
Anak tak suka makan sayur? Sudah puas dipujuk dan telah pelbagai cara dibuat supaya anak-anak makan sayur namun hasilnya gagal. Apa kata cuba buatkan Brokoli Celup Tepung seperti yang dikongsikan resipinya oleh Ezzatyy Suffian. Senang sahaja hendak buat dan yang penting ‘confirm’ sedap.
RESIPI BROKOLI CELUP TEPUNG

BAHAN-BAHAN:
Brokoli (boleh juga guna kobis bunga/baby corn/lobak merah)
Tepung beras – beli online
Tepung rangup
1 sudu tepung gandum – beli online

CARA MEMBUAT:
1. Basuh bersih brokoli. Potong brokoli kecil-kecil.

2. Tabur/renjis air garam (kalau untuk anak kecil, skip langkah yang satu ini)
3. Tabur tepung beras dan tepung rangup.

4. Kacau rata sampai semua brokoli bersalut tepung.
5. Masukkan pula satu sudu tepung gandum. Ia bagi menjadikan brokoli rasa lembut selepas digoreng. Kacau lagi bagi rata.

6. Panaskan kuali. Guna api besar untuk elak dari makan minyak. Goreng brokoli sampai warna tepung jadi perang. Angkat dan toskan. Bolehlah dihidangkan bersama sos cili ataupun sos kewpie.

Sumber kredit: Ezzatyy Suffian
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Resipi Ayam Bakar Sos Meraung, Wajib Cuba Sebab Memang Terlalu Sedap
Resipi Mee Kuah Daging Sedap. Sesuai Dijadikan Menu Rumah Terbuka
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
20 Lauk Sayur Kampung Yang Sedap & Mudah Dimasak!

Sempena tahun baru 2023 ini, jom kita cuba 20 menu masakan sayur yang boleh mengimbau memori tentang zaman dulu-dulu.
Lauk pauk tradisi memang tiada tandingan sedapnya. Buat kita terkenang-kenang. Memang susah nak cari orang menjual lauk-pauk sebegini kecuali kalau dimasak sendiri.
Lauk tradisional tidak pernah menghampakan. Nak masuk lauk sayur ni modal pun sedikit saja, dan yang pasti tak menggemukkan.
Resipi yang ada mudah tapi masih ada yang belum pernah buat, terutama anak remaja. Semuanya mudah, sedap dan berbaloi untuk dicuba. Jom masak!
1.LABU MASAK LEMAK PUTIH UDANG KERING

BAHAN-BAHAN:
½ biji labu | buangkan kulit dan potong lebar
500 ml santan cair
100 ml santan pekat
1 helai daun kunyit | dicarik dan simpul
Garam secukup rasa
BAHAN DITUMBUK:
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
10 gm udang kering
[Jangan Terlepas Resipi Menarik Di Channel Rasa]
CARA MEMASAK:
1. Masukkan labu, bahan-bahan yang ditumbuk dan santan cair ke dalam periuk.
2. Masak dengan api yang sederhana.
3. Apabila mula mendidih, masukkan daun kunyit dan santan pekat. Perasakan dengan garam.
4. Renehkan lagi hingga labu empuk.
5. Kacau sekali sekala supaya santan tidak pecah minyak.
6. Padamkan api dapur dan sedia untuk dihidangkan.
INFO CHEF: Jika mahu pedas sedikit, boleh masukkan 4- 5 biji cili padi ditumbuk pecah, dan dimasukkan sama dengan bahan yang ditumbuk lain.
2.TEMPOYAK PUCUK UBI

BAHAN-BAHAN:
5-6 ikat pucuk ubi (direbus dengan air mendidih dan letakkan sedikit garam dan minyak masak)
500 gm tempoyak | lagi banyak lagi sedap
500 gm udang hidup (yang kecil pun boleh)
500 ml santan pekat
5 helai daun kunyit | dihiris halus
8 batang serai | dihiris halus
20 ulas bawang merah | dikisar
5 sm kunyit hidup | dikisar
25 biji cili padi | ikut kepedasan disukai/dikisar
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
1. Pucuk ubi yang direbus dan ditoskan dan perahkan airnya kemudian dipotong halus.
2. Masukkan kesemua bahan pucuk ubi, daun kunyit, serai, udang, bahan-bahan kisar, tempoyak dan santan di dalam kuali yang sudah dinyalakan api.
3. Balik-balikkan dan masak hingga sebati dan memekat dengan api yang sederhana.
4. Perisakan dengan garam dan gula secukup rasa. Kacau untuk mengelakkan santan pecah.
5. Masak hingga sedikit pekat dan bolehlah dipadamkan api.
INFO CHEF: Sajian kalori rendah yang mudah dan ringkas disediakan
3.RENDANG PUCUK UBI MAK LONG

