Aneka Menu Kari Sekali Rasa Confirm Nak Lagi

Share

Resipi kari memang disukai ramai. Nak lagi padu bila makan bau rempah tu melekat terus di jari. Ada macam-macam jenis kari boleh anda masak terpulang pada cita rasa masing-masing.Ada orang yang suka pecahkan telur terus ke dalam kuah kari. Ada juga yang telur rebus itu tak digoreng. Dikongsikan resepi kari yang boleh anda masak untuk keluarga.

KARI PEKAT TANPA SANTAN

 Bahan-bahan:

  • 2 biji bawang merah
  • 2 tangkai daun kari
  • 1 biji tomato
  • 2 biji kentang
  • 1 lobak merah
  • 3 tangkai lada kering
  • 4 tangkai cili hijau
  • 3 ulas bawang putih (ditumbuk)
  • 2 hirisan halia (ditumbuk)
  • Dua serbuk utama untuk kari.

Cara memasak:

1.Panaskan minyak masak di dalam periuk, tumiskan bawang putih, halia, bawang merah, lada kering, cili hijau dan daun kari.

2.Kemudian masukkan tomato dan masak sehingga tumisan menjadi lembap.

3.Masukkan air asam jawa. Kalau tak ada asam jawa, boleh guna yogurt.

4.Masukkan semua serbuk rempah ke dalam masakan. Gaul rata. Sukatannya seperti:
1 paket rempah kari daging
3 sudu kecil serbuk cili
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu besar rempah jintan dan biji ketumbar yang ditumbuk.

5.Masukkan daging, lobak merah dan kentang. Gaul sebati dengan rempah.

6.Biarkan jus daging keluar pada suhu api paling kecil.

7.Tutup periuk dan biarkan selama 10 minit.

8.Jus daging telah keluar dan masukkan semangkuk kecil air. Biarkan dan api masih suhu paling kecil.

9.Akhir sekali perasakan dengan garam. Sedia dihidang dengan nasi panas.

Kredit: Zurina Zulkefli

 

Kari Sardin Ala Mamak

 

Bahan-bahan:

  • 2 tin sardin
  • 4 sudu besar rempah kari ikan
  • 1 sudu besar serbuk cili – boleh beli online di sini
  • 2 sudu besar halba campur
  • 5 pelepah daun kari
  • Garam dan Gula
  • Ajinomoto
  • Serbuk perasa Maggi
  • 1 sudu besar pes asam jawa Adabi
  • Minyak masak

Sayur-sayuran:

  • Bendi
  • Tomato (belah 6)
  • Lada hijau besar (belah 2)
  • Lada akar
  • Bawang besar (belah 6
  • Bahan Tumis:
  • 10 biji bawang merah kecil (mayang)
  • 10 ulas bawang putih (mayang)
  • 5 inci halia (mayang. Letak lebih lagi sedap)

Cara memasak:

1.Panaskan minyak dalam kuali. Tumiskan bahan tumisan hingga layu dan terbit bau wangi.

2.Kemudian masukkan halba campur dan daun kari. Tumis lagi hingga naik bau.

3.Setelah itu masukkan rempah kari ikan dan serbuk cili, terpulang jenama apa.

4.Tumis hingga pecah minyak. Letak air sikit. Kacau lagi hingga pecah minyak.

5.Bila dah pecah minyak dan bahan tumis pun dah garing, bolehlah masukkan ikan sardin bersama kuahnya sekali.

6.Perasakan dengan garam, gula, Ajinomoto, serbuk perasa Maggi dan asam jawa Adabi. Kacau sebati.

7.Akhir sekali, masukkan sayur kegemaran kita. Misalnya bendi, tomato, lada hijau besar,lada akar dan bawang besar.

