Aneka Resipi Cekodok, Makanan Kegemaran Perdana Menteri ke-10

Share

Malaysia dilanda demam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke-10! Fuhh, memang dasyat penangan figura anak jati Bukit Mertajam ini.

Setinggi-tinggi penghormatan yang diterimanya, namun suami kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ini tetap merendah diri dan seorang yang sangat simple.

Buktinya, Anwar sangat gemarkan cekodok pisang! Cerita menarik ini didedahkan sendiri oleh puteri keempat Anwar iaitu, Nurul Iman yang memberitahu papanya seorang yang tidak cerewet soal makanan.

“Papa memang tidak cerewet tetapi menggemari hidangan ringkas seperti cekodok atau jemput-jemput.

“Papa suka makan cekodok, walaupun ada banyak hidangan lain, kami pastikan cekodok antara menu untuk hidangan papa,” ujar Iman ketika ditemubual media.

Meraikan detik bersejarah ini, RASA kongsikan resipi cekodok pisang kegemaran Perdana Menteri Malaysia ke-10 dan juga koleksi pelbagai jenis cekodok lain.

 

CEKODOK PISANG RANGUP

BAHAN-BAHAN:

500gm pisang
100gm tepung gandum – beli online di sini
100gm tepung beras – beli online di sini
¼ sudu soda bikarbonat
1 sudu makan gula – beli online di sini

CARA MEMASAK:

1. Lenyekkan pisang sehingga hancur. Kemudian masukkan semua bahan yang lain.
2. Kacau bahan-bahan tadi hingga semuanya sebati dan tiada tepung bergumpal.
3. Panaskan kuali dan masukkan minyak masak dengan banyak. Untuk dapatkan saiz cekodok yang bulat dan comel, boleh gunakan tangan. Kemudian balik-balikkan cekodok supaya masak sekata.
4. Cekodok pisang rangup siap disediakan dan sedia untuk dinikmati. Enak dihidang panas-panas dengan minuman kegemaran.

NOTA: Jika suka cekodok yang rasa banyak pisang boleh kurangkan. Jika suka lebih tepung boleh tambahkan lagi tepungnya. Ikut pada selera masing-masing.

Kredit resipi: Khadijah Jaafar

 

CEKODOK JEJARI KENTANG

BAHAN-BAHAN:

3 biji ubi kentang | kupas kulit – beli online di sini
Tepung gandum secukupnya
Sedikit serbuk kunyit
Garam secukup rasa
1 biji bawang merah | hiris halus
Cili padi secukupnya | jika suka pedas
Daun kucai dan tauge | jika suka, boleh masukkan
Air secukupnya

[Jangan Terlepas Resipi Menarik Di Channel Rasa]

CARA MEMASAK:

1. Sagat ubi kentang halus-halus. Masukkan ke dalam bekas bersesuaian.
2. Masukkan tepung gandum secukupnya (jangan terlalu banyak), serbuk kunyit dan garam secukup rasa. Jika suka, boleh juga tambahkan sebiji telur.
3. Gaul semua bahan hingga rata. Air jangan letak banyak. Cukup sekadar secukupnya sahaja.
4. Panaskan minyak masak dalam kuali dan goreng adunan cekodok tadi hingga berwarna keemasan.
5. Angkat dan sedia untuk dinikmati.

Kredit resipi & foto: Eyda Rohaidah

 

CEKODOK LABU

BAHAN-BAHAN:

1 potong labu
2-3 sudu makan santan
Air secukupnya
Tepung gandum secukupnya
Susu pekat manis secukup rasa
Sedikit garam
Minyak untuk menggoreng

CARA MEMASAK:

1. Buang kulit labu, potong kecil dan bersihkan.
2. Masukkan ke dalam kuali. Masukkan santan, sedikit garam dan sedikit air hingga tenggelam labu. Rebus hingga empuk.
3. Masukkan tepung gandum dan susu pekat manis. Biar ada rasa lemak-lemak manis. Jumlah tepung pula pastikan lebih dari labu.
4. Adunan pastikan tidak lembik. Cukup sekadar sedang-sedang sahaja. Jika lembik, nanti cekodok akan serap minyak.
5. Panaskan minyak dan goreng cekodok guna api sederhana hingga garing dan masak sempurna. Angkat dan toskan minyak. Sedia untuk dinikmati.

Kredit resipi: Zurila Ghani

 

CEKODOK UBI UNGU

BAHAN-BAHAN:

Ubi ungu | biar kuantiti lebih dari tepung gandum
Tepung gandum secukupnya
Air secukupnya
1 sudu makan gula
Minyak untuk menggoreng

CARA MEMBUAT:

1. Buang kulit ubi dan kukus hingga empuk. Setelah empuk, lenyekkan ubi hingga hancur.
2. Masukkan tepung gandum dan gula ke dalam bekas berisi ubi ungu yang telah dilenyek.
3. Kemudian, masukkan air sedikit demi sedikit sehingga dapat adunan yang ngam (tidak begitu cair atau tidak terlalu pekat).
4. Setelah adunan sebati, jemput adunan guna jari atau sudu ke dalam minyak yang telah dipanaskan dalam kuali.
5. Goreng dengan api sederhana sehingga masak. Sedia untuk dihidang.

Kredit resipi: www.maisarahsidi.com

 

BEBOLA KELEDEK MANIS

BAHAN-BAHAN:

1 ½ cawan keledek oren | rebus, lenyek baru sukat
¼ cawan gula pasir
½ cawan tepung pulut
¾ cawan tepung beras
1 sudu teh baking powder
Secubit garam
Minyak untuk menggoreng

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

CARA-CARA:

1. Satukan kesemua bahan. Uli sehingga jadi doh. Bulat-bulatkan.
2. Goreng sehingga masak dan kuning keemasan. Angkat dan hidangkan ketika panas. Siap!
* Jika suka kenyal lebihkan tepung pulut.

Kredit resipi: Mas Cotek

 

CEKODOK ROTI GULA

BAHAN-BAHAN:

5 keping roti | kalau guna kulit roti lagi sedap
2 sudu makan gula
1 sudu makan mentega
1 biji telur
Minyak untuk menggoreng

CARA MEMASAK:

1. Carik-carikkan roti jadi kepingan kecil dan masukkan ke dalam mangkuk. Masukkan gula, mentega dan telur. Gaul dan ramas campuran sampai sebati
2. Panaskan minyak dalam kuali dalam kuantiti yang agak banyak. Kaupkan adunan cekodok dan goreng hingga kekuningan.
3. Untuk hasil yang nampak cantik dan sama saiz, boleh guna scoop aiskrim. Angkat, toskan minyak dan sedia untuk dihidangkan.

Kredit resipi: Muhammad Naquib Bin Mokhdzir / Naqib

 

CEKODOK IKAN BILIS

BAHAN-BAHAN

3 cawan tepung gandum
1 labu bawang besar (dadu)
Segenggam ikan bilis (boleh kisar atau tumbuk halus jika suka)
1 batang lobak merah (saiz sederhana)
Kucai atau daun sup
Garam secukup rasa
3 cawan air panas mendidih secukupnya (bukan suam-suam kuku tetapi yang baru mendidih)
Minyak masak untuk menggoreng

CARA MEMBUAT:

1. Gunakan sudu, gaulkan tepung gandum bersama bawang besar, ikan bilis, lobak merah serta daun kucai atau sup dan garam.
2. Apabila tepung dan bahan-bahan lain sudah digaul rata, tolakkan sedikit tepung ke tepi bekas. Buatkan sedikit ruang kosong untuk menggaul tepung. Lebih elok kalau bancuh gunakan bekas atau besen besar.
3. Tuangkan air panas sedikit demi sedikit. Apabila tepung masak dan pekat tolak ketepi dan gaul lagi bahagian tepung yang belum digaulkan. Buat bahagian demi bahagian, sedikit demi sedikit.
4. Apabila semua tepung sudah digaulkan dengan air panas, keadaan tepung akan menjadi seperti doh.
5. Setelah doh agak sejuk sedikit, basahkan tapak tangan dengan air bersih dan boleh bulat-bulatkan doh.


6. Tunggu tepung sejuk sikit baru goreng dalam minyak masak yang panas.

TIP:
*Boleh tambah udang atau apa-apa yang anda suka. Basahkan tapak tangan untuk bulat-bulatkan doh tu, tujuannya nak memudahkan anda. Kalau tangan basah, bentuk doh tu lebih cantik. 3 cawan tepung gandum boleh makan seisi keluarga.

Kredit resipi: Alia Umaira & Zuridah Zu dari Telegram KakiMakan

 

CEKODOK ROTI BERUDANG

BAHAN-BAHAN:

1 biji bawang besar | dimayang
1 biji telur ayam
Cili besar
Udang ikut suka nak banyak mana | potong-potong
Daun bawang atau kucai (jika mahu)
Air
Garam & perasa secukupnya
4-5 keping roti Gardenia | koyak-koyakkan
8 sudu besar tepung gandum
Minyak masak untuk menggoreng

CARA MEMBUAT:

1. Dalam mangkuk, satukan bawang besar, telur ayam, cili, udang dan daun bawang.
2. Tambah air ikut kesesuaian. Saya tambah air jadi separuh bowl. Macam kita buat jemput-jemput biasa tu.
3. Masukkan garam atau perasa. Gaul-gaul biar sebati. Masukkan roti. Kaup balik biar roti kembang dan hancur sikit bersama adunan tadi.
4. Tambah tepung. Gaul sebati. Agak-agak je tepungnya. Jangan sampai adunan keras atau pejal. Kalau terlebih tepung, tambah air lagi.
5. Goreng macam biasa sehingga masak. Hasilnya rangup di luar lembut di dalam.

Kredit resipi: Fariha Norbaya di Telegram KakiMakan

 

JEMPUT-JEMPUT BERINTI DURIAN

BAHAN-BAHAN:

4 cawan tepung gandum
2 sudu kecil mauripan (yis)
1 biji telur
1 sudu kecil garam
2 sudu makan gula
Air suam secukupnya
Isi durian secukupnya

CARA MEMASAK:

1. Kacau yis, telur, garam dan gula bersama air suam. Biarkan yis kembang. Gaul yis bersama tepung gandum. Perap adunan selama 30-45 minit.
2. Ambil isi durian dan potong-potong guna gunting supaya senang untuk letak dalam adunan tepung nanti. Panaskan minyak masak dalam kuali.
3. Untuk menggoreng Jemput-Jemput, ada dua cara. Cara pertama ialah ambil senduk nasi, ratakan sedikit adunan tepung, letak isi durian dan bulatkan menggunakan sudu. (tengok di sini)
4. Kemudian goreng dalam minyak panas hingga masak. Untuk cara kedua, ambil isi durian yang telah dipotong kecil tadi. (tengok di sini)
5. Letak dalam adunan tepung, salutkan dengan adunan dan bentukkan jadi cekodok. Goreng seperti biasa hingga masak. Angkat dan Jemput-Jemput inti durian sedia untuk dinikmati.

Kredit resipi: Ju Mohamad

 

CUCUR @ CEKODOK JAGUNG

BAHAN-BAHAN:

½ kg tepung gandum
1 tin jagung manis
2 sudu makan susu pekat manis
1 sudu makan mentega @ marjerin
5 sudu makan gula (sukatan untuk yang tidak suka manis. jika suka manis, letak 7-8 sudu)
1 sudu makan mauripan @ yis
Air secukupnya

CARA MEMASAK:

1.Campurkan kesemua bahan kering (tepung gandum, gula dan mauripan). Gaul sedikit supaya rata.
2. Kemudian masukkan bahan-bahan basah pula (jagung, susu pekat manis dan mentega).
3. Seterusnya masukkan air sedikit demi sedikit sambil diadun hingga menjadi adunan cucur.
4. Rupa adunan cucur yang telah siap diadun. Untuk pastikan cucur anda sudah manis atau tidak, boleh rasa sedikit tepung sebelum digoreng.
5. Jika adunan cucur tawar, boleh tambah sedikit gula untuk menyedapkan lagi rasa.
6. Perap adunan selama 30 minit. Adunan tidak perlu ditutup.
7. Bila adunan sudah kembang, bolehlah panaskan minyak masak dan siap untuk menggoreng.
8. Jemputkan adunan menggunakan hujung jari (atau boleh juga guna sudu).
9. Masukkan ke dalam kuali berisi minyak panas. Masukkan beberapa hingga mencukupi ruang dalam kuali anda.
10. Setelah digoreng seketika, cucur akan kembung begini. Terbalikkan dan teruskan masak sehingga habis adunan. Cucur Jagung mudah dan sedap sedia untuk dinikmati.

Kredit resipi: Suraya Yaacob

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap dan cepat dimasak di laman web Rasa

Tonton lebih banyak video masakan mudah dan sedap Dailymotion @Rasa dan YouTube @Majalah Rasa Official

Published by
Ibnatie -Aziza Mat Roff