BAHAN-BAHAN:
2 ikat pucuk ubi | pilih yang muda, basuh dan toskan
2 kilo santan
Segenggam ikan bilis
Segenggam cili api
3 inci kunyit
5 ulas bawang merah |dihiris nipis
5 batang serai | dititik
Garam
Asam keping
CARA MEMASAK:
1. Kisar cili api, kunyit hidup dan ikan bilis.
2. Panaskan kuali. Masukkan santan, serai, asam keping dan bahan yang dah dikisar. Masak sehingga naik minyak.
3. Masukkan pucuk ubi, terus masak , masukkan garam. Teruskan masak.
4. Bila agak kering santannya, kecil kan api.Teruskan memasak dan selalu dikacau sehingga kering.
5. Angkat dan sedia dihidangkan
INFO CHEF: Terpulang kepada anda, sekiranya suka makan yang garing boleh masak sehingga garing.
4. MASAK LODEH

BAHAN A (KISAR):
5 biji bawang merah
3 biji bawang putih
1 inci lengkuas
10 biji cili api hijau
2 biji cili merah
3 sudu besar udang kering
BAHAN B:
250gm udang basah
BAHAN C
2 keping tauhu basah
2 paket tempe |potong gaul garam dan goreng
1 paket tauhu kering |rendam hingga kembang
½ biji sengkuang |dipotong
15 batang kacang panjang |dipotong
1 batang lobak merah |dipotong
300gm kubis |dipotong
1kg santan
Garam
Minyak untuk menumis
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dalam kuali. Masak bahan A yang sudah dikisar.
2. Tumis hingga agak garing, masukkan udang hidup yang sudah dibersihkan. Masak sekejap
3. Kemudian masukkan santan. Kemudian masukkan tauhu kering yang sudah kembang, masak seketika.
4. Masukkan sayur sayur sudah di potong. Bila sudah mendidih, masukkan tauhu dan tempe yang sudah digoreng.
5. Masak sehingga mendidih, tutup api dan boleh dihidang dengan lontong dan sambal sotong.
5. MASAK LEMAK CILI API JANTUNG PISANG & PUCUK UBI

Ini adalah cara masak gaya Negeri Sembilan. Melalui perkongsian SuiSan Aliezsha ini memang nampak menyelerakan sungguh apabila makan nasi panas dengan lauk ini bersama ikan goreng.
Gunakan jantung pisang nipah kerana ia tidak kelat dan tidak pahit. Sedap juga kalau direbus dan dimakan cecah dengan budu atau sambal belacan.
BAHAN-BAHAN:
1 biji jantung pisang
Semangkuk air
3 keping asam keping (untuk rendam jantung pisang)
Garam secukup rasa
Segenggam cili api
2 inci kunyit hidup
1 ½ biji kelapa (diparut dan diperah santannya)
Segenggam ikan bilis
Pucuk ubi secukupnya (siang dan bersihkan)
2 keping asam keping untuk memasak
CARA MEMASAK:
1. Bersihkan jantung pisang. Kupas sampai dapat kulit jantung yang kuning susu. Potong kecil jantung pisang.
2. Ambil air, masukkan asam keping dan garam. Rendam jantung pisang dalam air ini.
3. Ambil cili api dan kunyit hidup. Tumbuk halus.
4. Dalam kuali, masukkan santan, ikan bilis, asam keping dan pes cili api serta kunyit hidup. Biarkan mendidih.
5. Masukkan jantung pisang dan masak sampai jantung pisang lembut.
6. Masukkan pula pucuk ubi. Kacau seketika. Masukkan garam dan biarkan seketika sebelum matikan api.
Kredit resipi: SuiSan Aliezsha
6. PECAL PUCUK UBI

