Ubi bit merah terkenal dengan pelbagai khasiat dari sudut kesihatan. Malah di Malaysia, anda boleh mendapatkannya dengan mudah. Selain dibuat jus, ia boleh direbus sebentar untuk dicampur ke dalam salad, atau dibuat puri untuk sup, dan lain-lain lagi.
Ia kaya akan karbohidrat ( dalam bentuk gula dengan sedikit kandungan protein dan lemak) , yang mudah menjadi energi serta zat besi yang membantu darah mengangkut oksigen ke otak. Bit berwarna merah, warna ini disebabkan oleh gabungan pigmen ungu betasianin dan pigmen kuning betasantin. Walaupun mengandung karbohidrat, namun kalorinya rendah.
Banyak sekali khasiat dan kebaikan ubi bit merah ini. Antaranya adalah untuk mengatasi tekanan darah tinggi dan menyihatkan jantung.
Para pakar daripada United Kingdom dan Amerika Syarikat menyarankan pesakit hipertensi untuk minum 500 ml jus bit setiap hari. Telah terbukti secara nyata minum jus umbi bit ini mampu membantu menurunkan hipertensi . Kandungan nitrat yang juga terdapat pada sayuran berdaun hijau, menurunkan tekanan darah.
Menurut Prof. Amrita Ahluwalia dari Barts & London School of Medicine, mendapati bahawa minum jus bit serta sayuran lain yang kaya akan kandungan nitrat akan memelihara kesihatan jantung. Hasil percubaan yang dijalankan, tekanan darah menurun dalam waktu 1 jam setelah minum jus ubi bit. Jadi, bagi pesakit darah tinggi, apa kata anda cuba. Tidak salah anda cuba kan?
JUS UBI BIT MERAH
BAHAN-BAHAN:
- 2 biji oren saiz sederhana
- 2 biji epal hijau
- 1 batang lobak merah saiz sederhana
- 1 biji ubi bit merah saiz besar
- 2.5cm halia
CARA MEMASAK:
- Kupas kulit oren, buang biji dan potong kasar.
- Epal juga dibuang biji dan potong kasar.
- Kupas kulit lobak merah dan potong kasar.
- Kupas kulit halia dan hiris.
- Kupas ubi bit merah dan potong kasar.
- Kemudian satukan kesemua buah-buahan tadi di dalam pengisar buah-buahan. Kisar hingga halus. Tambah sedikit air jika perlu.
- Sedia dihidangkan.
Info Chef : Boleh ditambah dengan kiub ais jika inginkan jus itu sejuk.
Kredit resipi & foto: COCOBEAN
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Chef Anis Nabilah Terima Anugerah Nona Culinary Award / Nona Superwoman 2018
Minatnya dalam dunia kulinari terbit sejak daripada kecil lagi apabila sering membantu ibunya menyediakan hidangan untuk keluarga tersayang. Siapa sangka, kini Anis Nabilah Umaruddin berjaya sebagai seorang cef selebriti dan pengacara terkenal. Berbekalkan kepakaran dan minat mendalam dalam bidang penyediaan makanan, beliau kini mampu berdiri setanding dengan cef selebriti popular yang lain. Bahkan, Anis berasa sangat terharu dan gembira dengan penghargaan yang diberikan oleh Majalah Nona bersempena Nona Superwoman Award kepada dirinya dan ini membuktikan kesungguhan dan kebolehan memasak beliau membuahkan hasil.
“Saya rasa sangat terharu dan bersyukur atas penghargaan dan anugerah yang diterima untuk kategori NONA Culinary Award kerana buat pertama kalinya sepanjang 11 tahun perjalanan karier sebagai seorang Cef Selebriti, saya rasa dihargai. Lebih-lebih lagi penghargaan ini diberikan oleh Majalah Nona yang sudah berada di industri selama lebih 30 tahun,” jelas Anis yang berkelulusan diploma daripada Food Institute of Malaysia (FIM) dengan teruja.
SEMUA ORANG BOLEH MEMASAK
Mengakui banyak dugaan yang terpaksa dihadapi sepanjang bergelar cef selebriti, wanita berusia 32 tahun ini tidak pernah patah semangat untuk terus memacu kerjayanya mencapai kejayaan yang lebih tinggi di samping berkongsi pengalaman yang sedia ada kepada orang lain juga.
“Sewaktu mula-mula ingin membina kerjaya sebagai seorang Cef Selebriti, ramai yang mempertikaikan kebolehan saya. Status saya yang masih bujang, belum mempunyai anak dan umur yang muda menjadikan mereka meragui kebolehan saya memasak. Namun, saya tidak mempedulikan komen-komen negatif tersebut kerana saya memang melakukan perkara yang saya minat dan tujuannya adalah untuk menambah dan berkongsi ilmu. Bahkan, ia tidak ada kaitan langsung untuk mengejar populariti”, tambahnya lagi.
Ibu saya ada berpesan, whatever you do in your life, you have to make a difference. Jadi, saya percaya sebagai seorang cef selebriti, kerja saya bukan hanya memasak tetapi untuk melakukan sesuatu yang lebih besar dan bermakna bukan hanya kepada diri sendiri tetapi orang lain juga,” jelas wanita yang mempunyai tubuh kecil molek ini.
“Diharapkan, dengan perkongsian resipi dan cara memasak oleh saya dapat menarik orang-orang muda di luar sana untuk mula belajar memasak walaupun sesetengah orang mungkin menganggap memasak ini sesuatu yang remeh dan tidak penting. Selain itu, mempunyai kebolehan memasak juga akan membolehkan anda menyediakan makanan sihat untuk keluarga”, ulas Anis lagi yang menganggap semua orang boleh memasak.
DIET & KESIHATAN
Bekerja sebagai seorang cef pastinya memberi peluang kepada Anis untuk merasai semua jenis makanan yang ada di setiap pelosok dunia. Namun, beliau mempunyai cara tersendiri untuk mengawal pemakanan dan menjaga berat badannya.
“Kebiasaannya, kalau melancong ke negara orang saya akan makan apa sahaja kerana saya tidak mahu ketinggalan mencuba makanan baharu. Namun, untuk hari-hari lain I will try my best to practice clean eating seperti elakkan makanan yang diproses dan kurangkan pengambilan nasi dan gula.
Selain itu, saya juga hanya akan makan free range chicken atau ayam kampung kerana ia tidak disuntik antibiotik. Manakala, untuk pengambilan daging merah pula, saya hanya akan makan daging lembu yang makan rumput sahaja dan bukan makan bijirin. Sebab itu orang kampung kuat. Walaupun berumur lebih 60 tahun mereka masih boleh berkebun, menoreh getah dan melakukan kerja-kerja berat lain”, tambahnya lagi sambil ketawa.
Anugerah NONA SUPERWOMAN 2018 iktiraf 36 wanita cemerlang
Hadir dengan tema ‘Inspirasi Wanita Bermula di Sini’, Nona Superwoman Award 2018 mengiktiraf wanita melalui 36 kategori anugerah yang sinonim dengan majalah Nona yang telah berada di pasaran selama 33 tahun. Para penerima anugerah ini bukan saja terdiri daripada golongan selebriti, malah ia merangkumi golongan usahawan, pakar motivasi, ahli sukan, ahli korporat serta ramai lagi.
Mengulas lanjut mengenai penganjuran Nona Superwoman Award 2018 ini, Kiffy Razak selaku Editor Pengurusan Majalah Nona amat teruja dengan penerimaan dan sambutan daripada penerima-penerima anugerah yang ingin berkongsi kejayaan mereka seterusnya menjadi inspirasi buat wanita-wanita lain.
“Sebelum kami hadir dengan Nona Superwoman Award 2018, kami pernah mengajurkan acara seumpama ini seperti Nona 3 Dekad, 60 Wanita Inspirasi Nona dan Temasya Nona Wedding Trend. Namun, pengajuran acara sebelum ini adalah pada skala yang kecil. Tahun ini, kami tampil dengan lebih gah dan lebih berprestij. Para penerima juga terdiri daripada wanita yang terbukti banyak memberikan inspirasi dan kekuatan kepada wanita di luar sana untuk terus maju kehadapan dalam dunia yang semakin mencabar ini”.
Jenama Majalah Nona yang telah berada selama 33 tahun di pasaran ini juga menjadi bukti kandungan yang diberikan masih relevan buat masyarakat Malaysia. Menurut Farah Hussamuddin selaku Penerbit Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., jenama majalah Nona ini sangat dekat dengan wanita-wanita di Malaysia melalui ramuan kandungan yang dirancang khas walaupun berdepan dengan ledakan digital.
“Selama 33 tahun jenama Majalah Nona dipasaran, ianya banyak memberi inspirasi kepada wanita-wanita di luar sana untuk mencipta kejayaan. Kandungan yang dipaparkan di dalam majalah Nona ini sering kali dijadikan rujukan oleh mereka. Sehingga ke hari ini, kami masih mengekalkan identiti dan formula yang telah dibincangkan bersama sama ada dalam percetakan mahupun dalam penulisan digital ”
Sebanyak 36 anugerah diberikan pada malam Nona Superwoman Award 2018 ini termasuk satu anugerah utama iaitu Nona Superwoman of The Year 2018, yang diterima oleh Tan Sri Datin Paduka Sri Rafidah binti Aziz.
Selain daripada Nona Superwoman of The Year, antara anugerah-anugerah lain yang diberikan pada malam Nona Superwoman Award 2018 ini ialah Nona Celebrity Business Award (Mila Jirin), Nona Fashionista Award (Rozita Che Wan), Nona Motivator Award (Prof Dr Muhaya), Nona Charity Award (Puan Sri Dato’ Azrene Abdullah), Nona Royal Award (YM Tunku Kaiyisah), Nona Active Award (Datuk Nicol David), Nona VIP Award (Puan Sri To’ Puan Datuk Shariffa Sabrina), Nona Entrepreneurs Award (Datin Vivy Yusof).
Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Neelofa turut tersenarai dalam penerima anugerah dengan masing-masing membawa pulang dua anugerah iaitu Nona Legend Award & Nona Influencer Award (Datuk Siti), Nona Insta Famous Award & Nona Hijab Award (Neelofa).
Pada malam Nona Superwoman Award 2018 ini juga, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri, Ella dan Syamel turut membuat persembahan istimewa bagi meraikan wanita-wanita contoh ini. Turut hadir bagi meraikan penerima-penerima anugerah ini ialah seorang menteri wanita kerajaan Malaysia, YB Datuk Seri Rina Binti Mohd Harun (Menteri Pembangunan Luar Bandar).
Penganjuran Nona Superwoman Award 2018 ini turut mendapat sokongan daripada jenama perbankan , Affin Bank Berhad selaku penaja utama. Selain itu, malam anugerah ini juga turut dikilaukan oleh Swarovski dan diserikan oleh Max Factor selaku penaja bersama.
Menarik untuk dibaca: https://www.nona.my/wanita-inspirasi-berjaya-ini-senarai-penuh-penerima-nona-superwoman-award-2018/
Info Menarik Mengenai Air Soya Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Ke Bazar Ramadan Petang Ni.
Kacang soya merupakan makanan seimbang yang sangat baik dan lebih murah berbanding daging, susu atau telur. Ia mengandungi 50% protein bagi setiap 100 gm kacang soya, 11 kali ganda daripada susu dan tiga kali ganda lebih daripada telur. Ia juga kaya dengan bahan mineral seperti kalsium, sodium, magnesium, zat besi dan fosforus. Ia juga kaya dengan vitamin A,B,C,D serta lecithin.
Walaupun kecil, tapi banyak makanan yang boleh dihasilkan menggunakan kacang ini. Antara yang popular ialah tauhu, tempe dan juga air kacang soya.
MANFAAT AIR SOYA
Air kacang soya terkenal sebagai minuman yang sangat menyegarkan dan baik untuk kesihatan. Kalau ke pasar malam, memang banyak orang jual air ni. Nikmati sejuk atau panas, dua-duanya sangat enak. Tapi, ia bukan sahaja sedap tapi banyak manfaat untuk tubuh badan.
Kandungan air kacang soya terletak pada komponen dalam soya yang meliputi karbohidrat, serat (fiber), vitamin E dan K, asid lemak essensial. Lisin adalah jenis asid amino yang banyak terkandung dalam air soya.
Air kacang soya juga merupakan sumber protein yang sangat lengkap yang diperlukan oleh tubuh. Soya mengandungi sembilan asid amino esensial. Tubuh akan mengubah asid amino menjadi protein baru, termasuk antibodi penting untuk fungsi sistem kekebalan tubuh dan enzim yang membantu sel-sel menghasilkan energi. Setiap secawan air soya tanpa gula, mengandung 7 gram protein.
Air kacang soya juga kaya dengan kandungan vitamin dan mineral lain yang diperlukan oleh tubuh manusia. Berikut beberapa kandungan vitamin dan mineral daripada air kacang soya ini :
- Kalsium
- Zat Besi
- Riboflavin
- Vitamin B12
Antara KEBAIKAN yang boleh didapati dengan meminum air kacang soya ialah;
1. UNTUK KESIHATAN JANTUNG
Penyakit jantung merupakan salah satu masalah kesihatan yang paling sering dialami oleh lelaki. MayoClinic.com (portal kesihatan dunia) menyarankan untuk melakukan diet rendah lemak tepu dan sodium serta tinggi protein untuk mencegah masalah kardiovaskular. 1 cawan air kacang soya mengandung 3.6 gram lemak, 6.3 gram protein, 104 kalori dan hanya 0,5 gram lemak tepu. Selain rendah kalori, lemak dan tinggi protein, nisbah lemak tepu dan tak tepu kacang soya dapat membantu mengawal tekanan darah tinggi dan kolesterol.
