Baru dilancarkan beberapa bulan, pelakon dan penyanyi, Norlie Tamam boleh berbangga kerana permintaan asam pedas yang dimasaknya mendapat sambutan luar jangkaan. Tempahan semakin meningkat dan dia mulai memikirkan untuk mengeluarkan pes asam pedasnya pada suatu masa akan datang.

“Bisnes asam pedas ini pada awalnya dicadangkan oleh seorang kawan. Sebelum ini saya hanya fokus dengan aiskrim Malaysia yang juga menggunakan nama Fuhhlaamak. Tapi ketika Covid-19 ini, permintaan aiskrim amat berkurangan. Selepas berbincang, kawan menyarankan pada saya untuk buat set nasi dengan lauk asam pedas. Alhamdulillah, ramai rupa-rupanya yang suka dan saya memang masak setiap hari,” katanya.

PERLUAS RESIPI EMAK

Jika dulu ibu kepada Norlie, Mariaty Hussein, selalu memasakkan mereka sekeluarga asam pedas, maka tidak hairanlah apabila resipi asam pedas Fuhhlaamak turut menggunakan resipi yang sama.

“Tak jauh bezanya resipi saya dengan resipi emak. Yang bezanya cuma saya kisar semua bahan tu. Saya kurang gemar kalau dalam masakan berkuah ada bahan yang masih kekal misalnya serai yang diketuk. Jadi saya kisar je semua. Itu style saya,” jelasnya.

Ramai pelanggan yang memberikan respon positif membuatkan Norlie lebih bersemangat untuk terus menjual asam pedas. Ini termasuklah rakan artis yang berkunjung ke gerainya untuk menyokong bisnes yang dibuat.

AISKRIM MALAYSIA DAN WAFFLE

Aiskrim yang sudah siap dibuat.

Norlie telah memulakan perniagaan aiskrim Malaysia sejak 2015. Pada awalnya, dia hanya membuat aiskrim untuk dimakan oleh anak-anak. Namun jiran sekitar rumahnya mulai membeli dan menjadikan Norlie lebih serius berniaga aiskrim.

Tempahan beribu batang aiskrim daripada pelanggan ada kala membuatkan dia tidak menang tangan.

“Saya cerewet dalam bab buat aiskrim. Walaupun dah pakai air penapis, saya tetap masak lagi air itu. Tempahan banyak daripada pelanggan saya anggap ini semua rezeki yang Allah bagi. Kini saya tambah lagi produk jualan iaitu waffle. Permintaan waffle juga boleh tahan. Saya boleh jual sehingga 40 keping waffle dalam masa 4 jam berniaga di bazar,” tambahnya.

IKLAN

HINAAN ANAK SENI BERNIAGA DI GERAI

Norlie aktif memuka gerai di sekitar Gombak dan Selayang.

Norlie sudah lali dengan kata-kata masyarakat yang ada kalanya pandang serong apabila golongan artis berniaga di gerai. Hanya kerana mereka terlibat dengan dunia hiburan yang glamor, mereka dikata hidup senang.

“Ramai yang tak faham. Artis pun manusia biasa. Ada yang senang, ada yang susah. Sekarang ni nak dapat job pun susah. Ada yang kata, time banyak job dulu kenapa tak menyimpan? Saya dah lali dengan semua kata-kata tu.

Biarlah saya berniaga di gerai ke, bazar ke. Saya bekerja. Bukan harapkan bantuan. Orang takkan faham situasi saya tapi saya sedih bila orang persendakan artis yang berniaga kecil-kecilan macam saya.

Bagi saya, artis macam saya memang kena kuat. Situasi zaman sekarang ni macam-macam hal. Kita bukan orang senang. Tak perlu dengar apa orang kata. Orang mampu cakap. Mereka tak lalui apa kita lalui,” ujar Norlie sebak.

Berniaga dari rumah.

CABARAN PENIAGA JALANAN WAKTU COVID-19

Rakan artis, Lan Zailan menyokong bisnes Norlie.

Norlie sememangnya gigih berniaga di gerai dan bazar. Menjual pelbagai barang dagangannya iaitu aiskrim Malaysia, asam pedas, waffle dan rojak buah.

Anak kepada pelakon terkenal, Tamam Idris ini mengakui cabaran yang dihadapi ketika Covid-19 ini memang sangat menekan perasaan sehingga stress dibuatnya.

“Bukak gerai, tak ada orang datang. Kalau ada pun, sikit sangat. Pelanggan takut nak datang dan lebih banyak masa di rumah. Itu belum lagi cerita waktu hujan macam sekarang ni. Pernah khemah tercabut ditiup angin, barang tergolek dan banjir kilat. Semua tu ujian buat saya sebagai peniaga jalanan,” cerita Norlie.

Disebabkan itu, Norlie kini hanya berniaga dari rumah. Delivery dibuat sendiri dan berkolaborasi dengan Food Panda. Hanya hujung minggu sahaja Norlie akan berniaga di bazar dengan membuka gerai.

“Pernah saya balik rumah menangis. Bukan sebab penat terkengkang-kengkang angkat barang. Saya dah biasa hidup susah. Tapi saya sedih memikirkan duit modal dah keluar. Makanan tak ada orang beli sebab hujan lebat. Anak-anak perlukan duit. Saya anggap ini ujian dan Allah nak beri sesuatu yang lebih baik untuk saya,” ceritanya lagi

TETAP ANAK SENI SAMPAI BILA-BILA

Bercerita mengenai kerjaya seninya, Norlie mengakui masih aktif sehingga sekarang selagi diperlukan. Dia juga ada single terbaharu yang dilancarkan di laman youtube. Lagu bertajuk Pendam Rasa ini adalah ciptaan Rosli Ahmad dan lirik oleh Norlie sendiri.

Boleh dengar di sini lagu tersebut.

Buat pembaca RASA, Norlie berkongsi resipi asam pedas Fuhhlaamak. Jom kita try buat.

ASAM PEDAS AYAM FUHHLAAMAK

BAHAN KISAR
Lengkuas
Halia
Serai
Bunga kantan
Bawang putih
Bawang merah
Cili kering
Lada hitam

BAHAN LAIN
Minyak masak
Halba
Asam jawa (bancuh dengan sedikit air)
Ayam
Air
Garam
Gula
Daun limau purut
Daun kesum
Bendi
Tomato

CARA MEMBUAT
1. Panaskan minyak masak. Masukkan BAHAN KISAR dan halba. Tumis sampai pecah minyak.
2. Masukkan air asam jawa dan ayam. Tambah air ikut kepekatan kuah yang dimahukan.
3. Apabila telah mendidih, masukkan garam, gula, daun limau purut, daun kesum, bendi dan tomato.
4. Kacau rata. Biarkan seketika dan matikan api.

Selamat mencuba!

Terima kasih kepada Norlie Tamam

JOM TONTON VIDEO INI