Azira Teruja Berkongsi Dapur Dengan Chef Wan Masak Daging Dendeng.

Share

Azira DeFam terdiam seketika bila ditanya masakan kegemarannya bila puasa,  dengan nada sedih dia akui sangat rindukan rendang yang dimasak oleh arwah neneknya. Namun kerinduan Azira terubat bila Chef Wan berbesar hati masak Daging Dendeng dan Sira Pisang Palembang dalam program Rasa Nostalga Ramadan. Bagi Azira, rendang neneknya itu yang paling sedap dan tiada tandingan.

“Azira tak boleh lupa, bila setiap kali Ramadan arwah nenek akan masakkan Azira Rendang Tok, Rendang Dendeng Atau Rendang Ayam sebab arwah tahun Azira suka renang. Tapi sekarang takda lagi rendang air tangan nenek. Arwah meninggal tahun lepas.

“Rendang nenek tak sama dengan rendang orang lain masak, malah rendang yang mak masak pun tak sama dengan yang nenek masak.  Resipi rendang nenek adalah warisan tiga generasi keluarga kami. Sebab itulah bila nenek dah tak ada, bukan saya seorang rasa kehilangannya tetapi kami sekeluarga,” cerita Azira juga menyukai MasakTempoyak Udang.

Selain, lauk pauk, Azira juga menyukai manisan seperti aneka bubur, antaranya Bubur Gandum dan Bubur Jagung. Namun Azira berbesar hati kerana Chef Wan telah menyediakan Pisang Sira Palembang yang juga disukai olehnya.

Berikut dua menu kegemaran Azira yang disediakan oleh Chef Wan:-

 DAGING DENDENG

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg daging | potong sederhana
  • 20 biji bawang merah kecil | hiris
  • 5 batang serai | hiris
  • 1 inci halia | hiris
  • Kicap manis secukupnya
  • Sos tiram secukupnya
  • Air rebusan daging secukupnya
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 2 genggam cili kering | rebus dan kisar bersama sedikit belacan dan sedikit minyak masak.

CARA MEMASAK:

  1. Daging direbus sehingga lembut dan toskan hingga sejuk. Simpan air rebusan.
  2. Setelah sejuk, tumbuk hirisan daging hingga nipis. Pastikan tidak hancur sangat
  3. Asingkan daging tadi ke dalam mangkuk dan campurkan dengan kicap pekat manis, Gaulkan hingga daging nampak kehitaman.
  4. Perap selama 20 minit.
  5. Panaskan minyak, goreng daging tadi hingga masak. Tos dan letakkan dalam pinggan berasingan. Ketepikan.
  6. Tumis bawang merah, halia dan serai hingga wangi.
  7. Masukkan cili kiasr. Masak hingga pecah minyak.
  8. Tambahkan garam dan gula secukupnya.Tambahkan juga sos tiram dan kicap manis.
  9. Apabila cukup garing dan rata, masukkan daging yang telah digoreng tadi, gaul hingga sekata.
  10. Akhir sekali masukkan air rebusan daging yang telah diasingkan tadi. Masak hingga kuahnya kering.
  11. Tutup api dan dendeng sedia dihidangkan.

 

SIRA PALEMBANG

BAHAN-BAHAN:

  • 4-5 biji pisang berangan
  • 1-2 biji telur
  • Minyak masak untuk menggoreng

BAHAN AIR GULA:

  • 1 cawan gula
  • 2 cawan air
  • Sedikit parutan kulit oren
  • 2-3 kuntum bunga lawang
  • 3-4 kuntum bunga cengkih
  • 1-2 batang kulit kayu manis
  • 1 helai dau pandan

CARA MEMASAK:

  1. Satukan semua bahan air gula di dalam periuk. Gaul rata dan masak hingga gula larut.  Tutup api dan ketepikan.
  2. Sementara itu panaskan minyak dalam kuali berasingan
  3. Pukul telur dan celupkan pisang di dalamnya.
  4. Goreng pisang hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan.
  5. Masukkan pisang dalam air gula tadi.
  6. Sedia dihidangkan.

JANGAN LUPA TONTON RASA NOSTALGIA RAMADAN SEPANJANG BULAN RAMADAN INI

Jangan lupa saksikan rancangan Rasa Nostalgia Ramadan yang bersiaran sepanjang bulan Ramadan ini. Menampilkan chef selebriti terkenal, Chef Wan sebagai hos, beliau  bergandingan bersama selebriti jemputannya di episod setiap hari (Isnin -Jumaat), jam 5.00 petang di Astro Prima HD.

 

 

 

 

 

 

Published by
Norasida Myasin