreng sayur, selain menggunakan api yang besar, sayur yang segar dan menumis tidak terlalu layu, penambah rasa adalah rahsia memberikan rasa sayur lebih sedap. Tak percaya cuba resipi sayur ini.
LEEK GORENG BAWANG PUTIH BERSAMA UDANG –
BAHAN-BAHAN:
- 2 batang leek | dihiris serong
- 10 ekor udang segar | dibersihkan
- 3 ulas bawang putih | ditumbuk kasar
- 1 biji cili merah | dihiris serong
- 1 sudu makan kicap manis
- 1 sudu makan sos tiram
- Garam dan gula secukup rasa
- Sedikit air
- Minyak untuk menumis
- Garam dan perasa secukupnya
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak dan tumis bawang putih serta cili merah hingga wangi.
- Kemudian Masukkan udang. Goreng lagi hingga isi udang separa masak.
- Tambahkan kicap, sos tiram, gula, air, sedikit garam perasa..
- Akhir sekali, masukkan leek. Gaul seketika dan angkat. Sedia untuk dinikmati.
Masakan Tak Lengkap Tanpa Serbuk Perasa Ini
Sebab itulah, apa pun mitos dan segala momokan tentang, serbuk perasa ini yang dikaitkan dengan kesihatan seperti menyebabkan migrin, keguguran rambut, mudah dahaga terkesan juga di hati tetapi sudahnya saya seakan tutup sebelah mata kerana tanpanya tidak lengkap rasa makanan yang dihidangkan. Lalu terdetik di hati, sekadar secubit apa salahnya, jadinya serbuk putih ini terus setia menjadi pelengkap masakan saya. Ia juga masih dalam senarai barang keperluan dapur saya setiap bulan. Namun sedikit berhati-hati-hati dek pengaruh cerita-cerita tentang MSG yang tular.
Selepas melawat Infoseum, mendengar pencerahan tentang produk, ceramah pemakanan sihat serta melihat demo masakan yang semuanya ada berkaitan dengan Perencah Umami . Barulah saya faham apa itu Umami. Rupanya sejarah Umami bermula apabila seorang ahli sains Jepun Profesor Kikunae Ikeda yang mengenalpasti glutamat sebagai punca rasa enak kaldu (broth) yang dihasilkan dari rumpai laut pada tahun 1908. Rasa enak inilah yang dinamakan sebagai Umami. Seterusnya, Profesor Ikeda mempelajari cara mengasingkan glutamat untuk menghasilkan penambah perisa atau dikenali sebagai Monosodium Glumat (MSG).
Umami Rasa Asas Kelima
Secara sainstifiknya rasa Umami dikenali sebagai rasa asas kelima selain rasa, masin, manis, masam dan pahit. Rasa ini terhasil dari makanan yang kaya dengan glutamat yang merujuk kepada ‘Rasa Macam Daging’ dalam bahasa Malaysia, ‘Xian Wei’ dalam bahasa Cina, ‘Savoury’ dalam bahasa Inggeris.
Penemuan terbaru mendapati, reseptor-reseptor Umami bukan sahaja terdapat pada lidah tetapi juga perut, ia berupaya mengenal pasti makanan mengandungi Umami, seterusnya menggalakkan penghadaman makanan berprotein. Bermakna makanan berasa Umami bukan saja menyelerakan bahkan membaiki penghadaman makanan berprotein dan meningkatkan pengambilan nutrien demi kehidupan sihat.
Agak mengejutkan juga apabila diberitahu tambahan sedikit MSG membantu mengurangkan pengambilan garam dalam masakan kerana kandungan sodium dalam satu sudu teh MSG tiga kali ganda lebih rendah berbanding satu sudu makan garam.
Lalu terjawab, persoalan kenapa saya dan rakan-rakan lain diminta untuk merasa dua jenis sup ayam ( Sup A dan Sup B) yang disediakan sebaik tiba di D’Umami Station. Bila ditanya mana pilihan kami, kesemuanya menjawab B. Rupanya Sup A diletakkan hanya 7.3gram garam dan Sup B diletakkan campuran 3.5gram MSG dan 4gram garam. Jelasnya sedikit penambah rasa MSG ia bukan hanya menyedapkan makan tetapi juga membantu mengurangkan pengambilan garam dalam masakan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI