Asyik beli donut kat luar je, jom lah kita buat donut sendiri di rumah. Macam-macam jenis donut boleh kita buat, nak yang biasa ke, berinti coklat, kastard dan sebagainya, semuanya mengikut kreativiti sendiri dan pastinya lagi puas hati! Kali ni jom kita buat donut ala Big Apple yang gebu gebas!
DONAT COKLAT
BAHAN-BAHAN
- 4 cawan tepung kek
- 6 kuning telur
- 3 sudu makan gula pasir
- 3½ sudu makan mentega yang telah dilembutkan
- 1¾ oz yis
- 1 cawan air suam
- 1 cawan susu full cream panas
- ½ cawan yogurt biasa
- ½ sudu kecil garam
- Minyak masak
- Jem pilihan (boleh menggunakan Nutella!)
CARA PENYEDIAAN
Adunan 1
Sediakan mangkuk, masukkan tepung dan buatkan satu ruang kosong di tengahnya. Dalam ruang tersebut, masukkan yis hancur, 1/2 sudu besar gula, dan separuh cawan daripada susu panas. Tutup dengan sedikit tepung dan mula mengaulkannya sehingga menghasilkan doh tebal berkrim. Tutup mangkuk dan biarkan ia sejuk selama 20 minit sehingga doh mengembang.
Adunan 2
Dalam mangkuk yang berasingan, masukkan susu yang selebihnya dan kacau bersama mentega dan yogurt.
Adunan 3
Dalam mangkuk lain, pukul kuning telur bersama baki gula yang ada.
Campurkan Adunan 1, Adunan 2 dan Adunan 3 sekaligus, uli sehingga menjadi doh yang licin dan elastik. Tutup dan biarkan ia pada suhu bilik selama 1 jam atau sehingga ia menjadi dua kali ganda saiznya.
Pada permukaan yang ditabur tepung, keluarkan doh dari mangkuk, uli doh tersebut sehingga tebal doh tersebut dalam anggaran 1 cm.
Gunakan gelas atau pemotong biskut berbentuk bulat untuk memotong bulatan doh dan letakkan di atas l bekas yang ditabur tepung. Tutup dengan kain, dan biarkan sejuk selama 40 minit lagi.
Panaskan minyak di dalam kuali supaya donat boleh terapung bebas dan tidak menyentuh bahagian dasar. Masukkan sebahagian kecil doh dan jika ia bertukar menjadi perang dengan cepat, bermakna sudah boleh diangkat.
Goreng donat sehingga perang keemasan di kedua-dua belah bahagian. Pindahkan ke atas kertas tisu. Beg pastri dipasang dengan tip panjang pada hujungnya, diisi dengan jem dan cucukkan jem ke dalam donat. Taburkan dengan gula tepung dan sedia dihidang!
Kredit Resipi & Foto: Mohd Norafzal Bin Narawi
DONAT KASTARD
BAHAN (KASTARD)
- 2 biji kuning telur
- 1 sdb tepung kastard
- 1 sdb tepung jagung
- 1 sdb tepung gandum
- 3 sdb gula kastor
- 1 cawan susu segar
- 1 sdb butter
- Sedikit pewarna kuning
CARA PENYEDIAAN
Semua bahan dicampur dan dimasak atas api kecil. Kacau tanpa henti sehingga pekat.
BAHAN (DOH)
- 2 cawan tepung gandum (ayak 3x)
- 2 sdb tepung jagung
- 2 sdb butter
- 1 sdb shortening
- 1 sdb susu tepung (tak letak pun takpe)
- 1 sdb gula
- 1/2 sk garam
- 1 biji telur
- 6g yis mauripan (agak2 1/2 paket lebih sikit)
- 90ml air suam (anggaran)
CARA PENYEDIAAN
- Pukul telur dan garam
- Satukan semua bahan, masukkan telur tadi. Gaul sampai bersatu.
- Masukkan air sedikit demi sedikit. Uli sehingga doh tidak melekat ditangan.
- Rehatkan doh. Tutup sebentar dan biarkan doh naik 2x ganda.
- Apabila doh sudah naik, tumbukkan doh untuk keluarkan angin.
- Bahagikan kepada bahagian kecil. Canai sedikit dan masukkan filling kastard. Tutup doh semula dan bulatkan semula.
- Tunggu sebentar biar doh naik sedikit.
- Goreng dengan api sederhana.
- Dah sejuk, tabur gula icing.
- Siap!
Kredit Resipi & Foto: Noraida Durani
DONAT GREEN TEA LEMBUT
BAHAN KERING
- 3 cawan tepung protein tinggi
- 2 cawan tepung gandum
- 1/2 cawan susu tepung
- 1/2 cawan gula kastor
- 1 sudu kecil garam
- 1/2 sudu kecil yis segera
BAHAN PENAIK
- 1/8 cawan mentega
- 1/8 cawan marjerin
- 1 sudu besar liquid bread improver (jika tak ada, gantikan dengan serbuk penaik lain)
BAHAN CECAIR
- 1 biji telur
- 3/4 cawan air sejuk (gunakan air sejuk sepenuhnya, bukan air suam supaya adunan naik sempurna)
- 80 gram krim putar (gunakan krim putar yang mempunyai rasa manis)
- 1 sudu kecil esen vanilla
- 1 sudu kecil perisa mentega
BAHAN TOPPING
- 2 cawan gula halus
- 1 sudu kecil serbuk matcha green tea
- 1/4 cawan air masak
CARA PENYEDIAAN
- Campurkan semua bahan kering di dalam mangkuk pemukul. Pukul hingga rata.
- Masukkan bahan cecair ke dalam campuran bahan kering dan pukul menggunakan kelajuan perlahan selama 2 minit.