BAHAN-BAHAN:
300gm pucuk ubi | dibuang tangkai
BAHAN KUAH KACANG:
150gm kacang tanah | goreng tanpa minyak
3 sudu besar gula perang atau pasir
1 biji cili merah | dihiris
5 biji cili padi
2 ulas bawang putih | dihiris
2 biji bawang merah | dihiris
1cm halia | dihiris
Sedikit belacan
Sedikit air asam jawa
Garam secukup rasa
Air panas secukupnya
Sedikit minyak masak
CARA MEMASAK:
1. Goreng kacang tanah tanpa minyak hingga keperangan. Angkat dan ketepikan.
2. Masak air di dalam periuk dan celur pucuk ubi hingga lembut. Kemudian angkat, tos dan ketepikan.
3. Panaskan sedikit minyak, goreng bawang merah, putih, halia, cili merah dan cili padi hingga kekuningan. Angkat dan toskan minyaknya.
4. Goreng pula belacan, angkat dan ketepikan.
5. Kacang yang telah digoreng tadi buangkan kulitnya, kemudian tumbuk hingga hancur, ketepikan.
6. Selepas kacang, tumbuk pula bahan goreng tadi hingga sebati. Tambahkan sedikit air asam dan garam secukupnya.
7. Masukkan bahan ini dalam bekas berisi kacang tumbuk tadi bersama gula perang atau putih. Gaul rata hingga sebati.
8. Bancuh sambal pecal dengan air panas sehingga menjadi kuah yang tidak terlalu cair atau pekat. Jika kurang garam atau gula boleh tambah.
9. Akhir sekali tuangkan kuah kacang atas pucuk ubi, gaul rata dan sedia dihidangkan.
7. GULAI LEMAK PUCUK SELOM DENGAN KEPAH

BAHAN-BAHAN:
1 cekak daun selom | simpul dan celur seketika
300gram kepah
500 ml santan
1 keping asam gelugor
Garam, gula dan perasa secukupnya
BAHAN KISAR:
3 cm kunyit hidup
10 biji cili padi
3 ulas bawang merah
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
CARA MEMASAK:
1. Masukkan santan dalam periuk bersama bahan kisar dan asam keping.
2. Renehkan di atas api sederhana.
3. Setelah mereneh masukkan daun selom yang telah dicelur tadi.
4. Diikuti dengan kepah.
5. Perasakan dengan garam, gula dan perasa secukupnya.
6. Setelah cukup rasa, tutup api dan sedia dihidangkan.
8. KARI REBUNG MADU RAMPAI DAGING TETEL

BAHAN-BAHAN:
500 gm rebung madu | cuci bersih
200gm daging tetel | rebus & hiris kecil
1000ml santan
2 sudu makan air asam Jawa
3 sudu makan rempah kari daging
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu makan pes cili kering
Garam, gula dan perasa secukupnya
Rempah penumis | kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga
4 sudu makan minyak masak | untuk menumis
BAHAN HIRIS HALUS:
6 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
3cm halia muda
CARA MEMASAK:
1. Panaskan air dalam periuk, celur seketika rebung, setelah lembut, angkat dan toskan.
2. Panaskan minyak dalam periuk, tumis rempah penumis bersama bahan hirisan hingga wangi.
3. Masukkan pes cili, kacau seketika masukkan pula rempah kari dan serbuk kunyit yang dibancuh dengan sedikit air.
4. Kacau rata masukkan air asam Jawa, kacau hingga pecah minyak.
5. Seterusnya masukkan rebung madu bersama daging tetel.
6. Gaul sebati, masukkan santan. Biarkan kari terus mereneh lebih kurang lima minit.
7. Perasakan dengan garam, gula dan perasa secukupnya.
8. Setelah cukup rasa, tutup api dan hidangkan.
9. PUCUK PAKU RAMPAI DAGING BAKAR

BAHAN-BAHAN:
1 cekak pucuk paku | celur dan tos
200gm daging bakar | hiris nipis
250ml santan pekat
3 sudu makan kerisik
1 sudu teh lada hitam | kisar kasar
Garam dan gula secukup rasa
1 biji limau nipis | ambil jus sahaja
BAHAN HIRISAN:
8 ulas bawang merah
1 biji cili merah
8 biji cili padi
2cm halia muda | jika suka
CARA MEMASAK:
1. Campurkan pucuk paku yang telah dicelur dalam mangkuk.
2. Masukkan bersamanya bahan hirisan.
3. Diikuti kerisik, garam, gula dan jus limau nipis.
4. Gaul rata, kemudian masukkan santan.
5. Gaul lagi sehingga cukup rasa. Segera dihidangkan.
10. PUCUK TURI LEMAK PUTIH BERSAMA LABU & TEMPE

BAHAN-BAHAN:
1 cekak pucuk turi | lurutkan dari tangkai
1 potong labu kuning | buang kulit dan potong dadu
1 paket kecil tempe | potong dadu
1 liter santan
1 sudu makan ikan bilis
1 biji bawang besar | hiris
2 ulas bawang putih | hiris
2cm halia muda | hiris
Garam dan gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
1. Masukkan santan dalam periuk bersama bahan hirisan, ikan bilis, labu dan tempe.
2. Renehkan di atas api sederhana hingga mengelegak.
3. Masukkan pucuk turi Kacau lagi.
4. Perasakan dengan garam, gula secukup rasa.
5. Tutup api, sayur sedia dihidangkan.
11. SULUR KELADI MASAK ASAM REBUS TEMPOYAK

