Anda Peminat Makanan Korea? Wanita Ini Kongsikan 12 Resipi Yang Diolah Ikut Tekak Melayu

Share

Ada peminat makanan Korea ke kat sini? Sila angkat tangan! Kalau anda teringin nak makanan Korea boleh buat sendiri mengikut resipi ini.

Peminat makanan Korea, Aley Arif berkongsi resipi makanan-makanan yang selalu dibuatnya apabila craving teruk selepas tengok K-drama atau K-movie.

Resipi-resipi yang ada ini, sudah olah ikut tekak Melayu tapi masih rasa Korea.

 

JAPCHEA (2 orang makan)

BAHAN-BAHAN:

1 genggam glass noodle
100g daging/ayam | hiris nipis (perap dengan sos tiram, lada hitam)
3 pokok bayam (ambil daunnya sahaja) | rebus dan tos
3 ketul shitake mushroom | hiris nipis – beli online di sini
1 pokok daun bawang | hiris memanjang
½ bawang holand | hiris nipis – beli online di sini
½ batang lobak merah | potong memanjang – beli online di sini
½ biji cili benggala kuning | hiris nipis
½ biji cili benggala hijau | hiris nipis
2 biji telur | (asingkan putih dan kuning) buat telur dadar kemudian hiris nipis
Kicap cair
Minyak bijan
Bijan sangai
Gula secukupnya

CARA-CARA:

1. Panaskan air hingga menggelegak. Masukkan glass noodle rebus hingga empuk toskan.
2. Masukkan dalam 1 bekas. Masukkan 2 sudu besar sedikit kicap, 1 sudu besar cair minyak bijan dan sedikit gula kemudian gaul sebati. Ketepikan.
3. Pan lain, panaskan sedikit minyak. Goreng sebentar daging/ayam yang sudah diperap tadi sehingga masak. Ketepikan.

[Jangan Terlepas Resipi Menarik Di Channel Rasa]

4. Kemudian goreng kilas setiap bahan shitake mushroom, lobak merah, bawang holland, cili benggala merah dan kuning secara berasingan sehingga masak.
5. Masukkan kesemua bahan goreng kilas ke dalam bekas yang mengandungi glass noodle tadi. Gaul sebati, kemudian masukkan telur dadar dan daun bawang.
6.Perasakan lagi dengan kicap cair , minyak bijan dan gula. Tabur bijan sangai. Sedia dihidang

*Goreng kilas = goreng sebentar dia atas pan/kuali

 

JJAMPONG (2 orang makan)

BAHAN-BAHAN:

1 genggam mi kuning
Sedikit udang
Sedikit sotong
Sedikit ayam
½ biji bawang holland | hiris nipis
2 ulas bawang putih | cincang halus – beli online di sini
Sedikit halia| tumbuk
2 sudu besar serbuk cili – beli online di sini
1 pokok bakchoy
1 sudu besar sos tiram – beli online di sini
½ kiub pati ayam
1 cawan air
Garam & gula secukupnya

CARA-CARA:

1. Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang holland , bawang putih dan halia hingga naik bau.


2. Kemudian masukkan serbuk cili dan air berserta kiub pati ayam dan sos tiram. Biarkan mendidih sebentar masukkan seafood tadi dengan ayam.

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

3. Reneh dengan api sederhana. Kemudian masukkan sayur bakchoy dan perasakan dengan garam dan gula.
4. Akhir sekali masukkan mi kuning gaul sebentar dan sedia dihidang.

 

BIBIMBAP (2 orang makan)

BAHAN-BAHAN:

2 cawan nasi yang sudah dimasak
100g daging (diperap dengan sos tiram , bawang putih tumbuk, sos tiram) digoreng kilas
Taugeh dicelur dan ditos (perasakan dengan sedikit bawang putih tumbuk dan kicap cair)
2 biji telur dadar | dipotong memanjang
2 pokok enoki mushroom besar | dipotong memanjang & digoreng kilas
Salad
Lobak merah | dipotong memanjang & digoreng kilas – beli online di sini
Daun bayam yang sudah dicelur (perasakan dengan garam & minyak bijan)
Minyak bijan
Bijan sangai

UNTUK SOS:

3 sudu besar gochujang
1 sudu kecil kicap cair – beli online di sini
2 sudu besar gula
1 ulas bawang putih tumbuk
2 sudu besar minyak bijan – beli online di sini
Sedikit air

CARA-CARA:

Satukan semua bahan dalam 1 bekas. Gaul sebati. Perasakan dan tambah mana yang perlu.

