Ayam Golek Sedap Dengan 32 Jenis Rempah Istimewa

Share

Bermula dengan suka-suka, akhirnya Paksu Ayam Golek kini menjadi semakin terkenal dan menjadi sebutan ramai. Semuanya kerana keistimewaan cita rasa ayam golek ini yang sangat sedap dan digemari pelanggan. Meneruskan legasi perniagaan arwah bapanya, Nur Hidayah Mohd Yussof mengatakan rempah inilah yang menjadi rahsia keenakan ayam golek.


Nur Hidayah Mohd Yussof

Ayam golek ini diperap menggunakan resipi ciptaan arwah Mohd Yussof Ahmad. Malah sos cicah ala Thai yang dibuat juga mendapat sambutan.

“Ini resipi ciptaan sendiri dan turun temurun. Arwah baba ambil masa setahun untuk cipta resipi sebelum dapat rasa yang sedap seperti sekarang ini. Arwah baba tidak henti mencuba dan bereksperimen. Adunan dan campuran rempah di dalamnya menghasilkan satu rasa yang lain daripada ayam golek yang ada di pasaran,” ujar Hidayah.

BERSIH DAN SEDAP


Lori membawa ayam golek kepada pelanggan.

Memulakan perniagaan sejak 2015, Paksu Ayam Golek kini ada dua cawangan iaitu di Bandar Baru Bangi dan Jenderam Hilir. Menu yang dijual ada dua iaitu seekor ayam berharga RM22 dan separuh ekor ayam RM12. Ayam diadun dan diperap menggunakan 32 jenis rempah yang pastinya sedap.

“Pada asalnya, arwah baba berniaga ayam goleh untuk suka-suka sahaja sebab orang suka makan ayam golek pada bulan puasa. Tapi ramai pelanggan kata ayam golek kami sedap. Jadi kami buat keputusan untuk berniaga setiap hari dan bukan pada bulan puasa saja. Alhamdulillah sambutan pelanggan tidak mengecewakan dari mula kami berniaga sehingga sekarang. Pelanggan suka rasa ayam golek, sos cicah istimewa kami dan juga saiz ayam,” kata Hidayah.


Menyelerakan.

Paksu Ayam Golek menjaga kebersihan ayamnya daripada terkena debu jalanan. Berbanding cara tradisional dengan mesin golek arang, gerai ini menggunakan mesin golek oven api gas dan elektrik. Mesin tertutup dengan cermin kaca sudah semestinya lebih bersih.

TEMPAHAN


Jom dapatkan ayam golek istimewa daripada Paksu Ayam Golek.

Kini orang ramai boleh menikmati ayam golek di rumah menggunakan rempah sejuk beku yang dihasilkan. Rempah ini dijual oleh ejen seluruh semenanjung tanah air. Tujuan rempah ini dihasilkan adalah untuk membantu surirumah mudah memasak. Dengan tiga langkah mudah iaitu cairkan, perap dan masak, seseorang itu boleh menghidangkan lauk sedap.

“Selain berniaga di tepi jalan, kami juga menerima tempahan katering bakar ayam golek secara live untuk kenduri kahwin, rumah terbuka hari raya dan majlis korporat. Food truck memudahkan kami bergerak kerana mesin ayam golek memang sudah ada atas lori. Tidak perlu angkat naik turun mesin setiap kali kami mahu ke tempat majlis. Majlis pelanggan kami akan nampak lebih profesional, kemas, bersih dan teratur,”katanya.

INFO KEDAI

NAMA KEDAI
Paksu Ayam Golek

PEMILIK
Mohd Yussof Ahmad (2015 – Jan 2018)
Nur Hidayah Mohd Yussof (Jan 2018 hingga kini)

LOKASI
Seksyen 7 Bandar Baru Bangi & Jenderam Hilir

WAKTU OPERASI
11 pagi – 6 ptg (Jumaat cuti di Bangi dan Isnin cuti di Jenderam Hilir)

Published by
Maryam Elyas