Hari Kemerdekaan semestinya sangat dinanti oleh rakyat Malaysia. Semua bangsa tanpa mengira tua atau muda menyambutnya dengan penuh rasa rasa gembira dan kesyukuran. Bagi meraikan Hari Kemerdekaan ini, RASA kongsikan resipi-resipi terbaik yang anda boleh cuba perkongsian dari Puan Lina Thomas, Aznie Khasri & Julia Aleen Aireish. Selamat mencuba!

 

KOLEKSI RESIPI BERTEMAKAN HARI KEMERDEKAAN

 

1. JALUR GEMILANG MIXED FRUIT PASTRY CAKE

BAHAN-BAHAN:

  • 100gm mentega – suhu bilik
  • 150gm gula
  • 2 sudu makan sour cream / yogurt
  • 3 biji telur gred A – dipukul perlahan
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • 1 sudu makan jus lemon
  • Zest (parutan kulit) dari 1 biji lemon
  • 210gm tepung gandum – diayak bersama 1 sudu teh serbuk penaik (baking powder)
  • Sedikit buah-buahan – strawberi, pic & blueberi atau buah-buah lain yang jadi pilihan.

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan ketuhar terlebih dahulu pada suhu 180C (350 ° F) dan letakkan rak di tengah-tengah.
  2. Oles/sapu tepi dan bahagian bawah loyang springfoam (guna loyang cheesecake 9” atau 9×3 atau pun loyang bulat biasa) dengan mentega atau semburan minyak masak. Alaskan dengan kertas minyak. Sekali lagi griskan/oles mentega atau minyak pada kertas minyak juga.
  3. Pukul mentega, sour cream dan gula hingga ringan dan lembut.
  4. Kemudian masukkan telur sedikit demi sedikit sehingga sebati.
  5. Seterusnya masukkan esen vanilla, jus serta zest ( parutan kulit) lemon. Putar hingga sebati.
  6. Masukkan tepung yang telah diayak bersama serbuk penaik. Adun hingga sekata.
  7. Tuang adunan kek ke dalam loyang yang telah disediakan dan susun buah-buahan mengikut kreativiti anda.
  8. Jangan tekan kepingan buah-buah tadi. Hanya susun dan letak begitu sahaja diatas adunan kek.
  9. Bakar kek selama 1 jam. Dalam 15 minit terakhir, tutup permukaan atas kek dengan aluminium foil bagi mengelakkan permukaan kek terlalu keperangan.
  10. Setelah kek masak, biarkan sejuk dalam loyang selama 5-10 minit. Kemudian barulah dikeluarkan dari loyang dan disejukkan diatas redai/rak dawai.
  11. Tabur sedikit gula aising atau snow dust diatas kek.
  12. Siap dan sedia untuk dinikmati.

Kredit resipi & foto: Lina Thomas

 

2. HOMEMADE MERDEKA PIE

BAHAN PASTRI:

  • 2 1/2 cawan tepung gandum
  • 1 sudu makan gula
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 cawan mentega sejuk dan potong dadu
  • 1/4-1/2 cawan air ais

BAHAN INTI:

  • 4 cawan strawberi – dicuci, dikupas dan dihiris nipis
  • 2 cawan blackberry – dibasuh
  • 1/2 cawan gula
  • 5 sudu makan tepung jagung
  • 3 sudu teh jus lemon
  • 3/4 sudu teh garam
  • 1 biji telur gred C
  • 1 sudu makan heavy whipping cream

CARA MEMASAK:

IKLAN
  1. Satukan tepung, gula aising dan garam, kacau rata.
  2. Masukkan mentega sejuk. Gaul ramas dengan hujung jari sehingga mendapat tekstur seperti serbuk roti.
  3. Masukkan air ais sedikit demi sedikit sambil digaul hingga menjadi doh yang tidak melekat di mangkuk adunan.
  4. Bulatkan doh dan bungkus dengan plastik. Simpan dalam peti sejuk 30 minit.
  5. Panaskan ketuhar hingga 180C. Sediakan acuan sesuai (saiz 6”).
  6. Dalam mangkuk kecil, satukan blackberry, 1/4 cawan gula, 2 sudu makan tepung jagung, 1 sudu teh jus lemon dan 1/4 sudu teh garam. Ketepikan.
  7. Dalam mangkuk besar, satukan strawberry, 1/4 cawan gula, 3 sudu makan tepung jagung, 2 sudu teh jus lemon dan 1/2 sudu teh garam. Ketepikan.
  8. Keluarkan doh dari peti sejuk, kerat 2 dan ambik 1/2 bahagian dan simpan 1/2 bahagian doh dalam peti sejuk.
  9. Tabur tepung atas meja kerja, canai doh kurang lebih 0.3 cm, kemudian alaskan pada acuan tadi. Kemaskan dan cucuk permukaannya dengan garpu.
  10. Bahagikan pai kepada dua bahagian. Sudukan inti blackberry di bahagian kecil manakala inti strawberi di bahagian pai yang lebih besar.
  11. Ambil doh pastry kedua yang disimpan tadi. Potong doh bagi membentuk jalur, bulan dan bintang menggunakan pisau atau acuan biskut. Susun pastry diatas pai.
  12. Pukul whipping cream dan telur hingga sebati. Sapukan ke atas doh pai (keliling pai, jalur, bulan dan bintang). Taburkan dengan gula jika mahu.
  13. Bakar pai selama 40-45minit atau sehingga warna keemasan. Masukkan ke dalam ketuhar di rak paling bawah dan bakar guna api bawah sahaja hingga pai kelihatan perang keemasan.
  14. 10 minit sebelum tamat tempoh membakar, bakar pai guna api atas dan bawah supaya permukaan pai perang.
  15. Bila sudah masak sepenuhnya, keluarkan dan biar pai sejuk. Tanggalkan pai dari acuan dan boleh hidangkan sebagai sajian minum petang di hari kemerdekaan ini.

Kredit resipi & foto: Lina Thomas

 

3. APAM BENDERA

BAHAN-BAHAN:

  • 100g gula halus
  • 2 biji telur (A)
  • 140gm tepung gandum. – ayak
  • 1/2 sudu makan baking powder – ayak
  • 75ml susu cair
  • 1/2 sudu teh esen vanila
  • 1/2 sudu besar ovelatte
  • Pewarna, merah, biru & kuning
  • Inti ikut citarasa – empunya resipi guna Nutella

CARA MEMASAK:
1. Pukul telur, overlatte bersama gula hingga kembang (putih gebu)
2. Masukkan campuran tepung bersama baking powder ke dalam adunan berselang seli dengan susu cair. Pukul hingga sebati.
3. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian untuk diwarnakan. Jumlahnya ikut kesesuaian.
4. Masukkan adunan ke dalam piping bag yang berlainan untuk setiap warna.
5. Paipkan 1/2 adunan ke dalam paper cup. Kemudian masukkan inti. Kemudian paipkan lagi adunan hingga hampir penuh.
6. Dengan menggunakan piping bag warna yang berlainan.. Buat corak yang kita suka di atasnya (empunya resipi warna ikut warna bendera)
7. Kemudian bolehlah dikukus selama 10-15 minit. Sedia boleh hidangkan sebagai sajian minum petang di hari kemerdekaan ini.

Kredit Resipi & Foto: Aznie Khasri

 

4. SERABAI MERDEKA

BAHAN-BAHAN:

  • 2 cawan tepung beras
  • 1/2 cawan nasi sejuk
  • 1/2 cawan santan
  • 1 sudu kecil yis segera
  • 2 sudu makan gula
  • 1 1/2 cawan air
  • 1 sudu kecil garam atau secukup rasa
  • pewarna kuning, biru & merah

CARA MEMASAK:

1. Masukkan gula dalam sebuah cawan diisi 1/2 cawan air suam dan masuk yis. Biarkan selama 10 minit.

2. Masukkan nasi dalam blender kisar dengan 1 cawan air sehingga hancur masukan juga garam.

3.Masukkan kedalam tepung beras gaul sehingga sebati

4. Tuang campuran yis bersama gula tadi. Gaul serata. Peramkan selama beberapa jam (2 jam lebih). Jangan terlalu lama, adunan akan masam.

5. Bahagikan adunan kepada 4. (1) + pewarna kuning (2) + pewarna merah (3) + pewarna biru (4) plain

6. Panaskan acuan serabai. Liserkan minyak dengan sehelai daun pandan yang celup dengan minyak. Biarkan minyak dalam acuan panas betul-betul panas. Tutup api dapur dan tuangkan adunan tepung serabai 3/4 penuh.

7. Hidupkan api dengan api paling kecil. Masak sehingga ia masak.

Kredit Resipi & Foto: Aznie Khasri

 

5. APAM BERAS

BAHAN-BAHAN:

  • 2 cawan nasi
  • 2 cawan tepung beras
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 1/4 cawan gula pasir – boleh kurangkan kalau tak nak manis
  • 2 1/2 cawan air
  • 1 sudu teh mauripan
  • Pewarna ikut pilihan masing-masing
  • Kelapa putih parut – gaul dengan sedikit garam & kukus seketika

CARA MEMASAK:
1. Kisar nasi bersama air hingga nasi hancur. Kemudian masukkan gula pasir ke dalam pengisar tadi. Kisar lagi hingga sebati.
2. Dalam bekas lain, masukkan tepung beras, tepung gandum juga mauripan. Gaul sebati.
3. Tuangkan adunan nasi tadi ke dalam campuran tepung tadi. Gaul hingga sebati. Adunan memang agak pekat.
4. Perap adunan selama 3 jam. Pada masa ni, adunan akan kelihatan naik sedikit.
5. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian untuk diwarnakan.
6. Panaskan kukusan. Sapukan acuan dengan sedikit minyak.
7. Tuangkan adunan secara berselang seli dalam acuan. Jangan risau, warna tidak akan bercampur kerana adunan pekat.
8. Kukus apam selama 15 minit dan nikmati bersama kelapa parut.

Kredit Resipi & Foto: Aznie Khasri

 

6. LEMPENG SAYUR JALUR GEMILANG

BAHAN-BAHAN:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 cawan air
  • 1 mangkuk kecil daun bawang bersama daun sup
  • 1 sudu kecil garam
  • pewarna makanan – biru, merah, kuning (titiskan 3 ke 4 titisan)
  • 1 mangkuk kecil lobak merah – diparut halus & cincangkan

CARA MEMASAK:
1.Satukan tepung gandum, air dan garam di dalam blender kisar hingga halus.
2.Kemudian letak lobak merah, daun bawang dan daun sup kacau rata.
3. Bahagikan kepada 4 bahagian, satu bahagian adunan yang asal putih ketepikan, titiskan pewarna dalam setiap bekas berlainan dengan warna biru, merah & kuning.
4. Panaskan kuali non-stick, lerengkan di tepi kuali, angkat dan gulungkan, buat hingga habis.
5. Sedia dinikmati bersama dengan kari atau sambal tumis.

Kredit Resipi & Foto: Julia Aleen Aireish