BAHAN-BAHAN:
1 ikat selur keladi bersama isi
100 gm isi udang
2 sudu makan tempoyak
6 pucuk daun kesum
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
BAHAN KISAR:
10 biji cili padi
3cm kunyit hidup
CARA MEMASAK:
1. Potong sulur keladi lebih kurang 3-4cm. Ketepikan.
2. Isi keladi dibuang kulit dan potong dadu.
3. Panaskan air, rebus isi keladi, apabila hampir empuk masukkan sulur keladi.
4. Biarkan lebih kurang lima minit. Kemudian buang air dan lalukan di bawah air paip dan toskannya.
5. Dalam periuk lain masukkan air secukupnya, masukkan bahan kisar bersama tempoyak. Kacau sekata.
6. Letakkan atas dapur dengan api sederhana. Masukkan asam keping dan undang.
7. Apabila kuah mereneh, masukkan daun kesum, sulur keladi dan isinya yang telah direbus tadi.
8. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Selepas dua minit tutup api dan sedia dihidangkan.
12. BETIK TUMIS SANTAN IKAN BILIS

BAHAN-BAHAN:
1 biji betik muda | parut atau cincang isinya.
250ml santan
Garam dan gula secukup rasa
1 batang serai
Sedikit minyak untuk menumis
BAHAN KISAR:
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
3cm kunyit hidup
8-10 biji cili padi
Sedikit ikan bilis | kopek
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga wangi.
2. Masukkan betik yang telah diparut atau dicincang tadi.
3. Apabila betik layu, masukkan santan,
4. Biarkan mereneh, baru perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
5. Setelah masak, tutup api dan sedia dihidangkan.
13. GULAI MASAM JERANTUT

Menu ni sangat mudah buat. Menggunakan sayuran seperti keledek, ubi kayu, terung dan pucuk ubi kayu. Bila dicampur dengan tempoyak, pergh memang kecur liur dibuatnya.
BAHAN-BAHAN:
1 biji keledek oren saiz kecil
1 biji ubi kayu saiz kecil
sedikit pucuk ubi kayu (direbus dahulu)
3 biji terung hijau kecil
1 kuntum bunga kantan
1 tangkai daun kesum
BAHAN KISAR:
3 ulas cili api (ikut kepedasan)
seinci kunyit hidup
2 sudu besar tempoyak
garam dan gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
1. Masukkan bahan kisar tadi ke dalam periuk sehingga mendidih
2.Kemudian masukkan semua bahan sayuran tadi sehingga betul-betul masak.
3. Isi bahan perasa. Siap untuk dihidang.
Kredit resipi: Zaqyah Saneey
14. TERUNG BULAT GORENG BERLADA DENGAN IKAN BILIS

BAHAN-BAHAN:
Terung bulat (warna unggu/hijau pun boleh) – dipotong 2 dan direndam dalam air untuk hilangkan getahnya
1 bungkus ikan bilis – dicuci ( lebih kurang 1/2 genggam) – nak goreng dulu pun sedap
4 biji cili akar
2 biji cili hidup
* ditumbuk halus/dikisar separuh hancur pun boleh
1 biji bawang merah besar
2 biji bawang putih
1 keping asam keping
Serbuk pati ikan bilis @ perasa
2 sudu makan minyak
CARA MEMASAK:
1. Tumis bahan yang ditumbuk halus hingga wangi.
2. Masukkan ikan bilis dan asam keping kacau rata.
3. Masukkan terung.
4. Masak mengikut kematangan terung yang dikehendaki. Akhir sekali masukkan perasa atau kiub ikan bilis. (terung separuh masak pun boleh)
Kredit resipi: Nurul Hawa Nadila Sari
15. SAMBAL TERUNG PIPIT BERSAMA DAGING

BAHAN-BAHAN:
250gm terung pipit | buang tangkai
150gm hirisan daging rebus
1 sudu makan air asam jawa
3 sudu makan pes cili kering
Garam dan gula secukup rasa
Minyak masak secukupnya
BAHAN KISAR:
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
10 biji cili padi
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dalam kuali, goreng terung hingga berubah warna. Ketepikan.
2. Keluarkan minyak, tinggal sedikit untuk menumis.
3. Tumiskan bahan kisar hingga wangi. Masukkan pes cili kering.
4. Kacau rata hingga pecah minyak.
5. Masukkan daging dan terung tadi, kacau lagi.
6. Kecilkan api, perasakan dengan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa.
7. Setelah cukup rasa. Tutup api dan sedia dihidangkan.
16. TUMIS TERUNG CILI PADI IKAN BILIS