- Tukar kepada kelajuan sederhana, lalu tambahkan bahan penaik. Pukul lagi selama 5 minit hingga adunan menjadi licin.
- Keluarkan adunan donat lalu biarkan ditutup rehat hingga 30 minit.
- Ratakan adunan donat setebal 2 cm dan taburkan sedikit tepung gandum di bawah dan permukaan adunan agar tidak melekat.
- Tutup dengan plastik lalu rehatkan selama 60 minit.
- Buka plastik penutup, angkat adunan, dan kembalikan semula ke tempat asal.
- Gunakan acuan donat untuk menerap bentuk donat yang dikehendaki.
- Tabur sedikit tepung ke atas dulang. Lalu susun adunan donat yang sudah dibentuk di atas dulang.
- Biarkan donat kembang hingga menjadi 2 kali ganda.
- Goreng sehingga kuning keemasan menggunakan api sederhana.
- Untuk topping, campur gula halus, serbuk matcha green tea dan air masak. Pukul hingga merata.
- Celupkan donat ke dalam cecair green tea.
- Siap!
Kredit Resipi & Foto : Lativa Sakina
DONAT GLAZE
BAHAN-BAHAN
- 1 cmb dry yis
- 2 cmb gula
- 1/4 cwn air suam
- 1 1/2 cwn warm fresh milk
- 1/2 cmt garam
- 2 biji telur ayam
- 1/3 cwn shortening
- 5 cwn tepung gandum / high-protein
- Minyak untuk deep fry
CARA PENYEDIAAN
- Masukkan yis dan gula ke dalam air suam, kacau sedikit bagi gula larut dan biarkan hingga berbuih.
- Masukkan tepung ke dalam bekas besar, buat lubang ditengahnya, campurkan semua bahan dan uli hingga sebati dan tidak melekat di mangkuk adunan tu.
- Tutup atau simpan doh/adunan dalam mangkuk dan tutup dengan kain lembab dan simpan dalam oven yang tertutup rapat (INGAT oven tu jangan on api, cuma nak bagi cepat naik sahaja). Biar sampai naik 2 kali ganda.
- Tabur tepung atas papan canai, canai doh tadi setebal 1/2 inci.
- Terap menggunakan acuan donat. Susun dalam loyang, jarakkan dan tutup dengan kain lembab, biarkan hingga kembang sekali lagi.
- Goreng dalam minyak yang telah dipanaskan. Pastikan minyak tu betul- betul panas, jika tak nanti donat jadi tak cantik dan serap banyak minyak.
- Angkat dan letakkan di atas kitchen paper supaya serap minyak berlebihan.
Info: Kalau nak buat frozen, goreng separuh masak je (agak2 dah nampak kuning sikit/light golden, terus angkat dari kuali). Sejukkan, simpan dalam bekas dan masuk dalam peti sejuk. Kalau nak guna keluarkan biar hilang sejuk, kemudian boleh digoreng.
BAHAN GLAZE
- 1/3 cwn butter
- 2 cwn powder sugar
- 1 1/2 sudu kecil vanilla
- 5 cmb susu segar suam (tambah jika perlu)
CARA PENYEDIAAN
- Cairkan butter dalam microwave, masukkan powder sugar dan esen vanilla.
- Kacau sedikit, campur beberapa sudu susu segar suam sampai glaze jadi “nipis” (tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair sangat, ikut suka, kalau nak buat glaze berwarna-warni dan berperisa boleh gantikan esen vanila tu dengan pelbagai esen seperti esen lemon+1-2 drops pewarna kuning, strawberry esen+ 1-2 drops pewarna merah, respbery esen+1-2 drops pewarna ungu).
- Celupkan 1 permukaan donat-donat tadi semasa masih panas, susun atas cooling rack bagi lebihan gula menitis, boleh juga tabur chocolate rice, kekacang atau lorekkan/paipkan dgn warna yang berlainan supaya nampak belang- belang di atasnya. Bila dah sejuk lebih kurang 5 minit, donat sedia untuk dimakan.
Kredit Resipi: Lydia Honey
DONAT TOPPING BERWARNA-WARNI
BAHAN-BAHAN
- 500gm tepung roti
- 1 paket yis mauripan
- 100 gm gula kastor
- 100 gm marjerin
- 1 sudu kecil garam
- 200 ml air
- 4 biji kuning telur (jangan guna putih telur)
CARA PENYEDIAAN
- Campurkan semua bahan dan uli hingga menjadi doh licin dan tak melekat pada tangan. Uli lebih kurang 15 minit.
- Bulatkan doh kecil-kecil.
- Ambil sudu dan tekan di tengah-tengah doh menggunakan belakang sudu. Tekan guna jari pun boleh.
- Ambil penutup botol air mineral dan buat lubang ditengah-tengah doh. Buat hingga habis.Biarkan doh lebih kurang 15-20 minit.
- Panaskan minyak yang banyak dan goreng donut hingga keperang-perangan.
- Tos dan biarkan sejuk. Bila dah sejuk bolehlah buat toppingnya pula.
TOPPING
Coklat masakan – coklat
Coklat masakan – putih
Coklat masakan – pink (perisa strawberry)
Coklat urai
Coklat chips
Kepingan badam – bakar 5 minit
Badam hancur – bakar 5 minit
CARA PENYEDIAAN
- Cairkan coklat masakan dengan kaedah double boil. Jika rasa coklat pekat sangat, tambah sedikit whipping cream hingga mendapat kepekatan yang disukai.(jangan cair sangat ya).
- Celupkan donat yang telah sejuk tadi. Hiaskan dengan coklat urai/coklat chips dan taburan kacang yang disukai.
- Siap!
Kredit Resipi: Norhafizah Miswan
Selamat mencuba!