Masakan Thai cukup terkenal malah menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Hidangan yang mengandungi rasa masam, masin dan pedas ini memang membuka selera dan sesuai dinikmati bila-bila masa. Kali ini RASA kongsikan aneka masakan Thai berasaskan ayam yang boleh anda cuba.

 

1. AYAM SOS THAI

Aneka Resipi Hidangan Ayam Masak Cara Thai. Sedap &  Mudah.

BAHAN-BAHAN:

  • 1/2 ekor ayam | potong 6-8 ketul
  • 2 sudu teh tepung jagung
  • 1 sudu teh serbuk pati ayam
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • 8 sudu makan sos Thai
  • 2 batang serai | titik
  • 2 biji bawang besar | hiris
  • 4 biji bawang putih | hiris
  • 3cm halia | hiris halus
  • 1/2 biji cili Benggala hijau | hiris 
  • 1/2 biji cili Benggala merah | hiris
  • 1/2 batang lobak merah | hiris 
  • 3 biji cili padi hijau |hiris halus
  • 1 tangkai cili merah | hiris halus
  • 2 sudu teh sos ikan
  • 60ml air
  • Minyak masak secukupnya
  • Daun ketumbar untuk hiasan

 

CARA MEMASAK:

  1. Di dalam mangkuk, satukan ayam bersama tepung jagung, serbuk pati ayam, dan serbuk lada hitam. Gaul sebati.
  2. Panaskan minyak untuk menggoreng ayam. Gorengkan ayam sehingga warna perang keemasan, angkat, tos dan ketepikan.
  3. Salin minyak di dalam kuali dan tinggalkan sedikit sahaja untuk menumis. Setelah itu tumiskan bawang besar, bawang putih, halia, dan serai sehingga wangi. Dikuti dengan lobak merah, cili padi dan cili merah.
  4. Kemudian masukkan sos cili Thai, sos ikan dan air secukupnya. Kacau sebentar hingga kuah mereneh.
  5. Setelah itu masukkan cili Benggala hijau dan merah. Apabila cili Benggala telah agak layu sedikit masukkan ayam tadi kacau dan tutupkan api. Siap untuk dihidangkan. Hiaslah dengan daun ketumbar yang dipotong agak kasar jika suka.

Info chef: Jumlah air bergantung sama ada anda ingin lebih berkuah atau agak kering.

 

2. GULAI AYAM SIAM

Aneka Resipi Hidangan Ayam Masak Cara Thai. Sedap &  Mudah.

BAHAN-BAHAN:

  • 1/2 ekor ayam | potong 6-8 ketul
  • 250ml santan pekat
  • 250ml air
  • 6 biji terung kampung | belah dua
  • 1 biji bawang besar | kisar
  • 4 biji bawang putih | kisar
  • 3cm lengkuas | hiris dan kisar
  • 3cm kunyit | hiris dan kisar
  • 6 tangkai cili padi hijau | kisar
  • 2 batang serai | hiris halus dan kisar
  • 1/2 sudu teh serbuk jintan manis
  • 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
  • 2 helai daun limau purut | carik
  • Minyak masak secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Tumis semua bahan iaitu bawang besar, bawang putih, halia, lengkuas, kunyit, cili padi hijau, serai, daun limau purut, serbuk jintan manis dan serbuk lada hitam hingga wangi dan pecah minyak.
  2. Kemudian masukkan ayam dan air secukupnya, kacau sebentar dan biarkan sehingga kuah mereneh dan ayam agak empuk dan masak.
  3. Setelah ayam agak empuk,masukkan terung kampung dan akhir sekali santan pekat. Masaklah sehingga kuah agak memekat kemudian tutupkan api.  Siap untuk dihidangkan.

Info Chef : Terung kampung boleh digantikan dengan terung pipit.

IKLAN

 

3. AYAM HALIA

Aneka Resipi Hidangan Ayam Masak Cara Thai. Sedap &  Mudah.

