Salah satu cara untuk mendapat anak berjiwa besar adalah dengan mengawal pemakanannya. Justeru ibu bapa perlu tahu makanan yang banyak khasiat untuk anak misalnya sayur. Mendidik anak menyukai sayur memerlukan teknik berkesan.
RASA mendapatkan tip bagi ibu bapa untuk mendidik anak menyukai sayur. Penceramah Pemakanan Dan Gaya Hidup Sihat, Norazizah Ruslan berkongsi tip yang boleh ibu bapa lakukan untuk mencapai matlamat ini.
"Ibu bapa kena tahu, anak akan menyukai sayur apabila mereka kenal dengan sayur tersebut. Memperkenalkan sayur kepada anak memang antara cabaran kepada ibu bapa. Tidak hanya sekadar mengulang kebaikan sayuran tetapi ada langkah-langkah yang boleh dicontohi."
10 TIP DIDIK ANAK SUKA MAKAN SAYUR
Sayur dimasukkan dalam lauk ayam.
Ads
1. Pendedahan sewal usia amat penting. Sebaik sahaja boleh diberi makanan pencerai susu, perkenalkan rasa sayur-sayuran dahulu sebelum makanan lain. Jus dan puri adalah cara yang terbaik dan boleh dicampur dengan susu ibu yang anak sudah terbiasa. Anak yang menyusu ibu lebih mudah menerima rasa sayur sekiranya ibunya juga makan sayur.
2. Beri anak mainan berkonsepkan sayur. Biar mereka kenal nama sayur melalui permainan dan pembacaan. Terdapat rancangan televisyen, video dan di media sosial yang menerapkan konsep sebegini.
3. Biar anak terlibat sama dalam proses mendapatkan sayur. Cara untuk dapatkan sayur adalah menanam sendiri sayur yang hendak dimakan. Ibu bapa juga boleh mulakan dengan projek membuat taugeh atau menanam sayur yang cepat mendapat hasil. Misalnya kangkung, bayam dan tomato. Hasil tanaman boleh dimasak mengikut cita rasa mereka.
4. Selain tanam, ibu bapa perlu bawa anak ke pasar. Tujuannya adalah biar mereka memilih sendiri sayur untuk dimakan. Misalnya mulakan dengan baca buku mengenai lobak merah. Kemudian ajak mereka ke pasar beli lobak merah. Teruskan dengan masak lobak merah itu di dapur dan nikmati sama-sama. Mereka tentu seronok.
5. Untuk menggalakkan anak suka makan sayur, ibu bapa juga haruslah menunjukkan teladan yang baik iaitu ibu bapa juga suka makan sayur. Jadi, makanlah sayur di hadapan mereka. Jadikan sayur termasuklah ulam sebagai satu hidangan wajib ada di atas meja makan.
.
Sayur bening atau sayur air memang digemari oleh kanak-kanak.
6. Pelbagai jenis sayur di rumah. Tidak terhad kepada yang berdaun dan berbuah sahaja. Kenalkan dengan sayur berasaskan ubi dan akar seperti kentang, keledek dan lobak merah. Sayur dalam bentuk batang juga sedap untuk dicuba seperti asparagus dan celery. Sayur daripada keluarga bunga seperti bunga kobis dan brokoli juga mudah menarik selera anak.
7. Teknik memasak juga perlu dipelbagaikan. Tidak terhad kepada sup atau goreng. Sayur boleh dijadikan jus dan dibekukan menjadi aiskrim seperti jus lobak merah yang dicampur dengan susu. Brokoli boleh dijadikan sup berkrim dan dimakan bersama roti. Kentang yang dipanggang bersama daging cencang berserta sos keju juga sedap untuk dicuba. Piza sayur-sayuran yang dibuat sendiri. Mereka pasti suka membantu menabur sayur-sayuran di atas piza itu nanti.