CARA PLATTING/HIDANG:

1. Masukkan 1 cawan nasi dekat tengah-tengah pinggan atau stone pot. susun semua bahan-bahan yang digoreng kilas tadi.
2. Letakkan sos di tengah-tengah. Taburkan bijan sangai. Sesuai dimakan waktu panas.
3. Sekiranya guna stone pot boleh panaskan sebentar di atas api.
*boleh guna sayur lain-lain juga

 

JJAJANGMYEON (2 orang makan)

BAHAN-BAHAN:-

2 genggam angle hair/mi tarik/maggi/mi kuning
2 sudu besar jjajang paste (boleh beli online) – {ommason/got kimchi/marimogo}
1 sudu besar sos tiram – beli online di sini
1 biji bawang holland | potong dadu kasar – beli online di sini
2 ulas bawang putih | cincang halus
1 biji kentang | potong dadu kasar – beli online di sini
100g daging/ayam | potong dadu
½ batang zuchhini| potong dadu (optionial)
Sedikit air
Sedikit bancuhan tepung jagung/tepung ubi
Telur mata kerbau
Hirisan timun

CARA-CARA:

1. Panaskan minyak, tumis bawang holland dan bawang putih sehingga naik bau.
2. Masukkan ayam/daging dan masak hingga lembut. Masukkan kentang, zuchhini dan gaul sebati.
3. Kemudian masukkan jjajang paste dan sos tiram dan sedikit air untuk melembutkan kentang dan zuchhini tadi. Perasakan.
4. Akhir sekali masukkan bancuhan tepung jagung/tepung ubi untuk memekat dan mengilatkan nya.
5. Sedia dihidang. Hiaskan dengan hirisan timun dan telur mata kerbau.

 

ROLL OMELLETE (2 orang makan)

BAHAN-BAHAN:

3 biji telur saiz AA atau 4 biji saiz sederhana
1 pokok daun bawang | hiris nipis
½ batang lobak merah | potong dadu kecil
Sedikit garam

CARA-CARA:

1. Pecahkan telur dan masukkan dalam 1 bekas. Tapis ke dalam bekas lain (option) Masukkan daun bawang, lobak merah dan sedikit garam. Pukul sebati.
2. Panaskan pan dengan api sederhana tuang sedikti minyak kemudian lap kan sedikit dengan tisu.
3. Tuangkan 1 senduk dan ratakan bancuhan tadi. Ambil spatula atau sudip rata gulungkan sedikit demi sedikit hingga separuh pan dan Tarik ke belakang.
4. Bahagian pan yang kosong tadi masukkan sedikit bancuhan telur lagi dan sambung gulung sehinggai bancuhan telur tadi habis. Biarkan sejuk sebentar sebelum dipotong dan dihidang.

 

KIMCHI PAJEON (2 orang makan)

BAHAN-BAHAN:

1 cawan tepung gandum – beli online di sini
1 cawan kimchi yang sudah dicincang halus
Sedikit air untuk bancuhan batter


1 pokok daun bawang | hiris serong
*boleh juga letak taugeh, daun kucai dan lain-lain
Sedikit gula & garam

CARA-CARA:

1. Masukkan tepung, kimchi dalam satu bekas. Letak sedikit garam dan gula. Masukkan air dan bancuh hingga menjadi batter. Tidak terlalu pekat atau pun cair.
2. Panaskan pan. Tuang sedikit minyak dan ratakan. Masukkan 1 senduk bancuhan dan ratakan. Terbalikkan dan biarkan masak. Ulang hingga bancuhan habis

UNTUK DIPPING SAUCE

3 sudu besar kicap cair
Daun bawang | hiris halus
Sedikit gula
Cili potong
Bawang besar | potong dadu kecil
*Satukan semua dan gaul sebati.

 

TTEOBOKKI (2 orang makan)

BAHAN-BAHAN:

10-15 ketul tteobokki
2 sudu besar gochujang
Sedikit gula
½ kiub pati ikan bilis
½ bawang holland | hiris nipis
1 pokok daun bawang | potong memanjang/serong pun boleh
3 keping fishcake | potong memanjang
3 keping kobis | potong kasar
2 batang crab meat | belah 2 (optional)
1 biji telur rebus | belah 2
Bijan sangai

CARA-CARA:

1. Panaskan air dalam 2 cawan hingga mendidih. Masukkan pati kiub ikan bilis.
2. Kemudian masukkan tteobokki berserta gochujang. Reneh dengan api sederhana hingga tteobokki lembut.


3. Masukkan kobis, fishcake, daun bawang dan crab meat. Gaul sebati dengan api perlahan.
4. Perasakan dengan sedikit gula (jika perlu). Sedia dihidang. Taburkan dengan bijan sangai dan telur rebus
*Boleh juga letak suon, maggi, sosej atau lain-lain

 

MAYAK EGG (2 orang makan)

BAHAN-BAHAN:

10-15 biji telur puyuh @ 6 biji telur (terpulang saiz) rebus dan kupas kulitnya
{Saya rebus/kukus telur 6 minit air menggelegak kemudian rendam dalam air sejuk}
½ cawan kicap cair
½ cawan air
¼ gula
1 pokok daun bawang | hiris nipis
1 batang cili merah besar | potong bulat
2 ulas bawang putih | cincang halus
1 sudu besar bijan sangai

CARA-CARA:

1. Satukan semua bahan kecuali telur dalam 1 bekas. Gaul sebati.
2. Ambil bekas kosong masukkan telur dan bancuhan tadi. Biarkan sebentar dalam 1 hari dalam peti ais sebelum dihidang.
3. Sesuai dimakan dengan nasi panas dan kimchi.