  1. Siap. Buat kuah lebih nanti boleh cicah dengan roti, lempeng atau roti canai. Sedap.

Kredit: Zat Hernani

Kari Kacang Hijau

Bahan-bahan:

  • 1 cawan kacang
  • 1 sudu kecil jintan manis
  • 6-7 biji cili kering
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • Sedikit serbuk cili
  • Garam
  • Air
  • Minyak masak

Bahan Tumis:

  • 5 ulas bawang putih (hiris)
  • 1 batang cili merah
  • 5 biji bawang merah kecil (hiris)
  • 1 biji tomato (belah 4 atau 6)

Cara memasak:

1.Mula-mula kacang hijau direndam 4 jam. Atau kalau nak rendam semalaman pun boleh. Toskan dan ketepikan.

2.Panaskan minyak. Masukkan jintan manis. Kemudian masukkan cili kering. Tumis.

3.Setelah itu masukkan bahan-bahan lain tadi sekali gus. Tumis selama dua minit.

4.Masukkan kacang hijau yang direndam dan kacau sebati. Tambahkan air. Level air sampai bahan-bahan tadi tenggelam. Nak masukkan lebih pun tak apa.

5.Masukkan pula serbuk kunyit. Kacau sebati dan biar masak menggunakan api sederhana untuk 20 – 30 minit.

6.Selepas 20 – 30 minit, kacang hijau sudah masak sepenuhnya. Tambah air sikit lagi untuk buat kuah.

7.Kemudian perasakan dengan garam secukup rasa. Masukkan sedikit serbuk cili untuk bagi warna kari lagi cantik. Kacau sebati dan biar masak lagi dalam 10 minit.

8.Kacang hijau dah masak sepenuhnya. Siap. Sesuai dengan sambal ikan atau mana-mana sambal pedas. Dengan capati pun ngam!

Kredit: Sheena Supra

Kari Telur Rebus

Bahan-bahan:

  • 3-4 biji telur ayam (cuci dan rebus)
  • Setengah kotak kecil santan kotak
  • 1 batang kulit kayu manis
  • Sedikit buah pelaga
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • Sedikit bunga lawang
  • Sedikit daun kari
  • Daun ketumbar (ambil akarnya)
  • 1 paket kecil rempah kari ayam
  • 2-3 sudu makan cili kisar
  • 2-3 batang terung (potong kecil)
  • 1 biji tomato (belah 4)
  • 3 batang cili hijau besar (belah dua)
  • Cili padi hijau (pilihan)
  • Garam
  • Gula secukupnya
  • Minyak masak
  • Air

Bahan kisar:

  • 2 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 labu bawang Bombay
  • 1 inci halia

Cara memasak:

1.Mula-mula bersihkan telur dan rebus hingga masak. Biarkan sejuk dan kupas kulitnya.

2.Di dalam kuali, panaskan minyak dan goreng telur yang telah direbus tadi hingga bertukar warna keemasan. Angkat dan toskan.

3.Menggunakan minyak yang sama, masukkan bahan kisar, kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang dan buah pelage. Tumis hingga terbit bau wangi.

4.Setelah itu, masukkan serbuk kari yang sudah dicampur sedikit air dan cili kisar. Tumis hingga terbit minyak.

5.Masukkan juga sebahagian daun kari dan akar daun ketumbar. Kemudian masukkan hirisan terung. Gaul sekata dan biar seketika hingga minyaknya mula naik. Boleh masukkan air sedikit jika perlu.

6.Kemudian masukkan santan dan gaul sekata. Terus masukkan pula hirisan tomato, cili besar hijau serta cili padi hijau. Gaul lagi. Dari semasa ke semasa jangan lupa kacau. Tambah air lagi jika kari terlalu pekat. Sesuaikan ikut selera sama ada nak kari pekat atau agak cair.

7.Akhir sekali, apabila terung sudah empuk, masukkan telur dan perasakan dengan garam dan gula secukupnya.

8.Biarkan ia mereneh beberapa minit agar semua bahan sebati. Setelah itu, tutup api dan tabur sebahagian lagi daun kari yang tinggal. Tutup periuk supaya aroma karinya makin naik. Siap!

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:  

 

Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official

 

Published by
Putri