BAHAN-BAHAN:
4 biji terung panjang | buang sedikit kulit, belah dan potong dua
Garam dan gula secukup rasa
½ sudu makan air asam jawa
Minyak secukupnya untuk menggoreng dan menumis
BAHAN KISAR:
6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
Segenggam ikan bilis
2 biji cili merah
8 biji cili padi
CARA-CARA:
1. Panaskan minyak, goreng terung, kemudian angkat dan ketepikan.
2. Keluarkan minyak, tinggal sedikit untuk menumis.
3. Tumis bahan kisar hingga garing dan wangi.
4, Masukkan air asam jawa, kacau lagi dan perasakan dengan garam dan gula.
5. Setelah cukup rasa masukkan terung goreng tadi dan gaul rata.
6. Tutup api dan terung sedia dihidangkan.
17. TUMIS PERIA BERSAMA IKAN BILIS TUMBUK

BAHAN-BAHAN:
6 biji peria | buang biji dan hiris nipis
1 cawan ikan bilis kopek | kisar kasar
1 sudu makan air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
4 sudu makan minyak masak
BAHAN KISAR:
1 biji bawang besar
5 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
15 biji cili padi
CARA MEMASAK:
1. Gaulkan peria bersama garam, ramas-ramaskannya kemudian biarkan lebih kurang lima minit. Kemudian cuci di bawah air paip dan toskan.
2. Sementara itu, panaskan minyak dalam kuali.
3. Tumiskan bahan kisar, setelah wangi masukkan ikan bilis yang telah dikisar kasar tadi.
4. Kacau rata dan masukkan air asam jawa.
5. Akhir sekali masukkan peria, dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
6. Setelah masak dan timbul minyak, tutup api. Tumis peria sedia dihidangkan.
18. MASAK LEMAK PUCUK PAKU DENGAN UDANG

BAHAN KISAR:
15 tangkai cili padi | kurangkan kalau tak nak pedas
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 inci kunyit hidup
BAHAN LAIN:
2 batang serai | dititik
2 pokok daun ketumbar bersama akarnya | bersihkan dan hiris
10 ekor udang sederhana besar
2 keping asam keping
Garam secukup rasa
1 mangkuk santan
1 mangkuk besar pucuk paku | bersihkan
CARA MEMASAK:
1. Bahan kisar dikisar halus dan masukkan dalam periuk.
2. Masukkan serai dan daun ketumbar. Masak sehingga harum.
3. Masukkan udang.
4. Tambahkan air jika kuah kering.
5. Masukkan asam keping dan garam.
6. Masukkan santan
7. Tunggu kuah mendidih. Kemudian masukkan pucuk paku.
8. Masak kejap sampai sayur lecur sikit sahaja. Tutup api dan hidangkan.
Kredit resipi: Telegram KakiMakan
19. GULAI BATANG PISANG

Gulai Batang Pisang antara hidangan tradisional yang kian jarang ditemukan di kedai makan. Menu ni tidaklah susah sangat nak memasaknya.
Cuma untuk mendapatkan batang pisang agak susah jika di pasar raya yang ada mungkin di pasar tani dan kedai-kedai runcit kampung. Kalau yang duduk kampung mudah la dapat. Belakang rumah je. Masakannya mudah sahaja, cuma masaknya kena lama, biar batang pisang tu betul betul lembut. Baru la sedap!
BAHAN-BAHAN:
Batang pisang
*Ambil dari pokok yang sedang-sedang saja. Ambil teras dia yang lembut, masukkan serbuk kunyit waktu nak buang getah dia.
1/2- 1kg daging lembu atau tulang lembu (dalam resepi ini, saya guna daging tetel, potong kecil-kecil).
BAHAN UNTUK MENUMIS:
Sedikit minyak
Kulit kayu manis
Bunga lawang
Buah pelaga
3 tangkai daun kari
BAHAN LAIN:
8 ulas bawang merah | dikisar
1 ulas bawang putih | kisar
1 inci halia | dikisar
2 cawan santan pekat
7 sudu makan serbuk kari daging
1 sudu teh pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Kerisik (optional)
CARA MEMASAK:
1. Potong serong batang pisang tu kecil-kecil. Lepas tu masukkan dalam bekas. Masukkan air dan serbuk kunyit. Gaulkan.
2. Gunakan lidi sate atau chopstik untuk buangkan getah dia yang bertali-tali tu. Boleh tengok DI SINI untuk caranya.
3. Rupa yang sepatutnya ada pada gulai yang dah siap. Kalau batang pisang tu masih putih dan nampak pucat, maknanya kena rebus lagi. Kena ada sikit warna tanned ye.
4. Sementara itu di dalam bekas lain, gaulkan daging dengan bawang merah, bawang putih dan halia yang telah dikisar. Gaulkan dengan sedikit hingga sebati. Ketepikan.
5. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis tiga sekawan (buah pelaga, bunga lawang, kulit kayu manis) dan daun kari sehingga naik bau.
6. Masukkan daging. Kacau-kacau sehingga semuanya sekata. Tutup periuk. Biarkan ia mereneh hingga daging empuk.
7. Setelah empuk, buka penutup periuk. Masukkan air, santan, asam jawa dan kerisik. Gaulkan.
8. Kemudian, masukkan batang pisang. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Gaulkan. Apabila sudah masak, tutup api.
Kredit resipi: Suhanna Zakaria
20. ASAM TEMPOYAK KELADI KEMAHANG DAUN KESUM

BAHAN-BAHAN:
3-4 pokok keladi kemahang muda
3 sudu makan tempoyak
6 pucuk daun kesum
1 kuntum bunga kantan
Air secukupnya
Garam dan gula secukupnya
1 keping asam gelugor | jika tempoyak kurang masam
Sedikit ikan bilis
BAHAN KISAR:
10 biji cili padi
3cm kunyit hidup
CARA MEMASAK:
1. Buangkan kulit ari batang keladi dan potong 4cm. Isi keladi buang kulit dan potong dadu.
2. Masukkan dalam periuk bahan kisar, asam tempoyak dan air, kemudian kacau rata.
3. Masukkan batang keladi, ikan bilis dan renehkan di atas api sederhana.
4. Setelah isi keladi empuk dan batangnya layu, masukkan asam keeping jika kurang masam.
5. Seterusnya masukkan daun kesum, bunga kantan dan perasa dengan garam dan gula secukup rasa.
6. Tutup api dan sedia dihidangkan panas-panas.
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap dan cepat dimasak di laman web Rasa:
Rangup Di Luar Lembut Di Dalam, Resipi Mudah Honey Butter Biscuits
Hikmah Pandemik, Wanita Ini Lebih Yakin Hasilkan Fucuk Sendiri
Tonton lebih banyak video masakan mudah dan sedap Dailymotion @Rasa dan YouTube @Majalah Rasa Official:
Ubi Kayu Rebus Tumis Cili, Sedap Jadi Sarapan. Buat Lauk Pun Boleh

Ubi kayu boleh diolah jadi pelbagai hidangan yang menyelerakan. Salah satunya adalah ubi rebus tumis cili. Boleh dijadikan lauk dan boleh juga dimakan begitu saja untuk sarapan. Ini juga mungkin menu nostalgia buat sebahagian daripada kita yang dinikmati ketika masih kecil seperti Qaseh Aney yang berkongsi resipi ini.
Resipi ubi rebus tumis cili

Bahan-bahan
2 kg ubi kayu
1 ketul pati ayam
1 sb serbuk perasa
2 sb gula
2 sb serbuk kari
Minyak masak secukupnya
Bahan kisar
1 genggam ikan bilis
20 tangkai cili hijau & merah
10 tangkai cili besar merah
5 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
Cara membuat
1. Ubi kayu dibersihkan kemudian direbus hingga empuk. Sejukkan dan potong dadu.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga terbit minyak.
3. Masukkan bahan perasa dan serbuk kari dan tumis lebih kurang 20 minit dengan api sederhana supaya tak hangit.
4. Selepas bahan tumis masak masukkan ubi kayu dan gaul sebati. Masak lagi dalam 10 minit kemudian boleh tutup api. Sedia dihidangkan

Kredit resipi & foto: Qaseh Aney
10 Masakan Lauk Kampung Untuk Berbuka, Ubat Rindu Pada Mak

Enaknya bila menjamah masakan lauk kampung air tangan bonda sewaktu berbuka puasa. Sementelah lagi bila sajian yang disajikan adalah hidangan yang sememangnya menjadi idaman anak-anak tatkala berada di perantauan. Biarpun resipi trending bertukar ganti, gulai lemak cili padi, asam rebus daging, dan opor nangka ibu tetap jadi pilihan . Untuk membangkitkan nostalgia di bulan Ramadan ini, RASA kongsikan resipi-resipi lauk kampung untuk berbuka yang enak dan mudah yang anda boleh cuba sendiri di rumah.
KOLEKSI RESIPI MASAKAN LAUK KAMPUNG

1. UDANG MASAK LEMAK CILI API BERSAMA DAUN SELOM

BAHAN-BAHAN:
- 10 ekor udang saiz besar |bersih dan tos
- 1 batang serai |titik
- 2 ulas bawang merah |kisar
- 1 keping asam gelugur
- 2 sudu kunyit hidup | kisar
- Seikat daun selom | potong
- 10 biji cili padi | kisar
- 1 mangkuk santan
- Garam secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Masukkan kesemua bahan kecuali udang dan daun selom.
- Kemudian didihkan kuah atas api sederhana hingga mendidih.
- Sentiasa kacau agar santan tidak pecah.
- Masukkan garam, udang dan daun selom.
- Biarkan lebih kurang lima minit. Tutup api
- Hidangkan panas-panas.
INFO CHEF: Jangan masak udang terlalu lama kerana ia akan menjadi sedikit keras.
2. TELUR MASIN LEMAK CILI API

BAHAN-BAHAN:
- 4 biji telur masin
- 1 batang serai | titik
- 1 ulas bawang merah | kisar
- 1 keping asam gelugur
- 2 sudu kunyit hidup |kisar
- 10 biji cili padi |kisar
- 1 mangkuk santan
- Garam secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Masukkan semua bahan kecuali telur.
- Didikan kuah sehingga mendidih.
- Kecilkan api, masukkan telur satu persatu.
- Biarkan telur agak keras, perasakan dengan sedikit garam jika tidak berapa masin.
- Tutup api dan hidangkan.
INFO CHEF: Jika tidak mahu telur masin boleh juga menggunakan telur itik biasa.
3. AYAM SAMBAL BALI

BAHAN-BAHAN:
- ½ ekor ayam | lumurkan kunyit dan kunyit
- 1 batang serai | titik
- 1 tangkai daun kari |leraikan dari tangkai
- 2 sudu makan serbuk ketumbar
- 2 sudu makan kicap manis
- Garam secukup rasa
- ½ sudu makan air asam jawa
Bahan Kisar:
- 5 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- 2 sudu makan pes cili kering
- Minyak secukupnya
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak, goreng ayam separuh masak. Ketepikan.
- Keluarkan minyak dan tinggalkan sedikit, tumiskan bahan kisar, serbuk ketumbar, serai dan daun kari hingga wangi dan pecah minyak.
- Kemudian masukkan air asam jawa dan perasakan dengan garam.
- Akhir sekali masukkan ayam goreng dan gaul rata.
INFO CHEF: Selain ayam boleh juga gunakan daging.
4. ACAR AYAM

BAHAN-BAHAN:
- ½ ekor ayam |lumurkan kunyit dan garam
- 1 biji bawang besar |potong wedges
- 3 sudu cili sos
- ½ batang timun |buang tengah dan dipotong memanjang
- ½ batang lobak merah |dipotong seperti membuat acar
- Sedikit biji sawi
- 1 sudu makan cuka
- Sedikit air
- Gula dan garam secukup rasa
- Minyak secukupnya
Bahan-bahan kisar:
- 5 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 2cm halia
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak, goreng ayam hingga kekuningan. Angkat dan ketepikan.
- Keluarkan minyak, dan tinggalkan sedikit untuk menumis.
- Tumiskan bahan kisar sehingga naik bau.
- Masukkan cuka, sos cili, gula, garam dan sedikit air.
- Setelah mendidih, masukkan timun, lobak merah, cili hijau, cili merah dan bawang besar.
- Akhir sekali masukkan ayam yang telah digoreng.
- Gaul rata dan angkat dan hidangkan.
INFO CHEF: Selain ayam, boleh juga menggunakan ikan.
5. OPOR NANGKA

BAHAN-BAHAN:
- 500gm nangka muda | dipotong dan rebus sehingga empuk
- 1 ½ sudu serbuk ketumbar
- 1 sudu serbuk jintan manis
- ½ sudu serbuk jintan putih
- 1 batang serai
- 1 biji kelapa diambil santan
- 3 helai daun limau purut
- sedikit serbuk kunyit
- 1 sudu makan kerisik
- Penumis 4 sekawan (bunga lawang/cengkih/pelaga dan kayu manis)
- Garam dan gula secukup rasa
Bahan Kisar:
- 5 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- ½ inci halia
- ½ inci lengkuas
CARA MEMSAK:
- Panaskan minyak, tumiskan empat sekawan.
- Masukkan bahan kisar, serai dan semua serbuk jintan dan ketumbar.
- Setelah pecah minyak, masukkan santan, kerisik dan daun limau purut.
- Akhir sekali masukkan nangka muda yang telah direbus.
- Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
- Setalah secukup rasa, angkat dan hidangkan.
INFO CHEF: Untuk resipi ini anda juga boleh menggunakan buah sukun.
6. LAWA JANTUNG PISANG

