Aneka Resipi Asam Pedas Homemade Yang Mudah & Sedap.

Share

Asam pedas adalah masakan Melayu yang cukup popular dengan gabungan rasa masam dan pedasnya. Ada pelbagai jenis asam pedas seperti Asam Pedas Johor, Asam Pedas Melaka, Asam Pedas Nyonya, Asam Pedas Utara dan banyak lagi. Bagi anda yang sukakan hidangan ini, bolehlah cuba.

 

1. IKAN TONGKOL ASAM PEDAS

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ikan tongkol | potong kecil
  • 2 batang serai | diketuk
  • 1 sudu makan kicap manis
  • Sedikit belacan | dibakar
  • 2 biji tomato | dibelah empat
  • 2 biji bawang besar | dihiris bulat
  • 4 sudu makan kacang tanah tumbuk
  • Air asam jawa secukupnya
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menumis dan menggoreng

BAHAN KISAR:

  • 20 tangkai cili kering
  • 6 biji cili padi
  • 15 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 biji bawang besar

CARA MEMASAK:
1. Ikan dilumur dengan garam serta kunyit. Goreng hingga garing.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bawang-bawang yang dikisar sehingga kekuningan.
3. Masukkan belacan, cili padi dan cili kering kisar. Tumis sehingga pecah minyak.
4. Masukkan serai, kicap, air asam jawa, garam dan juga gula dengan secukup rasa. Biarkan mendidih.
5. Selepas itu, masukkan ikan, tomato, bawang besar dan kacang tanah. Kacau rata.
6. Biarkan mendidih seketika. Angkat dan hidangkan.

INFO CHEF: Pastikan cili betul-betul masak sebelum dimasukkan air asam jawa.

 

 

2. SOTONG MASAK ASAM PEDAS

BAHAN-BAHAN:

  • 1/2 kg sotong sederhana besar | bersihkan dan potong kecil
  • 20 tangkai cili kering | dikisar
  • 10 biji bawang merah | dikisar
  • 2 ulas bawang putih | dikisar
  • 2 biji bawang besar | dikisar
  • 2 batang serai | dititik
  • 200gm asam jawa | dicampur air dan ditapis
  • 1 biji buah tomato | dicincang halus
  • Minyak masak secukupnya
  • Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang yang dikisar sehingga kekuningan.
2. Masukkan cili kering dan serai. Tumis sehingga pecah minyak.
3. Masukkan air asam jawa, tomato, garam dan gula dengan secukup rasa.
4. Akhir sekali, masukkan sotong dan gaul hingga rata. Biar sehingga sotong masak.
5. Sedia untuk dinikmati.

INFO CHEF: Cili kering boleh digantikan dengan cili boh.

 

3. ASAM PEDAS AYAM


BAHAN-BAHAN:

  • 1/2 kg ayam
  • 3 batang serai | dititik
  • 1 pokok daun ketumbar | dihiris
  • 1 cawan air asam jawa
  • 4 helai daun limau purut
  • Air secukupnya
  • Minyak masak untuk menumis
  • 1 biji terung | dipotong kecil
  • Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR:

  • 20 tangkai cili kering
  • 6 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 5cm halia
  • 2 biji buah keras
  • 3 biji tomato
  • 2cm belacan | disangai
  • 1 sudu makan lada hitam

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga garing.
2. Masukkan ayam dan biarkan sehingga isi ayam lembut dan cili kelihatan pecah minyak.
3. Kemudian masukkan serai, daun limau purut, air asam jawa. Biarkan seketika barulah dimasukkan air.
4. Sesuaikan rasa dengan menambah garam serta gula dengan secukupnya. Biarkan mendidih sehingga isi ayam benar-benar empuk.
5. Masukkan daun ketumbar dan terung. Biarkan mendidih seketika.
6. Angkat dan sedia untuk dinikmati.

INFO CHEF: Jika kurang gemar aroma belacan, abaikan bahan tersebut.

 

4. ASAM PEDAS TUMIS TENGGIRI

BAHAN-BAHAN:

  • 2 keping ikan tenggiri
  • 3 sudu makan cili kisar
  • 5 biji bawang merah | dikisar halus
  • 4 ulas bawang putih | dikisar halus
  • 2cm halia | dikisar halus
  • 2cm belacan | disangai
  • 2 batang serai | dititik
  • 3 tangkai daun kesum
  • 2 kuntum bunga kantan | dibelah dua
  • 2 biji tomato | dibelah empat
  • 1 cawan air asam jawa
  • 5 batang bendi
  • Air secukupnya
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan yang dikisar, belacan dan serai sehingga pecah minyak.
2. Tuang air asam jawa dan air. Masukkan ikan, daun kesum dan bunga kantan. Gaul rata.
3. Setelah kuah mendidih, masukkan bendi dan tomato. Biarkan sehinga masak.
4. Perasakan dengan garam serta gula dengan secukupnya. Apabila kuah kelihatan pecah minyak, angkat dan sedia untuk dinikmati.