 

KIMCHI JIGAE (2 orang makan)

BAHAN-BAHAN:

1 cawan kimchi yang telah dicincang
½ cawan air kimchi
1 cawan air
2 sudu besar minyak bijan
100g daging/ayam | hiris nipis (optional)
1 pokok daun bawang | potong memanjang
1 keping tauhu potong 4 @ 1 tiub soft tofu
½ pokok cendawan enoki
Sedikit gula & garam

CARA-CARA:-

1. Panaskan minyak bijan. Masukkan kimchi. Goreng sebentar.
2. Kemudian masukkan air kimchi tadi. Biarkan menggelegak seketika.
3. Masukkan daging/ayam, air dan reneh hingga empuk. Kemudian masukkan cendawan enoki, daun bawang dan tauhu/soft tofu.
4. Perasakan. Sedia dihidang.
*boleh pecahkan sebiji telur dan masukkan time mereneh sebelum dihidang.
*daging/ayam juga boleh digantikan dengan seafood contoh lala, kupang

 

NASI GORENG KIMCHI (2 orang makan)

BAHAN-BAHAN:-

2 cawan nasi
1 cawan kimchi yang sudah dicincang
½ biji bawang holland | cincang halus
2 ulas bawang putih | cincang halus
1 pokok daun bawang | hiris nipis
1 keping seaweed disalai & dihancurkan
Ayam cincang (optional)
1 sudu besar ghocujang
1 sudu besar gochugaru/ serbuk cili
1 sudu besar sos tiram
Minyak bijan
Garam & gula

CARA-CARA:

1. Panaskan kuali. Panaskan 2 sudu besar minyak bijan. Masukkan kimchi dan tumis sebentar.
2. Masukkan ayam dan gaul sebati. Kemudian masukkan ghocujang, gochugaru, sos tiram. Perasakan dengan garam & gula.
3. Masukkan nasi dan gaul sebati. Akhir sekali taburkan flake seaweed sebelum dihidang bersama telur mata kerbau separuh masak.
4. Untuk gambar ini saya buat UFO Kimchi fried rice. Siap je goreng nasi, saya pecahkan sebiji telur dan bancuh. Panaskan pan lain dengan sedikit minyak.
5. Tuang bancuhan telur tadi dan letak nasi goreng di tengah-tengah. Letak 1 slice cheese dan tutup sebentar dengan penutup untuk cairkan cheese. Pastikan api perlahan.

 

BIBIMGUKSU (2 orang makan)

BAHAN-BAHAN:

2 genggam spaghetti angle hair rebus dan tos (boleh juga guna mi Tarik or lain-lain selain mi kuning)
1 cawan kimchi | cincang halus
Sedikit serbuk cili
2 sudu besar gochujang
Sedikit gula
2 sudu besar minyak bijan
Timun | dihiris memanjang
Sebiji telur | rebus & belah 2
Bijan sangai

CARA-CARA:

1. Satukan dalam bekas kimchi, serbuk cili, gula, minyak bijan dan gochujang. Gaul sebati.
2. Kalau kering boleh tambah sedikit air. Perasakan mengikut citarasa masing-masing.
3. Kemudian masukkan bancuhan tadi ke dalam spaghetti dan gaul sebati. Sedia dihidang. Hiaskan dengan sebiji telur, hirisan timun dan bijan sangai.

 

ROSE TTEOBOKKI (2 orang makan)

BAHAN-BAHAN:

10 ke 15 ketul tteobokki
5 ketul sosej belah 3 (optional)
2 sudu besar puree tomato/1 sudu besar gochujang/ 2 sudu besar sos tomato
½ kotak whipping cream
½ biji bawang holland | hiris nipis
2 ulas bawang putih | cincang halus
2 keping fish cake/odeng | hiris nipis
1 sudu kecil parsley

CARA-CARA:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak. Masukkan bawang holand dan bawang putih. Tumis hingga naik bau.
2. Masukkan sosej. Goreng sebentar. Kemudian masukkan fishcake/odeng dan puree tomato/ gochujang/sos tomato kemudian gaul sebati.
3. Kemudian masukkan tteobokki dan sedikit air untuk mengelakkan kering dan hangit. Agak-agak tteobokki dah lembut masukkan whipping cream.
4. Perasakan jika perlu. Reneh sebentar dan tabur parsley dan sedia dihidang.

Kredit resipi: Aley Arif

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap dan cepat dimasak di laman web Rasa

Tonton lebih banyak video masakan mudah dan sedap di YouTube @Majalah Rasa Official

Published by
Ibnatie -Aziza Mat Roff