BAHAN-BAHAN:
- 1 biji jantung pisang
- 1 biji kelapa| diambil pati santan sahaja
- 1 sudu lada hitam | kisar halus
- 3 ulas bawang merah |kisar
- 1 biji limau nipis | ambil jusnya
- Garam dan gula secukup rasa
- Sedikit belacan| jika perlu
CARA MEMASAK:
- Panaskan air dalam periuk, kemudian rebus jantung pisang hingga empuk.
- Angkat dan toskan. Kemudian potong kecil.
- Kemudian campurkan semua bahan lain dengan hirisan jantung pisang.
- Gaul rata dan rasa masam, masin dan manisnya.
- Setelah secukup rasa,sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Jantung pisang boleh ditukar dengan terung bakar, jika suka.
7. TEMPOYAK DAUN

BAHAN-BAHAN:
- 200gm cekak pucuk ubi |dihiris halus
- 3 papan petai | belah dua.
- 10 ekor udang sederhana besar
- 2 helai daun kunyit |dihiris halus
- 4 helai daun kaduk |dihiris halus
- 4 helai pucuk daun labu dihiris halus
- 4 batang serai dihiris halus
- 1 biji kelapa | ambil santan pekat sahaja
- 6 sudu makan tempoyak
- Gula dan garan secukup rasa
Bahan Kisar:
- 3cm kunyit hidup
- 4 ulas bawang merah
- 20 biji cili padi
CARA MEMASAK:
- Campurkan semua bahan hirisan dalam periuk.
- Kemudian campurkan santan dan bahan kisar.
- Gaul rata dan masak atas api sederhana sehingga kuah agak pekat.
- Lengkapkan rasa dengan garam dan gula secukupnya
INFO CHEF: Tempoyak daun ini lebih lama dipanaskan lebih sedap rasanya.
8. KARI DAGING BERSAMA UBI KELEDEK

BAHAN-BAHAN:
- 500gm daging | hiris
- 2 biji ubi keledek | buang kulit dan belah empat
- 3 sudu makan rempah daging
- 1 tangkai daun kari
- 500ml santan
- Minyak untuk menumis
- Sedikit air asam jawa
- Garam dan gula secukup rasa.
- Rempah penumis | kulit kayu manis, bunga lawang dan pelaga
Bahan Kisar:
- 6 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- 1 batang serai
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak, tumis rempah penumis, diikuti bahan kisar dan daun kari.
- Tumis hingga wangi kemudian masukkan rempah kari yang dibancuh dengan sedikit air.
- Kacau rata hingga tumisan pecah minyak dan masukkan air asam jawa.
- Masukkan daging, kacau dan biarkan daging kecut dan empuk.
- Masukkan keledek dan santan.
- Setelah keledek empuk, lengkapkan rasa dengan garam dan gula secukupnya.
- Selepas beberapa minit, tutup api dan sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Rasa keledek yang lebih manis daripada kentang menjadikan kari lebih sedap.
9. PUCUK MERANTI LEMAK PUTIH

BAHAN-BAHAN:
- 300gm pucuk meranti | leraikan dari batangnya.
- Sedikit ikan bilis – ditumbuk separuh halus
- 2 ulas bawang merah – ditumbuk separuh halus
- 1 mangkuk santan
- Sedikit hirisan cili merah
- Garam dan gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Campurkan santan bersama dengan bahan kisar.
- Didihkan atas dapur dengan api sederhana.
- Apabila kuah mendidih masukkan daun meranti.
- Sentiasa kacau agar santan tidak pecah.
- Selepas beberapa minit, lengkap rasa dengan garam dan gula secukupnya.
- Sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Gulai lemak ini juga sedap ditambah dengan keledek.
10. URAP PEGAGA

BAHAN-BAHAN:
- 300gm pucuk pegaga | dipotong kecil dalam 2 inci
- Sedikit ikan bilis |ditumbuk separuh halus
- 2 ulas bawang merah |ditumbuk
- 1 ulas bawang putih |ditumbuk
- 1 cawan kelapa parut | putih sahaja
- 1 sudu makan pes cili kering
- 2cmkunyit | ditumbuk
- Garam dan gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Masukkan semua bahan kisar, garam, gula dengan kelapa, gaul rata.
- Goreng sangai dalam kuali sehingga bahan menjadi sedikit kering.
- Selepas itu masukkan pucuk pegaga.
- Masak sehingga pucuk pegaga layu. Angkat dan sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Selain ikan bilis anda juga boleh gunakan udang kering.
ANDA JUGA BOLEH CUBA:
Sedapnya Sahur Lauk Singgang Pedas Ikan Kerisi Cara Orang Terengganu
Sedapnya Sahur Lauk Singgang Pedas Ikan Kerisi Cara Orang Terengganu