BAHAN-BAHAN:

  • 1/2 ekor ayam | potong 6 – 8 ketul
  • 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
  • 5cm halia |hiris halus dan memanjang
  • 1 biji bawang besar | hiris
  • 4 biji bawang putih | hiris
  • 4 biji cili padi | hiris
  • 1 tangkai cili merah | hiris
  • 1/2 batang lobak merah | hiris halus dan memanjang
  • 4 tangkai kacang panjang | potong 3cm panjang
  • 2 sudu teh sos ikan atau secukup rasa
  • 1 sudu teh serbuk pati ayam
  • 1 sudu teh gula atau secukup rasa
  • 2 sudu teh cuka atau secukup rasa
  • 60ml air
  • Minyak masak secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Di dalam mangkuk, gaulkan ayam bersama serbuk kunyit, garam dan serbuk lada hitam.
  2. Panaskan minyak lebih kurang enam sudu makan di dalam kuali dan goreng sebentar ayam selama lebih kurang 5 minit, angkat dan ketepikan.
  3. Di dalam kuali yang sama, tumiskan halia, hirisan bawang besar, bawang putih, cili padi dan cili merah sehingga wangi. Kemudian masukkan lobak merah, kacang panjang, sos ikan, serbuk pati ayam, gula, cuka dan air.  Masaklah sehingga kuah mendidih akhir sekali masukkan kembali ayam dan kacau sebentar. Tutupkan api. Siap untuk dihidangkan.

 

4. AYAM SICHUAN ALA THAI

Aneka Resipi Hidangan Ayam Masak Cara Thai. Sedap &  Mudah.

IKLAN

BAHAN-BAHAN:

  • 3 ketul isi dada ayam – dihiris 
  • 2 sudu makan tepung jagung
  • 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
  • 1 sudu makan taucu
  • ½ biji bawang besar | hiris
  • 4 biji bawang putih | hiris
  • 1 sudu teh kicap pekat manis
  • 2 sudu teh gula atau secukup rasa
  • 2 sudu teh serbuk cili Thai
  • 1/2 cawan kacang tanah goreng
  • 8 tangkai cili kering
  • Sedikit daun bawang
  • Minyak untuk menumis dan menggoreng

 

CARA MEMASAK:

  1. Di dalam mangkuk gaul sekata isi ayam bersama tepung jagung dan serbuk lada hitam.
  2. Panaskan minyak untuk menggoreng. Apabila panas, goreng ayam sehingga warna perang keemasan angkat, tos  dan ketepikan.
  3. Tuangkan sedikit minyak lebih kurang empat sudu makan, kemudian goreng cili kering hingga wangi dan garing, angkat dan ketepikan.
  4. Setelah itu tumiskan hirisan bawang besar, bawang putih, daun bawang hingga wangi. Masukkan taucu, kicap pekat manis, gula dan serbuk cili Thai, kacau sebentar.
  5. Akhir sekali masukkan ayam, kacang tanah dan cili kering, gaul rata kemudian tutupkan api.  Hidangkan segera semasa masih panas.

 

5. AYAM PANDAN

Aneka Resipi Hidangan Ayam Masak Cara Thai. Sedap &  Mudah.

BAHAN-BAHAN:

  • 1/2 ekor ayam | potong  6-8 ketul
  • 4 biji bawang putih | kisar halus
  • 1 biji bawang besar | kisar halus
  • 3cm halia | kisar halus
  • 3cm lengkuas | kisar halus
  • 6 tangkai cili padi | kisar halus
  • 2 batang serai dihiris halus | kisar halus
  • 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 sudu teh serbuk ketumbar
  • 1/2 sudu teh serbuk jintan manis
  • 1 sudu teh serbuk pati ayam
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa
  • Daun pandan secukupnya
  • Minyak masak  untuk menggoreng

 

CARA MEMASAK:

IKLAN
  1. Gaulkan ayam bersama kesemua bahan kisar, serbuk ketumbar, serbuk jintan manis, serbuk kunuit, serbuk pati ayam, garam dan gula. Perap semalaman bagi mendapatkan rasa yang lebih enak.
  2. Setelah itu bungkuslah ayam tersebut dengan daun pandan seperti membungkus ketupat palas. Goreng di dalam minyak yang banyak dengan api yang agak sederhana besar agar ayam masak sekata. Ayam pandan siap untuk dihidangkan.

