Anda Bakal Pergi Bercuti? Ini Makanan Yang Patut Anda Bawa Semasa Melancong Ke Luar Negara.

Share

Melancong memang menyeronokkan. Lebih-lebih lagi jika berkunjung ke negara yang belum pernah kita jejak, memang teruja habis! Namun, antara yang menjadi masalah tatkala bercuti adalah makanan. Andai berkunjung ke negara bukan Islam, untuk mendapatkan makanan halal memang susah. Jika ada pun, mungkin harganya mahal. Over budget la pula. Itu pun belum tentu kena dengan selera kita. Oleh itu RASA kongsikan 10 jenis makanan yang boleh dibawa bersama jika ingin mengembara.

1. Serunding

Kredit foto: www.sayidahnapisah.com

Makanan paling basic dan disukai ramai. Ada serunding ayam, serunding daging, serunding ikan dan serunding ikan bilis. Teksturnya yang kering serta mampu bertahan lama menjadikan makanan ini sesuai dibawa ketika bercuti. Enak dinikmati bersama roti, nasi dan juga boleh ditambah dalam sajian mi segera.

2. Sambal Kering Ikan Bilis

Ini juga salah satu makanan paling sedap dinikmati ketika di luar negara. Maklumlah, makanan asing bukan semua kena dengan selera kita. Oleh itu, ada sambal kering ikan bilis dan juga nasi panas sudah cukup untuk mengenyangkan perut. Baru bertenaga nak meronda!

3. Sup Cendawan Segera

Hidangan paling ringkas dan mudah disediakan. Hanya perlu bacuh dengan air panas dan boleh dinikmati bersama roti. Bahkan sup cendawan segera ini juga boleh dijadikan sebagai kuah pasta yang seakan carbonara. Anda hanya perlu bancuh sedikit pekat dan gaulkan bersama pasta yang telah direbus lembut. Yummeh!

4. Makanan Dalam Tin

Terdapat pelbagai jenis makanan dalam tin yang dijual di pasaraya. Ada sardin, tuna, isi kerang, sup tulang dan bermacam-macam lagi. Makanan sebegini sememangnya memudahkan  dan menjimatkan masa. Hanya perlu buka penutup tin, panaskan dan hidang. Nak nikmati terus tanpa panaskan pun boleh. Terpulang pada selera masing-masing.

5. Makanan Segera

Mi  dan nasi segera sememangnya popular dikalangan pengembara. Oleh itu jangan lupa bawa makanan tersebut jika anda bercadang nak pergi bercuti nanti. Kalau boleh, bawa mi dan nasi segera dalam cawan dan bukan dalam paket. Nanti susah pula cari mangkuk nak rendam maggi. Oh ya! Di pasaran juga ada menjual makanan sedia makan seperti nasi goreng kampung, nasi briyani,nasi tomato dan banyak lagi. Hanya perlu rendam paket di dalam air panas atau menggunakan microwave sahaja. Mudah kan?

6. Perencah dan Pes Masakan Segera

Jika tempat tinggal yang anda sewa membenarkan anda untuk memasak, jangan lupa untuk membawa pes dan perencah masakan segera dari Malaysia. Selain menjimatkan wang, tiada lain yang lebih enak dari menikmati masakan ala Malaysia hasil air tangan sendiri. Antara yang boleh dibawa ialah perencah nasi goreng dan pes tomyam.

7. Tepung Cucur Segera

Tepung cucur segera sememangnya salah satu bahan boleh dibawa bersama ketika bercuti. Mana tahu bangun pagi tiba-tiba teringin pula nak bersarapan dengan cekodok. Boleh terus bancuh dan goreng. Hanya perlu tambah air dan adun. Terdapat banyak jenis tepung cucur segera yang dijual di pasaran. Boleh pilih mana satu yang berkenan.

8. Energy Bar

Kredit foto: The Kitchn

Pastikan benda ni selalu ada dalam beg galas anda. Manalah tahu tengah-tengah sedap berjalan menikmati panorama indah, tiba-tiba perut lapar. Mana nak cari kedai? Nak balik hotel untuk masak nasi mustahil sekali. So, energy bar ni boleh dimakan dikala kecemasan macam tu.

9. Serbuk Minuman 3 in 1

Bagi anda yang memilih untuk bercuti di negara-negara yang mempunyai suhu sejuk, serbuk minuman 3 in 1 ini memang perlu bawa. Bawalah kopi ke, milo ke , Nescafe ke. Sejuk kot! Time macam tu memang  sedap kalau dapat layan kopi sambil cicah roti kan?

10. Aneka Buah-Buahan Kering 

 

Apabila ke sesebuah negara dan banyak tempat menarik yang perlu dikunjungi dalam masa yang singkat, kadang-kala sampai lupa nak makan. Oleh itu, bawa buah-buahan kering seperti buah kurma bersama anda. Kurma mengandungi gula ringkas (monosaccharide) yang sangat tinggi malah lebih tinggi dari pisang. Oleh itu ia berupaya memberikan “tenaga segera” yang akan diserap oleh tubuh serta-merta. Barulah cergas nak berjalan-jalan.

Diharap tip-tip ringkas dan sempoi ini sedikit sebanyak dapat membantu melancarkan percutian anda. Happy holiday!

 

Published by
Nur