2. MENGURANGI KOLESTEROL DALAM DARAH
Antioksidan dalam isoflavon pada kacang-kacangan seperti soya, mampu menaikkan kadar HDL yang baik untuk kesihatan jantung. Manakala lesitin dipercayai dapat membantu menurunkan kadar LDL (kolesterol jahat) dalam darah yang dapat membantu meningkatkan kesihatan tubuh.
3. MENGURANGI RISIKO DIABETES
Protein di dalam air kacang soya lebih mudah diolah oleh buah pinggang pesakit diabetes, dibandingkan dengan protein haiwan seperti susu lembu.
4. MENCEGAH OSTEOPOROSIS
Osteoporosis merupakan salah satu penyakit yang disebabkan oleh bertambahnya usia dan kekurangan hormon. Fitoestrogen dalam kacang soya dapat membantu mempercepat penyerapan kalsium oleh tubuh dan mencegah hilangnya massa tulang yang dapat menyebabkan osteoporosis. Untuk manfaat maksimum, pastikan untuk membeli air kacang soya yang diperkaya dengan kalsium tambahan dan vitamin D.
5. BAGUS UNTUK ORANG DIET
Air kacang soya juga dapat memenuhi keperluan zat bagi yang berdiet. AirAir kacang soya rendah lemak, namun tinggi protein. Walau bagaimana pun, apa juga yang kita ambil perlu bersederhana. Dikatakan air kacang soya tidak bagus diambil oleh mereka menghidap kanser payudara.
Oleh itu, lepas ni bolehlah masukkan hidangan soya ini dalam juadah harian anda. Selamat mencuba!
MFA College Beri Laluan Keluar Daripada Kemiskinan…
Miskin bukan bermakna tiada peluang menyambung pelajaran. Malaysian Food (Authentic) College (MFA) memberi peluang kepada golongan asnaf iaitu pelajar-pelajar daripada keluarga tidak berkemampuan dan miskin. Jadi adik-adik usah bimbangkan tentang kos pengajian.
MFA Education Sdn Bhd dahulunya dikenali sebagai Bakeri Ria Academy Sdn.Bhd ditubuhkan pada Februari 2007. Nak tahu siapa pemilik berjiwa murni di sebalik pengurusan syarikat ialah Chef Datuk Mohd Farid Alwi . Minat yang mendalam dalam bidang bakeri dan pengalaman 15 tahun bekerja di beberapa hotel terkemuka, pasaraya besar dan bakeri mendorong beliau menubuhkan MFA Education Sdn.Bhd.
Datuk Mohd Farid Alwi, berkaca mata hitamBermula tarikh penubuhannya , kolej ini telah mengorak langkah menjadi pusat latihan bertauliah kepada individu dan usahawan yang berminat menceburi perniagaan bakeri dan pastri.Hebatkan…kolej ini menawarkan tempat untuk pelajar-pelajar dari golongan tidak berkemampuan dan miskin menimba ilmu kulinari di sini. Dengan kemahiran yang diperolehi di sini, Datuk Farid menyimpan harapan agar anak-anak asnaf ini dapat keluar dari kongkongan kemiskinan dengan memanfaatkan skil dan ilmu bagi membina kerjaya dan hidup berdikari dengan menjadi usahawan makanan atau bekerja dalam industri kulnari dan perhotelan.
Di antara pengajian yang disediakan adalah latihan bakeri dan pastri SKM (Sijil Kemahiran Malaysia ) Tahap 2 dan 3, latihan penyediaan makanan (kulinari) SKM tahap 2 & 3 serta program dan latihan keusahawan makanan. Latihan keusahawanan ini menyediakan kursus jangkapendek.
Nama institusi : Malaysian Food (Authentic) College (MFA)
Lokasi : Unit C-1-28 Blok C, Pangsapuri Spring Villa, Jalan UP 1/1D Taman Ukay Perdana, Ampang, Selangor Darul Ehsan
Emel : bracollege@yahoo.com / mfaeducation.college@gmail.com