Info chef: Jika hendak cepat, ayam bolehlah diperap selama dua jam.

 

6. AYAM KARI HIJAU

Aneka Resipi Hidangan Ayam Masak Cara Thai. Sedap &  Mudah.

BAHAN-BAHAN:

  • 1/2 ekor ayam | potong 4-6 ketul
  • 1 biji bawang besar | dikisar
  • 4 biji bawang putih | dikisar   
  • 6 tangkai cili padi hijau | dikisar
  • 4 pokok daun ketumbar | potong kecil serta kisar bersama akarnya
  • 4 helai daun limau purut | dihiris halus serta dikisar
  • 1/2 sudu teh serbuk jintan manis
  • 1 sudu teh serbuk kari ayam
  • 1 sudu teh serbuk pati ayam
  • 2 keping asam gelugur
  • 125ml santan pekat
  • 250ml air
  • 1 biji tomato | belah enam
  • 1 biji bawang besar | belah empat
  • Garam secukupnya
  • Gula secukupnya
  • Minyak masak secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Di dalam kuali tumiskan bahan yang telah dikisar bersama serbuk jintan manis, serbuk kari ayam, serbuk pati ayam, asam gelugur, garam dan gula secukup rasa sehingga pecah minyak.
  2. Masukkan santan pekat,  masak selama 5-6 minit atau sehingga pecah minyak.
  3. Kemudian masukkan ayam dan air kacau sebentar, biarkan sehingga air mendidih atau sehingga kuah agak memekat.
  4. Setelah itu masukkan tomato yang telah dihiris dan bawang besar yang telah dibelah empat. Masaklah sehingga tomato dan bawang agak lembut. Tutupkan api.  Kari hijau ayam sedia untuk dihidangkan.

 

7. AYAM GAJUS

Aneka Resipi Hidangan Ayam Masak Cara Thai. Sedap &  Mudah.

BAHAN-BAHAN:

  • 3 keping dada ayam | potong kecil
  • 2 sudu makan tepung jagung
  • 2 sudu teh minyak bijan
  • 1/2 sudu teh serbuk lada sulah
  • 1/2 sudu teh serbuk pati ayam
  • 8 tangkai cili kering | potong 3cm panjang
  • 3cm halia | cincang halus
  • 1 biji bawang besar | hiris
  • 6 biji bawang putih | cincang
  • 2 sudu teh sos tiram atau secukup rasa
  • 2 sudu teh kicap pekat manis
  • 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
  • 80gm kacang gajus
  • Daun bawang secukupnya
  • Lobak merah | Hiris bulat
  • Minyak masak  secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Di dalam mangkuk, satukan ayam bersama minyak bijan, tepung jagung dan lada sulah. Perap sebentar.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali, gorengkan isi ayam yang telah diperapkan tadi sehingga warna keemasan angkat dan ketepikan.
  3. Keluarkan minyak di dalam kuali tinggalkan sedikit untuk menumis,   anggaran tiga sudu makan. Kemudian gorengkan cili kering sehingga garing dan angkat.  
  4. Selepas itu tumiskan hirisan bawang besar, bawang putih dan halia sehingga wangi. Setelah itu masukkan  lobak merah, sos tiram, kicap pekat manis, serbuk lada hitam dan kacau sebentar.  Akhir sekali masukkan isi ayam, daun bawang dan gajus, kacau serta tutupkan api.
  5. Ayam gajus sedia untuk dihidangkan.

 

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI