Aneka Resipi Masakan Sayur Ringkas, Sedap & Mudah Masak.

Share

Sayur adalah hidangan wajib ada bila setiap kali menikmati sajian makan. Tanpanya, ibarat tidak lengkap. Jika biasanya anda memasak sayur kangkung atau sawi tumis, bening atau sup, apa kata kali ini ubah sikit jenis sayuran yang diambil juga cara penyediaannya. Barulah bila makan, rasa lebih nikmat dan buka selera. Jom cuba koleksi resipi yang RASA kongsikan ini. Boleh dijadikan idea untuk anda masak sajian untuk keluarga.

 

1. KACANG PANJANG GORENG BERTELUR BERSAMA TAUHU

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ikat kacang panjang | dihiris
  • Sedikit ikan bilis halus/udang kering – ditumbuk sedikit
  • 3 sudu makan cili kisar
  • 3 ulas bawang putih | dihiris nipis
  • 1/2 biji bawang besar | dihiris nipis
  • 1 keping tauhu | dipotong kecil dan digoreng seketika
  • 1 biji cili merah | dihiris
  • Sedikit air
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Sedikit minyak masak

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak di dalam kuali, kemudian tumis bawang putih dan bawang besar yang dihiris sehingga terbit bau harum.
2. Masukkan cili kisar. Tumis lagi sehingga pecah minyak.
3. Kemudian masukkan sedikit air dan juga udang kering. Gaul rata.
4. Seterusnya masukkan kacang panjang, cili merah dan tauhu. Masak sehingga lembut. Perasakan dengan garam serta gula dengan secukupnya.
5. Sedia untuk dihidangkan.

 

2. TERUNG GORENG BERCILI 

BAHAN-BAHAN:

  • 2 biji terung panjang | dihiris
  • 4 sudu makan cili kisar
  • 1 sudu teh serbuk belacan
  • 1/2 biji bawang besar | dihiris
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 sudu makan sos cili
  • Sedikit udang kering | ditumbuk kasar
  • Sedikit minyak untuk menumis
  • Sedikit air
  • Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar dan bawang putih hingga kekuningan.
2. Kemudian masukkan cili kisar, serbuk belacan dan udang kering. Tumis hingga pecah minyak.
3. Seterusnya masukkan sos cili. Jika kelihatan terlalu kering, tambah sedikit air.
4. Masukkan terung dan perasakan dengan garam serta gula dengan secukupnya. Gaul hingga terung masak.
5. Angkat dan hidangkan.

Info chef: Jika kurang menggemari tekstur terung yang lembik, goreng terung terlebih dahulu.

 

3. PAK CHOI BERSOS TIRAM BAWANG PUTIH

BAHAN-BAHAN:

  • 4 pokok sayur pak choi
  • 5 sudu makan sos tiram
  • 3 ulas bawang putih | dihiris
  • 1cm halia | dicincang
  • 1 sudu teh udang kering halus
  • Serbuk perasa dan gula secukupnya
  • Sedikit tepung jagung | dibancuh dengan sedikit air
  • Air secukupnya | untuk mencelur
  • Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:

1. Didihkan air dan celur sayur pak choi seketika. Toskan air dan susun di atas pinggan.
2. Panaskan minyak dan tumis bawang putih serta halia hingga kekuninggan.
3. Masukkan udang kering, sos tiram dan sedikit air. Tambah sedikit gula dan serbuk perasa dengan secukupnya.
4. Tambahkan bancuhan tepung jagung dan biarkan memekat seketika.
5. Siram sos diatas sayur. Sedia untuk dinikmati.

Info Chef: Tabur bawang goreng diatas sayur untuk rasa yang lebih enak serta manis.

 

4. TUMIS AIR BAYAM MERAH BERSAMA UDANG KERING

BAHAN-BAHAN:

  • 3 ikat bayam merah | dibersihkan
  • 1 sudu makan udang kering
  • 1 biji lada merah | dihiris
  • 2 ulas bawang putih | dihiris
  • 2 ulas bawang merah | dihiris
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit minyak masak
  • Air secukupnya

CARA MEMASAK: 
1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah seerta bawang putih seketika.
2. Kemudian masukkan udang kering. Tumis sehingga naik bau.
3. Masukkan air secukupnya dan biarkan mendidih.
4. Seterusnya masukkan bayam. Kacau seketika dan masak sehingga lembut.
5. Perasakan dengan garam secukup rasa. Angkat dan nikmati segera.

Info Chef: Selain bayam merah, boleh juga menggunakan bayam hijau ataupun sawi.

 

5. LEEK GORENG BAWANG PUTIH BERSAMA UDANG

BAHAN-BAHAN:

  • 2 batang leek | dihiris serong
  • 10 ekor udang segar | dibersihkan
  • 3 ulas bawang putih | ditumbuk kasar
  • 1 biji cili merah | dihiris serong
  • 1 sudu makan kicap manis
  • 1 sudu makan sos tiram
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Sedikit air
  • Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih serta cili merah hingga wangi.
2. Kemudian masukkan udang segar. Goreng lagi hingga isi udang separa masak.
3. Tambahkan kicap, sos tiram, gula, air dan sedikit garam jika perlu.
4. Akhir sekali, masukkan leek. Gaul seketika dan angkat. Sedia untuk dinikmati.

Info Chef: Leek tidak perlu dimasak lama kerana ia akan menjadi terlalu lembik.

 

6. BUAH KUNDUR TUMIS AIR

BAHAN-BAHAN:

  • 1 biji buah kundur | dibuang kulit dan dipotong kecil
  • 2 ulas bawang merah | dihiris halus
  • 2 ulas bawang putih | dihiris
  • 1 biji cili merah | dihiris memanjang
  • 2 kiub pati ikan bilis
  • Air secukupnya
  • Sedikit minyak masak

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah serta bawang putih hingga wangi.


2. Kemudian masukkan udang kering. Goreng seketika dan masukkan air secukupnya.
3. Tambah buah kundur dan masak sehingga lembut dan empuk.
4. Seterusnya masukkan kiub pati ikan bilis dan hirisan cili merah.
5. Sedia untuk dihidangkan.

 

7. KELUBAN PUCUK LABU RAMPAI UDANG

BAHAN-BAHAN:

  • 1 cekak pucuk labu | bersihkan dan celur
  • 200gm udang | buang kulit, celur dan tos

BAHAN  URAP:

  • 300gm kelapa | putih sahaja
  • 5 ulas bawang merah | kisar
  • 3 ulas bawang putih | kisar
  • 1 sudu makan udang kering | kisar
  • 8 biji cili padi | kisar
  • 2cm kunyit hidup | kisar
  • 1 sudu makan air asam Jawa
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 1cm belacan | jika suka

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan semua bahan urap dalam kuali hingga cukup rasa.
  2. Hidupkan api goreng sangai bahan urap hingga sedikit garing.
  3. Setelah cukup rasa dan sedikit garing. Tutup api dan ketepikan.
  4. Masukkan daun labu dan udang yang telah dicelur tadi dalam mangkuk.
  5. Taburkan bahan urap dan gaul rata hingga sekata.
  6. Setalah siap bolehlah dihidangkan:

INFO CHEF:  Perkataan keluban ini dari bahasa Jawa. Ia sama sahaja dengan urap.

 

8. ASPARAGUS TUMIS UDANG

BAHAN-BAHAN:

  • 10 batang asparagus | dihiris serong
  • 10 ekor udang
  • 2 ulas bawang putih | dikisar halus
  • 1 sudu besar ikan bilis | dikisar halus
  • 4 biji cili merah | dikisar halus
  • 1 sudu teh udang kering | ditumbuk kasar
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 sudu makan  minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Rebuskan 2 cawan air dalam periuk, masukkan 1/2 sudu teh sedikit garam dan celur asparagus.
  2. Apabila asparagus telah lembut, rendamkan ke dalam air sejuk berisi ais seketika dan toskan.
  3. Panaskan 1 sudu besar minyak masak ke dalam kuali dan masukkan bahan kisar
  4. Masak sehingga naik minyak
  5. Masukkan udang dan kacau sehingga udang separuh masuk, kemudian  masukkan asparagus dan gaul rata.
  6. Tutup api dan sedia di hidang

 

9. TAUHU KUKUS UDANG KERING

BAHAN-BAHAN:

  • 1 keping tauhu lembut | digaul garam secukup rasa
  • 1 sudu teh kicap cair
  • 1/2 sudu teh minyak bijan
  • 1 sudu teh sos tiram
  • 2 tangkai daun bawang |dimayang halus
  • 2 tangkai daun sup |dimayang halus
  • 1 sudu makan bawang merah goreng
  • 2 sudu teh bawang putih goreng
  • 1 tangkai cili merah dihiris serong
  • 2 sudu teh udang kering | digoreng garing
  • 2 batang filamen ketam (crabstick) | diracik dan digoreng garing

CARA MEMASAK:

  1. Letakkan tauhu diatas pinggan tahan haba dan tuangkan kicap cair, sos tiram dan minyak bijan ke atasnya.
  2. Taburkan daun sup, daun bawang, cili hiris dan separuh udang kering ke atas tauhu.
  3. Kukus selama 10minit supaya perisa meresap dan sebati dengan tauhu.
  4. Tutup api dan taburkan bawang merah goreng, bawang putih  goreng, lebihan udang kering goreng dan filamen ketam goreng keatas hidangan.
  5. Hidangan siap dan sedia untuk dinikmati.
Published by
Nur