Aneka Resipi Lauk Pauk Untuk Ibu Bersalin Dalam Pantang

Share

Tercari-cari lauk pantang yang sedap? RASA kongsikan resipinya. Bagi wanita yang pernah melahirkan anak, pasti akan melalui tempoh berpantang yang cukup mencabar. Mana taknya, bukan semua makanan boleh dimakan kerana dikhuatiri akan melambatkan proses penyembuhan selepas bersalin.

Mereka dilarang untuk mengambil makanan yang sejuk dan gatal. Sepanjang tempoh itu, para ibu mesti memakan makanan yang dapat memberikan mereka tenaga, berkhasiat dan membantu penyembuhan luka bersalin dengan lebih cepat.

Sebenarnya terdapat pelbagai hidangan yang boleh dimasak sebagai lauk pauk sepanjang tempoh berpantang. Ia bukan sahaja menyihatkan badan bahkan rasanya juga sedap. Tidaklah asyik makan ikan kering bakar dan lada hitam dan kunyit tumbuk sahaja. Yang penting, ramuan yang dimasukkan tentu sekali yang elok untuk diambil oleh para ibu berpantang seperti kunyit, lada hitam, ginseng, mengkudu dan sebagainya. Malah, lauk pauk ini juga boleh dimakan oleh seisi keluarga lain. Boleh menjimatkan masa dan bajet bukan?

 

1. DAGING GORENG LADA HITAM

BAHAN-BAHAN:

  • 300 gm daging batang pinang |hilis nipis
  • 1 sudu teh ketumbar
  • 1 sudu teh lada hitam |tumbuk kasar
  • 1 biji bawang besar |hiris
  • ½ inci halia |hiris
  • Minyak masak secukupnya
  • Gula dan garam secukupnya
  • Sedikit air

CARA MEMASAK:

  1. Perap daging dengan ketumbar, garam dan gula. Ketepikan.
  2. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali, tumis bawang dan halia hingga terbit wangi.
  3. Masukkan pula daging yang diperap serta lada hitam yang ditumbuk kasar. Boleh ditambah sedikit air dan renehkan supaya daging lebih empuk.
  4. Angkat dan sedia dinikmati.

 

2. PEGAGA MASAK LEMAK LADA HITAM

BAHAN-BAHAN:

  • 200gm daun pegaga
  • 1/3 cawan santan pekat
  • 1 sudu makan ikan bilis
  • 2 ulas bawang putih |hiris
  • 1 ulas bawang merah |hiris
  • 1 batang serai |titik
  • 1 sudu lada hitam | tumbuk halus
  • Gula dan garam secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Cuci daun pegaga dan ketepikan.
  2. Panaskan santan bersama ½ cawan air. Kemudian masukkan bawang yang telah dihiris dan serai. Masukkan juga ikan bilis dan lada hitam. Kacau sebati.
  3. Masukkan daun pegaga, kacau sekati dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  4. Angkat dan sedia dinikmati.

Info chef: Boleh tambah lada hitam yang tidak ditumbuk jika mahu. Lada hitam sangat elok diambil oleh ibu di dalam pantang kerana dapat membantu memanaskan badan dan mengeluarkan angin dalam badan.

 

3. AYAM MASAK BIJAN

BAHAN-BAHAN:

  • 1/3 ekor ayam |bahagian dada, bersihkan
  • 1 ulas bawang putih
  • 1 ulas bawang merah
  • 3 inci halia
  • Garam dan gula
  • 3 sudu makan sos tomato
  • 2 sudu makan bijan |digoreng tanpa minyak
  • 1 cawan minyak masak

CARA MEMASAK:

  1. Ayam dipotong kecil dan digoreng. Ketepikan.
  2. Bawang putih, bawang merah dan halia ditumbuk.
  3. Tumis bahan tumbuk hingga terbit wangi dan tambahkan sos tomato, gula dan garam secukup rasa. Kacau sebati.
  4. Masukkan ayam yang telah digoreng dan gaul dengan bahan tumisan tadi. Taburkan bijan di atasnya.
  5. Angkat dan sedia dinikmati.

 

4. IKAN MERAH SINGGANG

BAHAN-BAHAN:

  • 1 keping ikan merah
  • 2 ulas bawang putih |hiris halus
  • 2 ulas bawang merah |hiris halus
  • 1 batang serai |titik
  • ½ inci halia |hiris
  • ½ inci lengkuas |hiris halus
  • 2 keping asam gelugur
  • ½ sudu teh serbuk kunyit
  • 2 cawan air
  • Gula dan garam secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Basuh ikan merah sebersihnya. Ketepikan.
  2. Didihkan dua cawan air di dalam periuk. Masukkan serbuk kunyit, bawang putih dan bawang merah yang telah dihiris.
  3. Masukkan juga serai yang telah dititik, halia dan lengkuas yang telah dihiris. Masukkan pula ikan dan asam gelugur. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  4. Biar mereneh seketika sehingga ikan masak.
  5. Angkat dan sedia dihidangkan.

 

5. AYAM PANGGANG HALIA

BAHAN-BAHAN:

  • 1/3 ekor ayam |bahagian paha
  • 1 ulas bawang putih
  • 1 ulas bawang merah
  • 3 inci halia
  • Garam secukupnya
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Daun pisang secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Bawang putih, bawang merah dan halia ditumbuk.
    Kemudian gaulkan bahan tumbuk, serbuk kunyit dan garam sekata. Lumur rata pada ayam dan perapkan sebentar. Ketepikan.
  2. Alaskan daun pisang di dalam dulang pembakar dan bakar menggunakan pan atau ketuhar sehingga ayam masak sepenuhnya.
  3. Sedia dinikmati.

 

6. SUP LOBAK PUTIH DAN MERAH

BAHAN-BAHAN:

  • 1 batang lobak putih
  • 1 batang lobak merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 ulas bawang merah
  • 1 tangkai daun sup dan daun bawang.
  • 1 sudu ikan bilis
  • ½ sudu lada sulah
  • Garam dan gula secukupnya
  • 3 cawan air

CARA MEMASAK:

  1. Lobak putih dan merah dibuang kulit, dibelah dua dan dihiris ½ lebar. Ketepikan.
  2. Panaskan air di dalam periuk, setelah mendidih masukkan bawang putih dan bawang merah yang telah dihiris, masukkan ikan bilis dan juga lobak merah dan putih. Tambahkan gula dan garam secukup rasa. Biarkan sehingga lobak empuk. Sekiranya perlu boleh ditambah air.
  3. Akhir sekali tambahkan lada sulah, daun sup dan daun bawang. Kacau perlahan dan biar mereneh seketika.
  4. Angkat dan sedia dihidangkan.

 

7. IKAN TALAPIA MERAH PANGGANG DAUN KUNYIT

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ikan tilapia merah |bersihkan
  • ½ serbuk kunyit
  • 3 helai daun kunyit
  • Garam secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Kelar ikan dan lumur dengan kunyit dan garam dengan sekata.
  2. Kemudian balut ikan dengan daun kunyit.  Sediakan kuali pembakar dan ikan dibakar sehingga masak.
  3. Angkat dan sedia dihidangkan.

 

8. IKAN GELAMA MASAK ASAM

BAHAN-BAHAN:

  • 2 ekor ikan gelama
  • 2 batang serai
  • 2 keping asam gelugur
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 ulas bawang merah
  • ½ inci halia
  • 1 inci daun kunyit
  • Gula dan garam
  • 2 cawan air

CARA MEMASAK:

  1. Didihkan dua cawan air atau boleh lebihkan air jika perlu.
  2. Masukkan asam gelugur, bawang putih dan bawang merah yang telah dihiris. Masukkan juga daun kunyit dan halia serta serai yang telah dititik. Masak di atas api dan kacau perlahan.
  3. Setelah itu masukkan ikan, perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Renehkan seketika.
  4. Angkat dan sedia dinikmati.

 

9. DAGING BAKAR LADA HITAM

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm daging batang pinang |bersihkan dan potong nipis
  • 1 sudu teh serbuk ketumbar
  • ½ sudu teh kunyit
  • Sedikit garam dan gula
  • ½ sudu teh lada serbuk lada hitam

CARA MEMASAK:

  1. Perap daging dengan serbuk ketumbar, lada hitam, serbuk kunyit, garam dan gula. Lebih lama diperap lebih enak. Ketepikan.
  2. Setelah itu, bakar di atas pan sehingga garing. Angkat dan sedia dinikmati.

 

10. IKAN TENGGIRI GORENG HALIA

BAHAN-BAHAN:

  • 1 keping ikan tenggiri |bersihkan
  • 3 inci halia |hiris halus
  • 2 sudu teh kicap manis
  • 1 biji bawang besar |hiris
  • ½ cawan minyak masak
  • Garam dan serbuk kunyit

CARA MEMASAK:

  1. Ikan tenggiri dicuci, lumur garam dan kunyit. Kemudian digoreng hingga garing. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis halia dan bawang besar hingga terbit wangi. tambahkan kicap manis dan masukkan ikan.  Gaul sekata.
  3. Angkat dan sedia dihidangkan.

 

11. KERABU DAUN MENGKUDU

BAHAN-BAHAN:

  • 200gm pucuk mengkudu muda
  • 3 sudu teh kelapa parut
  • ½ biji bawang besar |racik
  • Garam dan Gula
  • 1 sudu teh cuka

CARA MEMASAK:

  1. Pucuk mengkudu dicelur sebentar. Toskan airnya dan dihiris 1 inci panjang. Ketepikan.
  2. Bawang dihiris. Di dalam satu mangkuk, satukan pucuk mengkudu, bawang hiris, Kelapa parut dan cuka. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Gaul sebati.
  3. Sedia dihidangkan.

 

12. KERABU PEGAGA IKAN BILIS

BAHAN-BAHAN:

  • 200gm pegaga
  • 1 biji bawang besar |mayang
  • 3 sudu makan kelapa parut
  • 1 sudu teh cuka
  • 3 sudu teh ikan bilis
  • Garam dan gula secukupnya
  • Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Pegaga dibersihkan dan dipotong 1 inci panjang. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dan goreng ikan bilis hingga garing, ketepikan.
  3. Bawang besar dimayang dan masukkan ke dalam satu mangkuk. Kemudian campurkan ikan bilis, cuka, pegaga dan kelapa parut. Gaul sebati. Tambahkan gula dan garam secukup rasa, gaul sebati sekali lagi.
  4. Sedia dinikmati.

 

13. AYAM KUKUS CUKA

BAHAN-BAHAN:

  • 1/3 ekor ayam bahagian dada
  • 2 sudu cuka
  • 2 inci halia |dihiris
  • 1 sudu lada hitam |tumbuk halus
  • Garam dan gula secukupnya
  • Daun pisang dan lidi untuk membungkus

CARA MEMASAK:

  1. Potong dada ayam kepada beberapa bahagian kecil. Gaulkan ayam dengan halia, garam, gula dan lada hitam serta cuka. Bungkus di dalam daun pisang dan kukus sehingga masak.
  2. Angkat dan sedia dinikmati.

 

14. HATI LEMBUT MASAK LIMAU PURUT

BAHAN-BAHAN:

  • ½ kg hati lembu |bersihkan dan hiris nipis
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • 2 sudu ketumbar
  • 2 sudu serbuk kurma
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 1 inci halia
  • 2 ulas bawang putih
  • 3 ulas bawang merah
  • 4 keping daun limau purut
  • 3 sudu lada hitam ditumbuk halus
  • 4 sudu minyak masak
  • 1 keping asam gelugur
  • 1 batang serai
  • Gula dan garam secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Hati lembu dipotong nipis. Ketumbar, bawang putih, bawang merah dan halia dikisar halus. Serai pula dititik.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali, tumis bahan kisar, masukkan juga rempah kurma,kulit kayu manis dan bunga lawang serta serbuk kunyit dan serai. Masukkan hati lembu dan gaul sekata.
  3. Tambahkan air, didihkan sehingga hati empuk. Kemudian masukkan asam gelugur dan lada hitam.
  4. Perasakan dengan gula dan garam secukup rasa.. Akhir sekali masukkan daun limau purut.
  5. Sedia dihidangkan.

 

15. IKAN HARUAN BAKAR SOS LADA HITAM

BAHAN-BAHAN:

  • 2 keping ikan haruan |bersihkan
  • 1 inci halia
  • 1 ulas bawang putih
  • 1 ulas bawang merah
  • Sedikit garam
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Daun pisang untuk membalut

BAHAN UNTUK SOS LADA HITAM:

  • 1 sudu lada hitam |ditumbuk halus
  • 1/3 cawan air
  • ½ sudu tepung jagung

CARA MEMASAK:

  1. Halia, bawang putih dan bawang merah ditumbuk.
  2. Gaulkan ikan haruan dengan bahan tumbuk berserta garam dan serbuk kunyit.
  3. Balut dengan daun pisang dan bakar sehingga masak. Angkat dan ketepikan.
  4. Untuk membuat sos lada hitam: Satu sudu lada hitam ditumbuk halus dan dicampurkan dengan 1/3 cawan air dan ½ sudu tepung jagung. Kacau di dalam kuali selama 10 minit hingga memekat. Angkat dan sedia dihidangkan bersama ikan haruan bakar.

 

 

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

 

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:  

 

Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official

 

 

 

 

 

 

 

 

Published by
Nur