Ads
8. Sayur perlu disediakan dengan pelbagai jenis supaya mereka boleh memilih apa yang mereka suka dulu. Hal ini memang memerlukan kesabaran. Banyak cubaan demi cubaan sebelum mereka terbiasa. Contohnya, masak nasi goreng Cina dengan campuran jagung, kiub lobak merah dan kacang pis. Sup telur juga boleh digabungkan hirisan kobis, tomato, brokoli, seleri dan cendawan. Lihat anak suka makan yang mana satu.
9. Hidang sayur dengan gaya menarik. Misalnya dipotong bentuk bunga, bintang atau dicucuk seperti sate. Gunakan pinggan mangkuk yang istimewa untuk masakan berasaskan sayuran.
10. Ada masakan yang mengandungi sayur tersembunyi seperti sandwich, kek lobak merah, kuih talam keladi dan bingka ubi. Hidangan seperti ini juga lebih mudah menarik selera anak untuk makan sayur tanpa sedar.
"Setiap langkah di atas perlu diulang berkali-kali sehingga berjaya. Tekankan kebaikan makan sayur kepada mereka seperti menjadikan mereka lebih sihat, kulit yang lebih mulus, kurang mendapat penyakit dan berjiwa besar. Jangan kedekut dengan pujian jika mereka berjaya menjamah walaupun sedikit. Selamat berjaya!"
Saya Amalkan Makan Sayur Depan Anak Supaya Mereka Ikut
.
RASA dapatkan respon daripada seorang ibu yang gigih mendidik anak-anaknya makan sayur sejak dari kecil. Walaupun perlu kreatif dan sabar mendidik anak menyukai sayur, namun usaha ibu ini berkesan kerana memang anak-anaknya suka makan sayur.
Ads
"Cara saya didik anak makan sayur adalah dengan tunjuk contoh teladan pada anak. Saya dan suami akan makan sayur depan anak-anak. Mereka akan perhati apa yang kami buat. MUdah untuk mereka juga suka makan sayur. Anak-anak saya suka brokoli, lobak merah, jagung muda, bayam dan cendawan. Selalunya saya akan masak sup sayur atau sayur goreng. Sejak dari usia bayi lagi saya dah perkenalkan sayur pada mereka. Apabila anak sudah boleh makan, saya akan kisar sayur bersama bubur nasi."
– Nur Liyana Che Omar, ibu kepada Muhd Hadif (8 tahun), Muhd Aqil (5 tahun) dan Nur Ayesha (3 tahun)
JANGAN LUPA SAKSIKAN RANCANGAN INI
Ibu bapa pasti menginginkan anak-anak yang berjiwa besar. Mempunyai semangat tolong-menolong, akhlak yang baik dan menghormati orang tua. Oleh itu, ibu bapa harus menunjukkan contoh terbaik untuk menjadi ikutan anak-anak. Mereka umpama kain putih, ibu ayah bertanggungjawab untuk mencantikkan hiasannya.
Untuk ketahui lebih lanjut mengenai mendidik anak-anak yang berjiwa besar, jangan lupa saksikan episod ke-8, Pa&Ma Journey Bersama JoviaNina pada 14 Oktober 2020, jam 9 malam hanya di Astro Ria saluran 104/124.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi. Download seeNI sekarang!
Bila nak masak, Bulan puasa ni memang agak mencabar bagi kaum ibu terutamanya bagi mak-mak yang berkerja. Mana taknya, sampai sahaja di rumah, kalut nak masak juadah berbuka untuk keluarga. Lebih parah lagi jika lauk yang nak dimasak tu, lupa nak dikeluarkan dari peti sejuk beku pada waktu pagi. Aduhai…memang bertambah huru-hara.
Ada petua mudah untuk melembutkan lauk-pauk sejuk beku ni. Dalam masa kurang 10 minit, ikan, ayam dan daging boleh lembut dan boleh dimasak. Cara-caranya ialah:
CARA CEPAT LEMBUTKAN LAUK BEKU
1. GUNA MICROWAVE
Cara ni paling mudah. Masukkan lauk sejuk beku anda ke dalam bekas dan letakkan di dalam ketuhar gelombang micro. Tekan butang ‘defrost’ dan tunggu proses tersebut siap. Hasilnya ais pada lauk pauk anda akan cair dengan mudah.
2. GUNA CUKA MAKAN
Untuk cepatkan daging beku lembut, anda juga boleh menggunakan cuka makan. Caranya mudah sahaja. Ambil daging yang hendak dilembutkan dan masukkan ke dalam bekas. Masukkan air dan sedikit cuka makan di dalamnya. Cuka mampu emnurunkan suhu kebekuan serta pada masa yang sama, mampu menjadikan daging empuk dengan mudah apabila dimasak. Setelah daging lembut, bilas dan masaklah seperti biasa.
3. GUNA PERIUK
Bagi yang tak ada microwave, ada juga cara lain yang boleh dicuba selain merendam lauk pauk di dalam air. Anda hanya perlukan dua buah periuk ‘steel’. Basuh ikan/ayam/daging dengan cara mengalirkan air selama 1-2 minit. Kemudian terungkupkan periuk pertama dan susun lauk beku anda pada bahagian belakang (bontot) periuk. Ambil periuk kedua dan isi air didalamnya. Kemudian letakkan di atas lauk tadi. Biarkan dan tunggu daging lembut. Masa yang diambil bergantung kepada tekstur bahan. Paling sesuai guna cara ini adalah untuk melembutkan daging lembu, potongan kambing dan ikan.
4. GUNA AIR PANAS
Cara ini sesuai untuk melembutkan daging dan tidak begitu sesuai untuk ikan dan ayam. Apa yang anda perlu lakukan ialah masukkan air yang mendidih ke dalam bekas. Campur sedikit air biasa supaya suhunya sekitar 80C. Masukkan kepingan daging yang hendak dicairkan dan tunggu seketika sehingga aisnya cair. Toskan dan masaklah daging seperti biasa. Namun masa diambil juga bergantung kepada ketebalan daging. lebih nipis daging, lebih cepat ia lembut.
Bila dapat makan buah oren sejuk-sejuk baru keluar dari peti ais..fuhhhh terasa nikmatnya ..Tapi mesti ramai yang sering terbeli buah oren yang masam kan? Terus terpotong selera nak makan.. Haa boleh tengok petua ni untuk pastikan buah oren yang kita beli tu manis. In Sha Allah menjadi..Selamat mencuba!
Petua Memilih Buah Oren Manis!
Pastikan buah oren tersebut mempunyai lubang di atas kepalanya, seperti yang ditunjukkan di dalam gambar. Kiranya spesies buah oren berlubang ni manis. Cuba bayangkan dapat makan sejuk-sejuk buah oren ni..nyumm!
Sekiranya buah oren tersebut tidak mempunyai lubang (seperti di dalam gambar), haa masam lah maknanya okay. Makan pun sambil pejam-pejam matalah jawabnya. Buat jus sesuai. Konklusinya, buah oren yang tidak berlubang ni selalunya masam. Ingat taw!
Begitulah kisahnya buah oren masam VS oren manis, atau buah oren berlobang VS tidak berlubang. Lepas ni boleh lah borong buah oren manis banyak-banyak ya..Jangan lupa cuba petua ni okay!
Barli atau nama botaninya Hordeum Vulgarie dikatakan bijirin pertama yang telah ditanam di timur tengah kira-kira 9000 tahun dan mungkin juga merupakan bijirin terawal dan paling penting pada ketika itu. Isi rong atau bijirin barli boleh dijadikan tepung, emping dan bran. Batangnya boleh dijadikan kertas dan bahan pembinaan manakala keseluruhan tanaman boleh dijadikan sebagai makanan haiwan ternakan.
Barli adalah gandum yang kaya fiber, vitamin, berprotein tinggi dan mempunyai beberapa mineral penting.
Barli berkhasiat sebagai penyejuk badan. Dikatakan jus barli mengandungi 11 kali kalsium, 5 kali zat besi, 7 kali vitamin C & 80 mg vitamin B12 daripada 100gm barli.
Barli yang mengandungi serat juga berkesan merendahkan kolesterol dalam darah. Serat yang tidak mudah larut adalah penting bagi memastikan usus berfungsi dengan sihat sekali gus berfungsi meredakan sembelit dan baik untuk mengawal nafsu makan.
Barli juga mengandungi tokol yang tinggi, iaitu minyak yang bertindak sebagai antioksida semula jadi. Antioksida ini membantu meneutralkan radikal bebas dan mengurangkan risiko penyakit barah serta jantung.
Selain dibuat minuman, terdapat pelbagai hidangan yang boleh dimasak dengan menggunakan barli. Apa kata anda cuba dua resipi yang RASA kongsikan ini ye.
SUP BEBOLA DAGING BARLI TIMUN
BAHAN-BAHAN:
2-3 batang timun jeruk
150gm barli
200gm daging lembu cincang
1biji telur
1-2 sudu teh pes bawang putih
3 biji bawang merah | hiris nipis
2-3 biji ubi kentang | potong dadu
2.5 liter air rebusan / stok daging
Sedikit daun dill
Minyak masak secukupnya
Garam secukupnya
CARA MEMASAK:
Basuh barli dan rendam semalam. Ketepikan.
Masukkan air rebusan/ stok daging di dalam periuk dan apabila menggelegak, masukkan barli. Masak lebih kurang 20 minit. Ketepikan.
Untuk menyediakan bebola daging; satukan daging cincang, telur, pes bawang putih dan sedikit garam. Gaul sekata dan bentukkan menjadi bebola daging. Ketepikan.
Panaskan sedikit minyak di dalam kuali dan tumis bawang merah hingga terbit wangi dan tuang ke dalam air rebusan/stok tadi. Gaul sekata.
Masukkan ubi kentang dan bebola daging dan masak lagi kira-kira 15 minit atau sehingga bebola daging dan ubi kentang masak sepenuhnya.
Akhir sekali, masukkan hirisan timun jeruk, daun dill dan masak beberapa minit lagi. Perasakan dengan garam secukup rasa. Gaul sekata.
Angkat dan sedia dinikmati ketika panas.
Info chef: Boleh tambah sedikit krim masam jika suka.
BAHAN-BAHAN:
1⁄2 cawan barli
2 sudu teh minyak Canola
1 biji bawang besar saiz sederhana | cincang
1 biji cili benggala | buang biji dan cincang
3-4 biji cendawan shiittake | rendam dan hiris nipis
1 batang lobak merah | cincang
¾ sudu teh halia cincang
1⁄2 cawan jus oren
1sudu makan sos teriyaki
Garam dan serbuk lada hitam secukupnya
Air secukupnya
Daun dill untuk hiasan
CARA MEMASAK:
Masukkan kira-kira 2 cawan air ke dalam periuk. Masak hingga mendidih.
Masukkan barli dan bila mula mendidih lagi, kecilkan api, tutup periuk dan biar ia mereneh 30-40 minit atau sehingga barli lembut. Ketepikan.
Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis bawang merah dan cili Benggala hingga terbit wangi.
Masukkan hirisan cendawan dan lobak merah. Gaul sebati.
Setelah itu masukkan halia cincang dan tumis sekejap.
Tuang barli yang telah siap dimasak ke dalam kuali tersebut, diikuti dengan jus oren dan sos teriyaki. Perasakan dengan garam dan serbuk lada hitam secukup rasa. Gaul sebati.
Angkat dan hiaskan dengan daun dill sebelum dihidangkan. Sedia dinikmati ketika panas.
Info chef: Boleh gunakan sos soya menggantikan sos teriyaki.