Anak atau mungkin anda sendiri peminat filem Harry Potter? Jika mahu menikmati keterujaan alam fantasi seperti di sekolah sihir Hogwarts, Hedwig Books & Cafe adalah lokasi tepat.
Mula beroperasi sejak Oktober lalu, pemiliknya Nur Raiha Hanafi mahu mencipta konsep tersendiri yang unik tanpa terikut-ikut trend kafe buku ‘hipster’ yang lain.
Sebagai peminat filem Harry Potter terutama anak sulung beliau yang dikira peminat tegar ‘Potter Head’ memberikan inspirasi untuk sang pemilik mengadaptasikan kafe miliknya berdasarkan cerita tersebut.
CETUSAN IDEA MENU KREATIF
Di Hedwig Books & Cafe, terdapat pelbagai makanan berkonsepkan menu barat seperti kek, pastri, pudding, pai epal , sandwich serta spageti yang disediakan buat para pelanggan.
Lebih menarik, menu-menu yang dihidangkan adalah berlainan setiap hari kecuali menu yang menjadi ‘signature’. Antara yang paling laris dan menjadi pilihan ramai adalah Hedwig Chocolate Cake, Pie Epal, Quiche Lorraine, Baked Potato serta Spageti Carbonara.
Selain menikmat keenakan sajian, pelanggan juga boleh menyewa buku-buku yang disediakan di sini dengan kadar sewaan yang berpatutan iaitu serendah seringgit sehari. Di samping itu, Hedwig Books & Cafe juga menyediakan ‘props’ seperti jubah, ‘wand’, skarf untuk digayakan oleh pelanggan yang nak bergambar seolah-olah mereka adalah pelajar di sekolah Hogwarts seperti Harry Potter. Memang seronok!
Jadi jika anda ke Kota Bharu, jangan lupa singgah ke Hedwig Books & Cafe yang pastinya akan memberikan pengalaman menjamu selera serta kenangan manis yang cukup mengujakan. Selamat mencuba! – FARIDAH TALIB
Hedwig Book & Cafe
Alamat: PT 1667, Tingkat 1, Jalan Raja Perempuan Zainab 2, Kubang Kerian, Kelantan.
Waktu operasi: 10 pagi – 10 malam