Seperti juga hidangan kaum lain, keturunan Baba Nyonya dan Peranakan juga mempunyai hidangan pembuka selera yang tersendiri. Penuh aroma dan perisa. Walau pun ada persamaan dengan masakan kaum lain, namun hidangan mereka ada kelainan tersendiri. Sila cuba ya!

1. FRESH SPRING ROLL

Aneka Hidangan Pembuka Selera Popular Baba Nyonya Melaka, Memang Sedap Berselera.

BAHAN-BAHAN

  • 1 biji sengkuang | potong julliene
  • 1 biji lobak merah | potong julliene
  •  4 biji bawang merah | tumbuk halus
  • 3 ulas bawang putih | tumbuk halus
  • Sedikit udang kering | tumbuk halus
  • 2 biji telur
  • Kulit popia secukupnya
  • Sedikit bijan
  • Garam secukup rasa
  • Minyak untuk menggoreng secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Tumbuk bahan-bahan tumis seperti bawang merah, bawang putih dan udang kering. Gorengkan bahan-bahan tumis ini  sehingga naik bau. Kemudian pecahkan telur ke dalam tumisan tadi dan kacau.
  2. Setelah itu, masukkan bahan sayur seperti sengkuang dan lobak merah dan goreng sehingga layu. Angkat dan biarkan ia sejuk seketika
  3. Kemudian masukkan inti sayur tadi ke dalam kulit popia dan taburkan sedikit bijan ke dalam inti tadi.
  4. Lipat dan gulung sehingga ketat dan lenserkan dengan telur untuk melekatkan kulit popia tadi.
  5. Kemudian, gorengkan popia dengan api yang perlahan dan menggunakan minyak yang banyak.
  6. Setelah kuning dan garing, angkat dan toskan. Sedia dimakan bersama sos cili.

 

Info chef:  Tidak perlu tambah garam kerana sudah ada udang kering yang masin. Namun terpulang kepada cita rasa masing-masing.

 

 

2. PIE TIE

Aneka Hidangan Pembuka Selera Popular Baba Nyonya Melaka, Memang Sedap Berselera.

BAHAN-BAHAN:

BAHAN-BAHAN  KULIT PIE TIE:

  • 50ml tepung jagung
  • 50ml tepung gandum
  • 100ml tepung beras
  • 500ml air
  • Sedikit garam
  • Minyak untuk menggoreng

 

BAHAN-BAHAN INTI:

Ads
  • 5 biji bawang merah | tumbuk halus
  • 3 ulas bawang putih | tumbuk halus
  • Lobak merah secukupnya | parut halus
  • Sengkuang secukupnya | parut halus
  • Sedikit udang kering | tumbuk halus
  • Daun ketumbar secukupnya
  • Kacang tumbuk secukupnya
  • Garam secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Bancuh bahan-bahan untuk membuat kulit pie tie ke dalam satu mangkuk, untuk membentuk adunan. Kemudian masukkan air dan garam secukupnya.
  2. Kacau sehingga sebati dan adunan itu hendaklah nipis dan jangan terlalu pekat. Jika terlalu pekat masukkan lagi air.
  3. Kemudian panaskan minyak yang banyak. Celup acuan pie tee ke dalam minyak panas sebelum mencelupkan ia ke dalam adunan tepung tadi.
  4. Celup acuan ke dalam tepung dan goreng sehingga adunan pie tie tertanggal daripada acuan dan goreng sehingga ia bertukar kekuningan.
  5. Kemudian angkat dan toskan. Ulangi langkah hingga selesai. Ketepikan.
  6. Untuk inti, tumis bahan-bahan tumis seperti bawang merah, bawang putih dan udang kering. Kemudian masukkan sayur seperti sengkuang dan lobak merah. Setelah itu masukkan garam secukup rasa. Sejukkannya.
  7. Kemudian setelah inti sejuk, masukkan inti ke dalam kulit pie tie yang telah digoreng tadi. Masukkan daun ketumbar dan taburkan sedikit kacang tumbuk.
  8. Boleh dimakan bersama sos cili.

 

Info chef:  Pastikan minyak betul-betul panas ketika acuan dicelup.

 

3. LOH BAK SAYUR

Aneka Hidangan Pembuka Selera Popular Baba Nyonya Melaka, Memang Sedap Berselera.

BAHAN-BAHAN INTI LOH BAK:

  • 1 biji sengkuang  | potong Julliene
  • 1 biji beet root | potong julliene
  • 1 biji lobak merah | potong julliene
  • 1 paket tauhu telur
  • 1 paket tauhu lembut
  • 1 sudu makan serbuk 5 rempah
  • 2 sudu makan tepung jagung
  • Garam secukupnya
  • 1 biji telur | untuk lekatkan kulit

 

BAHAN-BAHAN UNTUK MEMBALUT LOH BAK:

  • Kulit tauhu kering secukupnya
  • Minyak masak untuk menggoreng

 

CARA MEMASAK:

  1. Untuk membuat inti; Satukan kesemua bahan sayuran serta serbuk 5 rempah, tauhu telur, tauhu lembut, tepung jagung dan garam secukup rasa. Gaul sekata. Ketepikan.
  2. Potong kulit tauhu kering selebar segi empat sama.
  3. Lapkan tauhu kering itu dengan menggunakan kain basah sehingga tauhu kering itu lembut.
  4. Kemudian masukkan inti ke dalam tauhu kering seperti membalut popia.
  5. Balut dengan ketat dan gamkan dengan telur. Ulangi hingga selesai. Ketepikan.
  6. Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali dan goreng sehingga ia  bertukar kekuningan. Angkat dan toskan.

 

Info chef:  Boleh menggunakan sayur lain yang anda suka.

 

 

4. LAKSA NYONYA

Aneka Hidangan Pembuka Selera Popular Baba Nyonya Melaka, Memang Sedap Berselera.

BAHAN-BAHAN:

BAHAN- BAHAN KUAH LAKSA LEMAK:

  • 1500ml air rebusan kulit udang
  • 250ml pati santan
  • 10 keping kek ikan
  • ½  kilo udang saiz XL | bersihkan
  • 1 tangkai daun kesum
  • 2 batang bunga kantan |  belah 2
  • 3 sudu makan cili kisar
  • 3 sudu makan serbuk kari ikan
  • Air asam jawa secukupnya
  • Garam dan gula secukupnya
  • Minyak masak secukupnya

 

BAHAN-BAHAN KISAR:

  • 8 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1/2 inci lengkuas
  • 1 inci kunyit hidup
  • 3 batang serai
  • 4 biji buah keras
  • 50gm genggam udang kering | rendam 10 minit dan toskan
  • 1 inci belacan | bakar
  • 3 biji cili merah

 

BAHAN SAMBAL BELACAN:

  • 1 cawan cili kisar
  • 1 inci belacan | bakar
  • Garam dan gula secukupnya

 

ULAM:

  • Sedikit timun | hiris nipis dan mayang halus
  • Sedikit bawang besar | hiris nipis dan leraikan
  • Sedikit tauge | cuci dan toskan
  • Sedikit kek ikan yang telah digoreng
  • Bunga kantan | hiris halus

 

BAHAN-BAHAN LAIN:

  • Mi laksa secukupnya (kalau guna yang kering, rendam dan rebus hingga lembut, toskan dan cuci bawah air paip)
  • Limau kasturi secukupnya | belah 2
  • Sambal belacan tumis secukupnya

 

Ads

CARA MEMASAK:

  1. Untuk sambal belacan tumis: Tumis cili kisar dan masukkan belacan, kacau rata dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Tambah garam dan gula secukup rasa. Masak sekejap, rasa kemudian boleh matikan api. Ketepikan.
  2. Untuk kuah laksa lemak: Panaskan minyak di dalam periuk lebih kurang ½ cawan. Tumis bahan-bahan yang dikisar halus hingga terbit harum.
  3. Masukkan cili kisar dan masak hingga naik minyak dan bahan-bahan tadi garing, kemudian masukkan pes kari ikan dan air asam jawa.
  4. Kemudian tuang air rebusan kulit udang. Kacau rata dan biar mendidih.
  5. Masukkan pula udang, bunga kantan dan daun kesum. Kacau dan biar udang masak. Tambah kek ikan, dan tuang pati santan. Kacau dan masak dengan api kecil hingga mendidih. Perasakan dengan garam dan sedikit gula. Kacau sebati. Tutup api.
  6. Untuk menghidangkan laksa nyonya: Masukkan secukupnya mi laksa ke dalam mangkuk. Tuang kuah laksa bersama isinya sekali (termasuk udang). Hias dengan ulam-ulaman, sambal belacan tumis dan perahkan jus limau kasturi sebelum makan.