INFO CHEF: Tumis cili menggunakan api perlahan dapat menghasilkan rasa asam pedas yang enak kerana rempahnya masak dengan sekata.

 

5. ASAM REBUS IKAN SELAR

BAHAN-BAHAN:

  • 2 ekor ikan selar
  • 4 keping asam gelugur
  • 3 tangkai daun kesum
  • 1/4 biji nanas | dipotong kecil
  • Sedikit kunyit hidup | ditumbuk
  • 1 kuntum bunga kantan | dibelah dua
  • 4 biji cili merah | ditumbuk halus
  • Sedikit belacan | ditumbuk halus
  • 2 biji bawang merah | ditumbuk halus
  • 1 ulas bawang putih | ditumbuk halus
  • Air secukupnya

CARA MEMASAK:
1. Bersihkan ikan dan potong kecil.
2. Masukkan semua bahan ke dalam periuk. Masak sehingga air mendidih.
3. Apabila ikan kelihatan masak, perasakan dengan garam serta gula dengan secukup rasa.
4. Siap untuk dihidangkan.

INFO CHEF: Boleh juga menggunakan ikan kembung.

 

6. KEMBUNG MASAK REBUS PEDAS

BAHAN-BAHAN:

  • 3 ekor ikan kembung | dibelah dua
  • 4 sudu makan cili kering kisar
  • 4 cm lengkuas | dikisar
  • 3 biji bawang merah | dikisar
  • 2 ulas bawang putih | dikisar
  • Sedikit belacan | dikisar
  • 6 batang bendi
  • 2 tangkai daun kesum
  • 3 keping asam gelugur
  • Garam secukup rasa
  • 1 biji buah tomato | dibelah empat
  • 4 cawan air

CARA MEMASAK:
1. Masukkan air ke dalam periuk diikuti cili kisar dan bahan lain yang telah dikisar. Biarkan sehingga agak mendidih.
2. Kemudian masukkan ikan, asam gelugur, daun kesum diikuti garam serta gula dengan secukupnya.
3. Akhir sekali masukkan bendi dan tomato. Biarkan sehingga sayuran menjadi lembut.
4. Angkat dan hidangkan.

INFO CHEF: Selain dikisar, bawang merah, belacan, lengkuas dan bawang putih boleh juga ditumbuk kasar. Ia memberikan lebih rasa pada masakan.

 

7. UDANG MASAK ASAM PEDAS

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm udang
  • 2 tangkai daun kesum
  • 1 biji tomato | dibelah empat
  • Air secukupnya
  • 1 cawan air asam jawa
  • 2 batang serai | diketuk
  • Garam secukup rasa
  • Minyak untuk menumis

BAHAN KISAR:

  • 5 tangkai cili kering
  • 4 biji bawang merah
  • 2cm halia
  • 2 biji buah keras
  • Sedikit belacan | dibakar

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan serai sehingga garing dan wangi.
2. Kemudian masukkan udang dan biarkan sehingga pecah minyak.
3. Masukkan air asam jawa. Biarkan seketika. Tambahkan air secukupnya. Biarkan mendidih.
4. Tambahkan daun kesum dan tomato. Biarkan masak sehingga kuah pekat dan pecah minyak.
5. Perasakan dengan garam dengan secukupnya. Sedia untuk dihidangkan.

INFO CHEF: Jika mahu lebih masam, lebihkan jumlah air asam jawa.

 

8. KERANG MASAK ASAM PEDAS

BAHAN-BAHAN:

  • 1 mangkuk isi kerang rebus
  • 8 biji cili merah | dikisar
  • 1 biji bawang besar | dipotong dadu
  • 1 batang serai | dihiris
  • 2 helai daun limau purut
  • 1 sudu makan sos tiram
  • 1 sudu makan sos cili
  • Minyak untuk menumis
  • Air asam jawa secukupnya
  • Garam & gula secukup rasa

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar sehingga kuning. Kemudian masukkan kisaran cili merah.
2. Tambahkan sos tiram, sos cili, serai, daun limau purut, garam dan gula dengan secukup rasa. Tumis sehingga naik minyak.
3. Masukkan isi kerang dan air asam jawa dengan secukupnya. Gaul rata.
4. Sedia untuk dinikmati.

INFO CHEF: Selain kerang, boleh juga menggunakan kepah.

 

ANDA BOLEH CUBA:

http://www.rasa.my/seleranya-rendang-kerang-pedas-lagi-terangkat/

 

Published by
Nur