 

Info chef:  Boleh juga dihidangkan bersama ulam-ulaman daun selasih, dan telur rebus.

 

 

5. SAMBAL IKAN BILIS NYONYA

Aneka Hidangan Pembuka Selera Popular Baba Nyonya Melaka, Memang Sedap Berselera.

BAHAN-BAHANNYA:

  • 300gm ikan bilis

BAHAN-BAHAN TUMIS:

  • 4 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 3 sudu makan cili kisar
  • 1/2 mangkuk air asam jawa

 

CARA MEMASAK:

  1. Goreng ikan bilis sehingga garing. Ketepikan.
  2. Kemudian masukkan bahan-bahan tumis tadi seperti bawang merah, bawang putih, cili kisar dan tumis sehingga garing.
  3. Kemudian masukkan air asam jawa. Goreng lagi sehingga garing. Perasakan dengan garam dan sedikit gula.
  4. Setelah kering, masukkan ikan bilis dan kacau sehingga rata.

 

Info chef:  Sedap juga jika dimakan dengan ubi kayu rebus atau roti.

 

 

Ads

6. OTAK-OTAK

Aneka Hidangan Pembuka Selera Popular Baba Nyonya Melaka, Memang Sedap Berselera.

BAHAN-BAHAN:

  • 3 keping isi ikan tenggiri atau ikan merah | cincang halus
  • 3 batang cili merah | dibuang biji dan dikisar halus
  • 5 tangkai cili kering  | rebus hingga lembut dan kisar halus
  • 4 biji bawang merah | kisar
  • 2 ulas bawang putih | kisar
  • 3 biji buah keras | kisar
  • 1 cm halia | kisar
  • 1 batang serai | kisar
  • 1 cm kunyit hidup | kisar
  • 1 sudu teh serbuk ketumbar
  • 175ml pati santan
  • Garam secukup rasa
  • 20 helai daun kelapa
  • Lidi secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Satukan semua bahan kecuali isi ikan, daun kelapa dan lidi di dalam periuk. Gaul sekata.
  2. Panaskan di atas dapur sekejap hingga mendidih dan pekat kuahnya
  3. Tunggu sehingga kuah sejuk. Bila sudah sejuk, gaulkan dengan isi ikan tadi. Sudukan ramuan ke atas daun kelapa.
  4. Sematkan dengan lidi kemas di kedua-dua hujungnya dan setelah siap boleh disimpan dalam peti sejuk atau terus dibakar. Bakar kedua-dua belah sehingga masak.
  5. Angkat dan enak dinikmati ketika panas.

Info chef: Boleh juga digantikan daun kelapa dengan daun pisang.

 

 

7. DUMPLING AYAM

Aneka Hidangan Pembuka Selera Popular Baba Nyonya Melaka, Memang Sedap Berselera.

BAHAN-BAHAN:

  • 2 biji bawang merah | cincang halus
  • 450gm ayam cincang
  • 1 sudu makan minyak bijan
  • 1/2 biji Benggala hijau | cincang halus
  • 1 sudu teh rempah 5 rasa
  • Sedikit daun bawang
  • Kulit wantan secukupnya
  • Air secukupnya
  • Garam secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Campurkan kesemua bahan seperti ayam cincang, bawang merah, cili Benggala, daun bawang, minyak bijan dan garam, gaul sehingga rata.
  2. Masukkan rempah 5 rasa ke dalam adunan tadi. Kemudian masukkan lebih kurang 1 sudu teh adunan tadi ke dalam kulit wantan.
  3. Basahkan tepi  kulit wantan dengan air dan kelim tepi kulit wantan dengan kemas. Ulangi langkah hingga selesai.
  4. Kemudian kukus wantan ini selama lebih kurang 20 minit. Apabila masak boleh dihidangkan bersama sos cili.

Info chef:  Jika mahu pedas boleh gaulkan bersama cili yang dicincang.

 

Kredit Resipi: Terima kasih Suhaili Mohd Noor, Seri Kembangan, Selangor.

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI